Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (1)

“Kalau kau dah nak pergi sangat, pergilah. Kakak dah tak mampu nak cakap apa lagi dah. Kakak ni dah tak penting dalam hidup kau. Suka hati kaulah,apa kau nak buat.

“Semua yang kau beli dengan duit kau selama kau kerja dengan Pak Abu, ambillah. Bawalah pergi. Kak tak mahu ada hutang apa-apa dengan kau. Cuma satu permintaan kak, loket ni, kau bawalah. Simpan dan pakailah.


“Kalau suatu hari nanti, kau nak kembali ke rumah ini, tapi kak dah tak lagi di sini, carilah kak dengan loket itu.”


Aisya langsung tidak menjawab apa-apa. Dia acuh tidak acuh, antara dengar dengan tidak. Apa yang dia tahu, dia hendak mengikut kawan-kawannya. Mereka semua mahu berhijrah tinggal di bandar. Apa yang pasti, hatinya melonjak-lonjak dahagakan kebebasan. Itu sudah pasti, saat Nur Hidayah, kakaknya, merelakan keputusannya.
“Kalau ya pun nak pergi, salamlah kakak kau dulu,” Abangnya Rifhan bersuara tegas. Dia memang marah benar dengan perlakuan adiknya yang bagai tidak tahu diuntung. Tidak ingatkah dia, Kak Long Hidayah yang bersusah payah bekerja untuknya selama ini? Sudah buta sangatkah dengan keindahan dan kemewahan Kuala Lumpur?

Dengan wajah masam mencuka, tangan kasar Hidayah disalamnya. Atas dasar enggan bertekak, dia menghulurkan tangan mahu bersalam dengan Rifhan. Keras tangan Rifhan sewaktu bersalaman dengan Aisya.


“Aisya,” Nama Aisya dipanggil lagi. Kakaknya tersenyum pahit sebelum meneruskan kata-kata.


“Selamat berbahagia,” Cuma itu yang diperkatakan. Seterusnya, tinggal anak matanya mengiringi pemergian Aisya. Siapalah yang mampu menghalang jika itu yang Aisya mahukan. Sebaik sahaja Aisya pergi, air matanya mahu jatuh. Namun dia tetap menahannya. Tidak mahu dipamerkan kesedihannya di hadapan Rifhan.


Tanpa sebarang perkataan, Hidayah berlalu ke biliknya. Rifhan memandang sepi. Dia tahu segala apa yang adik perempuannya itu cuba sembunyikan. Kesedihan yang tiada terucap. Hidayah cuba melindungkan perasaannya kerana enggan melihat Rifhan risau dan bersedih sepertinya.


Hakikatnya, naluri lelaki ini pun tahu bergolak. Dia pun tahu kesedihan turut dirasainya. Bayangkanlah siapa yang rela melihat adik sendiri gilakan kemewahan sampai sanggup meninggalkan kampung halaman. Malah perginya pula tanpa ketaatan langsung terhadap keluarga. Sampai bersalam pun tidak mahu.


Di dalam bilik, Hidayah menangis sendiri. Dia kesal dengan apa yang terjadi. Foto ibunya dicapai dan dipeluk erat. Semua kenangan bersama arwah ibunya berputar kembali di ingatan.


“Dayah, kalaulah ibu tak dapat jaga Dayah lagi, Dayah tolong jagakan abang Rifhan dengan adik ni ya,”ibunya berpesan dua hari sebelum melahirkan Aisya. Senyuman sayu yang bagaikan ada makna tersirat membuat Hidayah tertanya-tanya.


Bapanya memang tidak pernah ambil peduli. Dia sudah bahagia sangat dengan wanita muda pilihannya di kota sana. Dia meninggalkan mereka tiga beranak bersama adiknya yang belum lagi melihat dunia. Bayangkanlah betapa payah kehidupan ibunya waktu itu, hamil pada usia 43 tahun. Usia yang sungguh tidak sesuai untuk melahirkan anak lagi. Namun, itulah takdirnya.


Keadaan ibu yang sungguh tidak berdaya, ditambah pula Rifhan yang bakal menduduki SPM tahun itu. Ibunya enggan membenarkan Rifhan bekerja sambilan. Teruk Rifhan dimarahi apabila ibunya tahu dia bekerja di kilang simen. Ibu mahu Rifhan menumpukan perhatian terhadap peperiksaan SPM.


Ibunya bekerja sebagai tukang jahit untuk menyara mereka. Dengan sesen wang pun tidak ditinggalkan suaminya, dia terpaksa bekerja keras. Mulanya, dia terpaksa menebalkan muka berhutang dengan jiran untuk membuka gerai makan. Siang dia bekerja di gerai makan, petang mengambil upah mengajar orang menjahit, malamnya pula menahit kain tempahan. Anak-anaknya yang mahu mengambil PMR dan SPM tidak mahu diganggu.


Walaupun Hidayah dan Rifhan benar-benar mahu membantu, namun dilarang. Cukuplah dia seorang yang bersusah payah. Jangan anak-anaknya mewarisi derita yang sama. Cukup, sudah cukup. Derita jangan diturunkan.


Hidayah dan Rifhan sendiri pun tidak tahu, mengapa ibu mereka terlalu giat bekerja. Kalau ikutkan dengan duit tempahan baju pun mereka sudah boleh hidup. Namun ibu mereka tetap melakukan kerja yang lebih. Mereka hidup sederhana dengan wang tempahan baju. Duit gerai dan upah mengajar? Tiada siapa yang tahu ke mana perginya.


Akhirnya, selepas tujuh bulan menganyam derita, hidup bersusah payah, tiba juga hari yang ditakuti oleh Hidayah. Ibunya sudah sakit mahu melahirkan. Rifhan dan Hidayah menangis melihatkan penderitaan ibu mereka. Disebabkan kenderaan yang ada cuma motosikal kapcai, mereka terpaksa menelefon ambulans. Kebetulan bidan kampung yang ada pula pulang ke Kelantan. Tiada siapalah yang mampu membantu mereka malam itu. Cuma Mak Leha, jiran sebelah yang prihatin bersusah payah datang menemankan mereka sementara menanti ambulans.


Dek kesesakan jalan raya dari hospital di pekan ke rumah mereka, hampir setengah jam barulah ambulans sampai. Ketika itu, ibu mereka sudah tenat. Sudahnya, dia dibawa ke hospital dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Di hospital, wanita itu tidak mampu menjalani pembedahan kerana mereka sekeluarga memang tidak cukup wang untuk kos pembedahan. Akhirnya, dalam kepayahan, Elya Aisya Humaira selamat dilahirkan, dengan nyawa Elya Sumaiyyah sebagai gantinya. Ibunya pergi buat selamanya. “Keunggulan Sumaiyyah” makna nama Elya Sumaiyyah benar-benar terpatri pada jiwanya hingga ke akhir hayat.


Selepas pemergian arwah ibu, barulah Hidayah dan Rifhan tahu, wang lebih hasil kerja ibu mereka itu ada disimpan di bank. Sejak awal perkahwinan, ibu mereka sudah siap menyediakan simpanan untuk masa depan mereka. Jumlahnya RM30,000.


Hidayah bagai mahu meraung waktu itu. Kenapa ibu tidak menyatakan pada mereka? Kenapa ibu tidak meminta wang tersebut digunakan sahaja untuk membiayai pembedahannya? Kenapa tidak diguna sejak awal untuk perubatan ibu sendiri? Oh tuhan, mulianya hati seorang ibu. Rifhan mengingatkan, mungkin sudah suratan di situ ajal ibu mereka, tiada siapa mampu menghalang.


Hidayah dan Rifhan seterusnya berusaha membesarkan adik bongsu mereka, Elya Aisya Humaira. Dia juga sama seperti ibunya dan Hidayah. Semuanya berpangkal nama Elya, membawa maksud “keunggulan”. Wang yang ditinggalkan ibu mereka diguna cermat-cermat. Rifhan selaku anak sulung mengambil keputusan agar wang tersebut dibahagi tiga. Seorang sepuluh ribu. Hal ini supaya andai berlaku apa-apa, setiap seorang ada lagi wang. Sepatutnya, dia anak lelaki, dia mendapat lebih. Namun dia tidak mahu. Wang yang sepatutnya menjadi miliknya dihalalkan sahaja untuk dua adiknya.


Mereka bekerja sambilan juga, wang tersebut jarang diusik. Rifhan yang sudah habis SPM,memilih untuk masuk ke tingkatan enam walaupun keputusan SPMnya melayakkannya masuk ke universiti. Alasannya, mahu membantu menjaga Aisya yang masih kecil. Hidayah walaupun keputusan PMR nya cemerlang, tetap memilih bersekolah di kampung itu demi adiknya.


Pagi bersekolah, petang Aisya menjaga kedai makan, malam Rifhan pula. Aisya mahu ikut membantu, namun tidak diizinkan kerana bagi Rifhan, tidak elok anak dara keluar malam-malam. Itu pesan ibunya sejak dulu terhadap Hidayah.


Bakat menjahit arwah ibu turun kepada Hidayah. Urusan menjahit kain tempahan diteruskan olehnya. Dalam kesibukan, pelajaran tidak diabaikan. Hidayah dan Rifhan sama-sama berjaya dalam SPM dan STPM. Hidayah memilih meneruskan STPM sementara menjaga adiknya. Rifhan pula bekerja dahulu di sebuah kedai buku kerana enggan meninggalkan adik-adiknya. Harapannya nanti mereka akan mengubah nasib keluarga.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment