Aku senyum. Melihat dia resah begitu, aku hanya diam sahaja. Namun kujuga tahu, senyumku menambahkan resah di dadanya. Jauh di sudut hati, aku tahu perkara yang ingin disampaikannya. Sedaya upaya mataku yang bergenang ini ingin aku sembunyikan. Sebak di hatiku jangan sampai singgah ke matanya.
"Kita ... saya mahu bercerita tentang kita. Bolehkah awak berikan saya ruang itu?"tanya Rusydi kepadaku. Ah, aku tahu perkara yang ingin disampaikan olehnya! Dia masih mencari kekuatan untuk mendepaniku. Aku perlu bersabar. Aku tidak ingin memintas cakapnya. Aku mahu kekuatanku ini sampai kepadanya, biarpun cuma secebis.
Lantas, aku tersenyum lagi. Aku mengangguk perlahan ... dan aku biarkan dia bercerita tentang masa lalu itu, kisah kami.
"Awak ingatkah kisah kita enam tahun lalu? Saat kita pertama kali bertemu di bangku sana,"katanya sambil telunjuknya lurus ke arah bangku kosong di tepi kantin. Aku mengangguk. Pandanganku ku arahkan tepat ke arah bangku itu. Tidak sanggup aku lihat wajahnya sambil mengenang pertemuan itu.
"Awak waktu itu betul-betul pemalu. Awak tahu, kerana sifat awak itulah kita bersama hingga sekarang. Saya tidak akan mampu dapatkan insan seistimewa awak,"ujarnya lagi. Aku pejam mataku. Sayu!
"Keputusan PMR dan SPM kita sama. Saya tidak tahu cara hendak katakan betapa saya gembira kita berjaya. Hati saya berkata, inilah insan yang Allah takdirkan untuk saya. Saya tidak akan melupai awak selamanya. Itu janji hati saya,"dia terus bercerita dengan suaranya yang juga kedengaran sayu. Aku senyum. Aku tidak mahu bercakap. Pasti akan jatuh air mata ini andai aku bersuara.
"Tahun ini kita akan mengambil STPM pula. Saya yakin awak akan berjaya. Awak kuat, awak mampu. Awak hebat dan mampu berdiri sendiri. Awak istimewa,"pujiannya membuatkan aku semakin sayu. Tolonglah, biarkan aku bertenang! Biarkan aku menangis di kamarku nanti, jangan di hadapan dia.
"Malah ... saya yakin ... tanpa saya juga awak akan tetap mampu untuk terus berdiri,"ya, aku tahu memang dia sudah hampir kepada kata-kata yang ingin dihabiskannya. Aku masih tidak memandangnya.
"Awak ..."panggilnya. Ah, bagaimana sekarang? Aku berpaling juga memandangnya dengan senyuman semanis mungkin.
"Ya."
"Kita tamatkan di sini saja?"kata-kata Rusydi sekadar pertanyaan dalam pernyataan. Aku tahu, dia tidak perlu memberitahuku lagi. Aku tahu!
"Saya tahu,"jawabku perlahan, penuh kejujuran. Tidak mampu rasanya aku terus berselindung. Memang sudah kudengar cerita itu daripada bibir abangku sendiri. Dua minggu lepas dia pulang dan bercerita tentang hal itu.
"Awak ..."
"Saya faham dan saya terima keputusan awak. Kita memulakan semuanya di sini, dan biar kita akhirkan di sini sahaja. Jangan cakap apa-apa lagi,"pintasku ketika dia seperti mahu bersuara.
"Saya juga tahu alasan awak," dengan kata-kata itu, aku berlalu untuk pulang ke rumah. Sedih hatiku. Aku sayang akan dia, tetapi aku perlu relakan dia begitu. Aku perlu memahaminya. Dia bukan milikku dan aku bukan miliknya.
Aku menangis sambil berjalan. Air mata ini tidak pula kuseka. Aku sedih! Aku hanya ingin dia untuk melegakan hati aku, tetapi semua antara kami sudah berlalu. Benar kata abangku.
"Liya, semalam teman Liya, Rusydi pun ada sama di kem itu. Semua peserta menjalani proses pemurnian hati. Abang tengok dia antara yang paling terkesan dengan program semalam, fasal cinta sebelum nikah. Liya jangan sedih kalau dia mohon putus. Abang lihat dia insaf benar,"kata-kata abang terngiang-ngiang di telingaku.
Sudah hampir setahun sebenarnya abang cuba menegur aku soal cinta aku dan dia. Maklumlah, selepas SPM dia menyertai kumpulan dakwah dan sering menjadi fasilitator kem-kem tarbiah. Namun tidak sangka pula akhirnya Rusydi juga turut menjadi mad'u abangku. Malah aku tidak sangka bahawa dia memohon nasihat daripada abangku sendiri. Abangku pula lantas menyatakan kebenaran. Ya, pendakwah mana boleh berbohong kepada mad'u kan? Aku tahu aku tidak boleh menyalahkan abangku mahupun Rusydi. Tidak ada sesiapa yang bersalah melainkan aku kerana degil sejak mula ketika abangku memberi nasihat.
"Liya!"jeritan Rusydi membuatkan aku berpaling. Sekelip mata, aku tercampak dan duniaku bertukar gelap. Sayup-sayup aku dengar jeritannya, "Allahuakbar!". Ya Allah, apa yang sedang berlaku?
Jemput Follow :)
Cerita Kita
**************************
"Liya, bangun Liya?"aku terdengar suara di sebelahku. Sakit benar kepalaku, namun kugagahkan mata ini untuk celik. Sakit ... mataku amat berat untuk dibuka. Kepalaku bagai mahu pecah sahaja rasanya.
"Ya ..."abang rupanya yang mengejutkan aku. Tanganku, kenapa tanganku berbalut? Kakiku? Di manakah aku?
"Abang tahu Liya bingung sekarang. Rehatlah dahulu,"ujar abang perlahan.
Namun aku tidak mampu untuk berehat. Fikiranku berserabut. Aku hairan akan peristiwa tadi. Ya, di mana dia?
"Abang ... Rusydi mana?"tanyaku dengan kepayahan.
"Liya sabar ya?"kata-kata abang bagaikan membayangkan sesuatu yang tidak baik. Rusydi!
"Kenapa, abang? Cakap!"
"Dia dah tak ada ..."
Air mataku mengalir deras. Rusydi!!!
Kenapa Allah ambil dia daripada aku? Kenapa pisahkan kami? Kenapa!? Kenapa tidak berikan dia ruang untuk hidup setelah dia berkorban untuk agamanya? Kenapa!? Kenapa!?
Batinku memberontak. Rusydi ... saya belum bersedia kehilangan awak untuk selamanya.
Namun takdir itu bukan kuasa aku. Abang terus memujukku dengan kata-kata semangat. Apabila aku masih tidak mampu dikawal, dia meluru keluar dan memanggil jururawat. Akhirnya aku diberikan suntikan ubat penenang dan terlena dalam senyuman. Dalam tidur, aku masih melihat bayangnya.
Rusydi, awak yang terakhir. Saya tunggu awak di syurga nanti.
*************************
"Liya, bangun Liya!"suara abangku kedengaran lagi. Kali ini aku tidak mampu menyahut panggilannya. Abang, Liya tak dapat jawab panggilan abang lagi. Maafkan Liya ya? Cerita kita sampai di sini saja. Liya tunggu abang juga di syurga sana ...
Ya Allah, ampunkanlah aku. Sesungguhnya takdir itu adalah milik-Mu. Aku yakin, Engkau sayang dia. Engkau ambil dia ketika dia dalam taubatnya. Engkau ambil dia dalam dia menyelamatkan nyawa aku. Meskipun pada akhirnya, aku juga kembali kepada-Mu. Aku mohon, temukanlah kami di firdausi. Jadikanlah aku bidadari untuknya ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
besttnya...
alhamdulillah.. tq..
Post a Comment