“Terima kasih cikgu,”ucap semua pelajar tingkatan 5 Dedikasi sebelum Cikgu Hariz keluar dari kelas tersebut. Cikgu Hariz hanya keluar tanpa menghadiahkan senyuman kerana baru sahaja memarahi pelajarnya yang tidak menumpukan perhatian semasa dia mengajar. Ada juga sesetengah pelajar yang mencebik semasa mengucapkan penghargaan itu.
Fariz memandang pelajar-pelajar perempuan dan lelaki kelasnya yang tadi mempamerkan aksi kurang senang terhadap Cikgu Hariz. Dia menghembuskan nafasnya yang terasa berat. Dalam diam dia bersetuju dengan Cikgu Hariz. Sememangnya Cikgu Hariz berhak marah jika para pelajarnya sibuk bermain madah cinta di belakang kelas padahal dia sedang mengajar dengan penuh dedikasi.
Tidak dapat dinafikan, kadangkala pelajar sukar memahami percakapan Cikgu Hariz gara-gara loghat Inggeris yang agak sebati dengan suara guru tersebut. Namun itu bukanlah alasan bagi para pelajar untuk hilang rasa hormat terhadap guru tersebut. Memanglah dia punya kelemahan, namun dia juga wajar diberi penghormatan atas usaha gigihnya menyampaikan ilmu biarpun kadangkala dia sendiri yang perlu memaksa lidahnya bertutur betul dan sanggup pula mengambil kursus komunikasi Bahasa Melayu demi para pelajarnya. Tidak adakah sedikit rasa kasihan dan rendah hati melihat seorang guru yang begitu komited dengan tugas, biarpun dia punya kelemahan?
Subjek Sejarah memang kadangkala membosankan bagi sesetengah pelajar. Ramai juga pelajar kelas 5 Dedikasi yang tertidur semasa waktu Sejarah. Malah, Cikgu Hariz sendiri kini sudah kurang memarahi pelajarnya yang tertidur malah memberikan teguran secara lembut. Sayangnya, pelajar tidak mahu menghargai kebaikan guru itu.
Fariz terus menghalakan pandangannya ke arah Syiha dan Rafi yang masih sibuk berbual mesra malah dengan selamba bertepuk tampar. Dua pelajar itulah yang sebenarnya membangkitkan kemarahan Cikgu Hariz tadi … dan sebagai ketua tingkatan, Fariz rasa bertanggungjawab untuk membetulkan keadaan. Amanah yang terpikul di bahunya terasa berat, dan untuk melegakan perasaan itulah dia melangkah tegas ke arah Syiha dan Rafi.
“Kamu berdua ini, tidak ada masa lainkah hendak bercengkerama selain semasa guru mengajar?”tanya Fariz. Dia memandang Syiha sebentar sebelum mengalihkan pandangan ke arah Rafi.
“Engkau sibuk kenapa?”tanya Syiha sinis. Gerak matanya juga menunjukkan rasa tidak puas hati.
“Aku jalankan amanah aku. Pertama, sebagai ketua kelas untuk menyuruh kamu menghormati guru. Kedua, sebagai manusia yang bertanggungjawab mencegah kemungkaran di hadapan mata aku. Harap kamu berdua faham yang kamu sedang melakukan kesalahan. Perkara yang kamu lakukan ini, sudahlah berdosa. Tambah pula dengan dosa mengguris hati guru. Tidak terfikirkah tentang keberkatan ilmu yang kamu dapat?”tegur Fariz. Sedikitpun dia tidak kelihatan takut. Baginya, dia lebih takut berkenaan amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat sana.
Syiha tidak langsung menghiraukan teguran itu, malah menyindir Fariz dengan selamba.
“Dia mengurat Nadia itu tidak berdosa pula,”
Fariz tidak mendengar sindiran itu kerana sudah kembali ke tempatnya. Baginya, sekurang-kurangnya dia berusaha. Natijah tindakannya itu pula biarlah Allah yang menentukan. Sebagai seorang hamba, dia hanya mampu berusaha.
Sebaik sahaja kembali ke tempatnya, dia terdengar perbualan antara Hazriq dengan Umar. Dia cuba mendengar dengan lebih jelas perbualan tersebut. Matanya membesar dan wajahnya berubah. Adakah palsu atau kebenaran yang diperkatakan oleh dua rakannya itu? Dia perlu bersemuka dengan seseorang.
************
“Assalamualaikum.”
Iskandar berpaling dan melihat wajah Fariz yang serius tanpa segaris senyuman. Dia menggigit bibir sendiri. Dia tahu perkara yang ingin dipersoalkan oleh Fariz. Pasti Fariz sudah tahu berkenaan dirinya.
“Waalaikumussalam warahmatullah. Ya?”jawab Iskandar setenang mungkin. Dia tidak mahu memperbesar masalah itu. Kelab catur ialah masa lalunya, dan kini dia akan kehilangan kelab bola sepak pula sebagai balasan meninggalkan kelab catur.
“Engkau sudah keluar dari kelab caturkah?”tanya Fariz dengan nada suara yang masih terkawal. Hakikatnya, Iskandar sendiri tahu Fariz sedang mengawal diri sendiri untuk bersikap rasional sejajar dengan jawatan pengerusi kelab catur yang disandang olehnya. Iskandar mengangguk.
“Boleh aku tahu alasannya?”tanya Fariz lagi. Pandangannya tepat ke arah Iskandar tanpa berganjak walaupun sesaat.
“Aku rasa itu hal peribadi aku. Engkau tidak peru ganggu soal peribadi aku, kan?”jawab Iskandar sebelum berganjak meninggalkan kantin sebelum kantin itu pula menyaksikan pergaduhan dia dan Fariz. Namanya akan terjejas jika hal itu berlaku, namun yang lebih malu nanti pastinya Fariz dan lambat-laun Nadia, kerana apabila guru disiplin menyiasat, tentu sahaja hal Nadia akan dibangkitkan.
Iskandar benar-benar berasa bersalah, namun dia masih bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia bukanlah membohongi Fariz. Dia hanya berhelah. Dia tidak menipu, hanya memulangkan soalan. Dia tidak mahu berlaku pertelingkahan antara Fariz dan Cikgu Saiful pula nanti. Cukuplah dengan kemarahan Nadia tempoh hari. Dia yakin Nadia tidak akan menceritakan hal itu kepada Fariz lantaran hubungan mereka yang kurang baik. Tiada alasan untuk dia pula yang membuka mulut kepada Fariz.
Fariz mengepal penumbuknya sendirian. Dia masih mempunyai akal yang waras. Hanya orang bodoh yang akan menurut nafsu amarah sehinggakan bertindak membelasah orang lain di tengah kantin walau dengan apa-apa motif sekalipun. Hal itu hanya akan mencacatkan reputasinya.
Fariz hanya memerhati langkah Iskandar yang semakin menjauh. Memang dia belum puas hati dengan perbualan sependek itu, tetapi dia perlu beralah dengan kekangan waktu yang memaksanya kembali ke kelas. Malah, Iskandar juga tidak mungkin akan melayan persoalannya lagi.
Iskandar pula langsung tidak menoleh ke belakang. Pada hakikatnya dia tidak berani langsung hendak menoleh untuk melihat Fariz. Dia telah menggunakan bahasa yang kurang sopan tadi semasa bercakap dengan Fariz. Pasti Fariz marah akan dirinya. Dia tahu Fariz sedang menahan kemarahan, maka eloklah dia berundur diri sebelum timbulnya masalah yang bukan-bukan.
Sebagai lelaki, Iskandar mempunyai satu kelebihan. Ketegasannya meyakinkan Fariz bahawa dia serius meninggalkan kelab catur. Dia tidak mahu mencari masalah dengan Fariz. Namun dia juga bimbang. Manalah tahu seandainya Fariz naik angin dan mengajak kumpulan besar untuk bergaduh dengannya pula.
Iskandar cuba untuk bertenang. Mungkin Fariz tidak akan melakukan hal sedemikian. Setahunya, Fariz antara pelajar yang baik di sekolah mahupun asrama. Tidak pernah pula dia mendengar mana-mana pelajar bercerita tentang keburukan Fariz. Malah, Fariz antara pelajar yang menarik perhatian pelajar-pelajar lain seperti pelajar perempuan kelas Iskandar sendiri kerana paras rupa serta kepimpinannya.
“Rindu pula aku pada papan catur,”bisik Iskandar sendirian. Dia mengerling ke arah kelas kosong yang selalu digunakan untuk latihan catur sebelum ini. Benarlah, kita akan lebih menghargai sesuatu apabila kita sudah kehilangan.
Sedikit sebanyak, dia merindui buah-buah catur yang dahulunya digerakkan di atas papan catur. Dia masih ingat lagi betapa gembiranya perasaan apabila berjaya menakluki buah raja pihak lawan. Iskandar seperti ingin kembali ke masa lalu, ketika dia memenangi kejohanan catur … dan seseorang itu sentiasa setia di sisinya, tidak pernah lupa untuk mengucapkan tahniah berserta senyuman manis atas kejayaan yang diraih olehnya. Satu-satunya memori yang tinggal dalam ingatan berkenaan insan itu hanyalah memori di papan catur. Namun, sayang sekali senyuman yang selalu dihadiahkan buat Iskandar itu telah sirna bersama kesedihan masa lalu.
“Tasya … aku salah.”
Iskandar tetap merenung ke langit biru, mengharapkan secangkir ketenangan hadir dalam hatinya. Tanpa sedar, bisikannya itu dapat didengari oleh Nadia yang kebetulan lalu di sebelahnya dalam perjalanan ke kelas.
“Siapa Tasya?”
Nadia tertanya-tanya sendirian. Sekejap cuma, sebelum dia mempercepat langkah menuju ke kelas. Ada faedahkah dia berfikir berkenaan hal Iskandar? Nadia mendengus perlahan.
0 comments:
Post a Comment