Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (10)

"Kalau abang balik kampung sekalipun, abang pasti yang anak-anak abang masih tinggal di situ? Tolonglah. Isteri abang tu dah meninggal. Anak-anak abang tu entah di mana. Entah-entah dulu dah kena hantar ke rumah anak yatim sebab tak ada mak ayah. Abang pasti ke mereka tu masih lagi tinggal di kampung tu?" Faizah akhirnya meluahkan juga apa yang terbuku di hatinya.

"Memang abang tak pasti. Sebab tu abang nak cari,"Zulfakar masih berkeras mahu pulang mencari anak-anaknya.

"Abang ni memang nak cari anak abang ataupun abang dah rindu arwah isteri abang?"

"Astaghfirullahalazim. Takkan dengan orang yang dah meninggal pun Zah nak cemburu? Apa Zah ingat kalau abang balik tu arwah isteri abang boleh hidup balik? Tidak, Zah. Dia tetap dah tak ada,"wajah Faizah direnung bingung. Adakah wanita ini sudah hilang akal warasnya? Dengan insan yang sudah arwah pun hendak menyimpan cemburu?

"Abang, mungkin dia dah mati di dunia ni. Hakikatnya Zah tahu dia kekal hidup dalam hati abang. Kalau abang balik sana, tak ke abang nak rindu dia lagi? Anak-anak abang yang semuanya tentulah ada iras dengan arwah, akan ingatkan abang balik pada arwah. Tambah pula abang tentu ingat yang isteri abang yang sekarang ni tak dapat nak lahirkan anak untuk abang. Itu ketinggian darjat dia berbanding Zah," belum sempat Zulfakar hendak membantah, Faizah sudah menggeleng keras.

"Abang mungkin fikir benda ni tak logik. Abang mungkin rasa benda ni tak penting, tapi pada Zah penting. Abang tak faham apa yang Zah rasa. Enough,"Faizah terus hendak melangkah pergi.

"Kalau abang nak balik juga, abang baliklah, itu hak abang," Faizah berpaling dan berpesan ayat terakhirnya. Dia tahu, kalau dihalang sekalipun, kerinduan Zulfakar tidak boleh dihalang.

"Zah, Zah marahkan abang kan kalau abang balik?"Zulfakar memegang tangan Faizah. Dia mencari jawapan dari mata Faizah. Dia tahu, Faizah bukannya pandai menipu.

"Biar masa tentukan. Sudahlah, Zah nak mandi ni," Faizah terus berlalu ke bilik air.

                  **********************************************


Zulfakar resah. Dia tahu Faizah agak berkecil hati dengannya. Dia cemburu akan arwah isterinya. Tambah pula apabila disebut soal anak. Tidak dinafikan, memang arwah isterinya yang memberi keturunan untuknya. Faizah pula tidak. Namun itu bukan salahnya.

Dia menjadi isteri Zulfakar pada usia 42 tahun. Logiklah kalau mereka tiada anak. Tidak ada apa yang perlu dipersoalkan. Namun Faizah jadi emosi apabila Zulfakar mahu pulang mencari anak-anaknya. Mungkin juga dia bimbang dirinya tersisih. Sekali lagi, Zulfakar memahami keadaan. Rasa cemburu itu bukanlah salah Faizah. Malah dia bersyukur kerana itulah bukti cinta Faizah terhadap dirinya.

"Zah, nak buat apa ambil kunci kereta tu?" Terperanjat Zulfakar melihat isterinya mengambil kunci kereta. Selalunya, dia yang menghantar Faizah ke mana-mana.

"Oh, Zah lupa nak cakap kat abang. Zah nak keluar pergi kedai kejap, minyak masak dah habis. Abang janganlah buat muka macam tu, Zah bukannya nak lari dari rumah pun. Abang tak payah risaulah," Faizah tersenyum melihat wajah Zulfakar yang kelihatan agak panik.

"Kenapa tak cakap? Selalu kan abang hantar Zah atau abang pergi beli kalau barang habis," Zulfakar tahu, Faizah bertindak di luar kebiasaan tentu kerana berkecil hati dengan dirinya.

"La, abang ni. Sekali sekala Zah nak memandu takkan tak boleh. Buat rugi lesen Zah kalau tak memandu langsung,"Faizah sebenarnya mahukan ketenangan. Dia mahu bersendirian memikirkan apa yang terbaik buat dirinya.

"Tak apa, abang memang nak keluar pun. Tengahari ni tak payah masak, kita makan di kedai,"Zulfakar berhelah. Dia sebenarnya enggan membiarkan Faizah sendirian. Takut bertindak di luar kebiasaan.

"Hmm, abang pergilah mandi, bersiap. Takkan nak pergi kedai makan siang-siang macam ni pakai kain pelekat,"

"Zah pun tukarlah baju. Pakai cantik-cantik sikit. Abang nak ajak 'dating' ni," sempat lagi Zulfakar mengusik. Dia tersenyum nakal dan mengenyit mata.

"Ish, dah tua-tua pun perangai tak ubah-ubah! Pergilah mandi. Haish, sempat lagi dia," bebelan Faizah disambut dengan gelak ketawa Zulfakar. Dia terus masuk mandi. Sekiranya dia masih menunggu, tentu cubitan berbisa akan singgah di badannya.

Alhamdulillah, marah Faizah berjaya juga disurutkan berkat sifat lembut Zulfakar. Itulah yang diajarkan melalui teladan sifat Rasulullah. Sifat Rasulullah yang sentiasa berlemah-lembut dalam berdakwah dan pergaulan membuatkan baginda ditaati. Sunggguh, pada peribadi rasulullah itu terdapatnya segala bentuk contoh teladan.

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya" hadis Rasulullah, riwayat al Tarmizi. Hadis ini semasa pertama kali Zulfakar baca sebelum menikahi Faizah, buat dirinya menangis tanda kesal. Sekiranya yang paling baik itu ialah yang berbuat baik, yang berbuat jahat, berlaku kejam sepertinya itu apa?

Sebab itu, seboleh-bolehnya dia cuba berlaku baik terhadap Faizah. Sebaik mungkin. Dia mahu dirinya tergolong dalam golongan orang-orang yang terkandung dalam hadis Rasulullah itu. Baginya jodohnya dengan Faizah seumpama suatu peluang kedua untuk memperbetulkan dosa silam.

Mereka berbual-bual sepanjang perjalanan. Zulfakar sengaja memilih jalan jauh supaya mereka boleh berbual lebih lama. Faizah memandang pelik, selama ini tidak pernah-pernah Zulfakar memilih jalan jauh. Sudahlah jalan yang dipilih itu memang jarang sangat mereka lalui.

"Kenapa abang pilih jalan jauh ni?"

"Saja," sebenarnya hati Zulfakar sendiri berbisik supaya dia melalui jalan tersebut. Entah mengapa, dia pun tidak tahu. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu dicarinya di situ.

"Abang, tengok tu!" Faizah terkejut dan menghalakan telunjuknya ke tepi jalan. Seorang gadis terbaring di tepi jalan, tidak sedarkan diri. Zulfakar turut terkejut.

Zulfakar memberhentikan keretanya berhampiran tempat gadis itu berbaring. Dia mendahului Faizah turun dari kereta. Mereka meluru ke arah gadis itu.

"Abang, lutut seluarnya koyak, luka kesan terseret ni. Zah rasa dia mangsa ragut. Di hospital selalu ada kes macam ni masuk wad," Faizah memang sudah berpengalaman dalam kes-kes sebegini. Maklumlah kes ragut sememangnya berleluasa di Kuala Lumpur. Hampir setiap hari ada sahaja mangsa ragut yang dimasukkan ke hospital.

"Ya Allah, bahaya ni! Dahlah tempat sunyi, pakaian pun mencolok mata. Kalau dijumpa dek orang jahat, entah apa la jadi, masyaAllah,"Zulfakar terperanjat.  Dunia zaman sekarang memang macam-macam boleh jadi. Itupun ada lagi perempuan yang tunjuk berani hendak mempertontonkan aurat, memperlihatkan perhiasan.

"Abang, kita bawa dia ke hospital tempat kerja Zah. Senang sikit nak berurusan," Faizah mahu gadis itu segera mendapat rawatan doktor.

Zulfakar mengangguk. Mereka memapah gadis itu ke dalam kereta. Entah mengapa, naluri Zulfakar terusik dengan kehadiran gadis itu. Nafsunya tidak bergelora langsung apabila menyentuh gadis itu, seolah-olah ada sesuatu yang istimewa padanya.

Faizah memilih duduk di tempat duduk belakang. Dia membaringkan tubuh gadis itu dan meletakkan kepala gadis itu di ribaannya. Wajah itu dipandang sekilas. Sungguh ayu wajahnya. Pipinya putih kemerah-merahan, namun pucat. Tubuhnya luka di sana sini. Melihatkan bentuk tubuh gadis itu, dia bersyukur kerana nampaknya gadis itu belum tercemar.

Rambutnya sungguh halus dan lembut, ikal mayang. Kulitnya putih gebu, memikat mata yang memandang. Sebiji jerawat pun tidak singgah di pipi mulusnya. Faizah  melihat tepi wajah gadis itu. Ada bekas 'side burn' yang menunjukkan gadis itu dahulunya bertudung. Faizah beristighfar.

'Inilah sudahnya apabila aurat yang dulu tertutup, dijaja bebas buat pandangan mereka yang tidak berhak. Mungkin inilah kifarah buat dosa yang engkau lakukan. Semoga AllaH mengampuni dosa-dosamu, dan membuka seluas-luasnya hatimu untuk menerima pancaran sinar hidayah.'Faizah sempat mendoakan gadis itu sebelum kenderaan sampai di hospital.

'Semoga Allah masih memanjangkan usiamu untuk bertaubat kepada-Nya. Sekiranya kau masih hidup, aku dengan rela sanggup mengambilmu sebagai anak angkat untuk ditarbiah, kiranya kau tiada berwaris.' Faizah terus berdoa sementara jururawat bertugas menolak gadis itu ke wad kecemasan menggunakan katil pesakit.

Entah mengapa, hatinya jatuh sayang pada gadis bertubuh tinggi langsing itu. Naluri keibuannya sungguh terusik saat dia melihat wajah mulus itu. Rasanya seolah-olah gadis itu anaknya sendiri, walhal mereka tidaklah saling mengenali. Subhanallah. Allah meniupkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan ke dalam hati manusia agar saling menyayangi dan membantu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment