Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh..
Ingin sekali saya kongsikan tentang sesuatu hal yang hakikatnya merupakan situasi biasa dalam kehidupan baik persekolahan mahupun pekerjaan. Ya, pasti sahaja tidak lari daripada tajuk di atas. Saya masih belum melalut. ^_^
Soal amanah. Rasulullah mendapat gelaran al-amin kerana kebolehpercayaan dan sikap menjaga amanahnya yang amat-amat tinggi. Seandainya sahaja teladan baginda yang satu ini dicontohi semua pihak, saya yakin insya-Allah dunia ini bebas penipuan, rasuah, riba dan sebagainya. Namun sayang, seperti yang pernah saya baca suatu ketika dahulu, kadangkala sunnah Rasulullah ini diambil sekadar mengikut selera dan kepentingan. Mana yang mudah, diambil. Mana yang susah, diabaikan.
Jawatan itu amanah. Pangkat itu amanah. Tugas itu amanah.
Jadi, salahkah kiranya amanah itu dilaksanakan?
Perkara yang paling berat dalam dunia ini ialah memegang amanah. Nyata sudah bukan mudah melaksanakan amanah yang diberi kepada kita. Kadangkala kerana amanah kita perlu berkorban. Sebagai contoh, polis yang amanah mungkin terpaksa memenjarakan anaknya sendiri. Tentu sahaja itu sulit dan menyakitkan. Namun hebatnya Rasulullah, baginda pernah bersabda.
Jika anakku Fatimah mencuri, nescaya akan kupotong tangannya.
Kalau kita pula, adakah kita sanggup melakukan itu? Hakikat sebenar, kita tentu sukar untuk menghukum manusia yang kita sayangi meskipun tatkala dia bersalah. Lagi pula kalau dia tidak sengaja. Memang sukar. Namun itulah kewajipan. Kita bermujahadah melawan perasaan sayang itu untuk menjaga sebuah amanah yang terpikul di atas bahu kita.
Baru pagi tadi, saya menahan seorang ukhti yang saya amat hormat selama ini meskipun dia junior saya. Saya hormat dia kerana ketokohannya. Saya hormat dia kerana kefahamannya dalam ilmu agama. Saya sendiri tidak jangka dia ada buat kesalahan pagi itu. Saya nampak dia lalu dan untuk mempercepat urusan saya terus sahaja melakukan tugas ke atasnya seperti kelaziman. Saya terus sahaja mengambil tindakan sewajarnya ke atas dia dan saya tahu dia memang tidak sengaja kerana kemudiannya dia sendiri tanya saya tentang satu soalan berkenaan hukum. Saya beritahunya penjelasan yang benar. Dia pergi tanpa banyak soal menurut arahan saya. Saya pula yang malu sendiri. Kemudian saya terfikir, adakah saya salah kerana tidak beri peluang padahal dia tidak tahu? Astaghfirullah.
Kemudian ketika pulang dari sekolah dan kebetulan bertemu dengannya di kantin, dia beri salam dan tersenyum seperti biasa bagai tiada yang terjadi. Saya pula yang serba salah dan terus bertanyakan perasaannya. Adakah dia marah kerana saya menahannya tadi? Nyata tidak. Saya kagum padanya kerana dia malah menyatakan bahawa dia berterimakasih atas penjelasan yang saya berikan semasa mengambil tindakan. Kami kemudian bertukar senyuman sebelum dia beredar dengan ucapan salam. Ya, saya memang benar-benar berlapang dada saat itu. Saya agak serba salah sebenarnya kerana dia teman baik saya tetapi amanah tetap amanah. Saya pun yakin kalau saya mahu lepaskannya pun dia tidak akan mahu. Saya kenal siapa dia.
Itulah cerita ukhti yang saya kagumi.
Di sini, satu lagi pula cerita. Kisah cacian dan pertikaian atas amanah. Jika yang seorang tadi begitu tawadduk padahal dirinya jauh lebih hebat dan berketokohan berbanding pengawas yang menahannya atas kesalahan yang dilakukan dalam keadaannya tidak tahu, yang ini lain pula ceritanya.
Dia ditahan atas kesalahannya sendiri. Bukan saya yang menahannya. Saya memang tidak terlibat tetapi saya kebetulan sahaja mendapat tahu. Kalau barang anda hilang, bukan pengawas yang menghilangkan barang itu. Itu kecuaian anda sendiri. Kenapa pula mahu salahkan orang lain? Pengawas itu hanya menahan anda atas arahan guru juga. Kalau sudah guru amanahkan begitu, pengawas perlu jalankan bukannya melepaskan. Nanti di akhirat, anda pun disoal, dan dia juga disoal.
Hakikatnya, memang ada yang mengambil ringan dan ada pula yang serius. Terpulanglah kepada pilihan insan itu kerana amanah itu di bahu masing-masing. Namun janganlah apabila ada yang melaksanakan amanah secara teliti dia disalahkan. Cakap sahajalah terus terang secara DIPLOMATIK. Jika dia memang salah pun, janganlah sampai hendak memaki hamun. Salahkah jika lapangkan dada sedikit untuk memaafkan saudara anda tanpa dendam?
Pujilah sahabat anda di khalayak ramai, dan tegurlah dia secara bersendirian.
Saya tidak mahu menuduh atau melagakan sesiapa dalam soal ini. Cukuplah pandangan umum yang menceritakan segalanya. Saya mohon agar sesiapa janganlah menjadikan artikel ini sebagai penghangat keadaan. Saya harap perkara itu sudahpun berlalu. Lupakan sahajalah. Kisah lalu jadikan pengajaran.
Semoga umat Islam bersatu tanpa cengkaman dendam dan hasad dengki. Ameen.
Jemput Follow :)
Jika Amanah Jadi Pertikaian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment