"Uhibbukifillah ya ukhti"
"Saya mencintai awak kerana Allah"
Sebaris sahaja kata ini, membawa maksud yang mendalam bagi saya untuk direnungkan.
Saya temui ayat ini tahun lepas dalam novel Cerita Dari Hati karya Nurul Nazwa, namun tidak pula saya terdetik untuk mendalami maksudnya.
Masa semakin berlalu dan saya temui ayat itu sekali lagi di facebook beberapa bulan yang lalu. Alhamdulillah kali ini saya tertarik sangat dengan kata-kata itu. Saya cuba gunakan pada saudara yang saya sayangi dengan nama ukhuwah.Ternyata, semakin saya mendalaminya, semakin saya bahagia dengan penghayatannya.
Kita diwajibkan mencintai Allah melebihi segala yang lain. Sungguhpun begitu, Allah tidak sama sekali menyuruh kita semua saling membenci dan cuma mencintai Dia. Al- Quran dan Sunnah sendiri membuktikan Islam agama yang sangat mementingkan perpaduan dan kasih sayang. Ada dalil daripada hadis dan ada dalil daripada ayat Al-Quran untuk menjelaskannya.
"Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan atau memutuskan persaudaraannya melebihi tiga hari." (hadis)
"Sesungguhnya ALLAH S.W.T berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-Ku." (hadis sahih muslim)
"Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri" (hadis)
Bukankah jelas ditunjukkan di sini bahawa Islam tidak menyekat kasih sayang dan mencambahkan benih kebencian? Kesimpulan ini buat saya keliru dahulu. Dalam Majalah Solusi isu 23, memberitahu bahawa sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan dua cinta dalam satu hati. Kalau mula kita membaca sebaris ayat itu, kemungkinan untuk kita membuat pelbagai andaian itu sangat tinggi.
Allah tidak melarang kita mencintai saudara seislam kita, malah mewajibkannya. Betapa islam mementingkan kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan manusia, sehinggakan dikatakan tidaklah sempurna iman kalau tidak betul-betul mencintai saudara seislam kita seperti mencintai diri sendiri. Namun, sebaik-baiknya adalah mencintai saudara kita sepertimana mencintai diri kita, dan mencintai diri kita itu tidaklah lebih daripada kita mencintai Allah yang menciptakan kita.
Ambillah kasih sayang ibu kita sebagai analogi. Seorang ibu sangat-sangat sayang kepada anaknya. Namun dia juga mendidik anaknya agar sayang ayahnya. Dia mahu anaknya turut sayang dan saling menjaga dengan abang, adik, dan kakak. Dia sekolahkan anaknya dan biar anaknya bergaul dengan rakan-rakan,buat anaknya sayang kawan-kawan. Apabila dewasa, dia biarkan anaknya menikah. Dia ajar anaknya agar taat dan cinta suaminya (anak perempuan). Dia tidaklah mengongkong anaknya untuk cuma sayang dirinya, malah sampai sanggup membiarkan anaknya punya kekasih hati dan memilih jalannya. Cuma satu harapannya, JANGAN DILUPAKAN DIRINYA.
Allah pula sebagai tuhan Yang Maha Esa, Dia membenarkan malah memerintahkan manusia untuk saling mencintai sesama manusia. Namun, adalah syarat dan batasnya. Ibu kita pun, tentu ada menggariskan batasan untuk kita. Tidak mungkin ibu kita akan suka kita mencintai lelaki sampai melakukan maksiat, bukan? Inikan pula Allah. Allah telah menetapkan bagi kita pula untuk bercinta hanya dengan insan-insan yang dihalalkan, juga ditetapkan batas-batas syaraknya. Tak lain tak bukan, semuanya adalah untuk menjaga kita, kerana dalamnya cinta Allah pada hambaNya. Analogi dengan ibu kita, ibu kita melarang kita begitu dan begini kerana sayangkan kita, mahu menjaga kita sebaik-baiknya.
Sebenarnya, kita akan tenang kalau memandu hati menurut ketetapan Allah. Sebab Allah yang menciptakan hati kita, dan mengawalnya. Tentulah Dia menetapkan begitu kerana sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia.
Kagum. Saya teramat-amat kagum apabila melihat insan-insan yang bertaut hatinya dengan nama Allah. Lihatlah peribadi mereka yang sungguh terdidik. Keikhlasan yang menjernihkan wajah, nampak suci peribadi mereka. Erat persahabatan itu kelihatan sungguh terjaga. Saling menasihati dan saling mendidik antara satu sama lain. Saya merenungkan tingkah laku mereka, bagi saya hubungan hati-hati yang bertaut kerana Allah itu sebenarnya terjaga kerana keberkatannya.
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-'Asr:1-3)
Saya mungkin nampak pelik kerana suka memerhati kelakuan orang-orang tertentu. Yang paling saya suka perhatikan ialah golongan seperti yang saya sebutkan tadi. Mereka saling nasihat-menasihati. Masing-masing begitu menjaga perlakuan dan tatatertib terutamanya soal agama. Kasih sayang mereka pula tampak terlalu ikhlas. Suci dan terjaga.
Mungkin ada yang kata, 'skema', 'alim kucing' atau apa-apa saja. Sebenarnya, apa-apa yang dilakukan kerana Allah itu boleh mententeramkan jiwa. Biarlah orang lain tak suka, tapi sebenarnya mesti ada juga golongan yang sudi menerima. Allah tak akan biarkan seseorang hambaNya menderita tak bersudah. Paling habis sekalipun deritanya adalah sampai kematiannya. Siapa tahu di dunia dia menderita, saat mati Allah permudahkan dia buat selama-lamanya?
Ada yang akan bosan dengan golongan tadi, tetapi percayalah. Hati-hati yang saling mencintai kerana Allah akan selalu bahagia dengan perhubungan mereka. Mungkin ada yang rasa janggal dengan pembawakan diri mereka yang adakalanya dianggap syadid. Namun, hakikatnya bersahabat dengan orang-orang seperti ini, ukhuwahnya sungguh mendalam. Sangat manis.
Namun bukan semua hubungan itu akan mendapat keberkatan. Boleh jadi hilang berkatnya kerana dosa. Boleh jadi hubungan sekadar berkulitkan keimanan tetapi menyembunyikan kebatilan. Allah lebih Mengetahui.
Untuk menyimpulkan post ini, bacalah post seterusnya. Pelengkap kepada semua yang tertulis ini, mungkin lebih mudah difahami... =)
Jemput Follow :)
Manisnya Cinta..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment