Puan Samihah mencapai surat yang diletakkan oleh kerani di atas mejanya tadi. Dia sebenarnya sudah tahu isi surat tersebut. Setiap tahun memang dia akan menerima surat yang sama. Sampul surat tersebut dibuka dengan penuh berhati-hati. Sebagai seorang guru, kerjanya perlu kemas. Nanti buruk pula pandangan pelajar terhadapnya.
“Hai, Cikgu Miha! Sudah dapatkah surat makluman tarikh perlawanan catur MSSD tahun ini?”tanya Cikgu Saiful ketika lalu di tempat Puan Samihah. Puan Samihah mengangguk sambil berbicara,
“Ya. Harap-harap tahun ini adalah peningkatan,”
“Yakah? Tinggi pula harapan cikgu. Setahu saya, kelab catur itu tunggu masa sahaja hendak dibubarkan. Lagipun, jika tidak salah saya, tahun ini tarikh perlawanan catur bercanggah dengan rombongan ke Kuala Kangsar untuk menonton perlawanan bola sepak Kedah-Terengganu. Adakah bas lain yang hendak bawa pelajar cikgu?”pertanyaan Cikgu Saiful kedengaran agak menyindir pada pendengaran Puan Samihah, menyebabkan Puan Samihah menghadiahkan pandangan skeptikal buat Cikgu Saiful.
“Cikgu sindir pasukan caturkah?”
“Tidak adalah sampai menyindir, cikgu. Saya hanya maksudkan yang kemungkinan untuk sekolah kita menghantar peserta catur untuk kejohanan tahun ini sangat tipis. Mana tidaknya, sekolah kita dengan tempat pertandingan itu bukannya dekat. Saya rasa penolong kanan kokurikulum pun akan memilih rombongan kelab bola sepak berbanding kelab catur sekiranya terpaksa memilih satu antara dua. Bas sekolah kita cuma satu. Sekurang-kurangnya tahun lepas pasukan bola sepak dapat juga pingat gangsa,”kata-kata Cikgu Saiful seakan-akan mematahkan semangat Puan Samihah. Selepas Cikgu Saiful berlalu ke mejanya sendiri, Puan Samihah masih berdiam diri. Kata-kata Cikgu Saiful seperti pita rakaman yang berputar di tepi telinganya sekali gus memeningkan kepalanya. Sepertinya lelaki itu merendah-rendahkan kelab catur padahal dahulu dia tidak pernah begitu pesimis.
“Ah, sudahlah! Jangan fikir bukan-bukan. Bersangka baik, Miha, bersangka baik!”bisik Cikgu Samihah perlahan, hanya untuk dirinya sendiri. Syak wasangkanya terhadap Cikgu Saiful benar-benar mengganggu minda, namun dia cuba menyedapkan hati sendiri. Kelihatannya satu masalah sedang mengintai di sebalik jendela kelab catur, tetapi apa?
*****************************
“Nadia, ini surat makluman MSSD catur tahun ini. Pertandingan akan berlangsung dua bulan dari sekarang. Harap awak dan rakan-rakan awak bersedialah ya. Pesan sekali pada Fariz supaya pertingkatkan prestasi,”ujar Puan Samihah antara serius dengan tidak. Perubahan wajahnya dapat dikesan oleh Nadia dengan mudah.
“Cikgu, ada apa-apa yang tidak kena? Cara cikgu bercakap seolah-olah ada yang terselindung pula.”
“Er … susah saya hendak terangkan. Takut nanti habis pula semua ahli kelab catur ponteng latihan,”ujar Puan Samihah. Hatinya menyesali perubahan ketara pada percakapannya yang membolehkan Nadia mengesan kelainan pada raut wajah itu.
Nadia pula semakin tidak sedap hati melihat kelakuan Puan Samihah. Adakah ada sesuatu yang buruk menimpa kelab catur sehinggakan kedudukan mereka seperti tergugat melalui nada suara Puan Samihah yang tidak seceria selalu?
“Kenapa, cikgu?”tanya Nadia separuh mendesak. Hatinya berat menyatakan ada sesuatu yang berlaku, berkenaan kelab catur.
“Kemungkinan tahun ini sekolah kita tidak dapat menghantar wakil catur,”
“Hah, kenapa pula?”tanya Nadia lagi.
“Tarikh pertandingan bercanggah dengan rombongan kelab bola sepak. Tidak ada bas hendak hantar kita ke tempat pertandingan. Tambahan pula prestasi kelab catur dalam dua tiga tahun ini memang semakin teruk. Sudah lama sangat kita tidak bawa pulang sijil pemenang atau pingat,”tutur Puan Samihah kesal. Tidak dapat dinafikan, kelab catur boleh dianggap gagal dari segi pelaksanaan dan pencapaian. Namun begitu, sepatutnya kejohanan daerah diutamakan berbanding lawatan. Sekarang terbalik pula jadinya.
Puan Samihah memandang Nadia. Kasihan juga dia melihat Nadia yang sebenarnya berpotensi dalam permainan catur, tetapi nampaknya harapannya akan kelam sebelum sempat potensi itu digilap.
“Eh, mana boleh buat begitu! Rombongan dan pertandingan, sepatutnya sekolah kena utamakan pertandingan. Rombongan itu bukannya wajib apa-apa pun,”ujar Nadia tidak puas hati. Dia sendiri pun tidak tahu punca perasaan tidak puas hatinya itu.
“Saya pun rasa begitu. Masalahnya, kita kalau hendak berebut dengan kelab bola sepak, memang masalah besar. Yalah, kelab bola sepak antara kelab yang paling banyak menyumbang kepada sekolah. Tahun lepas mereka bawa balik gangsa. Tahun sebelumnya pula mereka pernah bawa pulang hadiah RM2000 dalam kejohanan bola sepak piala terbuka. Tentulah sekolah akan utamakan mereka,”tutur Puan Samihah. Dia menghela nafasnya yang terasa berat. Seketika, angin yang agak kuat menyebabkan dia memegang hujung tudungnya bagi memastikan tudungnya tidak terselak apabila ditiup angin. Nadia juga melakukan hal yang sama.
“Saya tidak sangka di sekolah pun ada juga diskriminasi begini,”kata Nadia sebelum beredar ke kelasnya sendiri untuk menghadiri kelas Kimia. Dia tidak berniat mahu menyindir sesiapa, tetapi memang benar perasaan tidak puas hatinya tetap ada.
“Mentang-mentanglah kami semua ini pemain picisan, belum pernah ada pingat kebangsaan …” keluhan Nadia terhenti. Dia teringat akan seseorang. Senyuman mekar di bibirnya.
Dia seperti nampak sebuah harapan untuk tetap mewakili sekolah dalam pertandingan catur. Masalah bas? Nampak gayanya semua seperti dapat diselesaikan. Mungkin kali ini dia akan berjaya meyakinkan guru untuk mengutamakan pertandingan catur berbanding lawatan kelab bola sepak.
Selepas tamat waktu persekolahan, Nadia melangkah ke bilik latihan kelab catur dengan langkah yang yakin. Pasti tahun ini kelab catur pula yang akan mengharumkan nama sekolah.
“Dia sedang berbual dengan siapa? Nampak macam ada perkara penting sahaja. Baik aku jangan masuk dulu,”gumam Nadia. Dia nampak insan yang dicari olehnya sedang berbual dengan seseorang. Apabila diamati, rupanya itu Cikgu Saiful.
Nadia terus tercegat di luar, cuba mencuri dengar butir perbualan mereka. Bukankah Cikgu Saiful guru penasihat kelab bola sepak? Dia mahu apa daripada Iskandar?
0 comments:
Post a Comment