Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Rom Bukan Dibina Dalam Sehari

Assalamualaikum.. salam buat pemuda pemudi dan semua yang membaca, jika adalah yang sudi membaca. Hari ini, rasa berminat pula hendak membicarakan tentang isu dakwah.



Dakwah untuk mencegah kemungkaran. Itulah tanggungjawab kita selaku umat. Saya bergembira melihat ada insan-insan yang rela bangkit berjuang. Saya gembira melihat ada yang sudi juga hendak mencegah kemungkaran.


Kita memang perlu mengubah kemungkaran dengan caranya, baik melalui perbuatan, percakapan atau setidak-tidaknya membenci kemungkaran. Namun apa yang saya mahu bincangkan, dakwah itu bukan sekadar mengambil masa sehari. Lama masa yang diambil.


Sedar tidak sedar, ada naluri yang kuat dalam diri orang yang berdakwah agar sasaran dakwahnya itu segera berubah. Namun yang ingin saya soalkan, berapa ramai pula yang melenting apabila nasihat dan usahanya tiada dihiraukan? Berapa ramai yang mula bencikan sasaran dakwahnya apabila dakwah itu seolah tiada dilayan? Dan berapa orang yang berputus asa setelah sekali dua dakwahnya tidak dipedulikan? Fikirkan!


Ya, kita ada batas kesabaran. Selalunya apabila dakwah itu ditolak, tidak dilayan atau dipersendakan, kita tentu mudah melenting. Memang ia menguji kesabaran. Tambah pula bila si pendakwah tadi dengan sewenang-wenangnya dianggap sebagai tunjuk baik dan dikutuk pula. Memang kalau diikutkan, siapa pun akan naik marah.


Persoalannya di sini, apakah tindakan si pendakwah apabila perasaan marah menguasai diri? Apakah dia sewenang-wenangnya mencaci maki sasaran dakwahnya tadi? Apakah dia pulang dengan berputus asa lalu apabila bertemu sahabatnya diceritakan habis keburukan sasaran dakwahnya tadi? Apakah dia pulang dengan menyumpah seranah sasaran dakwahnya? Begitukah yang sepatutnya dalam mengajak orang lain ke arah kebaikan? Beginikah daie (penyeru kebaikan)?


Sebaik-baik daie ialah Rasulullah. Baginda dengan penuh tekun sabarnya mengajak ummatnya mencari Islam. Walau dihina dan dicerca, sama sekali tiada berganjak Rasulullah dari tempatnya. Racun diberi, madu dibalas. Ingatkah kisah seorang wanita tua yang kafir pada zaman Rasulullah?


Dia terlalu bencikan Rasulullah. Asal lalu di hadapan rumah wanita tua itu, sudah pasti Rasulullah dibaling dengan najis dan batu. Caci maki dan sumpah seranah itu tak usahlah ditanya. Namun Rasulullah tiada pernah membalas balik dengan kekejaman mahupun amarah. Hanya kemuliaan dan kebaikan yang diberi. Sehinggalah suatu hari wanita tua tersebut jatuh sakit. Betapa mulianya hati Rasulullah, dia sanggup menjaga wanita tua itu. Dia sanggup membersihkan pula kediaman wanita itu. Sehingga wanita itu benar-benar tersentuh. Islam akhirnya dia berkat kemuliaan Rasulullah.


Sekarang cuba bandingkan dengan diri sendiri. Sekiranya kita ini cuba berdakwah, lalu dibalas dengan cara sedemikian, apakah tindakan kita? Sanggupkah kita membantunya begitu? Setelah diri dicerca, dihina, malah dibaling pula dengan najis? Masya-ALLAH. Saya mengakui, saya sendiri pun mungkin sudah lama pergi sejauh-jauhnya dari wanita itu.


Berfikir pula soal masa. Agak-agaklah, mungkin tak wanita tua itu telah islam dalam sehari? Pagi dia memaki Rasulullah, membaling najis, dan berlaku buruk terhadapnya. Petang dia jatuh sakit, Rasulullah menjaganya.Malam dia sudah insaf. Logikkah apa yang saya katakan ini? Tidak sama sekali!


Masa yang lama diperlukan untuk melembutkan hati yang keras bagai kerikil. Bukan dalam sehari sahaja yang kafir boleh terus mengucap syahadah. Bukan dalam sehari sahaja yang menyeleweng itu boleh terus bertaubat dari dosanya. Lama masanya!


Adakah kesabaran setakat itu? Adakah sanggup menunggu selama itu? Adakah tegar dengan dakwah fardhiyyah? Dakwah yang benar-benar menyeluruh. Adakah sanggup menjadi murabbi yang mendidik? Atau muallim yang mengajar? Mengajar lebih kepada teori. Mendidik itu mengasuh amalnya. Mana yang lebih penting? Kalau tiadalah murabbi, runtuh teruslah akhlak umat islam! Yang berilmu sekadar membanggakan diri dengan ilmunya tanpa pula ia disebarkan. Yang jahil terus jahil kerana tiada yang hendak mendidik.


Afwan kerana post kali ini agak panjang stanzanya. Namun apa yang saya cuba katakan, seorang yang cuba menyeru ke arah kebaikan itu perlulah tetap bersabar. Sekalipun dicerca dan dianiaya, ingatlah janji ALLAH. Teruskan perjuanganmu. Jazakallah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment