Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Semangat Dakwah

Barulah aku tahu.. kenapakah dakwah itu begitu besar pahala dan kebaikannya.
Barulah aku faham.. kenapa dakwah itu dinamakan suatu perjuangan.
Barulah aku sedar.. kenapa bukan calang-calang orang mampu berdakwah.


"Jika ALLAH memberi hidayah kepada seseorang lantaran keranamu,
maka itu lebih baik bagimu berbanding setiap apa yang disinari matahari."
(Riwayat Tarmizi)


Ternyata ALLAH cukup hebat menilai. Diberikan kepada hambaNYA sesuatu penghargaan yang teramat hebat jika berjaya melaksanakan amar makruf nahi mungkar.Itulah kerana kentalnya dugaan yang bakal diharungi.


Sebab itulah juga manusia tetap diberi rukhsah.


"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan.
Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lidah.
Sekiranya masih tidak mampu, maka ubahlah dengan hati.
Dan mengubah dengan hati itu ialah selemah-lemah iman."


Kita diberi kelonggaran iaitu kalaulah kita bukan berkuasa untuk mencegah kemungkaran dengan tindakan kita seperti menguatkuasakan undang-undang, menangkap penjenayah, kita masih lagi boleh menasihati orang yang berbuat mungkar dengan apa jua cara yang berhikmah, itulah bakti dengan lidah. Namun jika kedua-duanya tetap tidak mampu, maka tetaplah membenci kemungkaran itu dalam hati. Itulah darjah keimanan yang paling rendah.


Bila saya renungkan apa yang terkandung dalam hadis ini, saya rasa banyak sangat pengajarannya. Saya rasa, setiap satu hadis atau ayat al quran itu sebenarnya terlalu tinggi keajaibannya. Bukankah semuanya datang dari ALLAH..


Disebut darjah keimanan dalam hadis ini dalam frasa selemah-lemah iman. Kalau difikirkan, kenapa agaknya ya? Kenapa dikatakan membenci dengan hati adalah selemah-lemah iman? Saya bertanya sekian lama, kini saya mula mendapat ilham berdasarkan keadaan yang sedang berlaku masa kini.


Sebab bukanlah semua orang mampu berdakwah dengan hebat. Mungkin juga ada potensi tapi tidak ada keinginan dan usaha, mungkin juga ada keinginan tetapi tiada usaha. Apapun, setiap manusia itu punya potensi, tetapi terpulanglah bagaimana mengembangkannya.Sungguh saya kagumi insan-insan yang telah menjadi pendakwah yang hebat. Saya kagum melihat mereka yang rela berkorban dalam berdakwah. Maka bagi orang yang mampu menahan segala macam dugaan, sanggup meneruskan perjuangan, saya fikirkan tentulah kerana iman mereka yang sangatlah kuat.Bagi mereka yang tidak mampu mungkin dari segi keterbatasan kuasa untuk menasihati, ataupun ketidaksanggupan menerima segala macam penghinaan, mereka membenci kemungkaran itu dalam hati. Mungkin iman mereka tidaklah sehebat para pendakwah. Maksud saya kekuatan jiwa mereka untuk menyuarakan kemungkaran itu kurang berbanding golongan pendakwah yang menyeru dengan lidah malah bertindak pula dengan tangan yang berkuasa.


Tidak kurang juga ada yang berjuang dengan mata pena. Saya kagumi tokoh-tokoh seperti penulis terkenal Dr Aidh' Bin Abdullah Al-Qarni. Dengan sebaris ayat yang ditulisnya mampu membuatkan insan yang lena bangkit terjaga. Golongan penulis hebat saya rasa dikatakan hebat kerana sebaris kata-katanya sahaja kadangkala mampu menggoncang dunia. Fatimah Syarha Mohd Noordin, usianya baru hendak menginjak 30-an. Bakatnya? Novelnya cukup sarat dengan pengajaran. Novelis yang saya rasa paling mendidik sekali dalam kalangan novelis Malaysia. Ya, saya kurang arif tentang novelis luar negara. =)


Dakwah itu sentiasa mekar jika semua mengamalkannya. Saya rasa, walaupun dunia bergolak dengan seribu satu macam krisis moral, sebenarnya masih lagi ada golongan pencinta dakwah yang mahu mengembalikan kesedaran, menghembuskan udara dakwah ke atmosfera dunia islam. Masih ada lagi yang bercita-cita menjadi daie. Masih wujud lagi orang-orang yang kuat berjuang.


Persoalannya, adakah cuma segelintir ini yang mahu berdakwah? Bukankah amar makruf nahi mungkar itu tanggungjawab semua umat? Kalau semua orang itu ada potensi, kenapa tidak semua sekali bangkit menyemarakkan dakwah? Kenapa tidak semua mengembangkan potensi yang ada dalam diri masing-masing? Kalaulah semua berusaha, mungkin bukanlah semua sekali 100% akan berjaya. Mungkin 80% yang mampu. Namun kalau ditimbang tara, bukankah 80 dari 100 itu lebih banyak berbanding 10 dalam seratus? Kalau yang tidak mampu berdakwah tetap berusaha, mungkin saja boleh jadi pengikut dan pelajar. Kiranya wujud pengajar dan pelajar dalam konteks dakwah islamiah, insyaALLAH kita semuanya mampu hidup dalam atmosfera agama yang subur. Kenapa tidak?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment