Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (6)

Seminggu sebelum menikahi Faizah, dia bermimpi melihat seorang wanita hamil menangis merayunya agar tidak pergi, namun dia tidak menghiraukannya. Yang aneh, dia nampak seolah itu realiti. Sesuatu yang memang ada dalam kotak memorinya.
Dia melihat seorang gadis berusia belasan tahun menangis di kakinya, merayunya jangan pergi. Dia melihat seorang lelaki muda belasan tahun juga, cuba menarik gadis itu dari kakinya, menyuruh gadis itu merelakan saja kakinya melangkah pergi. Dia melihat lelaki itu cuba menyembunyikan air mata yang hampir menitis. Dia melihat lelaki itu cuba menenangkan dua hawa yang berada dengannya. Setelah itu, kedua-dua remaja itu menenangkan pula ibu mereka yang hampir pengsan.
Dia melihat dirinya sendiri berlaku kejam. Dia melihat dirinya terus berlalu tanpa menghiraukan tiga beranak itu. Dia nampak dirinya terus memandu meninggalkan kawasan rumahnya. Tanpa teragak-agak, dia terus meninggalkan kampungnya. Dia nampak papan tanda yang bertulis, Kampung
Seri Cahaya. Dia nampak keretanya terus ke lebuh raya, menuju ke rumah seorang gadis muda.

Tanpa menghiraukan halal atau haram, dia terus memeluk pinggang wanita itu. Mereka bermesraan tanpa menghiraukan sesiapa andai ada mata yang memerhati. Mereka lupa pada dosa, lupa juga pada pahala. Wanita itu pula pakaiannya seksi mencolok mata. Kelakuannya menunjukkan dia bukanlah wanita solehah. Sayangnya, apabila nafsu menguasai diri, kaca mata iman seolah hilang fungsinya.
"Nafsu mengatakan wanita itu cantik atas dasar rupanya.


Akal mengatakan wanita itu cantik atas dasar kecerdikannya.


Hati mengatakan wanita itu cantik atas dasar imannya."
Zulfakar terjaga dari mimpi itu dengan soalan. Walaubagaimanapun, dia masih ingat akan nama kampung tersebut. Ada sesuatu yang menghantui benaknya menyebabkan dia mahu mencari tempat tersebut.Pagi itu, dia bersiap awal untuk ke kampung tersebut.
Hasrat Zulfakar mahu bertemu wanita itu gagal dilaksanakan kerana dia tidak tahu nama mereka. Dia mencari rumah yang dimimpikannya, namun semasa sampai tiada siapa di rumah. Rumah jiran pun kosong. Akhirnya, dia pulang dengan hampa. Entah mengapa, sakit kepalanya menjadi-jadi apabila melihat rumah itu. Dia tahu, ada kenangan yang tertinggal di rumah itu.
Dalam perjalanan pulang, dia tertidur di perhentian lebuh raya. Sakit kepalanya terlalu mencengkam. Rasa bagai mahu pecah urat kepalanya. Dia tahu, sakit kepalanya akan datang setiap kali munculnya sesuatu yang berkaitan dengan memori silamnya.
Apabila terjaga, dia rasa dirinya seolah-olah orang lain. Menoleh ke kiri dan ke kanan, dia teringat semula segala-galanya. Dia memperoleh semula ingatannya. Lantas dia berpatah balik ke kampung itu dan bertanyakan nama isterinya. Malang baginya, khabar yang dia dapati ialah wanita itu sudahpun meninggal dunia.
Dia pulang ke Kuala Lumpur. Dalam debar menanti hari pernikahan, sesal pada perbuatan lama masih mencengkam di hatinya. Dia menangis pada malam sebelum hari pernikahannya dengan Faizah. Dia benar-benar menyesal.


Hatinya sangat kesal dengan segala dosa-dosanya.
Dalam kekesalan, dia berjanji pada dirinya sendiri. Dia tidak akan sama sekali mensia-siakan hidup Faizah. Wanita itu terlalu baik untuk disakiti. Dia perlu sedar siapa dirinya. Cukuplah sekali dia terlanjur melukakan hati seorang wanita yang bernama isteri. Jangan lagi dia ulangi kesalahan yang sama.
Selepas selesai urusan pernikahan, dia mengambil keputusan untuk berterus terang kepada Faizah akan masa lampaunya. Faizah sungguh terkejut mulanya, namun wanita itu tetap tabah menerima siapa dirinya. Bagi Faizah, itu namanya masa silam.
"Zah tak kisah ke dengan apa yang abang cakap ni?"Soal Zulfakar setelah melihat Faizah kembali tersenyum selepas beberapa minit dia menceritakan segalanya.
"Tak mengapa. Zah faham. Semua orang ada kesilapan masing-masing. Sekurang-kurangnya dalam hati abang ada titik keinsafan. Apa yang Zah harapkan, janganlah abang ulang perkara yang sama. Zah nak jadi isteri abang yang bahagia dan membahagiakan abang. Zah tak nak kita porak-peranda,"
Hakikatnya, Faizah masih menyimpan cemburu. Cemburu itu tandanya sayang. Namun, cemburunya tidak pernah keterlaluan sampai menyakiti Zulfakar. Dia tidak keterlaluan, lagipun dia tahu, wanita yang pernah dicintai dan disakiti Zulfakar itu sudah tiada lagi.
"Zah betul-betul tak kisah dengan masa lalu abang? Dah jelas sangat yang abang ni bukannya lelaki yang sempurna. Abang bergelar suami kepada Zah, seorang wanita yang mulia dan cekal. Diri Zah dah lama teraniaya walaupun sebelum Zah kenal abang lagi. Apa yang abang takutkan, abang gagal untuk jaga amanah abang. Zah amanah untuk abang. Abang bimbang kalau abang akan buat Zah terseksa dan menyesal hidup dengan abang.." Belum habis lagi Zulfakar berbicara,jari Faizah sudah menutup mulutnya,lembut.
"Zah tak kisah semua tu. Bagi Zah, yang lepas tetap dah lepas. Kita kena belajar mulakan hidup baru. Sampai bila kita nak terbelenggu dengan masa lalu? Hidup ni tak lama, tak ada masa kita nak menyesali semua yang dah tak akan berubah tu,"
"Zah yakin dan pasti kesudian Zah memperjudikan nasib Zah dengan abang?"
"Zah pasti. Zah yakin, Allah tetapkan jodoh Zah dengan orang yang sekufu dengan Zah. Abang tak perlu risau. Setia Zah sentiasa untuk abang. Walaupun adakalanya mungkin Zah akan terimbau kenangan arwah suami Zah, Zah minta abang maafkan Zah. Zah cuma manusia biasa yang tak boleh nak padamkan memori Zah sendiri,"
"Tak apalah. Abang faham. Cinta pertama itu sentiasa ada dalam hati dan tidak pernah mati. Walaupun kita mampu melupakan cinta itu untuk melepaskan dia dengan jalan takdirnya, hakikatnya kenangan itu akan sentiasa menemani setiap langkah dalam perjalanan hidup kita. Apa yang abang harapkan, biarlah hati kita ditetapkan antara satu sama lain. Jangan ada yang beralih,"
"Abang kecil hati ya, Zah cakap macam tu?" Tanya Faizah setelah mendapati nada suara Zulfakar agak berlainan.
"Tak adalah. Abang faham. Malah abang sanjung dan hormat Zah kerana sungguh setia. Abang cuma berharap Zah juga akan dapat setia pada abang, bersama dengan abang walaupun dalam keadaan abang dibenci orang,"
"Tentu. Zah tak akan tinggalkan abang dalam hinaan, setelah abang bersama Zah dalam hinaan. Kita akan tetap bersama, dunia dan akhirat. InsyaALLAH. Kita doalah pada tuhan agar kita kekal selamanya,"
"Zah sanggup bersama abang walaupun abang ni dah tua?"
"Habis tu, abang ingat Zah muda ya?"Seloroh Faizah menceriakan suasana. Sebenarnya dalam kegelapan kamar itu, mata Faizah berkaca-kaca. Sebak sungguh rasanya mendengar segala luahan hati Zulfakar. Sungguh dia tidak pernah menyangka bahawa perkenalan antara jururawat dan pesakit itu akhirnya membawa ke gerbang perkahwinan.
Inilah kali pertama dalam hidup Faizah, dia dapat mendengar bicara cinta yang tulus daripada lelaki yang halal baginya. Kasih suaminya membuatnya rasa teduh, terlindung dari segala ancaman. Dia dapat merasai kejujuran yang dicurahkan Zulfakar.
'Abang, percayalah. Siapapun abang pada masa lalu, itu bukan alasan Zah untuk tinggalkan abang. Sekali kita berjanji setia, Zah janji akan pertahankannya sampai akhir nafas Zah,' Hati Faizah berbicara.
Mereka tidak lagi bersuara. Asyik dalam melodi cinta masing-masing.
Zulfakar tersedar dari lamunannya. Faizah masih lena di sebelahnya. Rambut wanita itu diusap lembut. Sebuah kucupan singgah di dahinya. Dia masih ingat segala janjinya pada Faizah. Sumpah setia yang tidak mungkin sanggup dimungkirinya dengan sengaja.
Fikirannya menerawang pula mengingati Hidayah dan Rifhan. Mereka anak yang baik. Apabila difikirkan, dia rasa terlalu kasihan. Disebabkan dirinyalah, mereka menderita. Tambahan pula semasa dia meninggalkan mereka, anak sulungnya bakal menduduki SPM dan anak keduanya PMR. Anak bongsunya pula masih belum sempat melihat dunia. Entah siapalah agaknya yang mengazan atau mengiqamatkan anaknya.
Wajah suci dua beradik itu menggamit memori. Dia benar-benar mahu menebus kesalahannya pada mereka. Lebih sayang lagi, dia ingin sekali menatap wajah anak bongsunya yang belum sempat ditatapnya walaupun sekali. Sesungguhnya dia rindu pada zuriat-zuriatnya.
'Zah, maafkan abang. Abang tidak akan pernah mampu menghilangkan rasa salah abang pada isteri dan anak-anak abang. Walaupun Zah terlalu berharga, namun anak-anak abang juga berharga. Zah, maafkanlah abang kerana tak mampu melupakan isteri pertama yang abang nikahi, dan abang tidak mungkin lupakan tanggungjawab abang pada anak-anak abang. Maafkan abang,' Hati Zulfakar bermonolog sendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment