"Ya rabbi, budak ni! Duduk diam-diam boleh tak? Aku nak baca buku pun susah. Asyik bersilat sana-sini,terjerit-jerit pula,"tengking Haris mematikan kebisingan suara adik lelakinya, Adli. Dia paling pantang jika ada yang buat bising semasa dia membaca buku, biarpun yang dibacanya saat itu cuma komik.
Adli yang masih mentah fikirannya itu kelihatan takut-takut. Dia tahu abangnya sudah marah. Dia cuma mahu berlatih. Salahkah?
"Abang marah Adli berlatih silat?"Adli menyoal perlahan. Pandangannya tidak tentu arah. Sekejap memandang Haris dan sekejap lagi menekur lantai.
"Silat gaya apa kau buat tadi? Terjerit-jerit. Tok belum ajar kau silat, solat pun tak betul lagi. Tok ajar Kak Leha dan Abang Zaid adalah,"marah Haris nampaknya belum reda. Cuma nada suaranya sahaja tidak setinggi tadi.
"Itu sebab Adli belum cukup handal. Adli nak latih lagi. Adli nak jadi kuat, macam tok. Adli nak pergi Palastin, Adli nak bunuh orang jahat yang bunuh kawan-kawan Adli. Adli nak jerit kuat-kuat, biar musuh takut. Adli kena latih lagi, baru Adli boleh pergi sana. Adli nak lawan Yahudi,"petah Adli berbicara. Menyebut Palestin pun masih salah, tetapi semangat juangnya sudah tinggi. Sejak menonton berita bersama datuk semalam, Adli begitu bersemangat mahu menjadi kuat.
"Abang tak mahu lawan juga?" Haris terkedu. Wajah Adli dipandangnya lama- lama. Suci dan bersih wajah itu membayangkan kejernihan hati tanpa noda.
Anak kecil berusia lima tahun itu kelihatan takut apabila abangnya membisu, malah memerhatikannya begitu. Air matanya mula bergenang. Esakannya mula kedengaran. Dia takut Haris akan memarahi dan memukulnya.
Haris serba-salah. Ibu tiada di rumah untuk memujuk Adli. Dia pula memang gagal kalau bab-bab memujuk. Mujur subjek Memujuk tiada dalam silibus SPM yang akan didudukinya tidak lama lagi. Kalau tidak rasanya dia orang pertama yang diumumkan tidak lulus subjek tersebut.
Akhirnya, Haris mendekati Adli dan duduk di hadapan anak kecil itu. Kedua-dua tangannya memegang bahu Adli.
"Aik, tadi kata nak musuh takut? Musuh nak takut bagaimana kalau Adli asyik menangis? Nanti mereka ingat Adli takut akan mereka. Pejuang Islam mana boleh menangis begini. Hero Islam kena kuat,"pujuk Haris. Mati kutu dia dibuatnya. Tidak tahu merangka ayat memujuk, itu memang kelemahan. Adik aku ni patut beri siren tiga jam lebih awal kalau mahu merajuk supaya sempat aku hendak drafkan skrip memujuk,fikir Haris.
Laju sahaja tangisan Adli terhenti. Segera anak kecil itu mengesat air matanya dengan telapak tangan sendiri, agak kasar perlakuannya itu. Nampak benar dia sedang bertegas dengan diri sendiri. Pesan Abang Haris tersemat kemas di dada. Hero Islam kena kuat!
Bagi Adli, Abang Haris ialah heronya yang mengajarnya semangat untuk kuat. Abang Haris orang yang kuat. Dia sayang dan kagum akan Abang Haris.
Namun bagi Haris, adiknya itulah sebenarnya hero. Adiknya itulah sebenarnya pejuang. Adiknya itulah yang patut dikagumi. Biarpun usianya terlalu muda, tubuhnya kecil dan fikirannya masih mentah, namun semangat juangnya terlalu tinggi.
'Ya Allah, moga aku dapat jadi sekuat, malah lebih kuat daripada adikku itu, agar aku mampu menjadi contoh untuknya dan keluargaku. Berikan kepadaku dan dirinya syahid di jalan-Mu.'
*********
"Umi, kenapa Adli kena baca buku? Ajarlah Adli lawan-lawan. Adli nak jadi kuat macam tok,"rungut Adli semasa Puan Zarina mengajarnya membaca. Riak wajahnya jelas menggambarkan kebosanan.
Puan Zarina memahami perangai anak bongsunya itu. Anak-anak kecil seusia Adli sememangnya gemar bermain. Agak sukar hendak mengumpan mereka untuk menjadi ulat buku, apatah lagi anak lelaki. Dia perlu bijak dalam menawan hati si kecil itu.
"Adli, kenapa Adli nak jadi kuat?"
"Adli nak pergi Palastin. Adli nak lawan orang jahat. Adli tak ada senapang. Adli kena pandai silat!"
Puan Zarina tersenyum. Kepala anak kecil itu diusapnya perlahan. Dia bangga akan semangat si kecil itu. Dia faham, Adli mewarisi semangat perjuangan daripada Tok Ki, datuknya yang merupakan guru silat. Teringat dia akan kata-kata Tok Ki,
"Ina, aku ini guru silat, tapi aku tak dapat buat apa-apa untuk Islam. Aku orang kampung, tak dapat ke Palestin. Jangankan Paslestin, KLIA pun aku tak sampai. Aku tak dapat berjuang sedangkan di sana, budak kecil pun sudah syahid. Ina, kalau aku ini tak dapat syahid aku harap sangat cucu aku mencapai syahid!"
"Adli, kalau mahu jadi kuat tak semestinya dengan bersilat. Baca buku pun boleh jadi kuat juga,"umpan Puan Zarina. Anak kecil itu ditarik, dibawa duduk di atas ribanya.
"Baca buku boleh jadi kuat?"
"Ya, baca buku,"wanita berusia 38 tahun itu mengangguk. Dia suka apabila anaknya bertanya dan melopong kehairanan. Itu tandanya ada sifat inkuiri yang mendalam.
"Hmm, Adli teringin hendak guna senapang sebab boleh jadi kuat kan?"
Adli mengangguk beberapa kali. Bersungguh-sungguh benar anak kecil itu.
"Kalau boleh jadi kuat kerana guna senapang, maknanya senapang itu hebat. Betul?"
Angguk lagi. Tidak sabar-sabar Adli nampaknya.
"Jika senapang hebat, orang yang cipta senapang tentu lebih hebat kan?"
Kali ini Adli diam agak lama sebelum mengangguk lagi.
"Yalah kan? Orang pandai yang cipta senapang. Kalau tak pandai mesti senapang itu sudah meletup dan musnahkan muka dia dulu. Betul tak,ibu?"
Jawapan lurus Adli membuatkan Puan Zarina tergelak. Kelakar juga imaginasi anak aku ini, bisik hatinya.
"Pandai pun anak ibu. Sayang Adli,"kucupan mesra dihadiahkan untuk Adli. Adli mengukir senyuman lebar. Seronok benar dia apabila ibu mengatakannya pandai.
"Jadi, Adli pun kena jadi pandai. Barulah Adli boleh cipta macam-macam benda untuk bantu orang Palestin. Adli boleh kan?"
"Boleh!"Adli laju menjawab. Wajahnya yang tadi nampak bosan sudah berubah. Kini semangatnya berkobar-kobar.
"Hmm, walaupun Adli sudah pandai nanti, Adli kena ingat, jika manusia pandai, Pencipta manusia mesti lagi pandai. Siapakah yang cipta manusia?"
"Allah!"
******
Lima belas tahun berlalu, kini Adli dan Haris sudah dewasa. Haris kini bekerja sebagai seorang pensyarah, sudahpun berkahwin dan memiliki dua cahaya mata sementara Adli kini masih belajar di politeknik. Mereka berjihad di jalan masing-masing.
Tok Ki telah lama meninggal dunia, namun sempat mengajarkan semua ilmu persilatannya kepada Adli dan Haris. Dia selalu berpesan kepada dua beradik itu agar menjadi orang-orang yang cinta akan mati syahid.
Puan Zurina dan suaminya pula kini telah tua. Tubuh mereka bongkok dimamah usia. Suaminya kini lumpuh. Adli yang masih belajar tidak tinggal di asrama politeknik kerana ingin membantu ibu bapanya itu.
Pada suatu pagi Jumaat, Haris menerima sebuah e-mel daripada rakan pensyarahnya. E-mel itu merupakan undangan untuk menyertai misi penyelamat di Gaza, Palestin. Bersama e-mel itu disertakan beberapa gambar realiti kekejaman Israel di sana. Foto yang menyayat hati malah mengerikan itu meruntun jiwa Haris. Menitis air mata lelakinya.
Dia makan pizza, burger, hot dog, mi, nasi dan pasta. Boleh dikatakan semua makanan pernah dia cuba. Kanak-kanak di sana entah cukup makan entahkan tidak.
Dia keluar bercuti saban bulan. Masih ada waktu untuk dia pulang menjenguk ibu bapa. Anak-anak di sana menyambut cuti dengan bunyi letupan bom yang menusuk pendengaran. Anak-anak di sana melihat sendiri kematian tragis ibu bapa malah meratap di tepi mayat ibu bapa sedangkan kadangkala mereka belum pun faham, apakah makna mati?
Dia di sini menghabiskan masa bersembang dan menonton bola sepak. Anak-anak di sana? Hidup dan mati menjadi bualan.
Enggan membuang masa, Haris mencapai telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon Adli. Peluang hebat itu mahu dikhabarkan kepada adiknya. Sejak kecil Adli terlalu cinta akan perjuangan di Palestin. Inilah peluang untuk menggapai impian itu!
"Assalamualaikum, Adli. Abang ada hantar e-mel kepada kau. Bacalah. Jika kau mahu, beritahu abang. Abang akan daftarkan nama kau sekali,"ujar Haris sebelum mereka menamatkan perbualan. Azan zuhur sudah berkumandang. Seruan Ilahi perlu disahut.
******
"Maaf, abang. Saya rasa lebih baik abang sahaja yang menyertai misi penyelamat itu. Saya tidak mahu,"
Terdiam Haris mendengar jawapan itu. Adli sudah berubah fikiran,begitu sangkaannya Haris.
"Biar betul kau ni, Adli. Kau sudah berubah fikiran ya? Jangan lari dari perjuangan, Adli. Islam perlukan kita. Kau nak jadi pejuang kan? Kau nak memburu syahid kan? Kau sudah lupa semua itu?"
Kedengaran desah nafas Adli di hujung talian. Adik lelaki Haris itu sedang mengumpul kekuatan untuk menyuarakan isi hatinya. Impian tetap impian. Hatinya tiada berubah.
Adli bukanlah seperti lalang, terumbang-ambing ditiup angin. Namun Adli bukannya kerikil, keras tidak dapat dilentur.
"Abang, ibu dan ayah sudah tua. Mereka bergantung harap pada kita berdua. Andai ditakdirkan kita ke sana, dengan siapa hendak Adli tinggalkan mereka? Itu belum dikira sekiranya kita meninggal dunia di sana. Ibu dan ayah hendak tinggal di mana dan dengan siapa?"
"Adli, soal hidup dan mati bukan urusan kita. Ajal maut ini urusan Allah. Kau jangan berundur kerana takut mati, Adli. Mati berjuang di sana insya-Allah husnul khatimah,"pujuk Haris namun suaranya agak meninggi. Dia tidak suka adiknya berundur sebelum berjuang. Ini bukan Adli yang dahulu!
"Ya. Adli faham. Namun pada zaman Rasulullah dahulu pun, baginda pernah melarang seorang pemuda yang ingin ke medan perang kerana pemuda itu mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan bergantung kepadanya pula. Dalam kondisi Adli, ibu dan ayah, maaf, Adli rasa belum masanya Adli keluar berjihad. Abang pergilah. Adli ikut dengan doa. Semasa abang bermusafir dan berjihad nanti, Adli harap abang sudi doakan Adli. Mudah-mudahan ada lagi peluang untuk Adli berjihad nanti,"jelas penyampaian Adli.
Jujur, ini bukanlah pengorbanan yang senang untuknya. Ke Palestin hajatnya. Memburu syahid impian hati. Sejak dia pandai menunaikan solat, sentiasa dia berdoa selepas solat, mudah-mudahan dia dapat ke Palestin dan syahid di sana.
Cemburunya tidak terkira mendengar perkhabaran saudara seislam yang syahid. Mungkin orang lain simpati, namun seksa itu hanya di dunia. Syurga yang menanti kekal sampai bila-bila.
"Adli, kau memang anak yang baik. Sejak kecil, kau selalu buat abang berfikir panjang. Benar kata kau. Abang pentingkan diri sendiri, padahal abang anak ibu dan ayah juga. Malah abang ada anak dan isteri. Abang tidak patut terburu-buru. Kak Zah kau pun belum tahu sebenarnya perihal misi penyelamat ini,"
"Abang, janganlah kerana Adli cakap begini, abang hendak batalkan hasrat murni abang itu. Tidak ada salahnya abang hendak berjihad. Adli mampu menjaga ayah dan ibu, insya-Allah. Adli anak lelaki, hero Islam. Abang kan pernah berkata, hero Islam kena kuat? Abang perlu kuatkan hati untuk berjihad dan Adli di sini kuatkan hati dan diri untuk menjalankan tanggungjawab Adli sebagai seorang anak."
Haris terkejut. Tidak sangka kata-katanya itu masih melekat di ingatan Adli. Dia hanya berkata begitu kerana mahu adik kecilnya berhenti menangis. Langsung dia tidak menduga pesanannya itu tersemat kemas di dada adiknya hingga dewasa.
Selepas menamatkan perbualan, Haris menyambung tugasnya. Namun, hatinya tidak sabar-sabar menunggu waktu untuk pulang ke rumah. Dia mahu menceritakan segala yang diajar oleh adiknya kepadanya untuk pendengar setia di rumahnya, isteri solehah bernama Faizah.
******
"Abang pergilah. Zah akan tunggu dan doakan Abang di sini bersama anak-anak. Zah hendak juga dapat pahala perjuangan itu walau tak sebanyak orang-orang yang pergi sendiri. Mudah-mudahan rezeki kita bertambah berkat,"jawapan itu yang diberikan oleh Faizah sebaik sahaja suaminya selesai bercerita. Tidak kelihatan riak marah di wajah itu.
Faizah bukanlah wanita cantik yang mampu menarik hati sejuta lelaki. Wajahnya hitam manis tetapi agak berjerawat. Dia bernikah agak lewat, itupun Harislah lelaki pertama yang menyuntingnya atas pertolongan seorang ustaz yang ingin menyelamatkan nasibnya daripada bergelar anak dara tua.
Sehingga kini, dia terlalu bersyukur akan jodohnya. Hanya satu doanya, semoga dia akan dapat menjadi isteri yang menyenangkan suaminya dan menjadi pendorong utama suaminya untuk berjihad malah memburu syahid.
"Zah benar-benar tak kisah abang pergi? Jika abang tak pulang lagi, bagaimana? Zah betul-betul tidak akan rasa sedih?"Haris menyoal memohon kepastian.
"Kalau ditakdirkan abang tak pulang, Zah doakan semoga abang syahid di sana. Zah akui, Zah pasti sedih andai kehilangan abang tetapi Zah meredhainya. Hajat Zah sejak dahulu lagi, mahu membantu suami memburu syahid. Cuma Zah ada sedikit permintaan,"Faizah tersenyum biarpun air matanya bergenang. Sedih memang sedih, tetapi biarlah banyak menangis di dunia, jangan di akhirat.
"Apa?"
"Pertama, abang mohonlah restu ibu dan ayah abang. Ibu abang lebih utama daripada Zah. Kita pulang ke kampung esok ya?"
Tersentak Haris mendengar bicara itu. Dia terlupa berkenaan perkara penting itu. Anak lelaki sepatutnya mengutamakan ibu biarpun setelah berumahtangga. Anak perempuan yang perlu mengutamakan suami setelah bersuami.
"Kedua, abang ampunkanlah semua kesalahan Zah dan halalkanlah segala makan-minum Zah. Andai abang ditakdirkan syahid di sana, Zah takut tidak sempat mohon keampunan abang."
Haris mengangguk. Sayu hatinya mendengar bicara itu. Faizah tidak berdosa sama sekali dengannya. Jika ada pun tidak sampai kemarahannya mengatasi kasih sayang dan keredhaannya pada Faizah. Susah senangnya Faizah ada bersama.
Syukur,Allah kirimkan untuknya bidadari yang kurang indah rupanya di dunia namun terlalu indah pekertinya. Haris tidak pernah berasa ralat menerima pilihan ustaznya. Di akhirat kelak, pasti Faizah dijadikan ketua bidadari yang paling indah rupanya. Itupun sekiranya dia sendiri cukup amal untuk menjejaki syurga dan mendapat layanan bidadari itu.
******
"Ibu betul-betul pasti hendak relakan Haris pergi? Mungkin Haris pergi tidak kembali. Ibu sanggup hadapinya?"
Menitis air mata Puan Zarina. Ya, dia rela dan redha anaknya keluar berjihad. Namun hati ibu mana yang tidak sedih memikirkan kemungkinan akan kehilangan anak selamanya? Terasa baru semalam dia mendukung bayi sulungnya yang baru lahir dan dimaklumkan bahawa bayi itu bayi lelaki. Kini dia mungkin akan kehilangan anak itu buat selamanya.
"Sudahlah. Jangan tanya banyak lagi, Haris. Ayah hendak kau pergi. Ibu pun sama. Kau doakanlah kami sihat walafiat di sini. Jangan fikir banyak. Ayah tidak mahu kau buang masa menangis di sini,"keras suara Encik Kassim. Terkejut Haris mendengarnya tetapi dia akur. Dia tahu, jika ayahnya bersuara keras seperti itu dia perlu menurut.
Jauh di sudut hati,sebenarnya Encik Kassim hanya mahu memastikan Haris tidak menarik balik keputusannya. Dia tahu Haris lemah jika melihat Puan Zarina menangis. Biarpun suaranya keras, sebenarnya Pak Kassim turut merasakan kesedihan isterinya.
Sebelum melangkah pulang ke rumah, Haris meninggalkan sepucuk surat untuk Adli. Di hadapan sampul surat itu ada tertulis,
"Jangan baca surat ini hingga abang tiba di sana, insya-Allah."
******
Selesai sudah kenduri kahwin Adli dan Faizah. Ramai yang gembira, tidak kurang juga yang mengeji. Malah ada yang tertanya-tanya, mengapa lelaki setampan Adli yang belum pun tamat pengajian, sanggup menikahi Faizah, janda beranak dua yang sudah hampir 40 tahun usianya?
Ya, Haris telah mencapai hajatnya, syahid di Palestin. Isi suratnya dahulu meminta Adli menikahi Faizah jika dia syahid, kerana mahu memelihara kebajikan isteri dan anaknya. Biarpun acapkali Faizah bertanya punca Adli sanggup menikahinya,isi surat itu tetap dirahsiakan demi menjaga hati Faizah.
"Biarlah orang mengeji, asalkan saya cinta dan redha."
0 comments:
Post a Comment