Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-6

Suasana di padang bola riuh-rendah dengan suara-suara pemain bola sepak. Pergerakan pemain nampaknya amat tangkas dan lincah. Sepakan demi sepakan dilakukan untuk menyerahkan bola kepada pasukan penyerang agar dapat menerobos pertahanan pihak lawan. Sebenarnya semua itu bukan mudah. Padang bola bukanlah sekecil kelas biasa. Jika hendak berlari seratus meter sudah penat, maka bayangkan bagaimana penat mereka yang bermain dalam pasukan bola sepak? Dapatkah dikira berapa kali mereka berlari ulang-alik sepanjang padang?
Nampaknya Fikri sedang berusaha keras untuk menyepak bola ke dalam kawasan jaringan gol. Jelas kelihatan aksi Syahmi yang sedang cuba merampas bola. Yalah, siapa hendak biarkan pihak lawan menjaringkan gol bukan? Dapat juga dilihat dua pemain pertahanan yang semakin hebat mengawasi Fikri, juga ada pemain pasukan Fikri yang menghampiri Fikri untuk bersedia menerima hantaran bola daripada ayam tambatan sekolah itu. Semestinya perlawanan itu amat menarik biarpun sekadar perlawanan persahabatan dalam sekolah.
Namun ternyata, bagi seseorang, ada sesuatu lebih mendalam yang difikirkannya. Perlawanan bola itu seperti tidak mampu menarik perhatiannya. Selalunya orang yang setia berdiri di tepi padang sepanjang perlawanan itu peminat bola sepak yang sanggup menahan panas terik.
Kendatipun kebiasaannya begitu, tidak bagi Iskandar.
“Hei, tercegat di situ buat apa? Macam orang kena tinggal teman sahaja!”laung Danish, salah seorang pemain bola sepak dari padang. Iskandar mengangkat kening. Dia sebenarnya mempunyai hubungan yang kurang baik dengan Danish gara-gara sikap Danish yang kurang menyenangi kehadirannya di SMK Felda Keriswangsa.
“Aku tercegat di sini, boleh juga tengok kamu semua main. Bersemangat sungguh kalian. Hebat!”Iskandar bermanis mulut. Memang semua yang dikatakannya ikhlas dari hatinya. Tidak ada unsur membodek berlebihan biarpun sedikit sebanyak dia berharap agar pujiannya itu mampu mengurangkan ketidaksenangan Danish terhadapnya.
“Mestilah bersemangat, nama lagi hendak wakil sekolah. Lainlah jika kami ini bakal dibubarkan macam kelab catur,”kata-kata Danish membuat mata Iskandar membesar. Biar betul kelab catur hendak dibubarkan? Ketika itu, wisel dibunyikan tanda separuh masa kedua sudahpun tamat. Danish bergerak ke tepi padang dan menghampiri Iskandar bersama senyuman sinis.
“Sejak bila pula kelab catur hendak dibubarkan? Engkau jangan hendak mengarut pula,”ujar Iskandar. Nada suaranya sedikit bergetar. Mindanya melayang mengingatkan seseorang.
“Tidak perlu tunggu cikgu beritahu. Dengan prestasi kamu semua sekarang, apa engkau fikir cikgu hendak buang masa, wang dan tenaga untuk sokong kelab kamu lagi? Tunggu sahajalah saatnya nanti kalau engkau tidak percaya,”ujar Danish semakin sinis. Semakin galak dia menyakitkan hati Iskandar. Namun Iskandar berpura-pura tidak peduli dan tidak perasan apa-apa.
“Tidak ada masalah, kerana aku bukan lagi ahli kelab catur. Aku satu pasukan dengan engkau sekarang, selaku ahli baru kelab bola sepak. Salam, sahabat!”Iskandar menghulurkan salam dengan tujuan membina ukhuwah. Rasanya sudah cukup dengan sikap tidak senang Danish terhadapnya selama ini.
Danish menyambut salam itu biarpun sedikit kekok. Selama ini dia hanya kurang menyukai Iskandar kerana Iskandar ialah ahli kelab catur. Lagi pula dengan sikap Cikgu Saiful yang tidak suka ahli kelab bola sepak merapati ahli kelab catur. Nampaknya sekarang dia sudah bebas untuk berkawan dengan Iskandar.
Pada hakikatnya, Danish tidak ada perasaan benci terhadap Iskandar. Sepanjang tempoh persekolahan Iskandar di SMK Felda Keriswangsa, tidak pernah pun dia berkelahi dengan lelaki itu. Dia hanya senang mengikut telunjuk pasukan bola sepak. Benar, semangat setiakawan itu amat perlu. Namun pada hakikatnya setiakawan itu bukanlah untuk menjatuhkan atau menyingkirkan mana-mana pihak.
Malah, pada sangkaan Danish, Iskandar pasti sombong orangnya kerana hanya dia pelajar tingkatan enam yang berasal dari kawasan bandar. Ada juga desas-desus yang mengatakan Iskandar anak seorang usahawan yang terkenal.
“Mari ikut aku pergi minum,”
Agak terkejut Danish mendengar pelawaan Iskandar. Dia mahu sahaja menuruti Iskandar tanpa banyak soal lagi, namun egonya seperti enggan membiarkan perdamaian berlaku antara mereka berdua. Iskandar hanya memandang Danish kosong. Dia tahu perkara yang bermain di benak Danish. Dia juga lelaki.
“Tidak perlu fikir apa-apa. Buat tidak tahu sahaja tentang permasalahan yang dahulu,”ujar Iskandar. Dia masih tenang di situ.
Danish berfikir seketika sebelum akhirnya senyum dan mengangkat ibu jari tanda bagus.  Dia menuruti jejak Iskandar. Ego yang menghalang perdamaian itu pasti bisikan syaitan laknatullah, untuk apa diikuti?
Perlahan ukhuwah mula terjalin antara mereka. Kali ini, Cikgu Saiful tidak pula marah sebaliknya gembira. Begini, nampaknya Iskandar akan baik-baik sahaja dengan kelab bola sepak.
***********
“Biar betul engkau ini!”seru Danish dengan mata yang terbelalak. Pandangannya tidak lepas dari kaki Iskandar. Wajahnya mempamerkan seribu satu bentuk persoalan.
“Ya. Kalau tidak aku tidaklah tengok sahaja engkau bermain tadi. Aku tidak mampu,”jawab Iskandar. Senyumannya masih tidak hilang biarpun sebenarnya berita pahit yang dikhabarkannya kepada Danish itu, kelemahan yang sudah lama disimpan olehnya sejak sebuah peristiwa hitam dalam kehidupannya.
“Sudah tahu tidak mampu, engkau masuk kelab bola sepak ini buat apa? Engkau hendak cari nahas ya? Engkau tidak pernah dengarkah betapa ganasnya permainan bola sepak sekolah kita? Engkau tahu, Irfan yang cederakan engkau tadi itu, sampai pernah gadaikan dirinya untuk menerima kad merah semasa lawan peringkat akhir daerah tahun lalu kerana dia mahu singkirkan pemain handalan lawan dengan badannya yang tegap itu,”ujar Danish.
Danish sedang menemani Iskandar di tepi padang. Iskandar baru sahaja mengalami kecederaan gara-gara tendangan bola Irfan tersasar ke kakinya. Namun tidak sangka pula Danish yang memapah Iskandar ke tepi padang akan menjadi saksi kepada kelemahan Iskandar.
“Kaki engkau ini nampak sangat sudah tidak kuat. Memang selayaknya engkau berada di kelab catur jika begini gayanya,”sambung Danish. Dia melihat sendiri kecederaan kekal di kaki Iskandar. Apabila ditanya, Iskandar mengatakan kecederaan itu berpunca daripada kemalangan, tetapi tidak pula dia mengulas lebih lanjut.
“Hei, kawan! Aku belum capai tahap OKU lagi ya,”tingkah Iskandar cuba berseloroh. Dia enggan perbualan itu terus bernada serius. Lagi pula dia tidak suka Danish mengungkit soal keahliannya dalam kelab catur dahulu.
“Sudah, jangan hendak tukar topik. Mari sini aku bubuh minyak angin pada kesan lebam engkau, kemudian pergi balik ke asrama. Nanti aku maklumkan kepada Cikgu Saiful yang engkau tidak boleh bermain lagi,”tegas Danish. Iskandar mencebik tidak puas hati.
“Janganlah buat begitu. Mati kebosananlah aku tanpa riadah,”
“Jangan hendak mengada-ada. Kalau Fikri yang datang lihat kaki engkau ini pun dia tidak akan benarkan engkau main lagi tahu?”jelas sekali rungutan Iskandar tidak dipedulikan oleh Danish.
Iskandar tidak mampu berkata apa-apa lagi. Hendak dilawan cakap Danish, lelaki itu lebih matang dalam hal bola sepak berbanding dirinya. Jika dilihat dari cara Danish merawat luka pun sudah terserlah kemahirannya. Sudahnya, dia melangkah pulang ke asrama.
“Iskandar,”
Iskandar berpaling mendengar Danish memanggil namanya. Dia mengangkat kening.
“Jika engkau hendak pulang kepada kelab catur pun aku tidak halang. Kawan tetap kawanlah,sahabat!”ujar Danish dengan senyuman penuh semangat. Dia ikhlas berkata begitu. Sudah tiada lagi kebenciannya terhadap Iskandar.
Iskandar senyum dan berpaling. Hanya seketika, kemudian senyumannya hilang.
“Mahukah Nadia benarkan aku pulang ke kelab itu?”
Iskandar menggeleng sendiri. Suara Nadia terngiang-ngiang di telinganya. Betapa tegas Nadia menegakkan pendiriannya pada hari pertengkaran mereka berdua. Sudahnya Iskandar meneruskan langkah kembali ke asrama. Sempat dia singgah masuk ke dalam bilik latihan kelab catur, sekadar mengemas alatan yang patut, biarpun dia sedar dirinya bukan lagi ahli kelab catur.
Langkah Iskandar dipercepat. Dia tidak mahu sesiapa menyedari kedatangannya di bilik latihan kelab catur. Pasti kini dia dilabel pengkhianat. Tidak sanggup lagi rasanya dia berhadapan dengan semua ahli kelab catur terutama Nadia. Malah dia juga tidak sanggup berhadapan dengan Puan Samihah, seorang guru yang telah diingkari olehnya.
 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment