Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-3

Semua ahli kelab catur yang sedang menjalani latihan berpaling seketika. Pandangan masing-masing tertancap pada raut wajah dan susuk tubuh yang berdiri di muka pintu. Pelajar tingkatan enam nampaknya kerana dia memakai seluar sekolah berwarna biru tua.

"Inikah tempat latihan kelab catur?"tanya lelaki itu dengan kening yang terangkat. Boleh jadi dia hairan melihat latihan kelab yang sekadar diadakan di kelas kosong yang papan hitamnya pun sudah mula dimamah anai-anai. Sudah tidak ada bilik lainkah di sekolah itu untuk dijadikan tempat latihan?

"Ya. Abang ahli barukah? Jemput masuk,"panggil Fariz. Bukan dia tidak dapat mengesan rasa jengkel yang ada dalam hati pelajar tingkatan enam itu. Perasaan itu jelas terpamer pada bahasa tubuh lelaki itu. Namun Fariz enggan dilabel tidak menghormati senior. Lagi pula dia sebagai pengerusi perlu menambah kemasukan ahli kelabnya.

"Iskandar, inilah tempat latihan kelab catur. Kamu ada rekod pemegang pingat kebangsaan bukan? Tolong-tolonglah latih adik junior ya,"ujar Puan Samihah, guru penasihat kelab catur sebelum dia berlalu. Tadi dia hanya menemankan Iskandar untuk mencari bilik latihan tersebut.

Iskandar hanya mengangguk. Senyumannya kelat. Dia kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik latihan tersebut. Nampak jelas langkahnya berat dan terpaksa. Bagai hendak tercabut telinganya mendengar amanah yang diberikan oleh Puan Samihah tadi.

"Sabar, Iskandar. Boleh jadi mereka handal tetapi prasarana sekolah tidak mengizinkan,"bisik Iskandar sendirian, sekadar cuba melegakan hatinya sendiri. Dia kemudiannya duduk di sebuah kerusi kosong di hujung barisan meja pelajar lelaki yang sedang berlatih. Selamba sahaja dia mengeluarkan telefon bimbitnya di situ. Mungkin baginya bermain dengan aplikasi telefon bimbit lebih menyeronokkan berbanding bermain dengan pemain picisan.

"Nadia, kacaklah senior baru itu!"bisik Suhaila rapat di telinga Nadia. Nadia kemudiannya menjeling malas ke arah lelaki itu. Tadi dia langsung tidak melihat lelaki itu. Dia tidak berminat untuk berlama-lama di bilik latihan itu, apatah lagi membuang masa melihat kemasukan ahli baru. Baginya ahli baru dan ahli lama semuanya sama sahaja.

Mata Nadia membesar. Lelaki itu ...

"Hei, Nadia! Sudah masuk giliran engkau. Tadi orang suruh lihat, engkau tidak mahu. Sekali engkau lihat, sampai tidak mahu lihat aku pula ya?"sindir Suhaila. Kemudian dia memerhatikan wajah Nadia yang sedikit berubah.

"Nadia, kenapa? Luka engkau sakit lagikah?"tanya Suhaila sedikit risau. Nadia berpaling menghadap Suhaila dan tersenyum.

"Ya, pedih sedikit luka di pipi ini. Salah aku juga tunggang motosikal tidak ingat dunia akhirat,"tutur Nadia. Sebenarnya itu hanya dalih. Dia terpempan melihat ahli baru kelab catur itu.

"Itulah, aku sudah banyak kali pesan, jangan ikutkan sangat perasaan marah itu. Marah punya fasal engkau hendak terjun lubang. Sudahlah dia buat engkau marah, yang sakitnya pula engkau. Memang idea yang tidak masuk akal,"tegur Suhaila.

Dalam pada itu, hati Fariz diserbu rasa bersalah. Dia ada bertembung dengan Nadia pagi tadi tetapi Nadia seperti buat tidak endah sahaja akan dirinya. Dia hendak bertanya berkenaan luka di wajah Nadia serta tangannya yang berbalut tetapi masakan boleh. Akhirnya, diam-diam dia bertanya kepada rakannya dan mendapat berita bahawa Nadia ditimpa kemalangan selepas latihan catur tempoh hari gara-gara tidak berhati-hati semasa menunggang motosikal.

Setahu Fariz, Nadia seorang yang berhati-hati semasa menunggang motosikal. Jarang sekali Nadia hilang fokus, malah dahulu Nadia yang sering mengingatkannya supaya berhati-hati menunggang motosikal, sehinggalah terjadinya hal itu … dan mereka berubah menjadi dua orang yang saling membenci. Namun ada suatu perkara berkenaan kejadian semalam yang mengganggu fikirannya.

“Awak … luka awak sudah legakah?”tanya Iskandar yang kini duduk di sebelah Nadia. Fariz membeliakkan matanya. Suhaila memandang penuh curiga. Nadia sendiri sudah terpaku.

“Er … saya baik-baik sahaja. ‘Abang’ pelajar sekolah inikah?”tanya Nadia tersekat-sekat. Sungguh dia tidak suka membahasakan mana-mana lelaki sebagai ‘abang’ kecuali abang kandungnya sendiri. Namun dia tidak tahu cara untuk berbahasa dengan betul apabila berhadapan dengan lelaki yang menyelamatkannya semalam.

“Ya, baru sahaja masuk ke sini pagi ini. Awak ahli kelab catur juga ya?”tanya Iskandar. Namun Nadia tidak sempat menyambung kata apabila suara Fariz sudah lebih dahulu memotong perbualan mereka.

“Maafkan saya. Semasa latihan tidak ada sesi mengurat dan bercengkerama,”tegur Fariz dengan suara tegas sambil matanya merenung tajam ke arah Nadia. Nadia pula terdiam sendiri. Iskandar menghadiahkan pandangan pelik buat Fariz. Bilakah pula masanya dia mengurat gadis itu? Dia hanya bertanyakan keadaan gadis itu setelah mengalami kemalangan tempoh hari. Dia yang menyelamatkan gadis itu, salahkah andainya dia bertanyakan keadaan gadis itu? Oh, lupa pula! Fariz tidak tahu bahawa Iskandar yang menyelamatkan Nadia, itu pandangan Iskandar.

“Sudahlah. Abang, lebih baik abang berganjak ke tempat abang tadi. Tidak sesuailah abang berlama-lama di sini. Pengerusi kita sudah naik minyak,”bisik Suhaila perlahan. Iskandar mengangguk tanda mengerti seraya berpaling dan kembali ke tempat asalnya. Fariz juga kembali ke tempat duduknya tadi.

Nadia pula mencebik tanda tidak puas hati. Baginya tindakan Fariz itu melampau. Adakah patut Fariz menghalau Iskandar dengan nada sindiran begitu?Menyampah benar dia dengan manusia yang berkelakuan seperti Iskandar.

“Nadia, aku tahu engkau marah sekarang. Cuma aku hendak pesan, balik nanti janganlah terjun lubang lagi pula ya,”tegur Suhaila. Dia tidak mahu Nadia menunggang motosikal secara berbahaya seperti yang dilakukannya tempoh hari.

“Jangan risau. Aku masih sayang nyawa,”jawab Nadia dengan suara yang kedengaran mendatar. Dia kini sedang berpeluk tubuh. Sakit benar hatinya.

“Baguslah kalau begitu. Eh, sebentar! Engkau kenalkah pelajar baru itu?”tanya Suhaila kehairanan. Barulah dia perasan, kelakuan Iskandar tadi tidaklah seperti insan yang baru hendak mengenali Nadia. Jika baru kenal, setidak-tidaknya tentu ada sesi pengenalan diri tetapi memang sesi itu tidak wujud dalam perbualan Nadia dan Iskandar.

“Hendak katakan kenal, nama dia pun aku tidak tahu. Hendak katakan tidak kenal, boleh juga dianggap kenal. Engkau hendak yang mana satu?”soalan Suhaila dijawab dengan soalan juga.

“Kalau kenal, bagaimana boleh kenal?”tanya Suhaila lagi.

“Aku kan tidak terjatuh ke dalam lubang besar di jalan bukit tempoh hari kerana ada orang tolong berhentikan aku? Dialah orangnya,”ujar Nadia selamba. Sebenarnya dia agak malas hendak bercerita. Marahnya pada Fariz masih bersisa.

Oh, I can see the sparks!”sambut Suhaila dengan keterujaan. Dia menyangka insiden itu merupakan permulaan baru bagi sebuah perhubungan antara Iskandar. Namun tidak bagi Nadia. Dia tidak berminat dengan semua itu.

“Sudah, jangan hendak mengarut. Aku sudah makan permaisuri engkau,”tegur Nadia. Memang benar, kelalaian Suhaila membolehkan dia menakluk buah permaisuri milik Suhaila.

“Engkau memang selalu menang apabila bermain dengan aku. Aku sudah tidak hairan. Engkau sebenarnya ada potensi, tahu? Soalnya engkau tidak tahu hendak gilap bakat engkau,”ujar Suhaila. Dia mahu Nadia sedar akan potensinya yang tidak wajar berkubur begitu sahaja.

“Ada potensi pun kalau tiada jalan untuk mengembangkannya tidak berguna juga,”tingkah Nadia. Dia tahu minatnya memang ada dalam permainan catur, tetapi semakin lama minat itu semakin terhakis apabila keadaan kelab yang tidak seberapa itu merobek semangatnya.

Pandangannya beralih seketika ke arah Iskandar. Dia dapat mendengar sedikit perbualan Iskandar dengan Puan Samihah tadi. Harapannya sedikit bertunas. Adakah benar Iskandar salah seorang penerima pingat kejohanan catur peringkat kebangsaan? Jika benar, mungkin Iskandar dapat memberi harapan baru untuk ahli kelab catur.

Soalnya, mahukah Iskandar memberikan sedikit harapan miliknya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment