Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Lamunan Perjalanan

“Kalau kita bercerita tentang cinta, aku kira …”

Punat ‘backspace’ ditekan. Laju. Terpadam ayat itu, sedangkan tadinya hampir setengah jam sang penulis termenung memikirkannya.

Hamizah tersandar di kerusi komputernya sambil mata memandang kosong ke arah skrin komputer itu. Entah mengapa, sukar benar untuknya menulis akhir-akhir ini. Dia mampu mengarang puisi pendek yang penuh kias, untuk meluah dan menceritakan isi hati yang terpendam. Dia mampu mengarang artikel khusus bercerita tentang pandangan peribadinya terhadap segala yang terjadi.

Tetapi untuk mengarang novel dan cerpen seperti selalu, dia tidak mampu.

Terhenti. Seperti ada sesuatu yang mengekang tulisannya.

Menulis satu ayat, dirasakan tulisannya tidak realistik. Seperti tulisannya cuma dongeng kosong tanpa nilai, bahkan kadangkala, ketika membaca sesetengah karya lain, terutama karya cinta, dia terasa semuanya mimpi.

Tak berpijak di alam nyata.

Hamizah tidak tahu mengapa.

“Cepatlah siap. Tak mahu pergi kerja ya, kakak?”nyaring suara ibu menghentikan lamunan Hamizah. Suis komputer dimatikan. Terus sahaja dia menyiapkan diri dan terus ke tempat kerjanya di sebuah stesen minyak berhampiran rumahnya.

Hari ini dia cuma berjalan kaki ke tempat kerja. Tidak mengapa, dia selesa. Muzik dimainkan terus ke telinganya sambil berjalan. Kedengaran Adele menyanyikan lagu hitnya, Someone Like You. Pesanan seorang bekas kekasih yang tidak membenci bekas kekasihnya, malah mengharapkan yang terbaik untuk mereka berdua. Masing-masing sedar cinta tak semestinya bersatu.

Lagu itu rasanya jauh lebih realistik daripada sesetengah lagu yang terlalu mengagungkan kekasih. Jujur Hamizah rasa begitu. Agungkan cinta manusia secara keterlaluan, kadang bodoh pada matanya.

Kekasih dianggap nyawa, harta dan segalanya. Tak ada duit tak apa, sanggup melarat dan berlapar semata-mata demi cinta. Buang semuanya kerana cinta. Sanggup renangi lautan api kerana cinta yang hakikatnya belum pun halal.

Renangilah neraka.

Kan sanggup renangi lautan api? Itu fasal berani buat dosa berpeluk dan berkepit dengan kekasih tanpa akad nikah.

Hamizah tersenyum sinis. Teringin rasanya hendak bukukan bicara hatinya tentang hidup. Biarpun dia belum matang tetapi pandangannya selalu berbeza. Dia ingin dunia tahu pandangannya itu. Dia mahu ketuk minda manusia dengan bicaranya.

Selepas SPM, Hamizah dipaksa ibu untuk bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan tersebut diumumkan. Mulanya dia rimas dipaksa, namun kini dia mengerti bahawa sesungguhnya dia perlukan pengalaman itu. Pengalaman yang mematangkan dia sehingga kini dia berhati-hati dalam kerjanya. Dia berhati-hati dengan tutur katanya. Dia tahu, silap langkah dia yang susah.

Belajar bertolak ansur. Belajar kenal perangai manusia yang macam-macam.

Kini dia tahu hidup bukan sekadar apa dia kenal di alam persekolahan.

Dia belajar banyak perkara.

Malah dia sedar cinta bukan segalanya. Kini dia sudah habis sekolah. Ramai yang kata, sudah boleh bercinta dan berpasangan. Ramai yang sudah pun ada kekasih. Ramai yang sedang bahagia.

Semuanya selepas keluar dari alam persekolahan.

Namun entah kenapa, Hamizah kurang merasakan keinginan itu. Keinginan ada, tetapi dia tidak menurut rasa. Bukan sekali dia meminati seseorang, tetapi rasa itu cepat terpadam seiring masa.

Rasa takut akan dosa selalu membuatnya tidak mahu. Malah dia sendiri sedar, dia bukan dari golongan yang diminati lelaki. Bukan dari golongan mereka yang terkenal kerana kecantikan.

Mungkin sekarang waktu dia bergerak mematangkan diri.

Ada sebab tuhan tarik rasa itu daripadanya. Ada sebab tuhan tidak buka hati orang untuknya.

Dia perlu sabar. Tunggu jodoh daripada Allah.

Lalu dia sedar, sesunggguhnya kesediaan belum di pihaknya. Belum berani.

Sesungguhnya cinta itu tanggungjawab. Dan apabila dia sudah mampu memikulnya, pasti Allah akan buka hatinya dan hati insan itu untuk mencintainya juga.

Berusaha, bersabar, bertahan. Harungi hidup dengan kematangan.

Hidup ini bukan sekadar cinta.

Akhirnya Hamizah memahami, dia tidak mampu menulis kerana sedar hidup tidak semudah yang ditulis di atas kertas. Ada cinta semuanya mudah.


Dia mahu tulisannya realistik, bukan ubat khayal semata-mata.

Kesedaran itu buat dia tahu, dia masih perlu belajar banyak perkara, sehingga tulisannya menjadi suatu karya yang mematangkan dan bermanfaat.

Bukan cinta biasa. Bukan tulisan klise.

Tetapi sesuatu yang ada nilainya.
Dan sepanjang perjalanan ke tempat kerja itu, lamunannya masih berkisar tentang jalanan kehidupan, perjalanan menuju sebuah kedewasaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

FH said...

Terima kasih sbb guna nama saya.
Terharuuuuuuuuu niiiiiiii!!!!!!!
saya ni takdala comel sangat, manis sikit adalah.lol

-Hamizah.F <-- konon-konon mcm novelis.

FH said...

Nice story line, anyway. ;)

(-Another Hamizah-)

p/s : kalau nak tahu maksud Hamizah, tanyala saya.

p/s/s :Hamizah ada 3 maksud. (nombor 3 tu colour biru terang)

Post a Comment