Rasa malu,tapi bersyukur.
Selama ni aku pun tak tau yang ada kesilapan dalam solat aku.
Alhamdulillah, akhirnya nampak.
Ada saudara Islam yang tunjukkan.
Memang syukur sebab at least, Allah tunjuk before my last breath.
Masih ada lagi ruang dan peluang nak belajar solat dengan betul.
Betul-betul terasa jahil.
Benda basic yakni tiang agama pun tak betul lagi.
Ok, pesan untuk diri.
Jangan gatal nak menikah awal, nak kapel dengan level agama mcm ni.
Nanti apa benda kau nak ajar anak ?
Kena belajar lagi.
Jahil pun tak bermakna takda peluang nak hijrah dah kan?
Allah sayang itu pasal Allah tunjuk :')
#Nak kena cari husband ustaz dah gamaknya besar nanti, takpun biar yang arif pasal agama.Tak yang jauh ke dalam, arif bab ibadah wajib pun jadilah. Yang pastinya diri sendiri pun kena dalami ilmu. Bukan gedik nak zauj alim, tapi bakal zaujah satu habuk tak nak belajar. Kahwin dengan mufti pun tak guna kalau mcm tu. Buat berat dosa suami ja.
Jemput Follow :)
Jahil Bukan Tak Boleh Hijrah Kan? :')
Cerita Kita
Aku senyum. Melihat dia resah begitu, aku hanya diam sahaja. Namun kujuga tahu, senyumku menambahkan resah di dadanya. Jauh di sudut hati, aku tahu perkara yang ingin disampaikannya. Sedaya upaya mataku yang bergenang ini ingin aku sembunyikan. Sebak di hatiku jangan sampai singgah ke matanya.
"Kita ... saya mahu bercerita tentang kita. Bolehkah awak berikan saya ruang itu?"tanya Rusydi kepadaku. Ah, aku tahu perkara yang ingin disampaikan olehnya! Dia masih mencari kekuatan untuk mendepaniku. Aku perlu bersabar. Aku tidak ingin memintas cakapnya. Aku mahu kekuatanku ini sampai kepadanya, biarpun cuma secebis.
Lantas, aku tersenyum lagi. Aku mengangguk perlahan ... dan aku biarkan dia bercerita tentang masa lalu itu, kisah kami.
"Awak ingatkah kisah kita enam tahun lalu? Saat kita pertama kali bertemu di bangku sana,"katanya sambil telunjuknya lurus ke arah bangku kosong di tepi kantin. Aku mengangguk. Pandanganku ku arahkan tepat ke arah bangku itu. Tidak sanggup aku lihat wajahnya sambil mengenang pertemuan itu.
"Awak waktu itu betul-betul pemalu. Awak tahu, kerana sifat awak itulah kita bersama hingga sekarang. Saya tidak akan mampu dapatkan insan seistimewa awak,"ujarnya lagi. Aku pejam mataku. Sayu!
"Keputusan PMR dan SPM kita sama. Saya tidak tahu cara hendak katakan betapa saya gembira kita berjaya. Hati saya berkata, inilah insan yang Allah takdirkan untuk saya. Saya tidak akan melupai awak selamanya. Itu janji hati saya,"dia terus bercerita dengan suaranya yang juga kedengaran sayu. Aku senyum. Aku tidak mahu bercakap. Pasti akan jatuh air mata ini andai aku bersuara.
"Tahun ini kita akan mengambil STPM pula. Saya yakin awak akan berjaya. Awak kuat, awak mampu. Awak hebat dan mampu berdiri sendiri. Awak istimewa,"pujiannya membuatkan aku semakin sayu. Tolonglah, biarkan aku bertenang! Biarkan aku menangis di kamarku nanti, jangan di hadapan dia.
"Malah ... saya yakin ... tanpa saya juga awak akan tetap mampu untuk terus berdiri,"ya, aku tahu memang dia sudah hampir kepada kata-kata yang ingin dihabiskannya. Aku masih tidak memandangnya.
"Awak ..."panggilnya. Ah, bagaimana sekarang? Aku berpaling juga memandangnya dengan senyuman semanis mungkin.
"Ya."
"Kita tamatkan di sini saja?"kata-kata Rusydi sekadar pertanyaan dalam pernyataan. Aku tahu, dia tidak perlu memberitahuku lagi. Aku tahu!
"Saya tahu,"jawabku perlahan, penuh kejujuran. Tidak mampu rasanya aku terus berselindung. Memang sudah kudengar cerita itu daripada bibir abangku sendiri. Dua minggu lepas dia pulang dan bercerita tentang hal itu.
"Awak ..."
"Saya faham dan saya terima keputusan awak. Kita memulakan semuanya di sini, dan biar kita akhirkan di sini sahaja. Jangan cakap apa-apa lagi,"pintasku ketika dia seperti mahu bersuara.
"Saya juga tahu alasan awak," dengan kata-kata itu, aku berlalu untuk pulang ke rumah. Sedih hatiku. Aku sayang akan dia, tetapi aku perlu relakan dia begitu. Aku perlu memahaminya. Dia bukan milikku dan aku bukan miliknya.
Aku menangis sambil berjalan. Air mata ini tidak pula kuseka. Aku sedih! Aku hanya ingin dia untuk melegakan hati aku, tetapi semua antara kami sudah berlalu. Benar kata abangku.
"Liya, semalam teman Liya, Rusydi pun ada sama di kem itu. Semua peserta menjalani proses pemurnian hati. Abang tengok dia antara yang paling terkesan dengan program semalam, fasal cinta sebelum nikah. Liya jangan sedih kalau dia mohon putus. Abang lihat dia insaf benar,"kata-kata abang terngiang-ngiang di telingaku.
Sudah hampir setahun sebenarnya abang cuba menegur aku soal cinta aku dan dia. Maklumlah, selepas SPM dia menyertai kumpulan dakwah dan sering menjadi fasilitator kem-kem tarbiah. Namun tidak sangka pula akhirnya Rusydi juga turut menjadi mad'u abangku. Malah aku tidak sangka bahawa dia memohon nasihat daripada abangku sendiri. Abangku pula lantas menyatakan kebenaran. Ya, pendakwah mana boleh berbohong kepada mad'u kan? Aku tahu aku tidak boleh menyalahkan abangku mahupun Rusydi. Tidak ada sesiapa yang bersalah melainkan aku kerana degil sejak mula ketika abangku memberi nasihat.
"Liya!"jeritan Rusydi membuatkan aku berpaling. Sekelip mata, aku tercampak dan duniaku bertukar gelap. Sayup-sayup aku dengar jeritannya, "Allahuakbar!". Ya Allah, apa yang sedang berlaku?
Apabila Kewajipan Bergelar Dosa
Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh..
Setelah lama blog ini tidak dikemaskini langsung gara-gara kesibukan. Ya, cuti pun ada kesibukan dan akhirnya sekolah sudah dibuka semula baru ada masa untuk mengemaskini laman ini. Yes, I do sound weird. ^_^
Setakat ini alhamdulillah saya mampu tangani situasi dengan baik untuk mengimbangkan semua yang perlu saya lakukan, namun sejauh mana tahap tawazun saya pada penilaian Allah, wallahualam. Saya hanya mampu memuhasabah dan menyedari kekurangan di sana sini dan memperbaiki, namun tentu sahaja saya tidak mampu mencari 100% kesalahan saya yang terlalu banyak. Kita manusia berusaha sehabis daya. Insya-Allah, usaha kita walaupun sedikit asalkan niat ikhlas kerana Allah akan dikira ibadat. Setiap satu yang kita lakukan itu ibadat (tidak termasuk mencuri, membunuh dll. Itu sudah menyimpang!), kerana tidaklah Allah jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadat kepada-Nya.
Oh ya, apabila lama sudah tidak kemaskini blog, sekali tekan papan kekunci untuk mengemaskini blog tentu sahaja banyak benda hendak dicerita. Sayangnya sekarang sudah 2.20 pagi dan esok saya perlu bangun jam 6 lebih. Mulai post ini, gelaran 'saya' akan digunakan atas rasional penggunaan Bahasa Melayu Standard.
Berbalik kepada topik dalam tajuk di atas kerana saya bercadang untuk melelapkan mata 2.30 pagi, 7 minit dari sekarang (sempatkah?).
Kewajipan sekarang semakin dipandang enteng. Kebejatan moral merata-rata. Secara spesifik saya ingin menyebut tentang aurat. Ya, lagi-lagi aurat, mungkin itu kata pembaca. Kali ini saya mungkin menulis perkara yang acap kali kelihatan di laman-laman sesawang lain, cuma bezanya saya menulis ini sebagai luahan hati saya berdasarkan pengalaman yang berlaku ke atas diri sendiri baru-baru ini.
Kenapa saya kata kewajipan bergelar dosa?
Dosa akan selalu membuat hati tidak tenang. Dosa ialah perkara yang DIBENCI. Persoalannya sekarang ini nampaknya dunia sedang perlahan kembali ke zaman Jahiliyah apabila kewajipan yang dilaksanakan dibenci dan dijadikan kutukan. Oh, manakah kesedaran fasal hukum menutup aurat semasa seorang Islam menyindir rakan hanya kerana menutup aurat? Perkara ini berlaku ketika saya mengikuti kelas tambahan di luar sekolah. Tidak perlulah saya sebutkan di mana sebab saya pun tidak mahu mengaibkan atau mencari fasal dengan sesiapa.
Bagi saya, perlian sedemikian di kelas itu perkara biasa. Acapkali saya menerima sindiran begitu. Saya diejek dengan soalan sindiran bertanyakan saya hamil berapa bulan ketika saya mula-mula berstokin ke situ. Astaghfirullahalazim. Sehingga kini, hari pertama saya di kelas tahun ini saya sudah dihadiahkan sindiran 'duk tutup aurat pa tak tau!' walaupun nun di belakang tetapi saya ada telinga yang Allah pinjamkan.
Perkara yang buat saya tergerak hati menulis semua ini adalah kerana perasaan malu saya terhadap seorang kawan sekolah saya yang ada di situ. Dia satu-satunya pelajar bukan Islam dalam kelas itu. Sebagai kawan sekolah dia, saya boleh diumpamakan sebagai duta Islam di matanya bukan ? Meskipun saya tidak berdakwah kepadanya dan dia tidak pernah bertanya soal Islam, namun mungkin dia buat penilaian berdasarkan umat Islam dalam diam. Kita tak pernah tahu.
Persoalannya, manakah rasa malu terhadap yang bukan Islam ketika Islam sendiri memperlekehkan tuntutan agamanya? Ini suatu krisis moral kerana hilangnya penghormatan terhadap tuntutan agama. Saya hanya mampu diam dan tidak menjawab kerana sindiran itu diselitkan semasa guru mengajar dan tiada peluang untuk saya jawab sindirannya. Namun bagi saya, cukup sekadar artikel ini sebagai jawapan untuk sindirannya. Saya hanya menegur bukan menyindir.
Kewajipan itu wajib dilaksanakan. Kalau anda rasa anda sudah cukup hebat untuk lawan perintah Allah, ya saya tiada hak untuk melarang itu ini selain usaha menegur sekadar termampu. Namun, jika anda sudah tahu anda tinggalkan kewajipan dan memang tiada perasaan untuk berubah langsung, biarkanlah orang lain melaksanakan kewajipan itu. Jangan pula diri sendiri hendak terjun ke lembah dosa, tarik sekali orang lain ke sana. Malah, mencaci pula orang yang berjalan di atas jalan biasa.
Kita boleh berdakwah. Kita boleh mengkritik. Semuanya ada cara tersendiri.
Jangan pula memperlekehkan orang lain kerana melaksanakan tuntutan Allah. Sewajarnya kita menyokong. Kalau tidak mahu menyokong pun, diam sahajalah. Itu kewajipan kita tetapi kalau kita tidak mahu tunaikan, jangan kacau orang lain yang hendak menunaikannya. Hal ini sama sahaja dengan anda malas solat malah perli kawan anda solat kerana tunjuk alim.
So, after all, here, the point is NOT TO DENY WHAT ALLAH SET FOR US AND EVEN IF YOU ARE DENYING IT, JUST DO IT BY YOURSELF AND DO NOT PULL OTHERS INTO THE HELL YOU ARE JUMPING IN.
*Perkataan hell saya itu tidak membawa maksud carutan. Maksud saya biasa, jangan tarik orang bersama ke dalam neraka yang anda sedang melompat ke dalamnya. Harap terjaga dari fitnah dan umpatan.
Wahh.. Gebunya
Sabar-sabar. jangan terus tanya apa jenis kek yang saya hendak ajar anda buat. jangan terus tanya tips hendak buat kek yang gebu dan lazat. Sebenarnya, ini sebuah lagi pemerhatian mata saya. Afwan jika tersalah di mana-mana.
Sudah menjadi fitrah, setiap wanita ingin tampil cantik. Tambah pula di hadapan insan yang tersayang. Selalunya apabila mahu keluar, tentulah diri akan ditatarias secantik mungkin. Kadangkala sampai memperlihat bentuk badan atau lebih teruk membuka terus bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya. Hal ini paling ketara dalam kalangan anak remaja. Namun yang menjadi soalan, tujuannya apa?
Adakah menarik perhatian mata anak-anak adam? Kalau begitu anda memang benar-benar membantu mereka. Membantu mereka menambah dosa. Ya, dosa semata-mata. Bukannya membantu mendapatkan pahala.
Gebu kulit yang ditayangkan. Putih melepak kata orang. Bila berjalan, amboi senget habis leher memandang sampai ke hujung jalan. Banggakah rasanya dipuja dan diperhati dengan cara sedemikian? Lupa ya pada nafsu yang bergelora melihat kecantikan yang terpampang di depan mata?
Ingat, kita ini bukannya hidup dalam komuniti para malaikat. Malaikat yalah, gebu macam mana pun dia tak akan tergoda, jauh sekali nak buat apa-apa. Masalahnya, kita ini dalam masyarakat manusia. Ada nafsu yang normal. Bukannya tiada nafsu. Itu malaikat bukan manusia.
Cuba lihat, saban hari kes-kes cabul bukan main banyak. Kes buang bayi, huh. Sudah menjadi trend pula sekarang. Kalaulah begini, memang dah sah Malaysia tidak akan mencapai sasaran 70 juta penduduk optimum 2020. Saya rasa lebih baik bagi saya bayi tu dari nak dibuang. Boleh juga keluarga saya buat anak angkat.Ibu saya pun pernah kata begitu.
Itulah jadinya bila nafsu dijunjung tinggi, akal dipijak remeh. Nafsu memang menguasai diri kalau tiada kawalan. Namun apa yang selalunya kita terlupa, mengapa jadi begitu? Apakah yang sejak awal merupakan suatu panggilan ke arah kemaksiatan? Apakah kita terlupa bahawa nafsu itu amat mudah teransang dengan kecantikan?
Melihat kecantikan yang sewenang-wenangnya dipaparkan buat tontonan umum. Tayangan khas kegebuan lengan, paha dan ancaman lenggang lenggok jalan yang kadangkala sengaja diindahkan. Manalah nafsu tak teransang. Manalah iman tak tergugat.
Sewajarnya, sebagai kaum hawa, harus sedar bahawa nilai diri kita teramatlah tinggi. Bukannya untuk dijadikan sekadar bahan cuci mata. Kerana berharganya diri kitalah, memerlukan sampul yang benar-benar melindungkan aurat kita daripada ancaman dan kotoran.
Kalau tak berharga buat apa nak balut kemas-kemas. Biarlah kalau kotor pun. Biarlah kalau orang sentuh pun. Selalunya batu permata yang benar-benar tulen akan diletak dalam kain baldu, hendak sentuh pun perlu tangan berlapik. Sebab nilainya tinggi.
Terus, kalau kita sendiri mahu membuka diri kita pada ancaman dan kotoran, apakah masih layak kita mendakwa diri kita ini berharga tinggi seperti permata tadi? Atau kita hanya sekadar permata yang sudah susut nilainya hingga hampir serupa dengan kaca biasa?
Ingatlah, hijab itu benteng penzinaan.
Cinta Sejati
kita semua bercinta. seorang pun tidak akan lari. tidak percaya?tidak mengapalah. kita semua dalam hidup berpeluang merasai cinta yang sentiasa berbalas. cinta yang membahagiakan, tidak akan membuat kita berasa sesal.
melihatkan perenggan pertama itu, pembaca mungkin sudah membuat pelbagai kesimpulan. sesetengahnya mungkin sudah berjaya menebak maksud yang saya sampaikan. sesetengah pula mungkin sudah membuat pelbagai spekulasi.
tidak mengapa, teruskan dahulu spekulasi itu. kerana saya mahu biarkan dahulu semua membayangkan apakah cinta berbalas yang kita cari dalam kehidupan. cinta yang teramat membahagiakan dan tidak akan mengecewakan.
cinta suci yang tiada akan terpalit noda walau setitik. cinta suci yang sentiasa dilindungi. tiada perlu kita bermusuhan dengan sahabat handai demi cinta itu. kesimpulannya, sesuatu cinta yang terlalu indah. terlalu agung. terlalu sempurna!
cinta itulah cinta teragung, cinta kepada ALLAH. cinta yang sentiasa mampu mententeramkan di saat hati gelisah. cinta yang sentiasa membahagiakan. di balik derita yang didugakan, masih juga wujud bahagia yang indah. cinta yang membawa beruntung, cinta yang tiada akan pernah membuat hati luka. cinta yang tiada istilah kecewa.
buat semua yang pernah terluka, tentu sudah tahu pahit manisnya madah berhelah. saya tidak mahu menunding lelaki mahupun perempuan, kerana bagi saya syaitan menghasut bukan sekadar adam, kaum hawa pun tidak terlepas. ada lelaki yang mempermainkan perempuan, tidak lupa juga perempuan memainkan hati lelaki.
puncanya apa? mungkin ramai yang beranggapan, ‘aah, sudah lidah bercabang, apa lagi nak dipertikai’, ‘kalau dah buaya tu buaya jugak’ dan bermacam-macam lagi. tetapi lupakah kita pada dalang segala kejahatan? lupakah kita pada ‘si dia’ yang berjanji menggoda manusia sampai kiamat?
syaitan. ya, dialah menggoda manusia berlaku mungkar. tiada dilupa nafsu serakah. membawa ke lembah kesesatan. maka apakah yang mahu dihairankan bila seorang yang tampaknya alim berkopiah sudahnya berzina? bukan saya menghina. apa yang saya cuba katakan, tiada siapa terlepas dari angkara nafsu dan syaitan. janganlah salahkan orang itu semata-mata.ya salahnya tetap ada, tetapi kita jugak harus waspada. siapa tahu, hari ini, menunding orang, esok lusa kita pula terjebak. bukan berdoa, tetapi peringatkan diri sendiri.bukankah setiap kali telunjuk menunding orang, empat jari pulang kepada kita?
maka, sesudah kecewa, ke manakah tempat kita bergantung? ingat, andai ALLAH tiada mahu lagi menerima kita setelah kita menduakan cintaNYA dengan nafsu serakah, hancur! habis dunia, habis akhirat!
mesejnya di sini, cintailah ALLAH sepenuh hati. DIA tidak akan pernah mengecewakan kita. cintaNYA lah yang selama ini membenarkan kita terus bernafas di bumiNYA ini. maka, apakah sanggup kita lupa kepadaNYA? sanggupkah kita membiarkan diri kita terhuyung hayang tanpa cintaNYA? renung-renungkanlah.
Kroniknya Dugaan Buat Muslimah
salam ukhuwah buat semua, walaupun mungkin belum ada lagi yang membaca blog ini. maklum saja saya bukanlah insan ternama, tambah pula ini post awal bagi blog saya serba sederhana ini.
mungkin ada yang akan bertanyakan saya mengapakah link blog ini dinamakan dengan jeritan nurani. tidakkah bunyinya seolah-olah penulisnya seorang wanita yang memberontak? ya, mungkin ada saja yang bertanggapan sedemikian. tidak mengapa jika itu tanggapan orang yang kali pertama mendengar URL blog ini.
mungkin sekali dengar bunyinya menggambarkan sesuatu pemberontakan dari dalam jiwa. tetapi kenyataannya bagi saya maksudnya bukan sekadar itu. bagi saya inilah suara dari dalam jiwa dan akal saya yang nampaknya meronta-ronta mahukan saya mengembangkan idea yang bermukim dalam minda.
saya juga manusia yang biasa. bukannya srikandi ulung yang mampu menggoncang dunia dengan sebaris kata. namun dalam arus kehidupan saya melihat aneka ragam manusia. saya melihat seribu satu telatah orang sekeliling. semuanya umpama drama dan sketsa. subhanallah. segala yang ditunjukkan di hadapan mata, berjuta maknanya.
melihatkan segala apa yang berlaku di hadapan mata saya, menjadikan saya seorang yang ingin sekali menjerit menyatakan segala apa yang minda saya katakan. bukanlah saya ini cukup sempurna untuk menunding silap orang. saya cuma menjadikan semua yang saya lihat sebagai teladan untuk meladeni arus kehidupan.
di sekeliling saya, beribu manusia sudah saya temui. setakat ini, alhamdulillah saya bersyukur kepada ALLAH kerana dengan izinNya saya telah bertemu dengan pelbagai ragam manusia. ada yang menjadi iktibar yang melarang saya mengikuti jejak langkah manusia itu. namun yang terlalu berharga dalam jiwa saya apabila ditemukan dengan segelintir manusia yang cukup tegar memperjuangkan Islam.
dengan segala apa yang saya pelajari daripada ikhwanulmuslimin itulah saya menemui sesuatu arah yang baru. matlamat yang destinasinya terlalu indah. saya melihat sendiri idola-idola saya meneraju langkah mencapainya. maaf, bukan saya memaksudkan idola seperti artis bollywood, hollywood atau apa-apa wood sekalipun. saya memaksudkan insan-insan berharga dalam kehidupan saya.
terus terang saya katakan, saya mengagumi beberapa insan di sekeliling saya. saya akui sudah tinggal tidak seberapa muslimah yang rela berjuang menegakkan agama. saya akui sudah tinggal tidak seberapa muslimah yang benar-benar kuat menjaga diri dengan hijab. saya akui sudah tinggal tidak seberapa muslimah sejati di muka bumi ini. virus-virus yang pelbagai jenis tambah mengkronikkan keadaan.sebab itulah saya terlalu mengagumi mujahidah yang masih ada di muka bumi ini.
fikirkanlah, dengan hilangnya rasa malu, dengan hilangnya kesedaran memelihara hijab, dengan hilangnya tembok keimanan.. dengan tingginya tembok keegoan, dengan tingginya rasa cintakan kebebasan melampau, dengan tingginya hasrat kekufuran.. apa akan jadi pada muslimah? sesuatu yang kita terlupa, setinggi-tinggi terbang burung, turun juga menjejak tanah. sekuat mana muslimah berdiri, hakikatnya kita masih dari tulang rusuk yang bengkok. kita masih hawa dan kerana itulah kita diberi hak-hak kewajipan kita. semuanya untuk menjaga dan melindungi kehormatan kita.
saya, masih lagi mencari arah tujuan saya. namun nurani saya yang menjerit mahu suaranya diluahkan menyuruh saya menulis. menyuruh saya melampiaskan semua yang saya lihat di medan blog. ya, saya menulis semua jeritan nurani saya. saya menganggap tulisan ini sebagai menyuarakan semua yang dirasakan penting dan perlu.insyaALLAH saya akan cuba menulis lebih khusus selepas ini.
maaf kira ada yang tersalah di mana-mana. izinlah saya terus menulis di sini seadanya selagi ilham masih di dada. afwan juga kerana saya masih lagi mentah. masih lagi belum hebat seperti blogger lain. afwan kira banyak yang tercacat dalam coretan pertama saya ini. tegurlah apa yang sepatutnya,berikanlah saya tunjuk ajar untuk teruskan penulisan. syukran jazilan.





