“Nanti saya fikirkan dulu ya cikgu,”bicara Iskandar mengakhiri perbualannya dengan Cikgu Saiful. Iskandar sekadar senyum dan memberi salam ketika guru itu keluar dari bilik latihan kelab catur setelah selesai agenda yang diutarakannya kepada Iskandar tadi. Cikgu Saiful menjawab salam dan terus berlalu, dan dia nampak Nadia yang tercegat di luar pintu bilik latihan kelab.
“Nadia, awak buat apa di sini?”tanya Cikgu Saiful dengan nada yang tegas semacam. Dalam suaranya juga terdapat nada gelabah, yang menandakan bahawa dia menyembunyikan sesuatu. Tambahan pula, agak pelik soalan yang dikemukakannya itu memandangkan Nadia merupakan naib pengerusi kelab catur. Memang wajarlah Nadia berada di situ.
“Saya tunggu rakan saya. Hari ini kan latihan untuk semua kelab permainan. Tidak eloklah kalau saya masuk ke dalam memandangkan hanya ada dua lelaki sahaja di dalam bilik kelab. Kenapa, ada apa-apa yang tidak kenakah? Saya mengganggu perbincangan cikgukah?”tanya Nadia tanpa rasa bersalah. Benar, dia sedang menunggu Suhaila. Cuma, dia juga sebenarnya mahu berbincang dengan Iskandar. Dia juga berdiri di luar secara senyap-senyap sahaja kerana mahu mendengar butir perbualan Cikgu Saiful dan Iskandar.
Hakikat sebenar, dia sudah mendengar segalanya. Sungguh dia tidak menyangka begitu rupanya perilaku Cikgu Saiful. Namun dia enggan melawan. Guru tetap guru, wajar dihormati. Soal kebenaran, nanti tuhan akan membelanya juga bukan?
“Lain kali berilah salam kalau hendak tunggu di luar pun. Jangan tercegat di luar macam agen FBI hendak menyiasat sahaja,”tegur Cikgu Saiful dan terus meninggalkan tempat itu pada kadar yang agak segera. Dia tidak mahu Nadia bertanya sebarang hal berkenaan perbualannya dengan Iskandar.
“Memang aku macam FBI. Aku hendak siasat konspirasi dalam sekolah ini,”bisik Nadia sendirian.
“Eh, Nadia! Awak juga ada di sinikah? Kenapa tidak masuk ke dalam? Masuklah,”tanya Iskandar yang sudah berada di muka pintu.
“Ya, saya ada di sini. Saya tidak mahu masuk ke dalam tadi, kerana tidak mahu mengganggu mesyuarat rahsia abang dengan Cikgu Saiful. Lagi pula saya tidak mahu syaitan berada di tengah jika saya masuk ke dalam berdua-duaan sahaja dengan abang,”ujar Nadia sedikit menyindir. Ternyata wajah Iskandar sedikit berubah.
“Nadia, awak dengar perbualan tadi ya?”tanya Iskandar lagi. Kali ini dia tidak berani bertentang mata dengan Nadia. Pasti Nadia marah benar akan dirinya.
“Ya. Saya dengar, tetapi saya peduli apa kan, fasal pembelot?”perli Nadia lagi.
“Nadia, awak datang agak lambat dan awak hanya dengar separuh-separuh sahaja percakapan kami. Kemudian sewenang-wenangnya awak hendak lemparkan tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya. Cuba awak tanya elok-elok dulu,”balas Iskandar.
“Awak hendak saya tanya apa? Saya sudah dengar semuanya. Awak ini, nama sahaja pemain catur kebangsaan tetapi hendak membelot untuk kelab bola sepak pula! Saya tahulah kelab catur di sekolah felda ini tidak sehebat sekolah awak dahulu yang dipenuhi jaguh-jaguh catur, tetapi kalau awak sudi hendak main kotor begitu di sini, maknanya awak tidak pernah ikhlas bermain catur selama inilah kan? Awak bermain kerana mahu kejar glamur , jadi apabila glamur itu hilang dan awak terperosok di ceruk felda ini, awak mahu beralih kepada kelab bola sepak ya?”bidas Nadia. Hilang terus panggilan ‘abang’ yang digunakannya tadi. Nadia tahu dia bakal dilabel tidak menghormati senior, tetapi kemarahannya yang memuncak itu memungkinkan perkara yang di luar pertimbangan.
“Nadia!”kemarahan Iskandar sudah mula kelihatan. Mungkin pertelingkahan akan berlaku antara dia dan Nadia.
“Ya, saya Nadia. Ada apa? Saya hanya hendak beritahu awak, jika awak bercadang untuk membelot, maka awak tidak dialu-alukan untuk terus berada dalam kelab catur. Dengan segala hormatnya saya persilakan awak keluar dari kelab ini dan sertailah kelab bola sepak yang penuh berprestij itu. Mungkin di situ awak boleh dapat glamur yang awak mahu. Memang itu pun yang awak mahu, kan?”sela Nadia. Wajahnya merah padam menahan amarah. Jika Iskandar itu perempuan, mungkin sudah lama Nadia menamparnya.
“Baiklah!”ujar Iskandar sambil mendepangkan tangannya. Dia kemudiannya beralih ke meja dan mengambil beg sekolahnya lalu keluar dari bilik latihan yang tidak seberapa itu.
“Iskandar,”panggil Nadia sedikit keras biarpun tidak meninggi suara. Mendengar suara keras Nadia, Iskandar berpaling seketika dan mengangkat kening penuh keegoan.
“Sehebat manapun awak, awak kena ingat dalam dunia ini, perkara yang paling berat ialah memikul amanah. Atas dasar amanah awak dimasukkan ke sini, dan atas dasar amanah juga saya keluarkan awak dari sini.”
Nadia terus berlalu masuk ke dalam bilik latihan itu. Iskandar pula entah ke mana, barangkali sudah pulang ke asrama. Tempoh hari semasa Iskandar menyelamatkan Nadia, dia belum mendaftar masuk ke asrama. Nadia duduk seketika sambil merenung buah-buah catur di hadapannya.
“Tidak sangka begini rupanya perangai Iskandar,”gumam Nadia sendirian. Dia memang terkejut kerana lelaki yang menyelamatkannya itu ialah seorang pembelot. Sungguh dia tidak menyangka keadaan akan bertukar begitu.
Sebentar kemudian, barulah muncul beberapa orang pelajar yang merupakan ahli kelab catur juga. Nadia membetulkan tudungnya, cuba untuk tersenyum agar pelajar lain tidak dapat melihat perubahan pada wajah dan sikapnya.
“Nadia, awalnya engkau datang hari ini,”tegur Suhaila. Kemudian dia mendekati Nadia dan mengamati wajah sahabatnya itu.
“Nadia, engkau menangis ya?”tanya Suhaila lagi. Dia sudah kenal Nadia bertahun-tahun lamanya. Dia faham sangat perubahan pada riak wajah Nadia. Pasti ada yang tidak kena.
“Tidak adalah. Aku sakit perut. Engkau ada Panadol?”tanya Nadia. Memang perutnya seperti masuk angin kerana tidak makan tengah hari tadi. Namun dia tidak berselera mahu makan setelah peristiwa tadi.
“Aku tidak bawa Panadol. Engkau makanlah biskut ini,”Suhaila sudah menghulurkan sepaket biskut untuk Nadia. Nadia mengambil biskut itu dan menjamahnya. Jika dia tidak makan, nampak sangatlah yang dia sekadar mahu berdalih tadi. Dipaksa juga tekaknya agar menelan biskut itu biarpun selera makannya tiada.
“Terima kasih,”ujar Nadia.
“Usahlah ucap terima kasih. Itukan gunanya sahabat?”
Dua sahabat itu tersenyum mesra. Mereka kemudiannya memulakan permainan catur. Seperti biasa, Nadia pasti menang apabila bermain dengan Suhaila. Malah sebenarnya apabila bermain dengan pelajar perempuan, Nadia sentiasa juara. Cuma dia perlukan lebih pendedahan dan latihan. Seketika Nadia terfikirkan Iskandar.
‘Ah, biarlah dia!’
0 comments:
Post a Comment