Sebentar saya bertafakur, mengenang kembali setiap satu detik yang telah berlalu dalam kehidupan ini. Jika dikenang semula, dalam diri saya, banyak salah dari betulnya. Banyak noda dari sucinya. Saya cuba memaafkan diri sendiri. Ya, hanya dengan memaafkan diri sendiri maka perlahan kita akan belajar memaafkan orang lain. Begitu pandangan saya. Wallahualam.
Pada hakikatnya, memaafkan itu tidaklah sukar dilakukan berbanding melupakan. Memang saya sendiri mengakui saya kadangkala tidak mampu hendak memaafkan sesuatu perkara yang berlaku dalam sejenak masa sahaja. Lantas saya perlukan masa. Kadangkala kesalahan itu saya terlupa dengan sendiri tanpa saya sedari yang saya belum pernah berniatkan yang saya maafkan insan itu. Kemudian saya terfikir ketika saya teringat segalanya, adakah saya sudah benar-benar memaafkan dan melupakan semuanya?
Kadangkala saya terfikir, adakah saya sudah berikan satu dosa kepada orang yang saya lupakan sebelum sempat saya melafazkan atau meniatkan maaf itu untuknya? Seperti sekarang tidak mengapalah kerana lambat atau cepat sekarang saya sudah maafkan. Bagaimanakah pula andainya saya ditakdirkan menemui ajal dalam keadaan saya tidak ingat bahawa saya belum maafkan mereka? Adakah saya sebenarnya mengundang sahabat saya sendiri kepada kemurkaan Allah? Sungguh saya malu apabila kenangkan semuanya! Beginikah kawan yang mengaku kawan tetapi pada masa yang sama menempah seksaan untuk sahabatnya sendiri?
Bukan apa, kadangkala saya manusia tidak lepas dari terlibat dalam permasalahan, lagi pula saya juga anak remaja yang darahnya boleh dikatakan panas suam panas suam tidak menentu. Apabila berlaku permasalahan, saya sendiri tidak faham. Ada masanya saya tahu saya berada di pihak yang benar tetapi ayat yang mampu membela kebenaran itu seperti tidak terlintas di benak saya. Kemudian apabila saya kenangkan kembali, saya terfikirkan jawapan yang patut saya berikan ketika situasi itu dan saya sendiri menyesal.
Saya nampak kelemahan sendiri. Saya selalu berdiam diri dan turutkan cakap orang sedangkan saya tahu kepentingan diri saya tergugat dengan cara itu. Rakan saya ada yang mengatakan saya jadi alat permainan, atau bahan korban pula. Namun apabila saya mengeraskan hati sendiri untuk berhenti berkorban dengan cara yang tidak sepatutnya, saya pula yang disalahkan. Saya dikatakan pentingkan diri sendiri. Sayalah dianggap punca masalah. Dan setiap kali saya hanya mampu membela diri sepatah dua sebelum putar belit orang membisukan saya, buat saya menahan bungkam menyedari sebenarnya saya masih mampu mempertahankan hak diri.
Kelemahan lain, apabila saya bersalah, saya tidak tahu bagaimana nak terangkan dan menyelesaikan masalah itu. Seringkali saya cuba tetapi saya gagal meyakinkan orang lain yang saya memang hendak mengaku kesalahan dan tamatkan cerita. Ketika saya rela rendahkan segala ego saya, saya pula yang dianggap lembik. Kadangkala kemaafan yang ingin saya hulurkan dipandang sinis.
Mungkin itu semua dahulu. Allah tidak selamanya membiarkan hamba-Nya dalam kehampaan. Saya sendiri kini ada kehidupan yang baru. Bukan saya hendak membangga menyatakan saya sudah dapat kesempurnaan. Cuma pada pandangan saya yang kerdil ini, mungkin saya sudah temukan kecukupan dalam hidup saya. Kecukupan itu bukan maknanya kita peroleh segalanya. Kecukupan itu ialah kita peroleh sesuatu walaupun hanya satu kebaikan kecil, tetapi membuatkan kita berasa puas. Kita rasa bahagia dengan perolehan kita walaupun sekecil zarah.
Perlahan saya renung ke masa lalu dan saya sendiri menyedari sesuatu.
Apa yang manusia inginkan dalam kehidupannya hanyalah satu kepuasan.
Ada manusia puas dengan harta,
ada manusia puas dengan pangkat,
tetapi manusia sering sahaja terlupa,
hanya kemurnian isi hatilah yang mewujudkan kepuasan itu.
Apapun, belajarlah memaafkan biarpun melupakan itu sukar. Mungkin lebih baik kita ingat agar kita waspada. Namun dendam itu janganlah. Maafkan,dan apabila bersedia, lupakanlah.Setiap kehidupan ada warna kelam dan terangnya. :)
Jemput Follow :)
Cuba Memaafkan ... Melupakan Tetap Sukar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment