.cAku tak tahu kalau ini digelar sawan atau gedik, tapi jujur aku memang terdetik dalam hati ini bila tengok orang pergi tawarikh sekeluarga, satu harapan.
Aku harap apabila aku dewasa kelak, yang menjadi imam aku ialah dia yang akan membawa keluargaku ke masjid bertawarikh, dan andainya tak dapat pergi, bertawarikh di rumah dengan dia sebagai imamnya.
Say it,mungkin pemikiran aku agak klise. Drama spektra, mungkin? Tapi aku sejujurnya tak berimpian yang bukan-bukan hanya sekadar untuk sebuah fanatisicm semata-mata tapi kerana sesuatu yang rasional.
Demi Allah, andai seorang gadis itu tergedik-gedik nakkan yang kacak dan baik dan apa-apa saja hanya untuk menggedik tanpa sedar untuk buat persediaan membaiki diri, aku lebih dulu tolong cop gedik untuknya dalam hati aku.
Sweet love ain't everything, tapi Allah beri pada manusia, mengapa? Pandangan aku, sebagai ganjaran,bahkan ujian. Ganjaran bagi mereka yang mendidik nafsu sebaiknya untuk yang halal semata, dan ujian bagi yang masih mengekang nafsu.
Kerana tak dapatnya mengekang rasa hati yang mahukan kemanisan itulah, munculnya pelbagai maksiat,bahkan masalah. Kerana tak dapatnya mengekang semua itu, datangnya benci dan cemburu alhasil dari melihat manisnya bahagia orang lain.
Segala fitrah dalam diri adalah untuk dikawal. Bukanlah dilayan sampai jadi kesawanan. Yang dinamakan sawan itu adalah apabila tergedik-gedik melihat kemanisan orang lain tapi tak pula terasa hendak renungkan, kenapa Allah beri kemanisan halal itu untuknya? Kenapa Allah berikan manis pada sweet couple yang terlebih gula? Kenapa tidak pada yang ingin bercinta dalam batasan? Tidakkah itu tanda pemeliharaan dari segala maksiat?
Ah, manusia suka menyempitkan akal sendiri dari merenungi!
Jemput Follow :)
Kesawanankah Ini?
Yakinkah?
Sepanjang Hidup
Aku bersyukur kau di sini, kasih
Di kalbuku, mengiringi
Dan padamu
Ingin kusampaikan
Kau cahaya hati
Dulu kupalingkan diri dari cinta
Hingga kau hadir ubah segalanya
Oooo
Inilah janjiku kepadamu
Chorus:
Sepanjang hidup
Bersamamu
Kesetiaanku tulus untukmu
Hingga akhir waktu
Kaulah cintaku, cintaku
Sepanjang hidup
Seiring waktu
Aku bersyukur atas hadirmu
Kini dan s'lamanya
Aku milikmu
Yakini hatiku
Kau anugerah sang Maha Rahim
Semoga Allah berkahi kita
Kekasih, penguat jiwa
Kuberdoa, kau dan aku di Jannah
Kutemukan kekuatanku di sisimu
Kau hadir sempurnakan s'luruh hidupku
Oooo
Inilah janjiku kepadamu
*Repeat Chorus
Yakini hatiku
Bersamamu, kusadari inilah cinta
Tiada ragu,
Dengarkan
(Sepanjang Hidup- Maher Zainlah kidung cintaku yang abadi
Setiap dari kita inginkan kebahagiaan itu sepanjang hidup,
tetapi jangan kita terlupa yang hakikatnya,
Allah takkan memberi tanpa kita berusaha.
Usaha itu pula, dengan jalan yang diredhainya.
Yang indah itu selalu perit.
Jika ditimbang neraca dunia, memang tak terkata sakitnya.
Jika ditimbang neraca akhirat, maka di situ timbulnya kekuatan untuk terus senyum tersenyum walaupun dengan menggigit bibir yang basah dengan air mata.
Kita manusia, fitrah kita tak dapat dilarikan.
Adakah kita mahu sementara atau selamanya?
Setiap air mata duka kita, Allah melihatnya.
Yakinlah Dia tahu yang terbaik untuk kita ... sepanjang hidup.
Cerita Kita
Aku senyum. Melihat dia resah begitu, aku hanya diam sahaja. Namun kujuga tahu, senyumku menambahkan resah di dadanya. Jauh di sudut hati, aku tahu perkara yang ingin disampaikannya. Sedaya upaya mataku yang bergenang ini ingin aku sembunyikan. Sebak di hatiku jangan sampai singgah ke matanya.
"Kita ... saya mahu bercerita tentang kita. Bolehkah awak berikan saya ruang itu?"tanya Rusydi kepadaku. Ah, aku tahu perkara yang ingin disampaikan olehnya! Dia masih mencari kekuatan untuk mendepaniku. Aku perlu bersabar. Aku tidak ingin memintas cakapnya. Aku mahu kekuatanku ini sampai kepadanya, biarpun cuma secebis.
Lantas, aku tersenyum lagi. Aku mengangguk perlahan ... dan aku biarkan dia bercerita tentang masa lalu itu, kisah kami.
"Awak ingatkah kisah kita enam tahun lalu? Saat kita pertama kali bertemu di bangku sana,"katanya sambil telunjuknya lurus ke arah bangku kosong di tepi kantin. Aku mengangguk. Pandanganku ku arahkan tepat ke arah bangku itu. Tidak sanggup aku lihat wajahnya sambil mengenang pertemuan itu.
"Awak waktu itu betul-betul pemalu. Awak tahu, kerana sifat awak itulah kita bersama hingga sekarang. Saya tidak akan mampu dapatkan insan seistimewa awak,"ujarnya lagi. Aku pejam mataku. Sayu!
"Keputusan PMR dan SPM kita sama. Saya tidak tahu cara hendak katakan betapa saya gembira kita berjaya. Hati saya berkata, inilah insan yang Allah takdirkan untuk saya. Saya tidak akan melupai awak selamanya. Itu janji hati saya,"dia terus bercerita dengan suaranya yang juga kedengaran sayu. Aku senyum. Aku tidak mahu bercakap. Pasti akan jatuh air mata ini andai aku bersuara.
"Tahun ini kita akan mengambil STPM pula. Saya yakin awak akan berjaya. Awak kuat, awak mampu. Awak hebat dan mampu berdiri sendiri. Awak istimewa,"pujiannya membuatkan aku semakin sayu. Tolonglah, biarkan aku bertenang! Biarkan aku menangis di kamarku nanti, jangan di hadapan dia.
"Malah ... saya yakin ... tanpa saya juga awak akan tetap mampu untuk terus berdiri,"ya, aku tahu memang dia sudah hampir kepada kata-kata yang ingin dihabiskannya. Aku masih tidak memandangnya.
"Awak ..."panggilnya. Ah, bagaimana sekarang? Aku berpaling juga memandangnya dengan senyuman semanis mungkin.
"Ya."
"Kita tamatkan di sini saja?"kata-kata Rusydi sekadar pertanyaan dalam pernyataan. Aku tahu, dia tidak perlu memberitahuku lagi. Aku tahu!
"Saya tahu,"jawabku perlahan, penuh kejujuran. Tidak mampu rasanya aku terus berselindung. Memang sudah kudengar cerita itu daripada bibir abangku sendiri. Dua minggu lepas dia pulang dan bercerita tentang hal itu.
"Awak ..."
"Saya faham dan saya terima keputusan awak. Kita memulakan semuanya di sini, dan biar kita akhirkan di sini sahaja. Jangan cakap apa-apa lagi,"pintasku ketika dia seperti mahu bersuara.
"Saya juga tahu alasan awak," dengan kata-kata itu, aku berlalu untuk pulang ke rumah. Sedih hatiku. Aku sayang akan dia, tetapi aku perlu relakan dia begitu. Aku perlu memahaminya. Dia bukan milikku dan aku bukan miliknya.
Aku menangis sambil berjalan. Air mata ini tidak pula kuseka. Aku sedih! Aku hanya ingin dia untuk melegakan hati aku, tetapi semua antara kami sudah berlalu. Benar kata abangku.
"Liya, semalam teman Liya, Rusydi pun ada sama di kem itu. Semua peserta menjalani proses pemurnian hati. Abang tengok dia antara yang paling terkesan dengan program semalam, fasal cinta sebelum nikah. Liya jangan sedih kalau dia mohon putus. Abang lihat dia insaf benar,"kata-kata abang terngiang-ngiang di telingaku.
Sudah hampir setahun sebenarnya abang cuba menegur aku soal cinta aku dan dia. Maklumlah, selepas SPM dia menyertai kumpulan dakwah dan sering menjadi fasilitator kem-kem tarbiah. Namun tidak sangka pula akhirnya Rusydi juga turut menjadi mad'u abangku. Malah aku tidak sangka bahawa dia memohon nasihat daripada abangku sendiri. Abangku pula lantas menyatakan kebenaran. Ya, pendakwah mana boleh berbohong kepada mad'u kan? Aku tahu aku tidak boleh menyalahkan abangku mahupun Rusydi. Tidak ada sesiapa yang bersalah melainkan aku kerana degil sejak mula ketika abangku memberi nasihat.
"Liya!"jeritan Rusydi membuatkan aku berpaling. Sekelip mata, aku tercampak dan duniaku bertukar gelap. Sayup-sayup aku dengar jeritannya, "Allahuakbar!". Ya Allah, apa yang sedang berlaku?
Bicara Makna Abadi
Saat ini, saya teringat akan kata-kata guru Kimia saya, Cikgu Tan Ley Chan. Sebenarnya dia hanya mahu menerangkan definisi proses eksperimen dalam Kimia secara umum namun penerangannya amat spesifik dan ketika dia menyatakan analogi hidup sebagai bandingan, saya tiba-tiba tertarik pula.
Life is about solving problems.
Saya tidak tahu kata orang lain, tetapi secara peribadi saya menyetujui kata-kata ini. Masalah akan datang bertalu-talu dalam hidup manusia dan tentu sahaja diri saya sendiri. Kenyataannya, kadangkala manusia bukan diuji dengan kesusahan sebaliknya dengan kesenangan. Hebat cara Allah menguji kita. Tidak ada lembaga peperiksaan yang boleh mengadakan sukatan pelajaran sehebat suratan Allah dalam hidup kita. Justeru, rasanya tidak keterlaluan kalau saya kata begini pula.
Untuk apa kita takut akan ujian peperiksaan yang manusia buat dan jawapannya pun sudah kita kaji padahal ujian Allah yang tidak terduga bentuknya itu kita tidak takut dan bersedia, sedangkan ujian manusia ini kita sudahpun bersedia sekadar termampu?
Hakikat kehidupan ini penuh variasi. Namun yang pasti betapa hebatpun ujian yang dikenakan, tiba masanya akan terhenti sendirinya kerana panggilan azali. Sebelum sampai waktu itu, teruslah bertahan dengan ujian yang tidak jemu menjengah dalam hidup kita walaupun kita terlupa bahawa dia sedang bersama kita. Ya, dalam kesenangan dan kegembiraan itu juga adanya ujian.
Perasaan kita yang selalu teruji kalau kita tidak diuji dengan kesusahan lahiriah. Ada pula yang memang kedua-duanya teruji. Semuanya Allah tentukan berdasarkan kemampuan hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui kerana memang dia yang menciptakan kita.
Ketika bicara tentang cinta, saya ingin sekali menyebut satu persoalan. Abadikah cinta itu sekiranya waktu yang tidak sepatutnya dicalarkan dengannya, malah sampai mencalarkan amanah yang digalas pula selaku khalifah Allah? Bagi saya, itulah ujian yang selalu menimpa jiwa remaja.
Lazimnya, perkara ini tidak dianggap ujian kerana ia menyenangkan. Beritahulah saya, siapa yang benci dicintai? Namun, kealpaan itu tatkala kita menikmati sahaja manis cinta remaja itulah sebenarnya ujian yang Allah berikan. Astaghfirullah. Betapa kita sering terlena dan tidak menyedari hakikat ini.
Allah uji cinta kita. Allah uji, apakah kita cinta akan Dia, atau kita cinta akan hamba-Nya lebih dari-Nya. Kita boleh cakap kita cinta Allah, tetapi hebatkah kita mempertahankan cinta itu di atas atau cinta manusia juga yang kita agungkan?
Dunia ibarat penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir.
Ya. Jelas kebenaran itu. Penjara bagi orang beriman kerana terpaksa memenjarakan keinginan sendiri. Remaja tentu rasa terpenjara apabila segala hukum mula disingkap. Berikutan hal itulah, manusia seringkali alpa dan melanggar hukum Allah. Tidak wajar bagi kita mempertikaikan sebenarnya hukum Allah.
Perasaan remaja sering sahaja teruji dengan cinta sang adam. Lalu muhasabahlah. Apakah sebenarnya kita memerintah nafsu atau nafsu memerintah jiwa kita?
Dalam makna abadi. Bukan sekadar sesuatu yang zahirnya berkekalan selamanya itu maka sudah boleh dikatakan abadi. Sebenarnya abadi itu amat dalam. Biarpun zahirnya tampak seperti luput hakikatnya masih abadi dalam batinnya, maka itulah keabadian yang sejati, kerana kita semua manusia yang pasti akan pergi. Manusia pasti akan mati dan jasadnya akan luput begitu sahaja. Namun, namanya masih abadi di ingatan. Jiwa kita masih mempunyai pertalian dengannya maka itulah dia keabadian dirinya yang masih ada dalam hati kita.
Insan yang kita sayangi pergi tetapi dia masih dalam ingatan biarpun tidak lagi kembali. Namun lama kelamaan perlahan kita sudah mula dapat melupakannya. Kita tidak akan mampu sama sekali untuk menafikan hakikat itu. Maka buat masa ini sedarilah hanya Allah yang abadi. Dia tidak mati dan Dia tidak pergi. Dia teman sejati dan Dia kekasih. Segalanya hakikat.
Pesanan Untuk Dia (Renungan)
Falsafah.. Sejauh Mana Kesahihannya ?
Fikirkanlah..
Kita semua punya fitrah mencintai insan yang kita sayang..
tapi kita juga perlu punya fitrah mencintai tuhan kita..
cuba kita ambil masa dan tanya diri kita sebentar..
PART 1:Sebelum Bercinta
"Ketika kita memandang wajah kekasih kita untuk kali pertama,
jantung kita berdegup kencang dan serba tak kena,
terlupa segala-gala yang berlaku selain dia,"
"Ketika kita berhadapan dengan Allah dalam solat,
untuk pertama kali menghayati makna solat,
apakah kita dapat melupakan semuanya selain Dia?"
"Kita jatuh cinta dengan kekasih,
sebab kita merasakan dia seorang yang sempurna,
paling tidak dia layak untuk kita cintai,"
"Adakah kita jatuh cinta dengan Allah?
adakah kesempurnaan-Nya buat kita rasa cinta,
atau bagi kita Dia bukan untuk dicintai?"
"Ketika kita terdengar orang menyebut nama kekasih kita,
hati berbunga-bunga dan rindu pun tercipta,
berdebar-debar rasanya hati,"
"Ketika kita mendengar orang menyebut nama Allah,
apakah kita menjadi rindu padanya,
berdebar-debarkah hati kita dengan cinta kepada-Nya?"
"Ketika orang menanyakan kita adakah kita cinta kekasih kita,
dalam malu tetapi yakin kita pun membisu,
mengangguk dengan rasa malu,"
"Ketika orang menanyakan kita adakah kita cinta Allah,
tanpa segan silu kita pun bangga mengiyakan,
tapi bukankah ada gentar jika tak sepenuh penghayatan?"
PART 2: MULA BERCINTA
"Setiap hari, tanpa mengira siang ataupun malam,
kita sedia merindui kekasih kita,
bagai tak mahu lepas renggang dari dirinya,"
"Setiap hari, siang malam pagi dan petang,
rindukah kita terhadap Allah,
sanggupkah kita jauh dari-Nya?"
"Setiap minggu, kita sanggup berhabis duit demi kekasih,
belikan hadiah, belanja makan tidakpun sms dan call,
kita tak kisah asalkan dia bahagia,"
"Setiap minggu, adakah kita sanggup mewakaf wang di jalan-Nya,
sanggupkah kita membeli buku agama demi mengenal cinta-Nya,
adakah kita tak merungut saat berbelanja untuk-Nya?"
"Setiap malam, kita sanggup korbankan masa,
chatting, sms, ataupun call dengan kekasih kita,
kita tak peduli sebab kita seronok sangattt,"
"Setiap malam, sanggup tak kita korbankan masa,
pergi dengar ceramah, tadarrus atau solat jemaah,
seronokkah kita bila sekolah buat program agama?"
"Setiap masa, kita sanggup korbankan semua,
tidur, wang dan masa makan demi kekasih,
nak dengar rintihan kekasih bila dia tak boleh tidur,"
"Setiap masa, sanggupkah kita korban,
waktu tidur dan waktu berhibur,
cuma nak tahajjud dating dengan Allah?"
"Setiap hari, kita selalu jaga hatinya,
kita sungguh takut akan kehilangannya,
kalau boleh sampai bila-bila nak hidup bersamanya,"
"Setiap hari, adakah kita jaga hati-Nya,
adakah kita selalu takut kehilangannya,
adakah kita berimpian untuk bercinta selamanya dengan-Nya?"
"Kita selalu jaga diri kita,
tak mahu sama sekali menduakan cintanya,
setia kita bagai tak mahu terlerai selamanya,"
"Adakah kita jaga diri kita,
tak mahu menduakan cinta-Nya dengan manusia,
apakah kita takut untuk hilang setia dari-Nya?"
PART 3: BILA DIA INGIN PERPISAHAN
"Hancurnya hati kita melihat dia menduakan,
sedihnya bila dia kata tak cinta lagi,
rasa nak bunuh diri bila dia nak putus,"
"Adakah kita tak sedih apabila buat mungkar,
tak kecewakah andai hilang cinta-Nya,
tak hancurkah hati kalau putus cinta dengan-Nya tanpa disedari?"
"Betapa sakit hati bila cintanya mati,
kita salahkan diri bila cintanya menjauhi,
kita renungkan apa salah kita apa kurangnya kita,"
"Adakah kita selidik kalau cinta-Nya mungkin jauh dari kita,
adakah kita menyesali dosa kita pada-Nya,
adakah kita muhasabah apa dosa dan cela kita?"
"Selepas dia pergi tiap hari kita merindu,
kita inginkan dia kembali bersama kita,
walau di manapun kita tetap nak bertemu dengannya,"
"Adakah setiap hari kita merindukan-Nya,
mengharapkan-Nya agar menemani kita setiap masa,
adakah kita mempersiapkan diri bertemu dengan-Nya?"
***********************
Kita selalu mempersiapkan diri secantiknya kalau nak berdating dengan kekasih,
tapi apakah pula cara kita memperindahkan diri kalau nak menghadap Allah...
Kita selalu menyediakan diri kalaulah kita ini nak berdua dengan pasangan,
tapi apakah pula persediaan kita kalau dijemput bertemu Ilahi..
Kita takut kalau kekasih kita tak suka penampilan kita,
tapi adakah kita tak takut jika Allah tak redha cara kita berpakaian..
Kita jadi tak tentu arah kalau kekasih tak puas hati dengan kita,
tapi adakah kita tak tentu arah bila buat sesuatu yang Allah tak suka..
***********
Selalunya kita ini sangat sangat jaga hati manusia,
tapi kita tak jaga pula kalau Allah mungkin murka pada kita..
Kekasih duakan kita kalau, itu mungkin kifarah,
sebab kita duakan Allah dengan cinta pada dia..
Kekasih tak suka pada cara kita,
mungkin diri kita ada tak kena pada pandangan Allah..
Buat sesiapa yang merasai pahit cinta ditolak,
bersyukurlah mungkin Allah sengaja tidak menggerak hatinya,
untuk terima cinta yang kau hulurkan,
kerna ingin memelihara dirimu juga..
Buat sesiapa yang tidak pernah terasa nikmat cinta berbalas,
bersyukurlah mungkin Allah mahu kau setia pada-Nya,
mungkin juga itulah kifarah dari-Nya atas dosamu,
semuanya untuk kesucianmu juga..
~PUT YOUR TRUST IN ALLAH, HE KNOWS BEST!~
Subhanallah.. Luasnya Erti Cinta !
Maaf atas kelewatan untuk membuat satu post lagi yang dijanjikan dalam post sebelum ini. Ana terlalu sibuk baru-baru ini lantaran perjuangan di medan peperiksaan menghimpit ana. Apabila difikirkan rasa macam teruk pun ada. Nampak seolah-olah ana sedang futur (merosot amalan) pula. Rasulullah jauh lebih sibuk berbanding ana, tapi semua itu tak pernah menghalang baginda berdakwah. Astaghfirullahalazim...
Ana tak mahu bertangguh lagi. Janji ana untuk menyimpulkan post yang lalu mesti ana tunaikan walaupun ana sendiri saja yang baca. Tak mengapa, asalkan ana dapat menyampaikan ilmu dan dakwah walaupun mungkin takat seorang. Mungkin ana masih cetek ilmu, belum layak nak menyampaikan. Namun rasa seakan tanggungjawab pula untuk ana tunaikan.
Dalam post "Manisnya Cinta", ana telah menerangkan sedikit sebanyak berdasarkan hadis, ayat al-Quran, dan berdasarkan pemerhatian ana sendiri melalui pengalaman. Ana telah membuat analogi dan analisis. Cuma bagi ana post itu belum lengkap dan padat.
Apa yang ana cuba sampaikan dalam post-post ana ini ialah mengenai erti cinta dan kemanisan cinta. Apabila saya menulis 'erti cinta', janganlah pula kita melihatnya dengan kaca mata nafsu.Jangan pula kita samakan dengan cinta yang dibanggakan di sebelah barat sana. Lihatlah dengan kaca mata iman.
Cinta itu universal. Cinta pada Allah, cinta pada rasul,cinta pada nabi,cinta pada keluarga,cinta pada sahabat, bahkan cinta pada kekasih. Terlalu banyak sebenarnya perasaan cinta yang wujud dalam diri kita.Ingatlah,cinta bukanlah sekadar berpegangan tangan dengan ajnabi yang tidak halal sama sekali. Bukan sekadar hanyut dengan buaian asmara sampai terlepas ibadat. Cinta bukan sekadar saling menyayangi hingga membuang ibu bapa dan sanak saudara.
Tahukah antum bahawa mencintai seseorang sebenarnya berpahala ? Ya ! Apabila kita mencintai sahabat kita dengan sepenuh jiwa, mencintainya kerana Allah, insyaAllah berpahala. Bukankah dalam post sebelum ini ada ana nyatakan sebuah hadis? Hadis itu menyatakan bahawa salah satu golongan yang bakal dinaungi Arasy ialah dua orang yang saling mencintai kerana Allah Taala.
Sebaliknya berlaku apabila kita mencintai insan yang tidak halal bagi kita. Apakah kita boleh mendapat naungan itu dengan mencintai seseorang yang tidak halal,bersama dirinya,kemudian mendakwa bahawa saling nencintai kerana Allah.Itu propaganda jenis apa? Kita nak pahala tapi campurkan dengan dosa. In fact, kita tak tahu pun apa yang kita buat tu dinilai sebagai dosa atau pahala. Kita tak tahu 'pahala' tu dihitung ataupun diberi nama dosa semata-mata.
Percaya atau tidak, masih ada lagi golongan yang berpegang pada cinta Allah semata-mata. Itulah cinta sejati yang sebaik-baik cinta. Mereka ini tidak berasa kekosongan apabila tidak berpunya. Cukuplah cinta Ilahi menjaga mereka. Memang mereka ini tidak berpeluang merasai ayat-ayat cinta dari teman lelaki seperti kebanyakan insan lain, pada hakikatnya mereka yang enggan menerima peluang kerana tekun menjaga syariat, tapi mereka tak kesunyian. Allah mengurniakan teman pula bagi mereka, teman yang sama seperjuangan.
Apabila tiba masanya pula, mereka ditemukan dengan cinta yang halal. Dihadiahkan sebuah cinta yang penuh barakah. Dek kerana sebelum ini belum pernah lagi merasai lazatnya maksiat, segala yang dicurahkan itu tak terasa jemu. Halaqah cinta yang nantinya akan mendekatkan lagi diri dengan Allah. Tidakkah itu namanya sebuah kehidupan yang indah?
Percayalah, setiap satu yang digariskan dalam Islam itu semuanya ada kebaikan,dan kalau dituruti itu membuahkan keindahan yang tak terjangkau dek akal fikiran. Walaupun akarnya pahit tapi buahnya manis. Tentu indahnya kalaulah diri kita ini semuanya menjadi permata yang suci dan terjaga. Kalaulah diri kita ini insan-insan yang tidak pernah langsung terpalit secebis pun dosa maksiat. Sayangnya, bukan semua sanggup menghadapinya, menerimanya.
Ana sendiri tidak menyalahkan sesiapa andainya post ini dikecam atau dikutuk keras oleh insan yang mengenali diri ini. Sejujurnya, sebelum sesiapa mengecam ana, ana mengakui terlebih dahulu, ana sendiri pernah terlibat dalam hal sebegini. Ana sendiri pernah terjebak dalam cinta palsu begini. Namun, berkat bimbingan beberapa insan penting dalam hidup ana, pembacaan ana, dan pastinya petunjuk Allah yang menggerakkan hati ana untuk meninggalkan jalan itu. Lantas ada yang berpesan, tanggungjawab bagi kita untuk menyeru. Atas dasar itu, ana ingin sekali cuba menyambung legasi dakwah mereka. Sebab ana masih ingat, sabarnya mereka menyeru ana penuh hikmah. Sampai bila pun ana tak akan lupa sama sekali.
Doakanlah agar ana istiqamah dan berjaya dalam segala lapangan hidup ana, dunia dan akhirat.
P/S: mulai post ini, insyaAllah gantidiri ana yang akan digunakan.. ^_^
Manisnya Cinta..
"Uhibbukifillah ya ukhti"
"Saya mencintai awak kerana Allah"
Sebaris sahaja kata ini, membawa maksud yang mendalam bagi saya untuk direnungkan.
Saya temui ayat ini tahun lepas dalam novel Cerita Dari Hati karya Nurul Nazwa, namun tidak pula saya terdetik untuk mendalami maksudnya.
Masa semakin berlalu dan saya temui ayat itu sekali lagi di facebook beberapa bulan yang lalu. Alhamdulillah kali ini saya tertarik sangat dengan kata-kata itu. Saya cuba gunakan pada saudara yang saya sayangi dengan nama ukhuwah.Ternyata, semakin saya mendalaminya, semakin saya bahagia dengan penghayatannya.
Kita diwajibkan mencintai Allah melebihi segala yang lain. Sungguhpun begitu, Allah tidak sama sekali menyuruh kita semua saling membenci dan cuma mencintai Dia. Al- Quran dan Sunnah sendiri membuktikan Islam agama yang sangat mementingkan perpaduan dan kasih sayang. Ada dalil daripada hadis dan ada dalil daripada ayat Al-Quran untuk menjelaskannya.
"Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan atau memutuskan persaudaraannya melebihi tiga hari." (hadis)
"Sesungguhnya ALLAH S.W.T berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-Ku." (hadis sahih muslim)
"Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri" (hadis)
Bukankah jelas ditunjukkan di sini bahawa Islam tidak menyekat kasih sayang dan mencambahkan benih kebencian? Kesimpulan ini buat saya keliru dahulu. Dalam Majalah Solusi isu 23, memberitahu bahawa sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan dua cinta dalam satu hati. Kalau mula kita membaca sebaris ayat itu, kemungkinan untuk kita membuat pelbagai andaian itu sangat tinggi.
Allah tidak melarang kita mencintai saudara seislam kita, malah mewajibkannya. Betapa islam mementingkan kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan manusia, sehinggakan dikatakan tidaklah sempurna iman kalau tidak betul-betul mencintai saudara seislam kita seperti mencintai diri sendiri. Namun, sebaik-baiknya adalah mencintai saudara kita sepertimana mencintai diri kita, dan mencintai diri kita itu tidaklah lebih daripada kita mencintai Allah yang menciptakan kita.
Ambillah kasih sayang ibu kita sebagai analogi. Seorang ibu sangat-sangat sayang kepada anaknya. Namun dia juga mendidik anaknya agar sayang ayahnya. Dia mahu anaknya turut sayang dan saling menjaga dengan abang, adik, dan kakak. Dia sekolahkan anaknya dan biar anaknya bergaul dengan rakan-rakan,buat anaknya sayang kawan-kawan. Apabila dewasa, dia biarkan anaknya menikah. Dia ajar anaknya agar taat dan cinta suaminya (anak perempuan). Dia tidaklah mengongkong anaknya untuk cuma sayang dirinya, malah sampai sanggup membiarkan anaknya punya kekasih hati dan memilih jalannya. Cuma satu harapannya, JANGAN DILUPAKAN DIRINYA.
Allah pula sebagai tuhan Yang Maha Esa, Dia membenarkan malah memerintahkan manusia untuk saling mencintai sesama manusia. Namun, adalah syarat dan batasnya. Ibu kita pun, tentu ada menggariskan batasan untuk kita. Tidak mungkin ibu kita akan suka kita mencintai lelaki sampai melakukan maksiat, bukan? Inikan pula Allah. Allah telah menetapkan bagi kita pula untuk bercinta hanya dengan insan-insan yang dihalalkan, juga ditetapkan batas-batas syaraknya. Tak lain tak bukan, semuanya adalah untuk menjaga kita, kerana dalamnya cinta Allah pada hambaNya. Analogi dengan ibu kita, ibu kita melarang kita begitu dan begini kerana sayangkan kita, mahu menjaga kita sebaik-baiknya.
Sebenarnya, kita akan tenang kalau memandu hati menurut ketetapan Allah. Sebab Allah yang menciptakan hati kita, dan mengawalnya. Tentulah Dia menetapkan begitu kerana sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia.
Kagum. Saya teramat-amat kagum apabila melihat insan-insan yang bertaut hatinya dengan nama Allah. Lihatlah peribadi mereka yang sungguh terdidik. Keikhlasan yang menjernihkan wajah, nampak suci peribadi mereka. Erat persahabatan itu kelihatan sungguh terjaga. Saling menasihati dan saling mendidik antara satu sama lain. Saya merenungkan tingkah laku mereka, bagi saya hubungan hati-hati yang bertaut kerana Allah itu sebenarnya terjaga kerana keberkatannya.
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-'Asr:1-3)
Saya mungkin nampak pelik kerana suka memerhati kelakuan orang-orang tertentu. Yang paling saya suka perhatikan ialah golongan seperti yang saya sebutkan tadi. Mereka saling nasihat-menasihati. Masing-masing begitu menjaga perlakuan dan tatatertib terutamanya soal agama. Kasih sayang mereka pula tampak terlalu ikhlas. Suci dan terjaga.
Mungkin ada yang kata, 'skema', 'alim kucing' atau apa-apa saja. Sebenarnya, apa-apa yang dilakukan kerana Allah itu boleh mententeramkan jiwa. Biarlah orang lain tak suka, tapi sebenarnya mesti ada juga golongan yang sudi menerima. Allah tak akan biarkan seseorang hambaNya menderita tak bersudah. Paling habis sekalipun deritanya adalah sampai kematiannya. Siapa tahu di dunia dia menderita, saat mati Allah permudahkan dia buat selama-lamanya?
Ada yang akan bosan dengan golongan tadi, tetapi percayalah. Hati-hati yang saling mencintai kerana Allah akan selalu bahagia dengan perhubungan mereka. Mungkin ada yang rasa janggal dengan pembawakan diri mereka yang adakalanya dianggap syadid. Namun, hakikatnya bersahabat dengan orang-orang seperti ini, ukhuwahnya sungguh mendalam. Sangat manis.
Namun bukan semua hubungan itu akan mendapat keberkatan. Boleh jadi hilang berkatnya kerana dosa. Boleh jadi hubungan sekadar berkulitkan keimanan tetapi menyembunyikan kebatilan. Allah lebih Mengetahui.
Untuk menyimpulkan post ini, bacalah post seterusnya. Pelengkap kepada semua yang tertulis ini, mungkin lebih mudah difahami... =)
Bingkisan Buat Teman
Cinta Sejati
kita semua bercinta. seorang pun tidak akan lari. tidak percaya?tidak mengapalah. kita semua dalam hidup berpeluang merasai cinta yang sentiasa berbalas. cinta yang membahagiakan, tidak akan membuat kita berasa sesal.
melihatkan perenggan pertama itu, pembaca mungkin sudah membuat pelbagai kesimpulan. sesetengahnya mungkin sudah berjaya menebak maksud yang saya sampaikan. sesetengah pula mungkin sudah membuat pelbagai spekulasi.
tidak mengapa, teruskan dahulu spekulasi itu. kerana saya mahu biarkan dahulu semua membayangkan apakah cinta berbalas yang kita cari dalam kehidupan. cinta yang teramat membahagiakan dan tidak akan mengecewakan.
cinta suci yang tiada akan terpalit noda walau setitik. cinta suci yang sentiasa dilindungi. tiada perlu kita bermusuhan dengan sahabat handai demi cinta itu. kesimpulannya, sesuatu cinta yang terlalu indah. terlalu agung. terlalu sempurna!
cinta itulah cinta teragung, cinta kepada ALLAH. cinta yang sentiasa mampu mententeramkan di saat hati gelisah. cinta yang sentiasa membahagiakan. di balik derita yang didugakan, masih juga wujud bahagia yang indah. cinta yang membawa beruntung, cinta yang tiada akan pernah membuat hati luka. cinta yang tiada istilah kecewa.
buat semua yang pernah terluka, tentu sudah tahu pahit manisnya madah berhelah. saya tidak mahu menunding lelaki mahupun perempuan, kerana bagi saya syaitan menghasut bukan sekadar adam, kaum hawa pun tidak terlepas. ada lelaki yang mempermainkan perempuan, tidak lupa juga perempuan memainkan hati lelaki.
puncanya apa? mungkin ramai yang beranggapan, ‘aah, sudah lidah bercabang, apa lagi nak dipertikai’, ‘kalau dah buaya tu buaya jugak’ dan bermacam-macam lagi. tetapi lupakah kita pada dalang segala kejahatan? lupakah kita pada ‘si dia’ yang berjanji menggoda manusia sampai kiamat?
syaitan. ya, dialah menggoda manusia berlaku mungkar. tiada dilupa nafsu serakah. membawa ke lembah kesesatan. maka apakah yang mahu dihairankan bila seorang yang tampaknya alim berkopiah sudahnya berzina? bukan saya menghina. apa yang saya cuba katakan, tiada siapa terlepas dari angkara nafsu dan syaitan. janganlah salahkan orang itu semata-mata.ya salahnya tetap ada, tetapi kita jugak harus waspada. siapa tahu, hari ini, menunding orang, esok lusa kita pula terjebak. bukan berdoa, tetapi peringatkan diri sendiri.bukankah setiap kali telunjuk menunding orang, empat jari pulang kepada kita?
maka, sesudah kecewa, ke manakah tempat kita bergantung? ingat, andai ALLAH tiada mahu lagi menerima kita setelah kita menduakan cintaNYA dengan nafsu serakah, hancur! habis dunia, habis akhirat!
mesejnya di sini, cintailah ALLAH sepenuh hati. DIA tidak akan pernah mengecewakan kita. cintaNYA lah yang selama ini membenarkan kita terus bernafas di bumiNYA ini. maka, apakah sanggup kita lupa kepadaNYA? sanggupkah kita membiarkan diri kita terhuyung hayang tanpa cintaNYA? renung-renungkanlah.





