Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (8)

"Maaf, cik. Kami tak terima pekerja bawah umur. Kalau lepasan SPM, bolehlah. Adik keputusan PMR pun belum dapat. Saya rasa adik belajar dululah ya," Aisya hanya diam dan keluar dengan langkah longlai.
Masuk kali ini, sudah tiga belas kali pemohonan kerjanya ditolak. Semua tempat kerja yang dia mahu pergi, semuanya mahukan pekerja yang berkelulusan SPM. Habis, dia mahu kerja apa? Dia tidak mahu sama sekali menjadi tukang cuci pinggan seperti di kampung dahulu. Bukan itu tujuannya dia datang ke Kuala Lumpur!
Dia mengira wang yang tinggal dalam sakunya. Cuma ada lebih kurang RM500 sahaja lagi. Memanglah kalau dia tinggal bersama keluarga, RM500 itu banyak. Memang banyak sebab makan pakainya ditanggung beres. Di sini, dia yang perlu menyara hidupnya sendiri.
Kini, Aisya menumpang di rumah tiga orang rakannya yang menuntut di kolej swasta. Setakat ini, dia tinggal tanpa membayar sewa. Sampai bila? Tidak mungkin dia akan terus menumpang sampai bila-bila. Memanglah dia perlu terus tinggal dengan mereka seperti apa yang mereka syaratkan padanya dulu. Namun, tidak mungkin sampai bila-bila dia akan tinggal percuma.
Kak Syira, Kak Mizah dan Kak Siti memanglah tidak bersuara padanya, namun dia rasa tidak patut menumpang di situ secara percuma. Bukankah biasanya kalau tinggal serumah di rumah sewa, duit sewa dibahagi sama rata? Bil dan makanan bukankah patut dikongsi? Kak Syira, Kak Mizah dan Kak Siti memang berkongsi wang untuk membayar bil,sewa, dan barang dapur. Cuma Aisya seorang sahaja yang belum menyumbang apa-apa.
Sehari dua bolehlah, lama-lama tentu mereka tidak senang dengan situasi itu. Mana boleh asyik mereka yang mendukung biawak hidup. Mana boleh semua hutang mereka tanggung, yang menumpang duduk goyang kaki. Mereka bukannya orang senang yang sudah punya kerja tetap. Mereka pun perlukan wang untuk pengajian mereka. Sekarang, perbelanjaan mereka meningkat kerana menanggung perbelanjaan Aisya.
"Cubalah tengok, minta kerja di butik ni. Manalah tahu kalau-kalau dapat," Aisya baru hendak mencuba apabila melihat seorang lelaki sedang berbual dengan pemilik kedai.
"Amir, kau tolong lekat notis ni kat luar kedai. Kakak dah tak larat nak layan orang mintak kerja. Tak habis-habis. Kakak dah tulis kat luar tu, cuma lepasan ijazah saja yang kakak ambil. Notis tu pun kakak dah buang sebab pekerja dah cukup. Tak faham-faham jugak. Memang kedai ni baru buka, tapi pekerja dah cukup dah. Tak larat kak nak bayar gaji nanti kalau ramai sangat,"
Punah terus harapan Aisya. Sekarang dia buntu, ke mana lagi dia hendak pergi mencari kerja. Siapalah agaknya yang sudi membantunya mendapatkan kerja. Semua tempat yang dia pergi, semuanya tidak memerlukan pekerja. Ingatkan masuk bandar, boleh hidup senang, rupanya makin payah jadinya.
Itulah padahnya apabila melakukan sesuatu dengan membelakangkan keluarga. Walaupun kedua-dua ibu bapanya sudah tiada, namun abang dan kakaknya tetap perlu dihormati. Merekalah yang telah membesarkannya sejak kecil hinggalah remaja. Sayangnya, dia lupa semua itu.
Tanpa disedari, seorang lelaki sedang memerhatikan perlakuan resahnya itu. Dia nampak Aisya meninjau-nijau butik itu. Wajah hampanya memberitahu bahawa dia mahukan kerja di kedai itu, namun gagal.
"Assalamualaikum," sapa lelaki itu.
"Waalaikumussalam. Ada apa?" Aisya kaget. Lelaki inilah yang tadinya berbual-bual dengan pemilik butik itu.
"Tak ada apa-apa. Saya nampak awak dari tadi asyik meninjau butik ini. Awak nak cari kerja ke?" Mungkin kerana bentuk tubuh Aisya yang tinggi langsing, lelaki itu melayaninya seolah-olah mereka hampir sebaya.
"Ya. Saya tahulah butik ini tak perlukan pekerja. Awak tak payah beritahu pun saya dah dengarlah tadi. Telinga saya ni boleh guna lagi," Aisya terus menembak dengan pistol lasernya tanpa menghiraukan adab dengan insan yang baru dikenali.
"Ish, awak ni. Kalau ya pun, janganlah cakap macam tu," lelaki itu menegur setelah mendapati gadis itu agak kurang berbudi bahasa.
"Habis tu, nak saya cakap baik macam mana lagi?Banyak songehlah awak ni," Aisya seolah-olah sengaja menyakiti hati lelaki itu. Sebenarnya, dia mahu melepaskan geram kerana gagal mendapatkan kerja yang diharap-harapkannya.
"Okey, okey. Suka hati awaklah. Saya Amir. Amirul Mukminin. Awak?" Lelaki itu memperkenalkan diri.
"Saya Aisya Humaira. Salam perkenalan," Aisya menghulurkan tangannya untuk bersalaman, namun tidak disambut oleh Amir.
"Maafkan saya. Perempuan tidak boleh bersalaman dengan lelaki ajnabi, bukan?"Kata-kata Amir buat Aisya rasa terpukul.
'Alamak, jumpa ustaz. Janganlah dia buka ceramah pasal aurat pula lepas ni. Dahlah aku ni tak bertudung. Tudung sehelai pun aku tak bawa ke Kuala Lumpur ni. Belum lagi pakaian aku. Semua seksi. Kalau Kak Dayah tahu aku pakai macam ni, lembik aku dikerjakan.' Bisik hati Aisya. Dia mahu segera menjauhi lelaki itu.
"Kenapa diam? Maaf kalau kata-kata saya buat awak terasa," Amir serba salah. Dia cuma mahu menegur sahaja. Bukannya dia mahu menyakitkan hati Aisya, namun memang itu yang perlu.
"Tak ada apa-apa. Saya tak kisah pun,"Aisya memilih untuk tidak menunjukkan rasa jengkelnya terhadap lelaki itu. Siapa tahu, lelaki itu boleh membantunya mendapatkan kerja?
Dia termenung seketika. Dalam tempoh itu, Amir masuk ke dalam butik. Dia keluar bersama sebuah kotak di tangan.Dia menyerahkan hadiah itu kepada Aisya.
"Dari saya masuk sampai saya keluar balik kedai pun awak tak sedar, ya. Ambillah hadiah ini, anggaplah tanda perkenalan. Saya pergi dulu ya, ada kerja ni. Assalamualaikum," Aisya terkejut dengan perlakuan lelaki itu. Dia terus berlalu setelah lelaki itu pergi. Dek kepenatan, dia terus pulang ke rumah.
Apabila pulang, tiada sesiapa di rumah. Dia membuka peti sejuk dan mengambil botol air ais krim soda. Air dituang ke dalam gelas lalu dihirup untuk menghilangkan dahaga. Rasa sungguh nikmat apabila kedinginan air itu membasahi tekaknya.
Aisya bingung, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia memang penat, tetapi tidak mengantuk. Dia memang bosan, tetapi tidak mahu tidur. Sudahnya, dia masuk ke bilik dan merebahkan tubuhnya di atas katil. Selepas beberapa lama, barulah dia teringat akan hadiah yang diberi oleh Amir tadi.
"Kotak taklah besar, tetapi berat juga.Apalah agaknya dia beri ni? Baik pula nak bagi aku hadiah, dahlah baru kenal,"Aisya bermonolog sendiri. Dia membuka bungkusan plastik yang membalut kotak itu. Dilihatnya satu kotak set pemberian yang memang dijual di butik muslimah itu tadi. Ternganga Aisya dibuatnya. Dia cam harga kotak yang dijual itu tadi. RM250.Itupun setelah diskaun.
"Punyalah mahal hadiah dia bagi kat aku. Dahsyat mamat ni,"
Apabila membuka kotak itu,dia terkejut. Set itu merupakan sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang dengan tudung sedondon beserta kerongsang. Aisya rasa semakin terpukul.
'Nampak sangatlah dia ni nak perli aku,'
Fikirannya menerawang ke kampung halaman. Teringat baju rayanya yang masih belum siap Hidayah jahit. Warnanya hijau pucuk pisang juga. Tiba-tiba hati Aisya rasa terusik.Sayu seketika hatinya.
"Kak, bila kakak pula nak kahwin? Kawan kakak semua dah kahwin," itu soalan Aisya ketika mereka pulang dari kenduri perkahwinan Syafira,kawan Hidayah.
"Ish, adik kakak ni. Baru darjah enam dah pandai nak cakap pasal kahwin,"
"La, bukan adik yang sibuk nak kahwin pun. Adik cuma tanya bila kakak nak kahwin. Kakak cantik apa, takkan tak ada pilihan lagi?"
"Habis tu, kalau kakak kahwin, siapa nak jaga Aisya? Dengar sini, dik. Kak tak nak dengar Aisya sebut pasal bila atau dengan siapa kakak nak kahwin. Kakak takkan kahwin selagi tanggungjawab kakak jaga Aisya belum selesai. Aisya tu baru darjah enam. Panjang lagi perjalanan Aisya. Jangan nak suruh kakak kahwin selagi kakak tak tengok Aisya berjaya,"itu jawapan Hidayah.
Waktu itu, akal Aisya yang masih belum matang belum memahami maksud pengorbanan yang sebenar-benarnya. Kini, apabila mengenang semula makna percakapan Hidayah, Aisya benar-benar sedih dan terharu. Betapa besar pengorbanan Hidayah. Demi dirinya, kakaknya merana dan menderita.
Perutnya berbunyi minta diisi. Makanan di dapur sudah kurang. Dia mengambil keputusan keluar ke kedai runcit untuk membeli makanan. Dia mengambil beg sandangnya dan keluar berjalan kaki.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment