Malam itu, Zulfakar tidak dapat tidur. Dia sendiri tidak faham kenapa dia perlu jadi begitu. Yang pasti, hatinya bergolak hebat apabila terkenang segala yang berlaku dalam hidupnya. Dosa itu sentiasa bermain di fikirannya. Wajah arwah isteri yang menjadi mangsa nafsu serakahnya itu seolah-olah melekat dalam matanya. Apabila dipejam saja, nampak wajah mulus itu merenung dirinya.
Hatinya sungguh tidak tenteram. Walaubagaimanapun, dia cuba juga menyembunyikannya di hadapan Faizah. Dia tahu, Faizah tentu terasa hati kalau dia meluahkan pergolakan jiwanya saat ini. Akhir-akhir ini pun, Faizah memang agak terasa dengan sikapnya yang selalu termenung. Isteri manakah yang tidak cemburu sekiranya suami sibuk mengenang perempuan lain?
'Tempat yang paling tenang apabila hati diamuk gelisah adalah tikar sembahyang, saat sujud menyerahkan hati kepada Pencipta kita.' Zulfakar teringatkan pesanan itu. Lantas, dalam kegelapan malam itu, dia rebah di pintu taubat. Dia rebah menyerahkan diri kepada Allah.
Terasa kerdil sungguh dirinya saat itu. Dia menghambakan seluruh jiwanya kepada Allah. Dosa lamanya ingin disucikan.Ingin sekali dia memperoleh ketenangan jiwa yang hakiki. Tidak mungkin akan terhapus dosanya tanpa ada keampunan Allah.
Benar, dosanya pada manusia. Namun insan yang perlu dicarinya itu sudah tidak lagi bernyawa. Walau dia meratap sejuta kali pun di sisi kuburan, memeluk mencium batu nisan itu sekalipun, wanita itu sudah tidak akan lagi bernyawa. Dia tidak mampu bangkit menyambut salam keampunan yang dihulurkan. Dia sedang istirehat di tempatnya.
Sesungguhnya, wanita itu pergi masih sebagai isterinya. Hanya satu yang mampu diberikan untuknya. Doa dan redha seorang suami. Zulfakar sedar, syurga isteri di telapak kaki suami. Jika redha dirinya, maka syurgalah sebaik-baik tempat buat arwah isterinya.
'Sayang, maafkanlah abang. Apa yang abang dapat lakukan untuk menebus dosa abang, cumalah dengan mendoakan sayang. Sayang, abang sentiasa meredhaimu dan mendoakanmu. Semoga kau dapat mencium setanggi syurga.'
Zulfakar terlelap sebentar. Dalam mimpinya, dia nampak bayangan anak-anaknya. Setelah terjaga, dia menangis. Dia terus bangkit bertahajjud. Segala kerinduannya dicurahkan kepada Allah yang menciptakan tubuhnya dan meniupkan rohnya.
Dia tidak lupa melaksanakan solat hajat untuk mendoakan keselamatan anak-anaknya. Harapannya, biarlah mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Dapatlah nanti mereka mendoakan keselamatan dan kebahagiaan untuknya dan isterinya semasa melalui alam barzakh.
'Ya Allah, temukanlah aku dengan anak-anakku semula sekiranya itu terbaik untuk kami. Pisahkanlah kami andainya perpisahan itu jualah yang terbaik untuk kami tanpa kami ketahui. Aku redha pada ketentuan-Mu Ya Allah. Aku pohon kepada-Mu, jadikanlah kami ini dari kalangan orang-orang yang beriman. Jadikanlah kami ini dari kalangan ahli-ahli syurga, bukan para penghuni neraka.'Sesungguhnya dia hanya memohon apa yang terbaik dari Allah, tidaklah daya dia memaksa Allah memakbulkan doanya.
'Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu ialah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi kamu mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.'(surah al-baqarah:216)
Ayat inilah yang membuatkan Zulfakar tunduk pada takdir. Sekalipun dia berdoa, tidaklah sama sekali dia sampai memaksa agar doanya dimakbulkan. Jika Allah memakbulkannya, dia bersyukur. Jika Allah tidak memakbulkannya, dia redha. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Yang pasti, dia akan terus berdoa.
'Jika Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu..
Jika Allah lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu..
Jika Allah tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu..'
**********************************************************
Faizah kerap mengadu sakit kepala akhir-akhir ini. Semuanya bermula apabila dia terjatuh di dapur tempoh hari. Kepalanya asyik berdenyut-denyut. Dia mengkhabarkan kesakitan itu kepada Zulfakar.
"Zah nak pergi klinik tak? Abang bawa ke klinik ya? Risaulah abang Zah selalu tak sihat macam ni. Zah tu bukannya muda lagi, bahaya sakit macam ni," Faizah sekadar menggeleng kepalanya.
"Tak payahlah, bukannya ada luka pun masa Zah jatuh tu. Lagipun, abang pun cakap Zah ni bukannya muda, dah tentu-tentulah sakit macam-macam. Biasalah tu,"
"Betul Zah tak nak abang bawa ke klinik?"
"Betullah. Zah ada simpan ubat tahan sakit. Abang tak payahlah risau sangat. Zah cuma nak abang tolong picitkan kepala Zah, boleh tak?"
"Boleh, apa salahnya. Tu sebenarnya helah Zah nak bermanja dengan abang kan," seloroh Zulfakar. Faizah tersenyum malu.
Itulah kuatnya cinta mereka. Walaupun usia sudah menginjak tua, namun kasih sayang dan kemesraan tidak pernah pudar. Harapan mereka semoga kemesraan itu terus utuh dalam hati masing-masing. Biarlah tubuh menginjak tua, jangan cinta yang bongkok kerepot. Biarlah usia berganti tahun, cinta kekal segar berbunga.
Selepas beberapa lama, Faizah lena dengan kepala bersandar pada bidang dada suaminya. Zulfakar menurunkan kepala itu ke ribaannya, membiarkan Faizah terus lena. Kasihan juga dia melihat Faizah yang sedikit pucat.
Risau juga dirinya memikirkan keadaan Faizah. Sayangnya, Faizah berdegil enggan ke klinik mahupun hospital. Zulfakar sebenarnya kurang senang melihat Faizah asyik mengambil pil tahan sakit untuk meredakan kesakitannya. Pil tahan sakit bukannya elok untuk kesihatan. Sekali sekala mungkin tidak mengapa, namun apabila kerap, banyak kesan sampingannya. Faizah pula usianya sudah mencecah 50-an. Lagilah bahaya untuk kesihatan.
Akhir-akhir ini, fikirannya betul-betul sarat memikirkan pelbagai perkara. Dia risau memikirkan kesihatan isterinya. Dia sayu mengenangkan arwah isterinya. Dia rindu mengenangkan anak-anaknya. Dia takut mengenangkan dosa silamnya. Dia gerun memikirkan pembalasan Allah ke atas manusia durhaka seperti dirinya.
Kadangkala dia terfikir, segala dosa yang pernah dia lakukan itulah yang menyebabkan doanya tidak dimakbulkan. Bukankah salah satu sebab doa terhijab ialah dosa yang menyelubungi diri? Air mata Zulfakar menitis lagi. Sesungguhnya dia berasa lemah dalam menghadapi dugaan dan pembalasan Allah ke atasnya.
'Ya Allah, akulah insan yang dahulunya angkuh meninggalkan suruhanmu, malah mengingkari laranganmu. Akulah suami yang berlaku kejam pada isteriku. Akulah bapa yang meninggalkan tanggungjawab pada anak-anakku. Akulah lelaki yang tegar menurut nafsu serakah. Akulah suami yang gagal mendidik isteriku. Dua isteri bercerai mati, sampai pula jodohku yang ini. Aku mohon kepada-Mu Ya Allah, biarlah kali ini aku menjadi suami yang berbuat baik terhadap isteri.'
Keinsafan menyelubungi seluruh ruang dadanya. Kasih sayang itu merobek keegoannya, menumpahkan air mata lelakinya.Saat insaf mendatangi jiwa, keegoan jatuh hancur berkecai. Air mata yang selalu diuar-uarkan sebagai tanda kelemahan pada diri seorang lelaki, menjadi terlalu murah dititiskan untuk Allah yang menciptakan air mata itu.
Apalah dipedulikan pada ego, apabila berhadapan dengan Allah yang menciptakan seluruh diri. Tiadalah dapat bernafas tanpa Allah. Tiadalah dapat menikmati kehidupan tanpa Allah. Sewajarnya ego itu diletak serendah-rendahnya dan dicampak sejauh-jauhnya saat menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah murka pada mereka yang menyombong diri pada-Nya.
***************************************************
"Zah, abang nak cakap sikit boleh?"Teragak-agak Zulfakar menyusun kata. Dia sedar, kalau tersilap kata, boleh terhiris hati Faizah.
"Sejak bila pula nak cakap pun kena minta izin. Cakaplah,"
"Zah janji tak akan marah abang?"
"Zah janji, asalkan abang bukan cakap nak kahwin lagi satu,"
"Oh, kahwin lagi satu Zah kata tak boleh, abang kahwin lagi tiga boleh la ya?" Jenaka Zulfakar mendapat hadiah cubitan di pahanya. Terjerit kecil lelaki itu.
"Rasakan. Nak menggatal sangat. Perasan mudalah tu,"
"Ish, Zah ni. Abang berguraulah. Nak abang ikat muncung tu dengan reben ke?"Nah! Satu lagi cubitan singgah di pahanya.
"Abang ni, betul-betullah. Sebenarnya abang nak cakap apa?"
"Em, sebenarnya abang nak ajak Zah balik kampung arwah isteri abang,"
"Abang nak buat apa balik sana?" Nada suara Faizah jelas menunjukkan dia kurang senang dengan cadangan suaminya.
"Abang nak jumpa anak-anak abang. Dah terlalu lama abang tinggalkan mereka. Dah lima belas tahun abang langsung tak tengok muka anak abang. Anak bongsu abang, sampai sekarang abang tak pernah langsung lihat muka dia sejak dia lahir,"
Faizah diam. Dia tidak tahu apa yang perlu dia jawab.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (7)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment