Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (5)

"Apa yang awak menungkan lagi tu, Fakar? Sah-sah awak teringat Su tu lagi, kan?" Tempelak Faizah melihat suaminya, Zulfakar masih termenung walaupun sudah tiga kali namanya dipanggil.


"Eh, Zah. Mana ada. Abang letih aje la,"Zulfakar berdalih.

"Letih apanya, abang bukannya pergi kerja pun hari ni. Sajalah tu, nak cari alasan. Mengaku je lah, abang masih angaukan perempuan tu. Entah apalah yang dia jampi kat abang, sampai sekarang tak lupa dia,"

Zulfakar diam. Dia tidak tahu dalih apa lagi yang boleh digunakan. Dia tahu, Faizah dapat meneka sebab sebenar dia berdiam diri. Memang benar, dia teringat akan arwah isterinya. Dia juga teringatkan tiga orang anak yang ditinggalkannya semasa mahu menikahi Suraya.

Namun, sampai sekarang dia tidak dapat memaafkan dirinya dan Suraya. Wanita itu meninggalkannya setelah tidak sampai setahun mereka berkahwin. Puncanya? Jatuh hati dengan seorang lelaki sebaya dengannya. Tentulah Suraya lebih suka pada orang muda berbanding dirinya yang usia pada masa itu sudah menginjak ke angka 48 tahun. Setelah semua janji manis lebur, tinggallah dia sendirian.

Atas rasa insaf, dia mahu pulang ke pangkuan isterinya. Ketika dia ingin pulang bertemu isterinya, dia telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan hilang ingatan. Dalam tempoh itu, isterinya telah meninggal dunia. Dia yang belum ingat apa-apa, dirawat di hospital tanpa ada waris yang menjaganya.

Masih segar di ingatannya, waktu di hospital, sesetengah jururawat memandang jelek akan dirinya. Mungkin mereka menyangka bahawa dia penjenayah atau mungkin pelarian yang gagal dikenalpasti identitinya. Tiada siapa pun yang mahu mengambil berat akan dirinya. Mereka hanya datang sekadar menjalankan tugas ala kadar kemudian berlalu. Kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa langsung, senyum pun sekadar hendak menyedapkan hati semata-mata.

Namun, satu-satunya insan yang prihatin ialah ketua jururawat di situ, Faizah. Wanita berusia 42 tahun itu merupakan janda yang telah kematian suami dan anak sepuluh tahun yang lalu. Mungkin kerana dia sendiri punya sejarah pahit, dia lebih prihatin terhadap Zulfakar.

Wanita itu selalu datang ke wadnya apabila senang. Dia selalu bercerita dengan harapan Zulfakar akan dapat mengingat kembali apa yang patut. Kadang-kadang dia membawa Zulfakar ke taman reflekseologi di perkarangan hospital. Sudah tentu Zulfakar sedikit aneh, apa yang perempuan ini cuba lakukan, namun lama-kelamaan dia boleh menerima kebaikan Faizah.

Suatu hari, dia telah dihina oleh seseorang yang tidak Zulfakar kenali. Namun, apa yang dia faham, Faizah dihina kerana latar belakangnya. Itulah kali pertama Zulfakar melihat air mata Faizah. Dia nampak sungguh sedih. Hari itu, dia tidak ke wad Zulfakar, sebaliknya memencilkan diri di sebuah wad kosong apabila senang.

Zulfakar terlalu simpati. Tanpa bantuan sesiapa, dia berusaha sedaya upaya menolak kerusi rodanya sendiri menuju ke arah Faizah. Dia menanyakan punca sebenar Faizah dihina sedemikian. Ketika itu, dia sudah mula pulih dan semakin sedar tentang hal sekeliling. Dia hanya mampu mengingati perkara asas sahaja tentang dirinya sendiri.

Pada awalnya, Faizah enggan bercerita. Dia rasa tidak perlu baginya berkongsi cerita dengan Zulfakar. Perkara itu masa silamnya, bukanlah sesuatu yang layak dihebohkan. Sejarah hitam yang melukakan dirinya sekian lama.Namun, setelah puas dipujuk dan didesak oleh Zulfakar, akhirnya dia membuka juga mulutnya menceritakan kisah sedihnya itu.

Dia menceritakan kisahnya yang diperangkap khalwat dengan arwah suaminya lalu terpaksa bernikah. Pun begitu, dia masih redha dan menerima hakikat bahawa lelaki itu jodohnya. Namun, sungguh menyedihkan apabila suaminya langsung tidak sudi menerima dirinya. Dia sekadar dijadikan tempat melampias nafsu. Di luar, suaminya masih lagi mempunyai perempuan simpanan.

Walaupun setelah mereka mempunyai seorang anak, sikap suaminya tidak pernah berubah. Dia masih gagal menerima hakikat bahawa jodoh itu ketentuan Allah. Dia masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih bergembira di samping perempuan-perempuan murahan di kelab malam. Tanggungjawab di rumah langsung tidak dipedulikan.

Suatu hari, Faizah perasan ada banyak kesan kudis di badan suaminya yang tidak hilang. Dia jadi hairan. Apabila dia bertanya, hanya tengkingan menyuruhnya berhenti menyibuk yang dijadikan jawapan. Sehinggalah suatu hari, Faizah mendesak suaminya membuat pemeriksaan di hospital setelah demam panasnya tidak sembuh-sembuh, malah badannya juga semakin susut. Barulah Faizah mendapat jawapannya. AIDS telah menjangkiti suaminya.

Pemeriksaan dijalankan ke atas Faizah dan anaknya. Ajaibnya, kedua-dua mereka selamat. Ternyata Allah memang melindungi hamba-Nya yang teraniaya.Faizah tetap tabah menjaga anaknya yang masih kecil dan suami yang sakit.

Namun, takdir tuhan siapalah dapat menduga. Dalam perjalanan ke hospital untuk membolehkan rawatan dijalankan ke atas suaminya, mereka kemalangan. Suaminya meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anaknya meninggal dunia setelah dua hari ditahan di hospital dalam keadaan kritikal.

Bangkai gajah masakan dapat ditutup. Jiran-jiran mencemuhnya kerana bersuamikan seorang pesakit AIDS. Mereka menuduhnya turut dijangkiti penyakit itu, padahal dia sudah disahkan bebas sepenuhnya dari wabak membunuh itu.

Walaupun suami dan anaknya sudah meninggal dunia, cemuhan tidak pernah berhenti menujah telinganya. Akhirnya, merasakan bahawa dia sudah tidak lagi berdaya mahu terus tinggal di taman perumahan itu, dia nekad berpindah dan memulakan hidup baru.

Sayangnya, setelah dia berjaya memulakan hidup baru, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran salah seorang jiran lamanya di hospital itu. Jirannya itu enggan langsung menerima sebarang layanan daripadanya daripada bersalaman hinggalah menyuntiknya. Sebaliknya, dia menghina Faizah terus di hadapan semua orang.

Mendengarkan kisah sedih itu, Zulfakar jatuh simpati. Dia cuba memberi kata-kata semangat untuk membantu Faizah. Dia sedar, wanita itu sangat memerlukan bantuan seseorang untuk menguatkan semangatnya.

Sesuatu yang pelik dirasakannya selepas mendengar cerita Faizah. Dia rasa seolah-olah cerita itu menghukumnya atas sesuatu perkara, namun dia tidak tahu apakah perkara itu. Dia cuba mengingatnya semula, namun makin dipaksa, makin sakit kepalanya, makin bingung fikirannya.

Malam itu, dia bermimpi dipukul dengan cemeti. Dia jadi bingung dan takut. Setiap kali hendak tidur, dia akan dihantui suara tangisan seorang wanita dan dua anaknya.Dia sendiri jadi hairan. Lama-kelamaan, dia boleh mengingati siapa dirinya. Namun, persoalan tentang wanita dan anak-anak itu kekal menghantui mindanya.

Perlahan-lahan sifat prihatin dan kelembutan Faizah berjaya menambat hati Zulfakar. Hati tuanya mula diserang penyakit cinta. Pada usia 49 tahun, mungkin kedengaran aneh jika dikatakan dia sedang dilamun cinta. Hakikatnya memang begitu. Dia sudah pandai merindui Faizah.

Dia akhirnya meminta bantuan rakan baik Faizah, Mastura untuk menanyakan isi hati Faizah. Terkejut besar Mastura apabila mengetahui bahawa Zulfakar menaruh hati pada Faizah. Mulanya dia rasa macam jijik pula hendak memadankan Faizah dan Zulfakar. Walaubagaimanapun, dia tidak bolehlah bertindak ikut sedap hati. Mana tahu, kalau-kalau Faizah pun memendam rasa? Lagipun, mereka memang sangat rapat.

"Assalamualaikum, Faizah. Jom turun makan?" Ajakan Mastura itu memang sengaja mahu memerangkap Faizah.

"Waalaikumussalam. Aku tak ada seleralah. Temanlah aku. Kita sembang-sembang di sini. Kalau lapar nanti, ni ada makanan dalam beg aku,mintak aje,"Faizah memang selalu membawa makanan ke tempat kerja.

"Okey, aku tak ada masalah. Alang-alang ada orang tu nak belanja, selamatlah duit aku petang ni," Seloroh Mastura. Sebenarnya, dia gembira bukan kepalang. Mudah sedikit kerjanya.

"Er, Faizah, aku nak tanya sikit, kau ada tak hasrat nak nikah semula?"Mastura memulakan bicara.

"Nikah? Kau ni demam ke? Takkan dah lupa umur aku berapa. Manalah ada orang nakkan perempuan tua macam aku ni,"

"Manalah tahu, kalau-kalau kau nak kahwin dengan Zulfakar ke? Nampak rapat aje kau dengan dia,"Merona merah muka Faizah apabila nama itu disebut. Dia jadi malu dan segan.

"Kau ni tak ada kerja agaknya, tak memasal nak pasangkan aku dengan Fakar. Takkanlah dia nak kahwin dengan aku. Lelaki, kalau dah tua pun, hati muda lagi tau! Aku yang perempuan ni, dah menjanda ni, takkanlah dia nak,"

"Dari tadi aku dengar kau cakap dia tak nak. Maknanya, kau naklah ya?"Mastura cuba menduga isi hati Faizah. Makin memerah muka Faizah.

"Mana ada," Terketar-ketar bibir Faizah menjawab. Lagaknya bagai anak dara menjawab risikan.

"Adalah tu. Muka pun dah merah menyala,"

"Tak ada,"

"Demi Allah tak ada?"

"Err..." Faizah hilang bicara. Dia tahu dia tidak boleh berselindung lagi. Dengan muka merah, dia mengiyakan sahaja bahawa dia punya perasaan pada lelaki itu.

"Ha, mengaku macam ni kan senang. Mudah kerja aku," Kata-kata itu buat Faizah mengangkat kening. Dia hairan dengan sikap Mastura.

"Apa kena dengan kau hari ni, sebenarnya Mas? Aku tengok macam kena sampuk aje. Jin mana pulak bertandang kat kau hari ni?"

"Jin Zulfakar," Mastura berkias. Kiasan itu menyebabkan dia mendapat satu cubitan di paha.

"Okey,okey. Amboi, bukan main marah lagi kau ya! Orang dilamun cintalah katakan. Macam ni, sebenarnya, Zulfakar kau tu yang suruh aku risik tanya kau, kau sudi tak nak jadi isteri dia. Dia kata, dia tak boleh nak cari orang lain sebab dia bukannya kenal saudara-mara kau. Jadi macam mana, on ke off?"

Lama Faizah membisu. Akhirnya dia bersuara,

"Kalau dialah yang ditakdirkan memimpin seluruh hidup aku, aku redha terima apa yang Allah tentukan untuk aku,"

Selepas beberapa bulan,ijabkabul terpatri antara mereka, kekal hingga saat itu. Zulfakar memandang sebelahnya. Faizah sudah terlelap keletihan. Dia terus mengenang lagi sejarah hidupnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment