Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-2

Mata Suhaila tidak lepas dari wajah Nadia. Hendak menegur, Suhaila tidak berani. Tahu sangat sikap Nadia bukannya boleh diteka. Apabila marah, gadis itu tidak boleh diganggu sama sekali. Jika diikutkan hati, hendak juga dia melepaskan geramnya terhadap Fariz dan Nadia kerana menyebabkan kakinya lenguh mengejar langkah Nadia.
            Fariz, setia dengan perangainya yang tidak sudah-sudah mencari kesalahan Nadia. Nadia pula masih dengan sikap lamanya yang boleh dikatakan agak panas baran. Ya, mungkin itu kedengaran seperti bukanlah urusan Suhaila, tetapi sekiranya setiap kali Nadia dan Fariz  bertelingkah Suhaila yang ditarik oleh Nadia untuk meninggalkan tempat itu sekali gus menyebabkan tangan dan kakinya sakit, itu sudah menjadi urusan penting untuknya bukan?
            Fariz bukanlah seorang yang suka menyusahkan orang lain. Dia baik orangnya, dan Suhaila paling mengerti hakikat itu. Tiga tahun dia pernah sekelas dengan Fariz semasa menengah rendah. Fariz juga pernah sekelas dengan Nadia, tetapi tidak pernahlah pula dia berkelakuan sebegitu terhadap Nadia. Cuma semenjak Nadia menjadi naib pengerusi kelab catur sahaja Fariz berubah sikap.
            Nadia juga bukanlah seorang yang jahat. Dia mungkin seorang yang tidak suka berpanas di tengah padang dan agak cerewet dalam soal kecantikan wajahnya. Dia juga agak cepat marah. Namun, Suhaila tahu hati Nadia baik. Nadia tidak suka mencari fasal dengan orang lain. Selama ini, biarpun Nadia cantik dan popular, tidak pernah Nadia meninggi diri seperti sesetengah gadis lain yang perasan cantik.
            “Dia itu suka benar cari masalah dengan aku! Suka hati akulah hendak main atau tidak. Kalau aku main dan wakil sekolah pun, macamlah aku ini ada harapan untuk menang. Peserta sekolah kita ini hanya dihantar untuk mendapatkan sijil dan markah kokurikulum sahaja. Baiklah tidak usah main jika begitu,”luah Nadia. Wajahnya jelas mempamerkan kemarahan. Langsung tidak kelihatan segaris senyuman pun pada wajah itu.
            “Sebenarnya engkau pun tidak patut juga bersikap begitu tidak ambil kisah. Engkau naib pengerusi kelab catur,”tegur Suhaila perlahan.Dia amat berharap agar Nadia tidak naik angin dengan kata-katanya.
            “Memanglah aku naib pengerusi kelab catur. Masalahnya, kelab itu memang tunggu masa sahaja hendak dibubarkan! Engkau lihatlah sendiri keadaan kita semua semasa latihan. Aku lihat semuanya tunggang-terbalik. Pergerakan pun selalu salah, peraturan engkau faham-faham sahajalah kan?”sela Nadia sambil menggulingkan bola matanya. Jelas dia kurang senang dengan kata-kata Suhaila yang kedengaran seperti menyebelahi Fariz.
            “Benar, kelab kita itu tunggang-terbalik. Tetapi engkau kena ingat juga, selagi kelab itu masih belum benar-benar dibubarkan, engkau ada amanah di situ.”
            Kemudian Suhaila terus meninggalkan Nadia untuk berfikir sendirian. Jika dia terus bersama Nadia pun hanya akan memburukkan keadaan. Dia tidak mahu Nadia naik angin dan hilang pertimbangan. Dia hanya mahu Nadia bertenang dan berfikir secara rasional.
            Nadia pula sekadar mencebik. Malas befikir, dia berlalu ke kelasnya sendiri. Sepanjang perjalanan, hanya sikap Fariz sahaja persoalan yang berlegar di benak Nadia.
            ‘Sebenarnya dia ada hal apa dengan aku?’
******************************
            “Aku tidak suka tempat ini!”
            Jeritan Iskandar dari atas bukit kedengaran bergema di seluruh bukit. Mujurlah tempat itu sunyi daripada orang-orang yang lalu lalang. Seketika, dia terduduk di atas rumput yang menghijau. Jiwanya memberontak, itu pasti.
            Hatinya diserbu segala macam bentuk perasaan. Cemburu, marah, benci, kecewa dan segalanya bercampur menjadi satu. Wajah-wajah dalam hatinya seperti terpampang di hadapan matanya saat itu.
            Sekeping gambar dicapai dari dalam sakunya. Terketar-ketar jua tangan Iskandar saat memegang gambar itu di hadapan wajahnya sambil dia berbaring. Hatinya runsing. Wajah seseorang yang menghiasi gambar itu bertamu di minda.
            “Kenapa?”tanya Iskandar sendirian. Air matanya seperti mahu mengalir. Lengannya pantas diangkat menutupi wajah dan mata sendiri. Dia tidak mahu menangis. Demi melegakan perasaan, dia mengambil telefon bimbitnya pula. Namun hatinya bertambah runsing melihat gambar tema pada telefon bimbit itu.
            Kelihatan Datuk Tengku Hisyam, Datin Tengku Hamaliah, Tengku Syafinaz, Tengku Ammar, Tengku Iskandar, dan Tengku Natasya. Semua wajah itu kelihatan amat bahagia, tetapi hanya seorang yang sebenarnya bukanlah benar-benar bahagia.
            “Kenapalah aku tidak dapat menangkap kesedihan di sebalik matanya …”
            Tubir mata Iskandar digenangi air mata. Dia tidak upaya lagi mahu menyeka mutiara jernih itu. Mungkin dia perlu menangis untuk melegakan hati. Jiwanya berkecamuk.Lama dia begitu sehingga dia terdengar deruman enjin motosikal di belakangnya.
            Seorang gadis sedang memecut laju di jalan tanah merah berhampiran dengan tempat Iskandar berbaring. Malah, gadis itu belum sedar terdapatnya lubang besar di hujung jalan tersebut! Iskandar segera menjerit sekuat hati sambil bangkit berlari ke hadapan, cuba menyaingi motosikal tersebut.
            “Cik, ada lubang besar di hadapan, cik! Perlahankan dan matikan enjin motosikal, cepat!”
            Penunggang motosikal itu dapat mendengar suara Iskandar. Wajahnya berubah pucat. Dia cuba memperlahankan motosikal tetapi dirinya seperti hilang kawalan. Lubang tersebut hanya selangkah dari kedudukannya sekarang!
            Iskandar tiada pilihan lain. Dia yang berada betul-betul di tepi motosikal itu terus mencapai tempat pemegang tangan pada motosikal itu sambil tangannya yang sebelah lagi, menahan motosikal itu dari pemegang belakang.
            “Cabut kunci motosikal, cepat!”
            Biarpun ketakutan, gadis itu menurut arahan Iskandar. Nyawanya amat berharga pada dirinya.
            Selepas itu, Iskandar dan gadis itu hilang keseimbangan. Kedua-duanya jatuh ke tanah. Mujurlah Iskandar sempat menarik gadis itu agar kakinya tidak tersepit apabila motosikal itu terbalik. Gadis itu menggigil ketakutan.
            “Engkau ini, kalau hendak bunuh diri pun janganlah di hadapan aku! Adakah patut hendak masuk ke dalam lubang di tengah jalan pula?”marah Iskandar. Amarahnya itu sebaliknya membuatkan esak tangis gadis itu bertambah kuat.
            “Aku bukan hendak bunuh dirilah, ‘bijak’!”marah gadis itu dalam tangisan sebelum dia bersusah-payah mengangkat motosikalnya sendirian. Tiba-tiba gadis itu berpaling dan mengamati wajah Iskandar. Dia membuka topi keledarnya.
            “Engkau menangis, kenapa?”tanya gadis itu kehairanan.
            Iskandar pula terpempan melihat wajah di hadapan matanya. Adakah ini namanya takdir?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment