Aisya berjalan kaki seorang diri ke 7 Eleven berhampiran rumah sewa yang dia tumpangi. Sepanjang perjalanan, dia asyik teringatkan kakaknya dan pemberian Amirul Mukminin. Dia rasa terpukul apabila mengenangkan kedua-duanya. Dia teringat akan sebuah karangan yang dia sendiri karang di dalam kelas semasa tingkatan dua dahulu, mengenai kes pembuangan bayi.
Dalam karangan itu, beria-ia dia membangkitkan soal agama dan aurat. Karangannya itu menarik perhatian guru sehingga memberikannya markah paling tinggi dalam seluruh tingkatannya bagi bahagian tersebut. Komen guru, ayat-ayat serta olahan isinya mantap. Guru Bahasa Melayunya sampai mengambil kertas jawapannya untuk difotostat untuk para pelajarnya.
Karangan yang dia tulis itu begitu mantap kerana sebelum ini memang dia pernah berbual dengan Hidayah dan Rifhan mengenai isu tersebut. Menurut kakaknya,semuanya bermula dari aurat.
"Tidak akan ada pembuangan bayi kalau tiada penzinaan. Tiada penzinaan kalau tiada permulaan maksiat. Tiada permulaan maksiat kalau tiada hasutan syaitan dan nafsu. Tiada hasutan syaitan kalau tiada pandangan mata, kerana pandangan mata itu merupakan panah syaitan yang paling berbisa. Pandangan mata yang mudah tergoda itu pula datangnya bagaimana? Semuanya apabila melihat aurat wanita ajnabi. Justeru, puncanya apa? Tentulah datang dari wanita yang membuka auratnya," Hidayah memberikan pandangannya yang bernas apabila mereka berbual soal itu.
"Tahu tak, kita orang islam sebenarnya tidak patut langsung terlibat dengan pembuangan bayi ini. Kalaulah orang Islam betul-betul mengamalkan konsep taqwa, semua ini tidak akan terjadi sama sekali. Bermula dari pandangan mata sampailah pembuangan bayi, semuanya tidak akan terjadi,"Rifhan pun ikut berceramah. Memang itu rutin mereka setiap hari setelah pulang dari surau. Ada sahaja isu semasa yang mereka bincangkan.
"Kenapa abang cakap macam tu? Bukankah yang selalu dipaparkan di dada akhbar tu, ramai orang islam sendiri yang buang anak?" Aisya suka bertanya. Baginya, abang dan kakaknya merupakan muallim dan murabbi yang terbaik. Pengajar dan pendidik. Peranan yang bukan mudah untuk digalas walaupun bagi seorang pensyarah berpangkat profesor.
"Itulah abang cakap. Kalau orang Islam betul-betul ikut apa yang digariskan dalam agama, perkara ini tidak akan terjadi. Sebab Islam sudah melengkapi semua umatnya dengan segala bentuk perisai untuk melawan segala bentuk kemaksiatan. Masalahnya, apabila orang Islam tidak mengamalkan ajaran islam dengan sepenuh hati, habis musnahlah semuanya. Islam sekadar pada nama, itulah jadinya,"
"Allah memerintahkan wanita islam agar menutup auratnya dengan sempurna, sebab Allah tahu bahawa aurat yang dipandang itu akan menyemarakkan nafsu. Dalam Islam, wanita dan lelaki disuruh menahan pandangan. Wanita dan lelaki dilarang sama sekali bersunyi-sunyian tanpa ikatan perkahwinan. Kalau sudah tidak berduaan, bagaimana mahu menceroboh hak yang tidak wajar? Bersentuhan pun tidak boleh, apalagi hendak meruntuhkan mahkota kegadisan. Islam juga menggariskan batas supaya wanita dan lelaki yang saling mencintai agar bersegeralah menikah. Allah memerintahkan agar lelaki dan wanita tidak boleh bermesraan tanpa ikatan yang halal. Malah, bagi orang-orang yang tidak melakukan maksiat, sekiranya melihat orang melakukan maksiat, maka mereka perlu menghalang perkara tersebut."
"Kalau semuanya sudah disekat, tentu tertutup lorong ke arah penzinaan. Itulah istimewanya Islam, agama kita yang syumul.Dari segi rohani pula, kita disuruh mencintai Allah melebihi segalanya. Kemudian kita perlu mencintai Rasulullah. Seterusnya ibu diikuti bapa. Setelah itu, giliran guru pula menyusul. Adik beradik dan jiran tetangga juga disuruh dicintai. Malah, seluruh saudara islam juga perlu dicintai. Bukan itu saja, cinta pada dakwah, cinta pada ilmu, dan cinta pada usrah juga perlu. Sepatutnya, sebelum sampai jodoh kita, seluruh cinta kita disalurkan kepada semua ini. Barulah hidup tidak terasa kosong.Apabila tiada kekosongan, tiadalah ruang untuk maksiat mencelah," Rifhan berbicara panjang. Bicaranya itu memang sungguh menginsafkan. Rifhan seolah-olah mempunyai wawasan yang sungguh mantap apabila bercerita tentang Islam.
"Aisya, kalau ikutkan, kita orang perempuan ni dah boleh bertindak tau untuk mencegah kes-kes macam ni. Caranya mudah, keluar rumah tutup aurat. Pastikan pakaian tak menarik nafsu lelaki. Kalau tak tahu macam mana yang naikkan nafsu, ikut aje panduan Islam. Baju jangan ketat, jangan jarang dan jangan singkat.Warna jangan menarik perhatian. Yang kedua, banyakkan duduk di rumah kalau bukan ada urusan yang betul-betul penting. Barulah lelaki tak banyak peluang nak pandang atau goda kita. Sebenarnya, perempuan yang selalu keluar tanpa sebarang kepentingan ni ialah sengaja nak dedahkan diri pada maksiat. Nak ikut zaman Jahiliyah. Hal ini disebut dalam surah al-ahzab ayat 33: "dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan orang Jahiliyah zaman dahulu."
"Kalau keluar juga, pastikan pandangan mata dijaga. Ini kalau kita tonton televisyen, bukan main lagi tayang drama melayu, pelakonnya islam, tetapi lakonannya? Pakaian seksi, suara melentok-lentok manja bercakap dengan lelaki, siap bila jumpa lelaki sempat lagi nak kenyit-kenyit mata. Daripada lelaki tak nampak, terus dia terkam. Lagi satu, pastikan suara terkawal kalau nak bercakap dengan lelaki. Jangan sampai menimbulkan fitnah. Bercakap sekadarnya sahaja. Jangan pula tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba meliuk lentok dengan lelaki. Suara jangan dilunakkan, jangan sampai menggoda,"
Semua yang dibincangkan bersama kakak dan abangnya dahulu benar-benar buat Aisya rasa terpukul. Dahulu hujahnya berapi-api semasa membuat pembentangan di kelas tentang cara-cara menangani isu pembuangan bayi. Sekarang, semua hujahnya itu tinggal hujah. Hanya tinggal dia tidak berzina. Dari segi aurat, memang dia akan gagal sekiranya ada ujian praktikal dilaksanakan ke atasnya sekarang.
"Antara tanda akhir zaman ialah wanita yang berpakaian tapi telanjang," sebaris kata Hidayah terngiang-ngiang di telinga Aisya.
"Maksud berpakaian tetapi telanjang itu ialah berpakaian tetapi ketat,jarang, dan singkat sampai mendedahkan aurat. Jadi, walaupun berpakaian, tapi tak nampak macam berpakaian langsung. Nampak macam balut badan dengan kain balut luka saja. Bentuk badan ditayang-tayang. Baik jangan pakai baju kalau dah nak tayang sangat bentuk badan tu,"
"Macam mana tak kena rogol, lelaki tengok pakaian tu pun dah tergoda. Adik-adik abang jangan ada yang berani nak pakai bukan-bukan. Siap abang kerjakan. Ingat, tutup aurat kerana Allah, bukan kerana abang suruh. Ikhlas kerana Allah, barulah Allah pelihara," peringatan Rifhan itu menari-nari di kotak memori Aisya. Dia tahu, dia sedang melanggar pesanan Rifhan.
Dahulu, dia pernah berjanji dengan keluarganya, dalam keluarga mereka tidak akan ada yang menghampiri lorong penzinaan. Sekarang, apa sudah jadi? Keluarganya ditinggalkan, dia seorang hendak mendedahkan diri kepada ancaman. Datang ke Kuala Lumpur ini sudah memang diketahuilah maksiat berleluasa. Pakaian tidak cukup kain, lenggak lenggok menggoda, dan macam-macam lagi. Dia pula mengikut jejak langkah orang-orang ini. Pakaiannya sekarang tidak menutup aurat, sendat dan singkat.
'Memang patutlah Amir tegur aku tadi. Mungkin dia tak berani, sebab tu dia sindir secara halus,' Bisik hati Aisya.
Tiba-tiba dia berasa kurang senang. Dia tidak sedap hati mendengar seolah-olah ada motosikal mengiringi langkahnya. Dia mempercepat langkahnya, mahu segera sampai ke kawasan yang ramai orang. Bunyi motosikal masih mengekori. Apabila dia menoleh ke belakang, Zup! Begnya diragut.
"Tolong!" Aisya menjerit dan cuba melawan. Tangannya masih mencengkam kuat begnya. Dalam begnya ada RM450. Kalau diragut,dia hanya tinggal RM50 dalam poketnya. Walau apa jadi sekalipun, dia perlu mempertahankan wang tersebut.
Aisya terus meronta. Inilah kali pertama dia menghadapi kes ragut. Sebenarnya, kalau ikutkan langkah keselamatan, dia perlu melepaskan sahaja beg itu daripada membiarkan nyawanya melayang. Namun, dia tidak tahu. Selama ini, dia hanya mendengar orang diragut di bandar. Sekarang, dia sendiri yang mengalaminya.
Motosikal terus bergerak semakin laju. Tangan Aisya yang masih kuat mencengkam cuba ditepis namun gagal. Gadis itu terlalu kuat bertahan. Akhirnya, motosikal dipecut dan Aisya terseret. Akhirnya dia rebah di tepi jalan.
Tubuhnya terlalu sakit. Dia dapat merasakan darah mengalir dari luka-luka di seluruh badannya.Pandangannya berpinar-pinar. Dia ingin cuba bangkit namun tubuhnya terlalu lemah. Dia tidak berdaya melakukan apa-apapun.
"Allah..." hanya itu yang terucap sebelum dunianya bertukar gelap.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (9)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment