Assalamualaikum.
Catatan ini satu luahan dan permintaan untuk saya dan awak yang belum saya tahu siapa gerangannya.
Semoga apabila awak membacanya ketika saya akan bergelar tunangan awak, kita sama-sama jelas dengan apa yang kita cari.
Semua telah terancang.
Awak,
saya yakin kalau awak berhasrat meminang saya, awak tahu saya seorang anak tunggal.
Anak tunggal yang telah kematian walinya.
Maka,
yang mama ada cuma saya.
Cuma saya.
Untuk menjaganya, untuk membanggakannya, untuk mendoakannya dan untuk membahagiakannya.
Cuma saya.
Maaf apabila bunyinya keras.
I will never marry someone who could not make her happy.
InsyaAllah.
Arwah ayah, datuk, pakcik dan semua orang kesayangan yang telah pergi, semua berharapkan bakti saya setelah mereka pergi.
Infak dari saya.
Saya berhajat untuk bekerja bukannya kerana gilakan wang semata. Bukan pangkat semata.
Tapi saya ingin memberi untuk mama.
Saya nak mama senang di hari tua.
Biar saya support belanja mama.
Biar kesihatan mama, makan pakai mama terjaga.
Dan andai mama sakit tua nanti, saya redha untuk berhenti kerja deminya.
Tapi saya ingin memberi untuk arwah insan-insan kesayangan.
Saya nak beri saham kepada mereka.
Bahkan untuk ibu bapa awak saya sanggup memberi sekadar termampu.
Kerana bila saya pilih awak, saya pilih semua tentang awak termasuk ibu ayah awak.
Maka,
Saya harap awak seorang yang hormat ibu ayah awak.
Saya harap awak jaga makan pakai ibu ayah awak.
Sebab saya hajat awak didik saya jadi anak yang baik seperti awak.
Awak,
memilih seorang bakal suami bererti memilih seorang imam untuk sebuah kehidupan dunia dan akhirat.
Memilih awak bererti memilih nahkoda untuk saya.
Saya berharap agar kita tidak jadi buta, hanya memikirkan diri semata-mata.
Umat Islam perlukan kita.
Saudara kita kebuluran.
Saudara kita menderita terseksa.
Ramai tak merasa nikmat kita rasa.
Saya ingin jadi sayap perjuangan awak.
Saya ingin kita berbakti pada agama.
Saya ingin kita menjadikan syahid itu matlamat.
Awak, pelihara solat.
Dekatlah dengan rumah Allah.
Jagalah semua kewajipan.
Akrablah dengan Al-Quran.
Saya tak hebat pada amal. Maka sama-samalah kita saling lengkapi
Moga dapat kita lazimi Qiamullail dan dhuha sama-sama.
Moga dapat bina sebuah keluarga Al-Quran.
Dengan ada awak di sisi, moga kita dapat melakukannya.
Awak,
pun begitu bukan saya suruh awak di tikar sejadah 24 jam.
Tidak saya kata kerjaya awak sekular. Tidak.
Saya sokong kerjaya awak.
Kerana tiap kerja yang baik itu ibadah bila niat disandarkan kepada Allah semata.
Umat Islam harus kuat untuk menguasai teknologi, ekonomi, ketenteraan dan segala bidang.
Semua ini perlukan ilmuwan.
Ekonomi perlukan usahawan.
Ketenteraan perlukan pakarnya.
Selama kerja awak baik, saya akan sokong dan setia mendoakan.
insyaAllah.
Awak,
realiti tak sama dengan mimpi.
Hidup bukan untuk material, tetapi material masih keperluan hidup.
Kita perlu pada kecukupan agar dapat memelihara kebahagiaan dan tarbiyatul aulad.
Maka,
Samalah kita usaha menggapainya.
Kecukupan tak datang bergolek,
Tetapi selama Allah bantu, tiada yang tak mampu kita hadapi.
Awak,
Saya punya banyak kelemahan.
Saya bukan perempuan yang trang tang tang solehah depan mata.
Saya bukan perempuan kaya ilmu agama.
Saya bukan perempuan yang mulia akhlaknya.
Mungkin saya mampu mengajak awak meninggikan agama,
tetapi saya tetap akan hormat imam saya dan berhajat pada awak untuk setia mengislah peribadi ini.
Maka maafkanlah khilaf saya, luruskanlah saya dengan hikmah.
Kalaulah saya terlanjur menyakiti, tegur dan betulkanlah saya.
Awak,
kalau suatu hari saya mungkir pada kata-kata ini, sampaikan kembali catatan ini untuk saya.
Bila saya salah, betulkan saya tapi jangan tinggalkan saya.
Pelihara agama dan maruah saya, semoga saya mampu berbuat yang sama.
Jangan tinggalkan saya di jalan neraka, tuntun saya ke jalan syurga.
0 comments:
Post a Comment