9 hari, 3 kematian di wad yang ayah saya huni.
Saya berada di sebalik tirai yang membataskan kami dan pesakit lain.
Saya dengar tangisan ahli keluarga mereka.
Saya dengar sendiri bagaimana ahli keluarga mengajarkan pesakit di ambang maut itu kalimah Allah dan syahadah.
Ada di antara mereka tampak kesal dengan kematian dan keadaan pesakit.
Berdasarkan pertuturan, dapat saya tebak yang mereka menghadapi masalah dengan pesakit. Mungkin masalah keluarga.
Benar. Buruk macam mana pun ahli keluarga kita, tak sanggup kita kehilangannya. Naluri kita, fitrah kita sebagai manusia tetap punya kasih sayang. Kita manusia.
Saya tak dapat mengawal diri dari terfikirkan ayah saya yang ketika itu disahkan tenat oleh doktor yang merawatnya. Saya khuatir. Akankah ayah saya mengalami keadaan itu dalam waktu terdekat? Saya dan ibu tak mampu mengawal perasaan sebenarnya. Tetapi kami senyap. Kami tak mahu menangis depan abah. Kami tak nak abah lemah.
Hakikatnya, ketika itu terdetik dalam hati saya.
Seorang pesakit jatuh di rumah, terus diserang strok dan dibawa ke hospital. Sampai di hospital baru sahaja dimasukkan ke hospital sudahpun pergi menghadap Ilahi. Sungguh terlalu pantas masanya.
Mereka yang sakit ini, sekurang-kurangnya sempat buat persediaan terakhir. Setidak-tidaknya bertaubat dengan hati jika kaki tangan tak berupaya. Mereka rasa kesakitan di tubuh. Mereka dapat kifarah terakhir. Mereka tahu, mungkin hayat mereka sudah tak lama lagi.
Bagaimana jika saya?
Jika kita yang sihat ini sudah hampir dengan maut, apa kita menyedarinya?
Adakah peluang kita buat taubat terakhir?
Adakah kita bersedia?
Ataukah nyawa dicabut saat kita lalai?
Lihat saja ada penonton mati dipijak dalam perlawanan bola sepak.
Adakah saat dia ke sana dia sudah lebih tahu dia akan mati di situ?
Sedangkan dia ke sana dalam keadaan sihat sejahtera!
Bukankah selalu kita dengar,yang paling hampir dengan kita ialah maut. Tetapi, berapa kalikah kita muhasabah diri, andai waktu yang tersisa cuma hari ini, apakah sudah cukup bekalan buat ke sana?
Saya teringat pesan guru Biologi saya, Puan Rohana.
Katanya, semasa beberapa kali dimasukkan ke hospital, setiap hari yang terlintas di benaknya, esok nak mati, adakah cukup amalnya nak bawa jumpa Ilahi? Katanya lagi,cuba bayangkan, kalau esok kamu nak mati, hari ni kamu main? Jadi, janganlah bersenang-lenang di dunia ni.
Jujur, tersentak juga saya dengar tazkirah ringkas guru kesayangan kami ini.
Sungguh, betapa kita sering terlupa...
Jemput Follow :)
Tarbiah Hospital #3 : Betapa Kita Sering Terlupa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment