Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Yang Terbaik Hanya Milik-Nya

"Ke manalah agaknya Iqa pergi? Aku cakap kalau dah lega telefon aku, aku hantarkan dia balik. Degil juga budak ni," Azlan merengus geram. Jemarinya digenggam menjadi penumbuk. Sudahnya dinding bangunan menjadi mangsa. Akhir sekali, tangan sendiri juga yang sakit. 


Azlan berundur masuk ke bangunan apartmen itu. Dia tahu tidak ada guna pun dia cuba mencari Syafiqa dalam gelap malam begitu. Nampak sangat sejak awal Syafiqa enggan menerima bantuannya. Lelaki itu akhirnya masuk ke kawasan balkoni rumah apartmennya itu dan terus duduk di lantai sambil matanya meliar ke persekitaran. Cuma ketenangan saja yang diinginkan sekarang. 


'Gadis kebal'. Nurul Syafiqa. 

********

"Kau kalau nak balik barang dalam beg kau ni, bayarlah dulu duit aku. Ingat senang-senang aku nak tolong kau?"sinis suara Imran menyindir. Tangannya memegang beg kecil milik Azlan. Dia tidak kisah memegangnya tidak terlalu erat. Dia tahu, Azlan bimbang barang dalam beg itu terdedah di hadapan orang ramai. Jika perlu, boleh sahaja itu menjadi senjata untuk melemahkan Azlan.

"Aku dah cakap, sebulan dua ni memang aku tak untung. Aku nak bayar kau dengan apa? Duit makan pun aku tak bawa sebab nak kumpul duit bayar kau,"

"Macam ini punya hal, aku tak dapat nak tolong. Duit tetap duit. Aku tunggu kau dua hari lagi,"ujar Imran lalu berpaling untuk berlalu. Namun dia kaget. Beg di tangannya sudah ditarik dengan selamba. Seketika kemudian, beg itu sudah kembali ke tangan Azlan. 

"Ambil ni. Lain kali jangan mengalah senang sangat,"tegur gadis berpakaian sukan dan bertudung hitam bermanik jernih. Tangannya menghulurkan beg tersebut kepada Azlan. Azlan mencapai beg itu walaupun teragak-agak.

"Aku tak tahu apa harta dalam beg itu, tapi jaga elok-elok."

Kemudian gadis itu terus berlalu tetapi sempat pula ditahan oleh Imran. 

"Hei, biadab! Nama kau siapa?"

Gadis itu berpaling seraya menjawab,

"Nurul Syafiqa."

Sedikit pun tidak nampak gentar. Imran pula yang terkedu. Padanya gaya Syafiqa yang tidak makan saman itu amat mengejutkan.Langsung dia tidak peduli dengan siapa dia bercakap. Kemudian, Syafiqa berlalu dan hilang dari pandangan. 

"Jangan ingat kau boleh lepas, biadab."

*******

"Syafiqa!"laung Azlan. Bukan main susah dia hendak menjejak Syafiqa sebentar tadi. Dia mahu berbual sebentar dengan 'gadis kebal' itu. Syafiqa berpaling. Raut wajahnya sama, tidak beriak. 

"Ada apa?"tanya Syafiqa. 

"Terima kasih atas pertolongan semalam. Ini untuk awak,"hulur Azlan. Jujur dia malu. Ini kali pertama dia memberi hadiah kepada perempuan selain ibu dan adiknya. Namun dia mahu berterimakasih pada Syafiqa.


"Saya tolong awak bukan sebab nak hadiah. Ini bukan hari Valentine dan kalau ya pun saya memang tak minat nak sambut. Boleh saya pergi dulu?"selamba Syafiqa berkata sebelum dia berlalu meninggalkan Azlan. Terpaku Azlan dibuatnya. 


"Benar kata orang. Dia memang gadis kebal,"gumam Azlan. Selalu dia mendengar orang memanggil Syafiqa begitu, tetapi tidak sangkalah pula sikapnya sampai begitu sekali. Memang tahan godaan. Memang melukakan!

Namun, terdetik di hatinya, semudah itukah Imran akan melepaskan orang yang mencabar egonya? Risau mula bertandang. 


********


"Helo, bro." 


Azlan berpaling. Suara itu ... Imran. Dia tidak terperanjat. Lelaki itu selalu ada di mana-mana. Cuma yang diharapkannya, jangan sampai Syafiqa pula dijejaki.


"Aku tak datang nak tuntut hutang hari ni. Aku nak bagi kau tawaran."


Meremang bulu roma Azlan dibuatnya. Sungguh ... dia tidak sedap hati. 


"Tawaran apa?"


"Aku bagi potongan 80% daripada hutang kau berserta bunga, dengan syarat kau bawa Syafiqa ke tempat aku,"senyuman sinis terukir di bibir Imran. Benar telahan Azlan, Imran tidak akan mudah melepaskan Syafiqa. Gadis itu telah merendahkan egonya ke tahap paling bawah dengan tindakannya tempoh hari. Wajah Azlan serta-merta berubah. 


"Maaf,tawaran ditolak. Aku rela bayar kau sedikit-sedikit macam sekarang,"tegas suara Azlan. Dia sendiri tidak percaya dia melawan kata samseng yang bersandar di dinding bangunan itu. Sedangkan boleh jadi pistol pun dibawa Imran. 


Imran ketawa kecil. Bertambah sinis senyumannya. 


"Hebat, hebat. Ok, tawaran aku ditolak. Tidak mengapa. Cuma kau tolong aku, kirim 'salam perkenalan' pada budak itu. Kau tahu apa akibatnya cari fasal dengan budak Hardcore kan?"kata-kata akhir Imran membuat Azlan tersentak.


'Salam perkenalan' bagi definisi Imran ialah, 'Aku sedang buru kamu.'


******


"Syafiqa, ikut saya. Saya ada benda nak cakap,"ujar Azlan kelihatan agak panik. Syafiqa buat tidak endah. 


"Ada apa? Cakap saja di sini. Tempat terbuka,"tegas suara Syafiqa. Pelik juga dia. Tempoh hari beri hadiah, ini apa pula?


"Awak kena ikut saya. Ini soal keselamatan awak,"


"Keselamatan? Awak merepek apa ni?"Syafiqa bertambah bingung dengan perangai Azlan. Sejak bila aku ada upah pengawal peribadi tidak bertauliah ini?


"Awak dengar sini. Imran tengah buru awak fasal awak tolong saya tempoh hari. Tak pernah ada lagi orang berani campur tangan hal samseng tu di kawasan ini. Ego dia dah tercabar dan dia cari awak,"ujar Azlan sedikit panik. Dia sebenarnya mahu bercakap di kawasan sunyi supaya tidak dilihat orang-orang Imran.


"Oh, fasal dia. Tidak mengapalah. Itu bukan alasan untuk saya ikut awak ke sana ke mari,"tepat dan jelas ayat Syafiqa. Jujur Azlan tidak mampu uruskan gadis sebegini. Nama pun 'gadis kebal'.


Syafiqa terus berlalu, tetapi kali ini dia sempat berpaling. 


"Terima kasih atas perhatian awak, tetapi saya rasa saya tidak pernah mengupah pengawal peribadi setakat ini. Harap awak faham. Saya tak selesa diapit lelaki,"jelas. Muktamad. Azlan terdiam, tetapi dia tetap mahu melindungi Syafiqa. Gadis itu sebenarnya tidak kenal kumpulan Hardcore. 


Dan ... kedengaran deruman motosikal. Motosikal itu memecut laju ke arah Syafiqa. Azlan sempat menarik gadis itu ke tepi, dan kedua-duanya tersungkur di bahu jalan. Namun kaki dan tangan Azlan cedera agak teruk berbanding Syafiqa. Pedih menjalar ke semua urat sarafnya. 


Ketika itu, lelaki yang menunggang motosikal itu turun dan terus menarik tangan Syafiqa. Sempat gadis itu menepis. Ternyata bukan calang-calang orang gadis itu. Bunga silatnya mula kelihatan. Sesuatu yang amat janggal, perempuan bertempur dengan lelaki. Zack, lelaki bermotosikal itu, tidak menjangka pertarungan sedemikian akan berlaku. Azlan pula terkedu. Sekarang, siapa yang melindungi siapa?


Kehandalan Syafiqa menepis serangan demi serangan serta membalas balik sepakan Zack, akhirnya memaksa Zack menggunakan ilmu persilatannya. Asalnya sedikit pun dia tidak berniat menggunakan kudrat sepenuhnya, memikirkan yang diburunya itu perempuan. Tetapi jika begini, dia perlu menggunakan persilatan jika tidak mahu ditewaskan. 


Dua pesilat bertembung, tetapi nyata kudrat Syafiqa tidak setara kudrat lelaki berbadan tegap seperti Zack. Kaki dan tangan yang panjang serta susuk tubuh yang tinggi memberi kelebihan kepada Zack. Lama Syafiqa bertahan, tetapi ternyata dia dahulu yang kehausan tenaga, memberi kesempatan kepada Zack untuk melepaskan sepakan tepat di perut gadis itu. Tujuannya cuma satu, melumpuhkan pergerakan Syafiqa. 


Kali ini, Azlan campur tangan melihatkan Syafiqa tumpas. Pertempuran yang agak sengit berlaku. Jujur, Azlan tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk dia melawan Zack. Dia yang selama ini sentiasa lemah. Kekuatan yang datang dari fitrahnya sebagai lelaki, ingin melindungi. Kekuatan yang datang dari amarahnya yang meluap-luap. Ternyata Zack berjaya ditumpaskan. 


Tiada pilihan selain bergegas, Syafiqa yang pengsan dibawa ke apartmen miliknya. Lewat seminit, pasti orang-orang Imran sudah tiba.


******


"Mmm ..." gumam Syafiqa. Seketika kemudian dia mengerang kesakitan. Tendangan di perut itu masih terasa kesakitannya. Hendak bangun berdiri pun rasanya dia memang tidak berdaya. Memorinya yang bagaikan bersepah mula berkumpul kemas untuk dia mengingati peristiwa sebelum itu.


"Awak dah sedar?"soalan spektakular drama Melayu. Nampak jelas kan gadis itu sudah buka mata?


"Ya. Aku di mana? Boleh benarkan aku balik? Kau kurung aku di mana ni?"hilang bahasa 'awak' yang digunakan Syafiqa. Mungkin mindanya belum stabil atau dia panik melihat dirinya berada sebilik dengan lelaki asing. Oh, mungkin bukan bilik. Mereka di ruang tamu. Dia terkulai di sofa sementara Azlan duduk di meja makan. Jarak yang jauh, tetapi tetap tidak menyenangkan. 


"Boleh bangun?"duga Azlan. Dia mahu ketawa sebenarnya. Bukannya dia tidak tahu, Syafiqa itu hendak bangun pun belum mampu. Ada hati hendak pulang pula. 


Syafiqa cuba bangun, tetapi ternyata perutnya amat sakit. Kepala pula masih pening. Kalau berjalan, dia hanya perlu tiga saat untuk rebah dan pengsan semula. Sudahnya dia kekal berbaring, tetapi dengan keras dia bersuara. 


"Beritahu aku kita di mana, dan sebab kau perlu berada serumah dengan aku."


"Kau ada di apartmen aku. Aku terpaksa bawa kau ke sini. Kau pengsan tadi. Aku bukan sengaja nak serumah dengan kau. Aku tengok-tengokkan kau saja dulu. Kalau kau dah sedar sekarang, aku keluar dulu ke apartmen sebelah. Nanti kalau dah lega telefon aku. Aku hantar kau balik. Itu atas meja, aku letak nombor telefon aku, air panas satu termos, dan sup cendawan panas untuk kau hangatkan badan. Ubat tahan sakit pun ada. Aku keluar dulu, nanti kena cekup kahwin percuma pula. Kau nakkah suami macam aku?"seloroh Azlan sebelum meninggalkan Syafiqa sendirian. Syafiqa pula dalam lemah menahan geram. Boleh tidak kalau aku mandikan lelaki ini dengan air panas ataupun sup panas itu? Masalahnya aku tidak larat. 


Selepas Azlan keluar, Syafiqa terlelap seketika. Apabila bangun ,tubuhnya lebih bertenaga. Dia menghirup sup panas yang sudahpun suam serta air panas. Ubat tahan sakit tidak disentuhnya. Dia tahu, banyak mudaratnya memakan ubat tahan sakit. Buah pinggang memang terkesan. Belum lagi dikira kesan sampingan yang lain. 


Dia sudah mampu bangun, lantas diambil barang-barang miliknya dan berlalu keluar. Rasanya dia cam kawasan apartmen ini, tidak jauh dari rumahnya sendiri. 


Azlan? Tidak dihubungi.


******


Azlan berasa aneh. Sudah pukul lapan malam dan tiada khabar daripada Syafiqa? Teruk sangatkah sakit gadis itu? Nyata, apabila ke apartmen dia mendapati Syafiqa sudah tiada.
Apabila turun ke bawah, gadis itu juga sudah tiada. Azlan merengus geram. Syafiqa benar-benar menempah bahaya. 


Mentang-mentanglah kuat, fikirnya. 


Dia benci Syafiqa. Dia marah. Tetapi dia risau. Dia mahu lindung gadis itu. Benar, perasaannya gila. Apakah rasa ini?


*******


"Semalam kenapa balik terus tak beritahu saya, Syafiqa?"tegur Azlan sedikit keras apabila mereka terserempak lagi. 


"Saya sudah sihat waktu itu. Saya boleh balik sendiri."


"Saya patut hantar awak untuk keselamatan awak."


"Azlan, awak sedar tidak yang matlamat tak menghalalkan cara? Cara awak salah. Awak nak jaga saya tapi sebenarnya awak ancam saya dan diri awak. Kenapa tak tinggalkan saya dengan mahram saya? Saya takut Allah murka daripada bahaya makhluk-Nya yang tak mampu bahayakan saya tanpa izin-Nya!"marah Syafiqa. Benar, terasa maruahnya melayang apabila teringatkan keadaan semalam.


"Awak sedar tidak yang awak dalam bahaya? Kalau orang-orang Hardcore dapat awak memang nahaslah awak!"marah Azlan. Seketika kemudian bibirnya diketap. Dia sudah tersalah sebut. 


"Hardcore? Pemiutang samseng itu?"tanya Syafiqa. Matanya merenung tajam wajah Azlan.  Azlan? Menyedari dirinya tertangkap, terpaksa mengiakan. 


"Awak hutang merekakah?"tanya Syafiqa keras. Sekali lagi Azlan terpaksa mengakui. 


"Astaghfirullahalazim. Sekarang awak yang cari penyakit, bukan saya. Berapa awak hutang?"
Nombor lima angka itu Azlan sebutkan walau payah. 


"Awak dengar sini, awak tunggu. Saya pinjamkan awak duit, awak bayar semua sekali termasuk bunga duit hutang itu. Kemudian bayar saya perlahan-lahan. Saya tidak kutip bunga. Tak ada gunanya duit banyak tetapi hidup musnah,"bergetar suara Syafiqa memberi arahan. Cukuplah dulu keluarganya maut kerana hal itu, dan akhirnya dia mewarisi harta ayahnya. Tetapi, duit tanpa nyawa apa gunanya pula?


Melihat Azlan diserbu pelik, Syafiqa menceritakan perihal keluarganya. Jujur dia bersedih.Akhirnya,dengan bantuan Syafiqa, selesai juga hutang Azlan dengan Imran. Dengan paksaan Azlan,akhirnya Syafiqa akur meminta maaf daripada Imran. Jujur gadis itu tidak dapat menahan rasa malu, dan mujurlah Imran hanya berniat mahu memberi pengajaran kepada gadis itu semata-mata. Hakikatnya, Azlan dan Syafiqa tidak mungkin tahu, jauh di sudut hatinya ingin sekali mengenali gadis itu.


"Inilah jadinya bila berhutang tak ikut syariah. Islam dah larang pengambilan riba adalah sebabnya. Duit bunga itu ialah riba tahu tak? Tengok, hutang RM1000 boleh jadi sampai lima angka. Riba itu menindas golongan seperti awak,"


Teguran Syafiqa membuatkan Azlan terdiam. Seketika kemudian, soalan Syafiqa menusuk pendengaran Azlan. 


"Dalam beg itu ada apa sebenarnya?"


Lambat-lambat Azlan menjawab, "Saya jual VCD, yang agak kurang sesuai untuk tontonan umum. Tetapi sumpah, saya jual pada orang bukan Islam sahaja. Saya tak ada pilihan. Saya perlu bayar hutang Imran,"


Syafiqa menggeleng-geleng perlahan. "Sudahlah. Lepas ini jangan lagi ulang,"


Azlan mengangguk akur. Gadis kebal itu benar-benar 'mengajar' subjek kehidupan kepadanya. 


*******


"Syafiqa, boleh saya jaga awak? Saya ingin balas budi ... dan ... saya rasa, saya ..."belum habis ayat Azlan, Syafiqa sudah memotong.


"Tidak. Cukuplah Allah jaga saya. Jika memang saya bahaya, pasti Allah kirimkan tentera-Nya. Dia sebaik-baik pemelihara. Awak jangan risau. Allah yang jaga saya. Allah yang akan letakkan saya di tempat yang sebaiknya. Jalan  takdir saya dalam naungan-Nya,"ujar Syafiqa sebelum berlalu pulang. Kakak sulung Syafiqa sudah tiba untuk mengambil gadis itu. 


Azlan terdiam. Nyata tidak sempat dia menghabiskan ayat di lidah, lantas hatinya saja berbicara.


'Awak ... saya rasa ... saya sudah jatuh hati pada gadis kebal.'


Tetapi benar. Allah sebaik-baik penjaga. Maka jagakanlah dia untuk aku dan jagakanlah imanku,getus hati lelakinya. Perlahan dia akur berlalu dan memilih menghormati pendirian Syafiqa. Banyak lagi tanggungjawabnya selaku Muslim yang belum selesai, bukan sekadar cinta. 


Mungkin dia tampak jahat dengan kerjanya, tetapi apabila seorang Muslim mengorak langkah hijrah kerana-Nya, percayalah langkahnya diiringi restu Allah.


********


"Iqa, itu teman Iqakah?"usik Syahidah, kakak kepada Syafiqa. Syafiqa menjeling kakaknya itu. 


"Tidaklah. Banyak tanggungjawab lain, kak. Mana ada masa lagi untuk bercinta apabila tanggungjawab pada Islam belum selesai. Iqa muda lagi untuk ada teman,"jawab Syafiqa tenang.


Benar.Belum masanya, getus hati Syafiqa. 


"Dia suka Iqa kan?"


Syafiqa mengangguk perlahan. Dia tahu. Dia faham maksud Azlan tadi. Dia mengerti. Sengaja dia memotong percakapan itu. Dia tidak ingin mendengar luahan cinta itu. Dia mahu mendengarnya daripada pecinta yang halal. Sekarang bukan waktunya. 


"Iqa suka dia?"Syahidah menduga. Sebenarnya, hatinya kuat mengatakan soalan itu tidak perlu ditanya. Tidak pernah Syafiqa begitu baik dengan mana-mana lelaki.


Diam. Wallahualam, getus hati Syafiqa. Biar Allah yang jaga hatinya. Pilihan-Nya ... sentiasa terbaik.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

Unknown said...

lar dah abeh..=(

Isquare said...

Insya-Allah akan disambung :)

Post a Comment