Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (3)

Usai solat berjemaah, Rifhan keluar terlebih dahulu. Hidayah mengunci pintu dan tingkap. Dia mencari kunci motosikalnya namun tidak ditemui. Resah mula bertandang. Di mana dia letakkan kunci motosikal itu?

"Hidayah, buat apa lagi tu? Nanti terlepas pula jemaah isya'," Rifhan jadi pelik. Jarang Hidayah lambat mengunci pintu.


"Kunci motosikal Dayah hilang. Abang nampak tak Dayah letak di mana tadi? Dayah terlupa,"

"Ni hah, ada dengan abang. Tadi abang dah ambilkan kunci tu," Rifhan memang sudah mengambil kunci motosikal Hidayah. Dia ada rencananya sendiri.


Hidayah terus mengunci pintu dengan segera. Dia menuju ke arah motosikalnya dan meminta kunci motosikal dari abangnya. Abangnya buat tidak tahu. Apabila Hidayah mendesak, dia menyuruh Hidayah membonceng motosikalnya.


"Abang jangan buat hal, Dayah nak naik motosikal sendiri. Kenapa nak bonceng abang pula, Dayah bukannya sakit pun,"Hidayah rasa geram dengan tingkah laku Rifhan.


"Abang nak Dayah bonceng abang aje. Bukan selamat nak naik motosikal seorang diri. Dayah tu perempuan. Lagipun ni tengah hujan, jalan licin. Kalau tak nampak jalan, macam-macam boleh jadi. Abang tak nak ada yang kemalangan nanti,"


"Dayah boleh tunggang motosikal tu, abang tak payahlah risau,biar sajalah Dayah pergi sendiri,"


"Ish, degil jugak adik abang ni.Orang risaukan dia. Ikut ajelah, takkan dengan abang pun tak nak percaya?"


"Abang, bukannya Dayah nak degil,apatah lagi nak bersikap tak percaya. Kita duduk serumah. Cuma Dayah tak suka menyusahkan abang,"


"Tak ada apa yang susah, naik ajelah,"


"Tak nak,"


"Sekarang abang bagi dua pilihan. Nak ikut abang atau tak payah pergi tarawikh. Dayah duduk seorang di rumah. Lagi dua kali ganda bahaya,"


Mahu tidak mahu, Hidayah membonceng motosikal abangnya. Enjin motosikal berderum dan mereka bergerak meredah kegelapan malam. Jalan yang licin memaksa Rifhan menunggang lebih perlahan. Hidayah memeluk pinggang Rifhan kerana kesejukan. Tiada apa yang hendak dirisaukan, lelaki itu darah dagingnya.


Malam itu, seluruh kampung kehairanan melihat Hidayah menunggang motosikal berdua sahaja dengan Rifhan. Semua tertanya-tanya, mana perginya Aisya? Tambahan pula, semasa di luar perkarangan masjid, mereka nampak keadaan Hidayah memeluk pinggang Rifhan. Biasalah minda manusia, selalu negatif. Sampaikan adik memeluk abang hendak dihebohkan.


Sebenarnya, itu bukanlah hal besar. Memang logiklah menunggang motosikal memeluk pinggang, apatah lagi dalam keadaan sejuk begitu. Tambahan pula yang berpeluk itu adik dan abang. Tiada apa yang mencurigakan. Semuanya masih boleh diterima akal.


Malangnya, status andartu itu selalu mengundang fikiran negatif dalam norma masyarakat Melayu. Golongan ini kadangkala dianggap sebagai orang-orang yang kemaruk mahukan kasih sayang lelaki. Jarang sekali ada yang mahu memikirkan sebabnya. Malah, selalunya masyarakat terlupa, jodoh itu di tangan ALLAH. Apa yang hendak dipersoalkan?

Mungkin juga sebab itulah Islam menganjurkan agar mereka yang telah sampai masanya agar dinikahkan segera. Inipun supaya mereka dijauhkan dari fitnah. Ternyata Islam itu syumul. Setiap satu yang disaran dan dilarang itu sentiasa ada makna yang tersirat. Sesuai dengan semua umat Islam walaupun berbeza bangsa dan budaya.

"Dan nikahkanlah orang bujang di kalangan kamu dan hamba lelaki dan perempuan yang telah patut untuk menikah. Jika mereka itu miskin maka nanti Allah berikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas kurnianya lagi Maha Tahu."(surah An-Nuur:32)

Walau syaitan dirantai, tidak bagi nafsu. Nafsu dan syaitan yang memang menyesatkan manusia sejak dulu tidak akan pernah puas. Sebagaimana disesatkan kaum terdahulu, sebegitulah juga mahu disesatkan anak adam zaman ini. Nafsu masih merangsang manusia ke arah kejahatan. Bukan nafsu hanya mengajak zina, tetapi juga mengajak lidah, tangan dan kaki berbuat mungkar.


Mulut manusia yang tidak pernah tahu berdiam diri terus berbicara. Orang-orang kampung memandang kehairanan dengan pelbagai soalan bermukim di benak. Malah, ada juga yang sewenang-wenangnya mula memandang jelek ke arah Hidayah. Mereka mentafsirkan Hidayah sedang menghampiri sumbang mahram dengan abangnya Rifhan.


"Apasal hari ini Dayah tu datang masjid berdua dengan Rifhan? Bukankah selalunya dia menunggang dengan Aisya?" Mulut Syafiqah memulakan persoalan.


"Alah, biasalah tu. Rifhan tu abang dia. Bukannya salah pun," Bagi Fatimah, tidak ada apa yang pelik. Dia lebih suka mendahulukan bersangka baik. Bukankah sekecil-kecil tanda persaudaraan ialah bersangka baik terhadap saudaranya?


"Biasa kau cakap. Isy, kau lupa ke Rifhan dengan Hidayah tu dua-dua tak menikah. Masing-masing tak ada kekasih pun. Ingat boleh percaya sangat ke?" Sangka jahat diutarakan Syafiqah.


"Isy,kau ni. Tak baik tahu tak menuduh macam tu. Dahla bulan puasa. Silap-silap boleh jadi fitnah tau,"Fatimah kurang suka dengan sikap melulu Syafiqah yang menuduh tanpa usul periksa.

"Ini bukan memfitnah, Imah. Aku cakap benda yang betul,"


Belum sempat dia meneruskan bicara, Fatimah sudah memotong.


"Betul apanya, Fiqah? Kau ada bukti? Kau tahu tak nak menuduh orang berzina tu saja perlukan empat saksi tau. Bukan boleh main tuduh ikut fakta atas angin saja,"


"Kau ni, bela sangatlah anak dara tua tu. Esok lusa, kau pun jadi macam dia baru kau tau,"

"Kalau ALLAH dah takdirkan jodoh aku sampai awal, awallah. Kalau ditakdirkan jodoh aku sampai lewat macam Hidayah, atau mungkin tak sampai di dunia, nak buat macam mana, redha sajalah. Tidak di dunia, dapat di akhirat,"Mudah saja Fatimah mengakhirkan perdebatan. Baginya, buang masa mereka mengumpat Hidayah.

Malah, bagi Fatimah, Hidayah seorang wanita yang mulia. Dia rela berkorban demi keluarganya. Fatimah kenal Aisya Humaira. Dia tahu betapa sayangnya Hidayah terhadap Aisya Humaira. Dia tahu Hidayah sanggup menggadaikan apa sahaja demi Aisya.

Hidayah sanggup bekerja menjahit lebih banyak baju dengan pantas, semata-mata kerana Aisya hajatkan sebuah motosikal untuknya. Bukan itu sahaja, sejak kecil lagi Hidayah memang sentiasa rela berkorban apa sahaja demi Aisya Humaira. Dia mahu adiknya bahagia.

Fatimah teringatkan Aisya Humaira. Adiknya, Fatihah sekelas dengan Aisya Humaira. Kata Fatihah, dulu Aisya gadis yang sangat indah pekertinya. Dia mewarisi kebaikan yang ditumpahkan Hidayah kepadanya. Namun sayang, selepas PMR, dia mula liar.

Aisya mula mengikut jejak langkah teman sebaya. Pengorbanan kakaknya tidak lagi menjadi nadi semangatnya. Baginya, keseronokan yang dicari. Tiada apa yang difikirkan tentang keluarga. Kalau dulu, dia kerja sambilan untuk Hidayah semata-mata, sekarang separuh duit itu dibelanjakan untuk bersuka ria bersama rakan-rakannya.

Aisya sudah jauh berubah. Sebenarnya, Fatimah tidak hairan pun melihat ketiadaan Aisya sebentar tadi. Dia tahu Aisya sudah mula culas tentang ibadat. Sembahyang fardhu berjemaah pun sudah malas, inikan pula solat sunat tarawikh.

Cuma yang peliknya, mustahil Rifhan tidak marah kalau Aisya tidak mahu ke masjid? Semalam baru dia lihat Aisya datang bertarawikh. Hendak katakan berhadas, minggu lepas dia dan Aisya sama-sama mendengar ceramah sahaja kerana mereka berdua tidak boleh solat. Apa yang Fatimah tahu, Rifhan memang benar-benar tegas kalau adik-adiknya culas ibadat.

"Assalamualaikum... ukhti dah sampai ke mana?Orang lain dah nak mula sembahyang,cik adik oi,"Leteran Syafiqah mengembalikannya ke dunia nyata.

Persoalan itu bermain di mindanya. Ketiadaan Aisya merupakan suatu tanda tanya. Dia tidak hirau fitnah orang pada Hidayah. Dia tahu, Hidayah bukan wanita yang kemaruk.Yang dirisaukannya perihal Aisya.
"Saudaraku Elya Nur Hidayah, semoga kau dikurniakan keunggulan cahaya hidayah. Moga kau tetap tabah menghadapi segalanya," Terlafaz kalimah doa itu di bibir Fatimah.Hatinya mengharapkan agar Hidayah terselamat dari segala bentuk fitnah dunia.

Hidayah pula? Masih khusyuk di sudut masjid membaca al-quran. Matanya merah kerana banyak menangis. Wajah polos itu masih belum tahu lagi syak wasangka orang kampung terhadapnya. Dia hanya memikirkan adiknya. Dia risau. Dengan siapa Aisya tinggal sekarang? Di mana rumahnya?

Baru sehari pemergian Aisya, terasa bagai setahun. Hidayah benar-benar terasa dalamnya kerinduan buat Aisya. Kasihnya pada Aisya tidak akan luput walaupun sudah ternyata Aisya berkelakuan seolah-olah dirinya tidak diperlukan dalam hidup Aisya. Masya-ALLAH.

Melihatkan Hidayah masih tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya, Fatimah rasa tersentuh. Betapa khusyuknya dia menyerahkan diri kepada ayat-ayat ALLAH. Tidak mungkin wanita begitu sanggup melakukan sumbang mahram. Tidak sama sekali.

Dia mendekati Hidayah.

"Assalamualaikum, kak. Jemaah dah nak mula ni,"

"Oh, ya? Maaf kak tak perasan,"Hidayah bingkas bangun dan mahu menyertai saf. Namun, melihatkan Fatimah masih memandangnya tidak berkelip, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah Fatimah.

"Kenapa pandang kak macam tu?"Hidayah tertanya-tanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment