Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Meski Tak Sempurna

Lafaz itu wajarnya sakinah, mengapa harus ada yang terluka?
        Dhiya memandang ke sekeliling. Langit luas terbentang, saujana mata memandang. Kehijauan pohon menghiasi bumi yang tua. Subhanallah, meskipun sudah terlalu lama bumi ini menjadi persinggahan, serinya masih ada biarpun kian kelam.
        "Wuhuuuuu!"Suara pemuda yang sedang menunggang motosikal bersama rakannya menusuk gegendang telinga Dhiya. Wajah mereka agak mencerminkan kenakalan. Jelas itu bukannya adab muslim yang sejati, yang wajar menghormati  anak dara orang. Astaghfirullahalazim, hanya itu yang mampu Dhiya lafazkan dalam hatinya. Tidak lama kemudian, Dhiya ternampak pula bekas rakan sekelasnya, Yana yang sedang menunggang motosikal bersama rakannya. Rambut ikal mayangnya dibiarkan bebas ditiup angin dan dibakar terik mentari. Hakikatnya, dia menyeksa rambut sendiri. Di dunia rambut itu dibakar terik mentari, nanti di akhirat pula menjadi bahan bakar api neraka.
        Dhiya tidak tahu cara untuk menegur rakan-rakan sekampungnya sendiri. Dia kurang bergaul dengan mereka. Keluarganya lebih banyak mengurus hal sendiri berbanding bersosial di luar. Dhiya tidak keluar rumah melainkan dengan ibunya, kecuali atas dasar program anjuran sekolah.
        Dulu, Dhiya benci diperlakukan sedemikian. Kini, dia besyukur dia dibesarkan dengan cara begitu.
                  
                 ******  

       "Ada orang tu kan, saya nampak dia buka tudung dalam kereta,"sindir Maria semasa berbual dengan Shahira.
           Dhiya yang sedang membaca meletakkan bukunya di atas meja tanpa menutup buku tersebut. Dia tahu Maria bercakap tentang dirinya.  
           "Kau nampak aku ya semalam?"Soal Dhiya. Rasanya soalan itu tidak perlu ditanya kerana cara Maria bercakap pun sudah jelas membuktikannya.       
         "Ya. Aku nampak kau semalam atas kereta, tak pakai tudung. Kereta kau di tepi jalan waktu itu,"ujar Maria tanpa perasaan bersalah. Buat apa dia rasa bersalah sedangkan dia membicarakan kenyataan? Boleh jadi Maria terlupa, aib Dhiya tidak patut didedahkan sewenang-wenangnya.
       "Aku pakai tudunglah masa keluar semalam,"nafi Dhiya. Dia tidak berbohong. Dia keluar semalam dengan mengenakan tudung.
         "Ala,katalah apa-apa sahaja kau nak kata. Aku nampak. Kalau kau nak tipu, suka hatilah. Allah pun nampak,"selamba Maria menjawab. Langsung tidak mahu menerima sebarang penjelasan.
         "Aku pakai tudung masa keluar semalam. Aku buka tudung selepas mandi sungai. Tudung aku basah, sebab itu aku buka. Kami sekeluarga berhenti di tepi jalan, jadi aku bukalah sekejap tudung aku yang basah itu," ujar Dhiya serba-salah. Baginya dia tidaklah melakukan sesuatu yang jijik. Dia hanya membuka tudung, bukannya berkepit dengan lelaki. Keluarnya pun bertemankan ibu-bapa. Tahulah dia menjaga diri. Lagipun dia baru darjah lima. Keluarganya tidak terlalu menitikberatkan soal agama terhadapnya.
        "Mana boleh buat begitu. Kau di dalam kereta pun, orang masih boleh nampaklah. Aurat kena tutup. Basah ke apa, tudung tetap kena pakai,"terus Maria menyambung kata-katanya. Memandangkan Dhiya sudah mengaku, elok sahaja dia terus bersuara. Shahira di sebelahnya cuma diam, sekali-sekala mengangguk. Baginya, anak kota bernama Dhiya itu memang perlu diajar.

       Dhiya panas baran. Dhiya mempunyai mulut yang berbisa. Dhiya sombong orangnya. Segala yang negatif ada tempiasnya pada Dhiya. Dhiya memang kaya, tetapi miskin budi.
        Di sebalik semua itu, siapa yang peduli tentang hidup Dhiya? Siapakah yang kisah pada air mata yang disorok Dhiya? Siapakah yang kisah fasal kesunyian hidup Dhiya? Siapakah yang peduli kalau Dhiya hanya minta diajar, dididik menjadi dewasa? Dan siapa pula yang sudi menyelami hati Dhiya ...
       Dhiya tidak solat. Itu sebuah hakikat. Dhiya baru bertatih hendak membiasakan diri dengan bertudung. Sejak darjah tiga Dhiya diajar bertudung, tetapi belum mampu istiqamah. Kadangkala Dhiya buka juga tudungnya. Dahulu, Dhiya bersekolah di sebuah sekolah kampung. Dhiya tidak banyak diasuh tentang agama di sekolah itu. Dhiya diajar fasal agama, tetapi jiwanya tidak dididik. Pembangunan mindanya mantap, tetapi spiritualnya lemah. Lebih kasihan, Dhiya baligh seawal usia sepuluh tahun. Sudah perlu menanggung dosa sendiri.
         Ya, Dhiya tidak banyak ambil kisah perihal agama. Semuanya dianggap hal kecil. Baginya, akademik ialah hal paling mustahak. Mendapat nombor satu ialah matlamat.
         Masuk ke sekolah baru di ceruk felda ini, Dhiya mencari perhatian. Dia tidak mahu sendirian. Oleh sebab itu, dia mengada-adakan cerita berkenaan masa lalunya. Kononnya dia gadis teraniaya yang dicari oleh rakan-rakan lama bagi mencari kemaafan. Semuanya supaya kawan-kawan menganggap Dhiya gadis yang sangat baik. Dhiya hanya mencari perhatian! Kehidupannya sebagai anak tunggal terlalu sunyi hinggakan Dhiya melakukan apa-apa sahaja demi sebuah perhatian.
         Maria salah seorang rakan Dhiya yang tertipu. Niat Maria sama ada baik ataupun jahat, hanya Allah yang tahu. Dia sentiasa menegur Dhiya atas segala kesalahan baik yang paling kecil hingga yang paling besar selepas penipuan Dhiya terbongkar. Namun Dhiya tidak tahan dengan mulutnya. Mungkin mesej Maria baik, tetapi cara penyampaiannya silap. Setelah penipuan Dhiya terbongkar, Dhiya banyak meminta maaf dengan rakan sekelas. Adakalanya perangai panas barannya datang juga, tetapi Dhiya banyak mengalah. Kadangkala ada yang mengambil kesempatan atas sikap mengalah Dhiya. Dhiya turutkan nasihat Maria dan rakan-rakan. Kerap kali Dhiya terluka dengan cara Maria mendekatkannya kepada agama, tetapi dia cuba mengikut ajaran itu.

         Tarbiah bukan paksaan. Tarbiah bukan soal memaksa orang, menghalal dan mengharamkan semata-mata. Tarbiah ini soal didikan. Didikan terhadap manusia yang pastinya memerlukan sentuhan terhadap manusia itu sendiri. Biar jiwa manusia itu lembut sehingga dapat menerima syariat halal dan haram dengan baik.
        Benar,didikan mampu dipaksakan. Alah bisa tegal biasa. Tetapi, sukakah kamu kalau sahabat menghadiahkan minyak wangi, tetapi dilempar ke mukamu hingga pecah botolnya dan berdarah pula wajahmu? Adakah mungkin kamu dapat memakai minyak wangi itu dengan wajah yang ceria, atau minyak wangi itu sendiri telah tumpah di jalanan seawal pemberian?
            
          "Kalau mak aku, tentulah mak aku tekankan pembelajaran agama. Bukan setakat subjek UPSR macam yang kau kata,"ujar Maria kepada Dhiya  semasa berbual dengan rakan-rakan sekelas.
            "Yalah, mesti tekankan agama. Takkanlah nanti dalam kubur malaikat hendak soal kita, satu tambah satu dapat berapa, kan?"Sahut Widya. Dia memang seronok kalau dapat mengenakan Dhiya. Baginya, Dhiya sentiasa lebih daripada semua orang dalam bab-bab pelajaran, biarlah Dhiya sedar diri, dia pun ada kekurangan!
        "Bukannya mak aku tak ajar langsung fasal agama, mak aku ajar juga. Memanglah agama ditekankan, tetapi subjek teras pun ada penekanan juga." Dhiya cuba membela diri, namun nampaknya penjelasannya tidak dilayan
.              'Tak apalah. Mereka ini orang-orang yang berilmu dalam agama. Mereka pergi sekolah petang. Aku ini apa yang ada?' Dhiya bermonolog sendiri. Kalau bertingkah bab agama, awal-awal Dhiya tewas. Namun Dhiya tidak kisah. Hanya tinggal sebulan dua lagi waktu Dhiya di sini. Selepas ini Dhiya akan bebas daripada belenggu 'orang kuat agama' di sekolah ini.

                                            *******         
               "Dhiya, sebut lafaz  takbiratul ihram,"arah Ustazah Zakiah. Dhiya terdiam. Pelajar kelas 6A itu tidak kenal, atau mungkin lupa fasal lafaz itu. Dhiya hanya dapat membisu.
               "Nurul? Kelas, tolong sebut lafaz takbiratul ihram. Tolong kawan kita,"arah Ustazah Zakiah. Laju sahaja lafaz 'Allahuakbar' bergema di kelas tersebut. Dhiya terasa malu. Adakah episod di sekolah lama akan berulang?
                  Di sekolah lama ada Maria, di sini ada Athiya. Dhiya diaibkan juga pada awal persekolahannya di tempat baru ini. Dhiya pernah ditohmah, 'Memanglah hang boleh dapat 5A, tetapi Pendidikan Islam? Gagal!' Jujur Dhiya malu. Dia mendapat markah kedua terendah dalam kelasnya untuk subjek tersebut, kerana dia memang tidak menghafal ayat-ayat Al-Quran dalam buku teks. Hukum tajwid pun tunggang-langgang biarpun dia sudah pernah khatam Al-Quran.
                
                Itulah Dhiya. Perkara yang disogokkan ke mindanya di sekolah lama dahulu terasa seperti racun. Namun di sini, setidak-tidaknya Dhiya kenal Hazwani. Dhiya ada Farah. Dhiya ada Nabila. Dhiya berkawan dengan pelajar biasa-biasa. Di kelas itu, mereka adalah antara yang tercorot dalam pelajaran. Dari segi latar belakang keluarga pula, mereka bukan berasal dari keluarga yang hidup mewah. Mereka bukan juga perempuan cantik. Mereka dan Dhiya jauh berbeza.                   Mereka tidak pandai tetapi mereka belajar bersama Dhiya. Mereka tidak kaya tetapi mereka menemani Dhiya. Mereka tidak terlalu tinggi pengetahuan agama tetapi mereka tidak mencaci Dhiya. Merekalah insan mulia yang menerima Dhiya seadanya.
               Bersama mereka, Dhiya mengenali erti kesederhanaan. Kadang-kadang Dhiya bertanya pada diri, mengapa orang yang tinggi pengetahuan agama mencaci dirinya yang serba jahil? Mengapakah dia dididik teman sebaya dengan sindiran? Kalau benarlah orang kuat agama itu orang yang baik, kenapa mereka ini yang lebih cetek ilmu agama yang menerima dia seadanya? Kalau benarlah orang kuat agama itu orang yang hebat, mengapa tidak tunjukkan dia jalan menjadi hebat? Ataukah dunia ini memang ada kasta, yang kuat agama dengan kelompok mereka dan yang lemah sepertinya di kelompok bawahan, menunggu di lurah neraka dan tak ada tangan untuk menarik mereka ke syurga?

              Inikah Islam?
              Dhiya tak mengerti.        

                                               *****
          Masa berlalu pantas. Dhiya lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan berjaya memasuki SMK Sultan Badlishah, salah sebuah sekolah terbaik di daerahnya. Dhiya yang kini berbeza dengan yang dulu.
             Sepanjang cuti sekolah selepas keputusan UPSR diumumkan, Dhiya mula memuhasabah diri. Dia belajar agama secara perlahan. Dhiya cuba istiqamah dengan solat dan jilbabnya. Dhiya belajar mengatasi sikap panas barannya. Dhiya belajar menjadi muslimah.
             Maka di sekolah ini, niat Dhiya cuma satu. Dhiya ingin menjadi lebih baik. Biarlah orang kenal betapa jahilpun Dhiya,dia rela. Asalkan Dhiya tidak terus jahil di akhirat.
             Di sekolah ini, pertama kali Dhiya belajar solat berjemaah dengan betul. Dhiya belajar menjadi makmum yang masbuk, iaitu makmum yang menyertai solat berjemaah ketika imam sudah solat separuh jalan. Sebelum ini Dhiya tidak tahu. Hakikatnya Dhiya tidak pernah pun solat berjemaah di rumah. Mujurlah dalam program orientasi sekolah, para ustaz dan ustazah memberi tunjuk ajar formal, siap dengan demonstrasinya sekali. Bagi Dhiya, hal ini agak luar biasa. Sekolah ini bukan sekolah agama tetapi sekolah sains, namun perihal agama cukup ditekankan.
             Di sekolah ini, setiap pelajar sesi petang diwajibkan solat zuhur dan asar berjemaah. Terdapat pemantauan daripada semua guru. Memang ada pelajar perempuan yang berpura-pura uzur, lantas guru-guru mengambil langkah proaktif dengan menyuruh wakil kelas mencatat kehadiran pelajar dalam solat berjemaah. Dhiya sendiri pernah gagal untuk istiqamah dalam solat berjemaah. Dia pernah sahaja menyertai kawan-kawannya untuk ponteng solat. Walaupun dia kenal erti dosa, tetapi manusia fitrahnya alpa.

           "Dhiya, kau masih cuti lagikah?"Soal Baniah, rakan sepermainan Dhiya di pusat latihan catur daerah. Dhiya terkedu. Dhiya sudah suci dari haid, tetapi belum menyucikan diri dengan mandi hadas.
            "Aku sudah suci, tetapi belum mandi hadas." Dhiya menjawab jujur. Hendak berdalih Dhiya tidak tahu mahu pusing ke mana lagi. Lebih kurang tiga minggu lepas Dhiya bertemu dengan Baniah semasa pertandingan dan Dhiya sedang uzur waktu itu. Dhiya yang temankan Baniah ke surau untuk melaksanakan sujud syukur kerana Baniah sudah berada dalam posisi selamat untuk bergelar juara selepas seri pusingan akhir. Dhiya sendiri berada dalam posisi selamat, iaitu di tempat ketiga untuk melayakkan diri ke peringkat negeri.
         Tidak mungkinlah tidak sampai tiga minggu, Dhiya sudah uzur semula? Agak-agaklah kalau hendak tipu pun,getus Dhiya dalam hatinya.
         "Maknanya sudah tiga minggu kau tak mandi hadas dan kau tak solat?" Baniah bersuara sedikit terkejut. Baniah merupakan pelajar sekolah berasrama penuh. Di asrama, lazimnya pendidikan agama memang ditekankan kerana adanya peranan Badan Dakwah dan Rohani atau singkatannya BADAR. Tidak hairanlah jika dia terkejut dengan kelakuan Dhiya.
           Dhiya hanya mengangguk. Baniah menghela nafas. Dia kemudian menegur perlahan, "Tak baik begitu,tahu tak?" Dhiya akur dengan teguran itu. Cara Baniah bertutur jelas tidak menunjukkan bahawa gadis itu mahu mengaibkan sesiapa. Baniah juga ada menyuruh Dhiya menarik sedikit pakaiannya yang agak ketat dan dan singkat agar melepasi paras pinggul. Dhiya akur. Bukannya dia degil sangat jika ditegur dengan cara baik.
             

           Di pusat latihan ini, Dhiya mengenali kakak-kakak senior yang jauh lebih baik berbanding dirinya. Ada Kak Qirah, Kak Najah, Kak Anis dan Kak Fa'in. MSSK 2009 telah menemukannya dengan ramai insan baik yang mengenalkannya kepada fikrah agama. Dhiya berasa sedikit terkongkong. Kesalahannya sering ditegur. Itu tidak kena dan ini pun tidak kena. Memang teguran mereka benar dan Dhiya akur.
         Namun di sini Dhiya lebih kenal erti hidup beragama. Mujurlah Allah temukan Dhiya dengan rakan-rakan yang baik. Apa-apa sahaja persoalan Dhiya, selalu ada yang sudi menjawabnya. Ironinya, di sini Dhiya tidak pula kelihatan jahil. Rakan-rakan tidak mengaibkannya biarpun mereka sebenarnya terkejut dengan keadaan Dhiya yang amat cetek agama. Dhiya banyak belajar dengan mereka.

                                                         *******

           Dhiya gembira berada di sekolah ini. Kalau Dhiya tidak menjejak SMK Sultan Badlishah, mungkin Dhiya tidak menjejak MSSK 2009. Kehidupan Dhiya banyak berubah di sini. Dhiya sedar, rakan-rakannya sudah cukup baik dengan asas agama sedangkan dia baru bertatih. Adakalanya Dhiya terjatuh dan gagal istiqamah dengan hijrahnya. Namun, Dhiya terlalu bersyukur kerana jalan untuknya berubah sentiasa ditunjukkan.
         Telah banyak dugaan yang Dhiya tempuh untuk berhijrah. Bukan sedikit air mata yang pernah tumpah. Mungkin dia belum cukup baik dan tidak akan pernah cukup baik, namun dia berharap agar Allah memandang usahanya.

          Hari ini, sudah lima tahun sejak Dhiya meninggalkan sekolah feldanya. Dhiya baru sahaja menghantar sahabat baiknya, Mira pulang ke rumah. Kini Dhiya berteleku di ruang tamu rumahnya.
        Segalanya sudah berbeza. Maria sudah banyak berubah. Rakan-rakan lama yang banyak mengajarnya dulu semua sudah berubah. Dhiya mendengar macam-macam khabar tentang mereka.
        'Maria, kenapa kau buat semua ini? Dulu kan kau marah aku kerana berbohong pada kamu semua, kenapa hari ini kau tipu keluarga kau? Dulu kau ajar aku fasal agama, kenapa hari ini kau yang suka bertabarruj? Dulu kau ajar aku fasal aurat kan?' Dhiya kusut mencari jawapan.
           Dulu, di tempat itu Dhiya dimarahi kerana agama. Hari ini, Dhiya seperti menjejak dunia yang berbeza. Dulu, dia menjadi bahan umpatan kerana ceteknya ilmu agama. Kini, kenapa semua yang mereka marahkan dia, mereka sendiri yang buat? Kenapa?
            Dhiya hanya mahu mencari jawapan. Niat Dhiya dahulu seperti tercapai. Dhiya ingin membuktikan dia juga mampu menjadi lebih baik. Dhiya ingin buktikan, orang yang pandai ilmu dunia tak semestinya jahil perihal agama. Niat Dhiya tercapai. Semua orang yang memandang rendah dirinya dulu kini menjadi cermin terhadap kelakuannya dulu, malah lebih dahsyat.
          Hari ini Dhiya antara pelajar yang belum terjebak dengan gejala sosial. Kesucian Dhiya masih terjaga. Setidak-tidaknya Dhiya tidak merempit dengan lelaki. Dhiya masih mengekalkan jilbab dan solat. Inilah gadis yang pernah dihina ramai dulu.
         
           Tapi Dhiya tak gembira!

           Bukan ini dakwah yang kakak-kakak ajar dulu, dakwah bukan perihal siapa lebih baik dan  dendam siapa yang terbalas. Air mata Dhiya terus menitik.  

            Meski tak sempurna caranya, di felda itulah tempat aku mula diasuh,titik awal aku kenal makna sakinah, bisik hati Dhiya sendirian.

                                                                                             ******TAMAT*******

  #Maaf atas kualiti cerpen yang kurang memuaskan. Jujur otak dah karat.
Namun mesejnya jangan putus asa andai dididik dengan cara yang salah.
Kita punya akal untuk menentukan sendiri siapa kita ingin jadi. Iman bukannya harta warisan.
Biarpun yang menegur tak kena gaya, kita pandang pada mesejnya.
Soal kelakuan dia dan niatnya, itu urusan dia dengan Tuhannya. Jangan kita hukum.
Kita kalau hendak mendidik, biarlah berhati-hati. Cara yang silap mungkin menariknya jauh daripada dakwah kita.   Salam Maal Hijrah ^_^  

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Jahil Bukan Tak Boleh Hijrah Kan? :')

Rasa malu,tapi bersyukur.
Selama ni aku pun tak tau yang ada kesilapan dalam solat aku.
Alhamdulillah, akhirnya nampak.
Ada saudara Islam yang tunjukkan.

Memang syukur sebab at least, Allah tunjuk before my last breath.
Masih ada lagi ruang dan peluang nak belajar solat dengan betul.

Betul-betul terasa jahil.
Benda basic yakni tiang agama pun tak betul lagi.

Ok, pesan untuk diri.
Jangan gatal nak menikah awal, nak kapel dengan level agama mcm ni.
Nanti apa benda kau nak ajar anak ?

Kena belajar lagi.

Jahil pun tak bermakna takda peluang nak hijrah dah kan?
Allah sayang itu pasal Allah tunjuk :')

#Nak kena cari husband ustaz dah gamaknya besar nanti, takpun biar yang arif pasal agama.Tak yang jauh ke dalam, arif bab ibadah wajib pun jadilah. Yang pastinya diri sendiri pun kena dalami ilmu. Bukan gedik nak zauj alim, tapi bakal zaujah satu habuk tak nak belajar. Kahwin dengan mufti pun tak guna kalau mcm tu. Buat berat dosa suami ja.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sederhana

Aku temukan dari mereka sesuatu yang bernama kesederhanaan. 
Sesuatu yang Allah ingin tunjuk kepada aku. 

Sederhana itu indah. 
Kecantikan yang tak perlu pada perhiasan.
Kecukupan yang tak perlu pada kemewahan.

Sederhana itu memang menyejukkan mata dan hati, 
Tinggal soalan, berapa ramaikah yang sanggup hidup di dalamnya?

Tak hairan mengapa tak sedikit yang hidupnya dalam mewah, 
jatuh cinta pada anak nelayan yang tak punya apa-apa.
Tak hairan mengapa tak jarang si rambut perang warga metropolitan,
terkejar-kejarkan anak dara kampung berbaju kurung, berkain batik.
Tak hairan mengapa jutawan hartawan juga karyawan,
ada yang memilih pulang ke desa pada usia emasnya. 

Sebab tak semua perkara, 
dapat dibeli dengan harta, 
ditebus dengan perhiasan,
dipajak dengan kecantikan. 

Pada akhir cerita, yang indah itu tak terbeli. 

Sebuah kecukupan yang mententeramkan nurani :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Yang Terbaik Hanya Milik-Nya

"Ke manalah agaknya Iqa pergi? Aku cakap kalau dah lega telefon aku, aku hantarkan dia balik. Degil juga budak ni," Azlan merengus geram. Jemarinya digenggam menjadi penumbuk. Sudahnya dinding bangunan menjadi mangsa. Akhir sekali, tangan sendiri juga yang sakit. 


Azlan berundur masuk ke bangunan apartmen itu. Dia tahu tidak ada guna pun dia cuba mencari Syafiqa dalam gelap malam begitu. Nampak sangat sejak awal Syafiqa enggan menerima bantuannya. Lelaki itu akhirnya masuk ke kawasan balkoni rumah apartmennya itu dan terus duduk di lantai sambil matanya meliar ke persekitaran. Cuma ketenangan saja yang diinginkan sekarang. 


'Gadis kebal'. Nurul Syafiqa. 

********

"Kau kalau nak balik barang dalam beg kau ni, bayarlah dulu duit aku. Ingat senang-senang aku nak tolong kau?"sinis suara Imran menyindir. Tangannya memegang beg kecil milik Azlan. Dia tidak kisah memegangnya tidak terlalu erat. Dia tahu, Azlan bimbang barang dalam beg itu terdedah di hadapan orang ramai. Jika perlu, boleh sahaja itu menjadi senjata untuk melemahkan Azlan.

"Aku dah cakap, sebulan dua ni memang aku tak untung. Aku nak bayar kau dengan apa? Duit makan pun aku tak bawa sebab nak kumpul duit bayar kau,"

"Macam ini punya hal, aku tak dapat nak tolong. Duit tetap duit. Aku tunggu kau dua hari lagi,"ujar Imran lalu berpaling untuk berlalu. Namun dia kaget. Beg di tangannya sudah ditarik dengan selamba. Seketika kemudian, beg itu sudah kembali ke tangan Azlan. 

"Ambil ni. Lain kali jangan mengalah senang sangat,"tegur gadis berpakaian sukan dan bertudung hitam bermanik jernih. Tangannya menghulurkan beg tersebut kepada Azlan. Azlan mencapai beg itu walaupun teragak-agak.

"Aku tak tahu apa harta dalam beg itu, tapi jaga elok-elok."

Kemudian gadis itu terus berlalu tetapi sempat pula ditahan oleh Imran. 

"Hei, biadab! Nama kau siapa?"

Gadis itu berpaling seraya menjawab,

"Nurul Syafiqa."

Sedikit pun tidak nampak gentar. Imran pula yang terkedu. Padanya gaya Syafiqa yang tidak makan saman itu amat mengejutkan.Langsung dia tidak peduli dengan siapa dia bercakap. Kemudian, Syafiqa berlalu dan hilang dari pandangan. 

"Jangan ingat kau boleh lepas, biadab."

*******

"Syafiqa!"laung Azlan. Bukan main susah dia hendak menjejak Syafiqa sebentar tadi. Dia mahu berbual sebentar dengan 'gadis kebal' itu. Syafiqa berpaling. Raut wajahnya sama, tidak beriak. 

"Ada apa?"tanya Syafiqa. 

"Terima kasih atas pertolongan semalam. Ini untuk awak,"hulur Azlan. Jujur dia malu. Ini kali pertama dia memberi hadiah kepada perempuan selain ibu dan adiknya. Namun dia mahu berterimakasih pada Syafiqa.


"Saya tolong awak bukan sebab nak hadiah. Ini bukan hari Valentine dan kalau ya pun saya memang tak minat nak sambut. Boleh saya pergi dulu?"selamba Syafiqa berkata sebelum dia berlalu meninggalkan Azlan. Terpaku Azlan dibuatnya. 


"Benar kata orang. Dia memang gadis kebal,"gumam Azlan. Selalu dia mendengar orang memanggil Syafiqa begitu, tetapi tidak sangkalah pula sikapnya sampai begitu sekali. Memang tahan godaan. Memang melukakan!

Namun, terdetik di hatinya, semudah itukah Imran akan melepaskan orang yang mencabar egonya? Risau mula bertandang. 


********


"Helo, bro." 


Azlan berpaling. Suara itu ... Imran. Dia tidak terperanjat. Lelaki itu selalu ada di mana-mana. Cuma yang diharapkannya, jangan sampai Syafiqa pula dijejaki.


"Aku tak datang nak tuntut hutang hari ni. Aku nak bagi kau tawaran."


Meremang bulu roma Azlan dibuatnya. Sungguh ... dia tidak sedap hati. 


"Tawaran apa?"


"Aku bagi potongan 80% daripada hutang kau berserta bunga, dengan syarat kau bawa Syafiqa ke tempat aku,"senyuman sinis terukir di bibir Imran. Benar telahan Azlan, Imran tidak akan mudah melepaskan Syafiqa. Gadis itu telah merendahkan egonya ke tahap paling bawah dengan tindakannya tempoh hari. Wajah Azlan serta-merta berubah. 


"Maaf,tawaran ditolak. Aku rela bayar kau sedikit-sedikit macam sekarang,"tegas suara Azlan. Dia sendiri tidak percaya dia melawan kata samseng yang bersandar di dinding bangunan itu. Sedangkan boleh jadi pistol pun dibawa Imran. 


Imran ketawa kecil. Bertambah sinis senyumannya. 


"Hebat, hebat. Ok, tawaran aku ditolak. Tidak mengapa. Cuma kau tolong aku, kirim 'salam perkenalan' pada budak itu. Kau tahu apa akibatnya cari fasal dengan budak Hardcore kan?"kata-kata akhir Imran membuat Azlan tersentak.


'Salam perkenalan' bagi definisi Imran ialah, 'Aku sedang buru kamu.'


******


"Syafiqa, ikut saya. Saya ada benda nak cakap,"ujar Azlan kelihatan agak panik. Syafiqa buat tidak endah. 


"Ada apa? Cakap saja di sini. Tempat terbuka,"tegas suara Syafiqa. Pelik juga dia. Tempoh hari beri hadiah, ini apa pula?


"Awak kena ikut saya. Ini soal keselamatan awak,"


"Keselamatan? Awak merepek apa ni?"Syafiqa bertambah bingung dengan perangai Azlan. Sejak bila aku ada upah pengawal peribadi tidak bertauliah ini?


"Awak dengar sini. Imran tengah buru awak fasal awak tolong saya tempoh hari. Tak pernah ada lagi orang berani campur tangan hal samseng tu di kawasan ini. Ego dia dah tercabar dan dia cari awak,"ujar Azlan sedikit panik. Dia sebenarnya mahu bercakap di kawasan sunyi supaya tidak dilihat orang-orang Imran.


"Oh, fasal dia. Tidak mengapalah. Itu bukan alasan untuk saya ikut awak ke sana ke mari,"tepat dan jelas ayat Syafiqa. Jujur Azlan tidak mampu uruskan gadis sebegini. Nama pun 'gadis kebal'.


Syafiqa terus berlalu, tetapi kali ini dia sempat berpaling. 


"Terima kasih atas perhatian awak, tetapi saya rasa saya tidak pernah mengupah pengawal peribadi setakat ini. Harap awak faham. Saya tak selesa diapit lelaki,"jelas. Muktamad. Azlan terdiam, tetapi dia tetap mahu melindungi Syafiqa. Gadis itu sebenarnya tidak kenal kumpulan Hardcore. 


Dan ... kedengaran deruman motosikal. Motosikal itu memecut laju ke arah Syafiqa. Azlan sempat menarik gadis itu ke tepi, dan kedua-duanya tersungkur di bahu jalan. Namun kaki dan tangan Azlan cedera agak teruk berbanding Syafiqa. Pedih menjalar ke semua urat sarafnya. 


Ketika itu, lelaki yang menunggang motosikal itu turun dan terus menarik tangan Syafiqa. Sempat gadis itu menepis. Ternyata bukan calang-calang orang gadis itu. Bunga silatnya mula kelihatan. Sesuatu yang amat janggal, perempuan bertempur dengan lelaki. Zack, lelaki bermotosikal itu, tidak menjangka pertarungan sedemikian akan berlaku. Azlan pula terkedu. Sekarang, siapa yang melindungi siapa?


Kehandalan Syafiqa menepis serangan demi serangan serta membalas balik sepakan Zack, akhirnya memaksa Zack menggunakan ilmu persilatannya. Asalnya sedikit pun dia tidak berniat menggunakan kudrat sepenuhnya, memikirkan yang diburunya itu perempuan. Tetapi jika begini, dia perlu menggunakan persilatan jika tidak mahu ditewaskan. 


Dua pesilat bertembung, tetapi nyata kudrat Syafiqa tidak setara kudrat lelaki berbadan tegap seperti Zack. Kaki dan tangan yang panjang serta susuk tubuh yang tinggi memberi kelebihan kepada Zack. Lama Syafiqa bertahan, tetapi ternyata dia dahulu yang kehausan tenaga, memberi kesempatan kepada Zack untuk melepaskan sepakan tepat di perut gadis itu. Tujuannya cuma satu, melumpuhkan pergerakan Syafiqa. 


Kali ini, Azlan campur tangan melihatkan Syafiqa tumpas. Pertempuran yang agak sengit berlaku. Jujur, Azlan tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk dia melawan Zack. Dia yang selama ini sentiasa lemah. Kekuatan yang datang dari fitrahnya sebagai lelaki, ingin melindungi. Kekuatan yang datang dari amarahnya yang meluap-luap. Ternyata Zack berjaya ditumpaskan. 


Tiada pilihan selain bergegas, Syafiqa yang pengsan dibawa ke apartmen miliknya. Lewat seminit, pasti orang-orang Imran sudah tiba.


******


"Mmm ..." gumam Syafiqa. Seketika kemudian dia mengerang kesakitan. Tendangan di perut itu masih terasa kesakitannya. Hendak bangun berdiri pun rasanya dia memang tidak berdaya. Memorinya yang bagaikan bersepah mula berkumpul kemas untuk dia mengingati peristiwa sebelum itu.


"Awak dah sedar?"soalan spektakular drama Melayu. Nampak jelas kan gadis itu sudah buka mata?


"Ya. Aku di mana? Boleh benarkan aku balik? Kau kurung aku di mana ni?"hilang bahasa 'awak' yang digunakan Syafiqa. Mungkin mindanya belum stabil atau dia panik melihat dirinya berada sebilik dengan lelaki asing. Oh, mungkin bukan bilik. Mereka di ruang tamu. Dia terkulai di sofa sementara Azlan duduk di meja makan. Jarak yang jauh, tetapi tetap tidak menyenangkan. 


"Boleh bangun?"duga Azlan. Dia mahu ketawa sebenarnya. Bukannya dia tidak tahu, Syafiqa itu hendak bangun pun belum mampu. Ada hati hendak pulang pula. 


Syafiqa cuba bangun, tetapi ternyata perutnya amat sakit. Kepala pula masih pening. Kalau berjalan, dia hanya perlu tiga saat untuk rebah dan pengsan semula. Sudahnya dia kekal berbaring, tetapi dengan keras dia bersuara. 


"Beritahu aku kita di mana, dan sebab kau perlu berada serumah dengan aku."


"Kau ada di apartmen aku. Aku terpaksa bawa kau ke sini. Kau pengsan tadi. Aku bukan sengaja nak serumah dengan kau. Aku tengok-tengokkan kau saja dulu. Kalau kau dah sedar sekarang, aku keluar dulu ke apartmen sebelah. Nanti kalau dah lega telefon aku. Aku hantar kau balik. Itu atas meja, aku letak nombor telefon aku, air panas satu termos, dan sup cendawan panas untuk kau hangatkan badan. Ubat tahan sakit pun ada. Aku keluar dulu, nanti kena cekup kahwin percuma pula. Kau nakkah suami macam aku?"seloroh Azlan sebelum meninggalkan Syafiqa sendirian. Syafiqa pula dalam lemah menahan geram. Boleh tidak kalau aku mandikan lelaki ini dengan air panas ataupun sup panas itu? Masalahnya aku tidak larat. 


Selepas Azlan keluar, Syafiqa terlelap seketika. Apabila bangun ,tubuhnya lebih bertenaga. Dia menghirup sup panas yang sudahpun suam serta air panas. Ubat tahan sakit tidak disentuhnya. Dia tahu, banyak mudaratnya memakan ubat tahan sakit. Buah pinggang memang terkesan. Belum lagi dikira kesan sampingan yang lain. 


Dia sudah mampu bangun, lantas diambil barang-barang miliknya dan berlalu keluar. Rasanya dia cam kawasan apartmen ini, tidak jauh dari rumahnya sendiri. 


Azlan? Tidak dihubungi.


******


Azlan berasa aneh. Sudah pukul lapan malam dan tiada khabar daripada Syafiqa? Teruk sangatkah sakit gadis itu? Nyata, apabila ke apartmen dia mendapati Syafiqa sudah tiada.
Apabila turun ke bawah, gadis itu juga sudah tiada. Azlan merengus geram. Syafiqa benar-benar menempah bahaya. 


Mentang-mentanglah kuat, fikirnya. 


Dia benci Syafiqa. Dia marah. Tetapi dia risau. Dia mahu lindung gadis itu. Benar, perasaannya gila. Apakah rasa ini?


*******


"Semalam kenapa balik terus tak beritahu saya, Syafiqa?"tegur Azlan sedikit keras apabila mereka terserempak lagi. 


"Saya sudah sihat waktu itu. Saya boleh balik sendiri."


"Saya patut hantar awak untuk keselamatan awak."


"Azlan, awak sedar tidak yang matlamat tak menghalalkan cara? Cara awak salah. Awak nak jaga saya tapi sebenarnya awak ancam saya dan diri awak. Kenapa tak tinggalkan saya dengan mahram saya? Saya takut Allah murka daripada bahaya makhluk-Nya yang tak mampu bahayakan saya tanpa izin-Nya!"marah Syafiqa. Benar, terasa maruahnya melayang apabila teringatkan keadaan semalam.


"Awak sedar tidak yang awak dalam bahaya? Kalau orang-orang Hardcore dapat awak memang nahaslah awak!"marah Azlan. Seketika kemudian bibirnya diketap. Dia sudah tersalah sebut. 


"Hardcore? Pemiutang samseng itu?"tanya Syafiqa. Matanya merenung tajam wajah Azlan.  Azlan? Menyedari dirinya tertangkap, terpaksa mengiakan. 


"Awak hutang merekakah?"tanya Syafiqa keras. Sekali lagi Azlan terpaksa mengakui. 


"Astaghfirullahalazim. Sekarang awak yang cari penyakit, bukan saya. Berapa awak hutang?"
Nombor lima angka itu Azlan sebutkan walau payah. 


"Awak dengar sini, awak tunggu. Saya pinjamkan awak duit, awak bayar semua sekali termasuk bunga duit hutang itu. Kemudian bayar saya perlahan-lahan. Saya tidak kutip bunga. Tak ada gunanya duit banyak tetapi hidup musnah,"bergetar suara Syafiqa memberi arahan. Cukuplah dulu keluarganya maut kerana hal itu, dan akhirnya dia mewarisi harta ayahnya. Tetapi, duit tanpa nyawa apa gunanya pula?


Melihat Azlan diserbu pelik, Syafiqa menceritakan perihal keluarganya. Jujur dia bersedih.Akhirnya,dengan bantuan Syafiqa, selesai juga hutang Azlan dengan Imran. Dengan paksaan Azlan,akhirnya Syafiqa akur meminta maaf daripada Imran. Jujur gadis itu tidak dapat menahan rasa malu, dan mujurlah Imran hanya berniat mahu memberi pengajaran kepada gadis itu semata-mata. Hakikatnya, Azlan dan Syafiqa tidak mungkin tahu, jauh di sudut hatinya ingin sekali mengenali gadis itu.


"Inilah jadinya bila berhutang tak ikut syariah. Islam dah larang pengambilan riba adalah sebabnya. Duit bunga itu ialah riba tahu tak? Tengok, hutang RM1000 boleh jadi sampai lima angka. Riba itu menindas golongan seperti awak,"


Teguran Syafiqa membuatkan Azlan terdiam. Seketika kemudian, soalan Syafiqa menusuk pendengaran Azlan. 


"Dalam beg itu ada apa sebenarnya?"


Lambat-lambat Azlan menjawab, "Saya jual VCD, yang agak kurang sesuai untuk tontonan umum. Tetapi sumpah, saya jual pada orang bukan Islam sahaja. Saya tak ada pilihan. Saya perlu bayar hutang Imran,"


Syafiqa menggeleng-geleng perlahan. "Sudahlah. Lepas ini jangan lagi ulang,"


Azlan mengangguk akur. Gadis kebal itu benar-benar 'mengajar' subjek kehidupan kepadanya. 


*******


"Syafiqa, boleh saya jaga awak? Saya ingin balas budi ... dan ... saya rasa, saya ..."belum habis ayat Azlan, Syafiqa sudah memotong.


"Tidak. Cukuplah Allah jaga saya. Jika memang saya bahaya, pasti Allah kirimkan tentera-Nya. Dia sebaik-baik pemelihara. Awak jangan risau. Allah yang jaga saya. Allah yang akan letakkan saya di tempat yang sebaiknya. Jalan  takdir saya dalam naungan-Nya,"ujar Syafiqa sebelum berlalu pulang. Kakak sulung Syafiqa sudah tiba untuk mengambil gadis itu. 


Azlan terdiam. Nyata tidak sempat dia menghabiskan ayat di lidah, lantas hatinya saja berbicara.


'Awak ... saya rasa ... saya sudah jatuh hati pada gadis kebal.'


Tetapi benar. Allah sebaik-baik penjaga. Maka jagakanlah dia untuk aku dan jagakanlah imanku,getus hati lelakinya. Perlahan dia akur berlalu dan memilih menghormati pendirian Syafiqa. Banyak lagi tanggungjawabnya selaku Muslim yang belum selesai, bukan sekadar cinta. 


Mungkin dia tampak jahat dengan kerjanya, tetapi apabila seorang Muslim mengorak langkah hijrah kerana-Nya, percayalah langkahnya diiringi restu Allah.


********


"Iqa, itu teman Iqakah?"usik Syahidah, kakak kepada Syafiqa. Syafiqa menjeling kakaknya itu. 


"Tidaklah. Banyak tanggungjawab lain, kak. Mana ada masa lagi untuk bercinta apabila tanggungjawab pada Islam belum selesai. Iqa muda lagi untuk ada teman,"jawab Syafiqa tenang.


Benar.Belum masanya, getus hati Syafiqa. 


"Dia suka Iqa kan?"


Syafiqa mengangguk perlahan. Dia tahu. Dia faham maksud Azlan tadi. Dia mengerti. Sengaja dia memotong percakapan itu. Dia tidak ingin mendengar luahan cinta itu. Dia mahu mendengarnya daripada pecinta yang halal. Sekarang bukan waktunya. 


"Iqa suka dia?"Syahidah menduga. Sebenarnya, hatinya kuat mengatakan soalan itu tidak perlu ditanya. Tidak pernah Syafiqa begitu baik dengan mana-mana lelaki.


Diam. Wallahualam, getus hati Syafiqa. Biar Allah yang jaga hatinya. Pilihan-Nya ... sentiasa terbaik.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tarbiah Hospital #3 : Betapa Kita Sering Terlupa

9 hari, 3 kematian di wad yang ayah saya huni. 
Saya berada di sebalik tirai yang membataskan kami dan pesakit lain. 


Saya dengar tangisan ahli keluarga mereka. 
Saya dengar sendiri bagaimana ahli keluarga mengajarkan pesakit di ambang maut itu kalimah Allah dan syahadah. 
Ada di antara mereka tampak kesal dengan kematian dan keadaan pesakit. 
Berdasarkan pertuturan, dapat saya tebak yang mereka menghadapi masalah dengan pesakit. Mungkin masalah keluarga. 


Benar. Buruk macam mana pun ahli keluarga kita, tak sanggup kita kehilangannya. Naluri kita, fitrah kita sebagai manusia tetap punya kasih sayang. Kita manusia. 


Saya tak dapat mengawal diri dari terfikirkan ayah saya yang ketika itu disahkan tenat oleh doktor yang merawatnya. Saya khuatir. Akankah ayah saya mengalami keadaan itu dalam waktu terdekat? Saya dan ibu tak mampu mengawal perasaan sebenarnya. Tetapi kami senyap. Kami tak mahu menangis depan abah. Kami tak nak abah lemah. 


Hakikatnya, ketika itu terdetik dalam hati saya. 


Seorang pesakit jatuh di rumah, terus diserang strok dan dibawa ke hospital. Sampai di hospital baru sahaja dimasukkan ke hospital sudahpun pergi menghadap Ilahi. Sungguh terlalu pantas masanya. 


Mereka yang sakit ini, sekurang-kurangnya sempat buat persediaan terakhir. Setidak-tidaknya bertaubat dengan hati jika kaki tangan tak berupaya. Mereka rasa kesakitan di tubuh. Mereka dapat kifarah terakhir. Mereka tahu, mungkin hayat mereka sudah tak lama lagi. 


Bagaimana jika saya?


Jika kita yang sihat ini sudah hampir dengan maut, apa kita menyedarinya?
Adakah peluang kita buat taubat terakhir?
Adakah kita bersedia?


Ataukah nyawa dicabut saat kita lalai?


Lihat saja ada penonton mati dipijak dalam perlawanan bola sepak. 


Adakah saat dia ke sana dia sudah lebih tahu dia akan mati di situ?
Sedangkan dia ke sana dalam keadaan sihat sejahtera!


Bukankah selalu kita dengar,yang paling hampir dengan kita ialah maut. Tetapi, berapa kalikah kita muhasabah diri, andai waktu yang tersisa cuma hari ini, apakah sudah cukup bekalan buat ke sana?


Saya teringat pesan guru Biologi saya, Puan Rohana. 
Katanya, semasa beberapa kali dimasukkan ke hospital, setiap hari yang terlintas di benaknya, esok nak mati, adakah cukup amalnya nak bawa jumpa Ilahi? Katanya lagi,cuba bayangkan, kalau esok kamu nak mati, hari ni kamu main? Jadi, janganlah bersenang-lenang di dunia ni.


Jujur, tersentak juga saya dengar tazkirah ringkas guru kesayangan kami ini. 


Sungguh, betapa kita sering terlupa...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tarbiah Hospital #2 : Muslim atau Bukan Muslim?

Sambungan kepada entri pertama 
http://flyingmemories95.blogspot.com/2011/11/tarbiah-hospital-1-cabaran-dan.html

Selalunya, kalau kita nak mendapatkan rawatan, kita lebih suka jumpa doktor Muslim (banyaknya Melayulah) atau bukan Muslim? Jujur. 


Sepanjang saya berada di hospital, saya rasa saya faham kenapa sejak dahulu kualiti kerja Muslim dan bukan Muslim selalu dibanding-bandingkan. Pada hakikatnya, diam-diam keluarga kami pun selalu kagum dengan kualiti kerja doktor-doktor bukan Muslim terutamanya Cina. Saya tak menjatuhkan bangsa mahupun agama sendiri. Saya cuma menzahirkan kekaguman lihat pekerja Cina lazimnya komited dengan kerja mereka. Sangat komited.


Bukan sesuatu yang aneh, kerana dari bangku sekolah lagi sudah nampak komitednya mereka pada pelajaran. Saya sendiri malu kerana saya pelajar yang agak main-main. =="


Saya lihat semakin hari semakin ramai pekerja perubatan di hospital kerajaan ialah bukan Muslim. Memanglah Muslim masih majoriti, tetapi akan datang? Pekerja Muslim kebanyakannya yang agak senior. Ada bukan saya sebut dalam entri lepas, sepatutnya orang Islam yang handle bidang-bidang kritikal macam ini. Sepatutnya doktor Muslim memenuhi pusat perubatan.


Malangnya, anak bangsa kita lebih minat memenuhkan Pusat Serenti dan Rumah Penyayang daripada memenuhkan sektor pekerjaan. 


Bahkan ada sekali saya malu sendiri, apabila ada doktor Islam yang pakaiannya tidak sesopan pakaian doktor bukan Islam. Apakah itu? Kita ada kewajipan untuk menutup aurat.


Jururawat bukan Islam yang saya temui rata-ratanya lebih sabar berbanding Islam. Itu apa? Sabar itu sebahagian daripada iman kita.


Mana peranan iman kita?


Saya tidak menafikan bahawa ramai juga pekerja Muslim yang sabar. Saya tidak kata bahawa pekerja Muslim semuanya berdarah panas. Sama sekali saya tidak maksudkan demikian. Cuma saya terkilan apabila ada dalam kalangan pesakit yang lebih suka layanan orang bukan Islam. Bukan salah mereka. 


Ini yang terjadi apabila iman kita tak lagi membina akhlak.


Dan ini yang terjadi apabila orang bukan Islam mengamalkan nilai Islam yang kita sendiri lalai daripadanya.


Qudwah hasanah, itu peranan kita semua untuk menunjukkan contoh yang baik. Supaya tak ada yang tersalah anggap tentang Islam.


Jika umat Islam dah luntur kepercayaan pada umat Islam sendiri, bagaimana untuk bukan Islam mempercayai kita?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Alhamdulillah ! :)

Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan sekarang. 
Alhamdulillah. All praises to Allah. 
Macam mana aku tak bersyukur?
Allah Maha Penyayang. 


Abah dah keluar wad. 


Demi Allah, ini memang suatu keajaiban bagi kami sekeluarga. 
It's a total miracle. 
Taktahu macamana nak gambarkan perasaan sekarang. 
Aku amat terkejut. 


Bayangkan macamana hati seorang anak dan ibu apabila disuruh doktor untuk menandatangani borang pengesahan mengatakan doktor telah maklumkan kepada waris bahawa ayah dalam keadaan tenat? 


"Sekarang puan nak macam mana? ICU tak boleh masuk sebab organ dalaman pak cik memang banyak dah tak berfungsi dengan elok, tak sesuai untuk guna support machine.Puan nak bawa balik atau terus kekalkan di hospital? Apa-apapun saya nasihatkan panggil adik beradik dia baliklah tengok dia."


Nak gugur jantung aku masa tu. Beberapa kali aku nampak mama nangis. Aku pun.


Waktu tu sumpah aku rasa diri aku amat tak berguna kerana aku tak dapat baca Yaasin kerana uzur. Mak pun sama. Jujur aku katakan aku memang panik sangat masa tu. Dalam keadaan tu, aku dah tak fikir apa-apa melainkan nak abah dapat bacaan Yaasin walaupun dari jauh. 


Aku tak tau macamana nak balas budi member2 yang tolong bacakan Surah Yaasin untuk abah masa tu.


Serius, dalam panik dan sedih aku maklumkan pada rakan-rakan rapat fasal keadaan abah. Masa tu alhamdulillah, ramai juga yang sanggup bacakan Yaasin untuk abah walaupun dari jauh. Adalah dalam 5,6 orang member yang bantu. Syukur alhamdulillah. 


Aku jadi terharu sangat bila ada rakan-rakan yang datang melawat abah. Beri sokongan pada aku. Shahirah. Najwa. Aisyah. Sokongan moral mereka masa tu aku tak tahu nak bayar dengan apa. Aku kesian bila ada antara mereka yang mengaku nak datang sangat kat wad tapi tak boleh sebab kekangan tertentu dan kata mereka rasa bersalah.


Geng bahas, tak tergambar rasa terima kasih atas keprihatinan kalian.
Hampir semua mesej beri sokongan. 
Kak Iman sampai marah sebab aku bagitau lambat. 
Yalah, masuk wad Selasa malam Rabu, rasanya Sabtu baru aku bagitau dia. -.-


Sorry. My bad. Sebenarnya aku takut kalau aku susahkan mereka. 
Yalah, setengah nak SPM, setengah nak balik kampus. 
Patut ke aku nak mengacau mereka pasal hal aku? 
(Sah Kak Iman sekeh aku nanti. Dia paling tak suka aku buat ayat camni.)


Kak Anis dalam sakit-sakit pun sempat lagi teman aku. 
Kak Iman nak SPM pun sempat bergayut dengan aku layan aku nangis.


Tapi dua-dua pun kesal tak dapat datang.
Member-member lain pun ada yang cakap macam tu, nak datang tapi takleh.
Mintak maaf.


Kenapa korang nak rasa bersalah padahal korang bantu aku sangat-sangat?


Aku sayang sahabat-sahabat aku. 


#Tapi kan, banyak sangat hikmah dan pengalaman aku dapat sepanjang 9 hari berada di wad 8 Hospital Kulim. Insya-Allah aku akan kongsi di blog ini. Tajuk dah fikir, Tarbiah Hospital. Ada kot dalam 3,4 entri. Serius macam-macam aku belajar. Alhamdulillah :)



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sawang ... Cuci Jangan Tak Cuci!

Sawang sudah sama tinggi dengan tuan blog baru ingat hendak cuci.
Inilah saya. Buruk perangai ini.Maaf,maaf,maaf!

Saya sudah lama tinggal blog ini. Asal ingat nak biarkan mati saja atas sebab tertentu. Maaf, itu adalah akibat apabila yang kawal kita bukan lagi akal tapi emosi. Astaghfirullahal'azim.

Jujur saya katakan saya rindu blog. Rindu berukhuwah. Rindu berhalaqah. Semuanya cuma di internet tetapi saya dah gembira. Banyak yang saya belajar dari semua ini. Alhamdulillah. 


"Jangan mengasingkan diri daripada sahabat-sahabat yang soleh"


Itu pengajaran paling utama saya dapat dari semua yang terjadi. 


Kepada dia, saya akan tetap teruskan blog ini dan maaf atas semua yang berlaku. Satu sudut dalam diri saya tetap tak berubah. Cuma jalannya harus berbeza. Maaf catatan di sini pernah mengganggu ketenangan hidupnya.Tapi hidup saya juga perlu memikirkan orang lain. Sahabat yang selalu bertanya, 'macam mana dengan blog?', tak sampai hati saya nak delete blog apabila dengar semua tu. 


Benar, bila ada ukhuwah pertimbangan jadi lebih wajar :)


Kalau mereka tak nasihat, rasa-rasanya blog ini dah berkubur. 
Kalau mereka tak nasihat, rasa-rasanya saya lebih sunyi sekarang.


Alhamdulillah, lama saya tak update tapi follower ada juga bertambah. 
Mungkin cuma satu atau dua tapi padanlah dengan kerja yang saya buat pun.


Apa-apapun tiadalah daya sebarang pertolongan melainkan daripada-Nya. 
Alhamdulillah. All praises to Allah. 



DIA tuhan yang Maha Esa

DIA yang sangat halus pengertian-Nya. 
DIA yang sangat seni didikan-Nya
Allah~:)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nak Pelangi? Terimalah Hujan :)

Selepas hujan, datang pelangi. Di situ terlihatnya pengajaran. :)
Kesedihan itu didatangkan sebagai ujian dan disusuli cahaya pelangi yang indah berwarna-warni. Sangat menarik.

Kehidupan kita pun, tak sentiasa cerah. Tangga ke arah kebahagiaan dan kejayaan juga air mata. Macam hujan yang membawa kepada pelangi. Subhanallah. Cantik ketetapan-Nya.

Hakikatnya, nak berjaya kena ada sakit. Nak bahagia kena ada sedih. Mungkin sekali, mungkin berkali-kali. Tapi, kadangkala kita ni kena belajar sakit dan sedih, baru pandai nak belajar hargai kebahagiaan dan kejayaan. Kalau sentiasa berjaya, tak pernah gagal ... kadang-kadang kurang sikit manisnya.

*Perhatian. Bukan nak ajak semua orang gagal dulu baru berjaya ya! -.-

Hendak berjaya? Korban sedikit dulu masa dan usaha.
Hendak bahagia? Harung dulu sedih dan sakit.

Insya-Allah, di hujung kesulitan ada kemudahan.

Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan (Al Insyirah:5,6)

Dua kali diulang dalam Al-Quran, maka adakah lagi kesangsian? Subhanallah. Allah ingin tenangkan pembaca Al-Quran dengan kalam-Nya.

Jangan pernah takut memburu kejayaan kerana takutkan kegagalan.
Jangan pernah takut memburu kebahagiaan kerana takutkan kesedihan.
Sebab gagal, sakit dan sedih umpama hujan,

Dan bahagia umpama pelangi~

Nak pelangi ? Terimalah hujan :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Belajarlah Memberi Peluang :)

Assalamualaikum~

Baru-baru ini saya selalu sangat lihat dan dengar macam-macam cerita daripada kawan-kawan. Dan dari pengalaman sendiri pun ada juga belajar. Berdasarkan semua yang saya alami dan kawan saya cerita, saya cuma letakkan pendapat di sini sebab saya tak pandai nak sampaikan sendiri. Low communication skill.

Belajar memberi peluang :)

Hari-hari kita jumpa macam-macam jenis orang dan ada tanggapan macam-macam pada orang. Kita ada kenalan daripada pelbagai karakter. Dan tipulah kalau kita tak pernah langsung terlintas rasa tak suka dengan sesiapa. Pasti pernah juga terdetik rasa tak suka, terutama dalam kalangan kawan dan kenalan yang kita tak berapa rapat.

People can be different from what we see,
cause what we see is actually what they want us to see on them~

Setiap orang tu ada kelemahan, dan ada sifat yang bezakan dia dengan orang lain. Memanglah banyak juga orang yang tipikal. Kita tengok A dan B, kita boleh cop terus mereka golongan apa. Tapi mereka juga ada perbezaan satu sama lain.

Pernah tak kita terfikir ...
kalau sebenarnya mereka yang kita nampak jahat tu sebenarnya baik?
Tapi mereka yang tak suka nampak baik?
Atau mungkin mereka tak pandai nak tunjukkan kebaikan mereka dalam kata-kata?
Atau mungkin mereka nampak sombong ke apa sebab mereka cuma tak suka diganggu?
Kalau semua yang kita fikir tu hanya sangka buruk?


Memang, bila kita berkawan, benda yang lebih kita kenal dan ingat ialah benda buruk. Semua orang pun ada sifat macam tu. Nobody's perfect. Jadi memang ada sifat buruk yang kita tak senang pada seseorang tak kira baik macam mana pun orang tu. Cuma bezanya, ada sifat buruk yang orang boleh terima dan ada yang tak boleh.

Tapi, jika kita belajar beri peluang, insya-Allah keadaan bertambah baik. Contohnya, kita mungkin tak suka sikap buruk seseorang tu, tapi kita boleh cuba beri peluang.

*Satu peluang pada diri dia untuk menyerlahkan sikap baiknya yang ada, mungkin tersimpan.
*Satu peluang pada diri kita untuk membuka hati terima baik buruknya.

Tambahan bagi yang remaja, kita masih dalam proses nak bina karakter diri, kuatkan kematangan diri. Jadi kadangkala perangai buruk itu sebenarnya timbul ketika kematangan diri kita belum kukuh.

Pada diri setiap orang itu ada kebaikan dan keburukan. Siapa tahu, orang yang kita rasa ganas dan kasar serta tak tahu menjaga hati orang lain itu juga, pada sisi baiknya ialah seorang yang jujur dan tak suka tikam belakang? Do not be judgemental.

Carilah satu sisi baik pada kawan yang kita tak suka, supaya perlahan kita dapat terima hakikat dia kawan kita. Mungkin lama masanya untuk kita mendalami semua itu, tapi insya-Allah tidak mustahil. Kemudian, perlahan kita luruskan mana yang bengkok pada sahabat kita. :)

Daripada menutup hati terus untuk tidak suka dan benci kepada seseorang, ada baiknya perlahan kita belajar menyesuaikan diri, belajar menerima sahabat seadanya. Siapa tahu, yang kita benci dapat jadi kawan baik setelah kita terima kelemahannya?

Meminggirkan yang salah, bukan penyelesaian.
Mengungkit kelemahan, sekadar menambahkan beban.
Menyakiti, hanya menyalakan perbalahan.

Insya-Allah, jika ada memberi dan menerima, ukhuwah mampu terbina walaupun antara dua kenalan yang saling membenci atau mungkin tak pernah saling berbicara~ :)

*Sahabat yang baik tak akan selalu mengiyakan,
tapi dia akan menidakkan perbuatan kita saat kita ternyata salah.
*Sahabat yang baik tak akan selalu memapah,
tapi dia akan mengajar kita bangun bila kita jatuh.
*Sahabat yang baik tak akan selalu mengikuti,
tapi dia akan tarik kita ke jalan yang betul waktu kita sesat.
*Sahabat yang baik tak akan sentiasa buat kita tertawa,
tapi dia akan buat kita menangis ketika kita layak menangis.
*Dan Sahabat yang baik tak akan sentiasa seiring,
tapi dia akan sentiasa cuba membawa kita ke jalan terbaik :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Yakinkah?

Ya Allah,
bila aku mencintainya,
dapatkah aku menanggung sebuah amanah,
dapatkah aku mendepani soalan-Mu di sana?

Apakah aku telah menjaga imanku dan imannya?
Apakah aku mendekatkannya kepada redha-Mu?
Apakah aku sempat menariknya pergi dari jurang neraka?

Sedangkan ...
Soalan untuk diriku saja belum mampu kulepasi

Ya Allah,
bila aku mencintainya,
dapatkah aku meyakini Engkau pertama dia kemudian?
dapatkah aku meyakini aku tak melekakannya?
dapatkah aku meyakini dia juga tak tersasar?

Sedangkan ...
Dalam sendiri pun aku tak daya menongkah dunia

Ya Allah,
bila aku mencintainya,
dapatkah aku menyenangkan hatinya menyejuk matanya?
dapatkah aku meredakan resahnya?
dapatkah aku ingatkannya kepada-Mu bila saja dia tak terdaya?

Sedangkan ...
Mencintaiku saja sudah mampu membawa resah pada dirinya

Ya Allah,
bila aku mencintainya,
mampukah aku pasakkan iman di tengah kami?
mampukah aku bertahan tak tergugah bila syaitan membisik?

Sedangkan ...
Boleh jadi cinta ini satu bisikan nafsu dan syaitan

Ya Allah,
bila aku mencintainya,
yakinkah aku dia takkan mengecewakanku?
yakinkah aku dia takkan merobek aku?
yakinkah aku semua ini membahagiakan?

Sedangkan ...
Hati manusia Engkau yang pegang

Ya Allah,
bila hati terasa ingin meluahkan
padahal sedar kesediaan tak berada di pihakku
serasa ini cinta yang dicari
serasa dia pembimbing sampai bertemu dengan-Mu
segalanya bagaikan satu harapan...

Sedangkan,
andai syariat dibelakangkan,
maka,
yakinkah?


*Peringatan buat hati-hati yang ingin mengerti :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Islam Bukan Lemah

Di sekolah-sekolah yang mantap akademik dan berbilang bangsa, sama ada sedar ataupun tidak, kedudukan yang atas-atas selalunya dimonopoli golongan bukan Islam. Contohnya, sepuluh terbaik, dan empat daripadanya bukan Islam. Memanglah enam Islam, tetapi jika diingat kembali, berapa ramai sebenarnya pelajar Islam keseluruhannya berbanding bukan Islam yang jelas minoriti?

"Budak bukan Islam ini semua pandai-pandai. Mereka semua pandai, mananya kedudukan kita tak bawah sekali?"adakah pernah keluhan ini wujud ketika kita melihat keputusan peperiksaan dan bandingkan dengan bukan Islam?

Ini jawabnya.

"Macam mana mereka tak pandai, kalau dah hari-hari kita cakap mereka pandai? Doakan mereka setiap masa."

Bunyi macam janggal, tetapi memang selalu kita katakan begitu. Jangan lupa kata itu doa. Cuba kita yakin sedikit dan cakap pula,

"Mereka memang pandai, tetapi aku yakin kita yang Islam ni boleh lebih pandai dengan ikhtiar dan doa, kerana kita ada Allah!"

Lagi satu, kalau kita tengok, sebenarnya mereka yang pandai ini ikhtiar berkali-kali ganda sebenarnya. Saya sendiri menyaksikannya. Bukan saya hendak rendahkan sesiapa, tetapi masalah disiplin lebih banyak dimonopoli oleh pelajar Islam sebenarnya. Bahkan kadang-kadang saya sendiri malu apabila bacaan doa di perhimpunan tidak diendahkan pelajar Islam sendiri, sedangkan ada pelajar bukan Islam yang diam semasa doa dibacakan! Sehinggakan cikgu marah, dan sudahnya? Cikgu pula dikutuk. Mana sensitiviti kita umat Islam? =.=

"Alah, pelajar bukan Islam tu pandai-pandai belaka. Tak terlawanlah kita. Mereka tu rajin, banyak sangat masa nak buat itu ini."

Ini jawabnya.

"Allah beri kita semua 24 jam sehari. Kalau kita belajar, kita mampu. Insya-Allah. Hakikatnya, dahulu tanpa kemudahan lengkap pun, berapa ramai tokoh ilmuan Islam dilahirkan? Malah, kita sebenarnya ada doa, senjata orang mukmin."

Secara jujurnya, jika ditanyakan kepada saya apa yang kurang pada kita, saya hanya ada satu jawapan.

"Kita sepatutnya kuat kerana berkat, tetapi ke mana berkat kita sehari-hari? Mana berkatnya ilmu kita? Hilang berkat, tempang kita dibuatnya. Hilang berkat, terhijab rezeki kita."

Saya sendiri juga sama. Saya pun banyak khilaf. Semua ini ditulis bukan setakat untuk yang membaca tetapi untuk yang menulis ini juga. Saya mengaku keputusan peperiksaan saya pun lebih teruk dari pelajar bukan Islam, bahkan saya yang selalu minta mereka ajar saya. Saya tidak anti mereka. Saya hanya merenungkan khilaf saya sendiri selaku salah seorang umat Islam.

Dulu, umat Islam itu kuat biarpun dagang. Kini, umat Islam bagai buih di lautan, tidak lagi menggentarkan.

Mana silapnya? Renung-renungkan.
Wassalam. :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS