Rumah terasa sepi tanpa kehadiran Elya Aisya Humaira. Suasana suram. Hidayah sendirian di rumah menjahit pakaian untuk Hari Raya Aidil Fitri. Abangnya keluar awal ke tapak untuk membuka gerai di bazar ramadhan. Pukul lima nanti baru dia menyusul. Dia mahu memasak dahulu untuk juadah berbuka puasa.
Walaupun mereka akan berbuka di bazar ramadhan, Hidayah lebih suka memasak. Nanti tidak perlu susah-susah bersesak di tengah orang ramai. Sambil menjahit, dia berfikir lauk apa yang hendak dimasaknya.
‘Bolehlah aku masak lauk tempoyak. Aisya tentu suka,’ dia terfikir. Tiba-tiba pandangannya tertancap pada sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang yang belum siap. Namun bajunya sudah boleh dipakai, cuma tinggal susut kainnya saja.
“Aisya, datang cuba baju kau ni dik, tengok muat elok tak dengan badan kau,”
Sepi. Tiada siapa yang menjawab. Hidayah terpinga-pinga. Dia memandang ke luar. Motosikal baru milik Aisya tiada di situ. Barulah dia teringat. Aisya telahpun pergi meninggalkan mereka sekeluarga.Tinggal dia dan abangnya sahaja.
Menitis air mata Hidayah. Semalam, dia tidak menangis di hadapan Rifhan. Dia tahu Rifhan turut bersedih, cuma sifat kelelakiannya menghalangnya untuk terlalu menunjukkan kesedihan. Waktu sahur tadi pun, Rifhan tidak makan banyak. Sekadar mengalas perut walaupun lauk ayam masak merah kegemarannya dihidang panas-panas untuknya.
Rasa hilang seri di rumah itu. Selalunya, petang-petang begini Aisya menemaninya. Jarang sangat dia tinggal di rumah seorang diri melainkan kalau Aisya ada kelas tambahan. Sedih makin mencengkam. Rindu usahlah cakap. Tidakkah Aisya merinduinya?
Suatu yang dikesalkan, dulu adiknya redha dengan kehidupan mereka yang tidaklah miskin sangat, cuma sederhana. Namun, selepas tamat peperiksaan PMR, makin menjadi-jadi liarnya. Rifhan pun sudah tidak mampu mengawal liar adiknya.
Kalau dulu, selain ke kedai menolong Rifhan, tentu dia di rumah menemani Hidayah. Kehadiran Aisya buat seisi rumah terasa bermakna. Gelak tawa dan celotehnya mengusik jiwa. Rupa dan suaranya saling tidak tumpah dengan arwah ibunya.
“Maafkan Hidayah, bu. Kakak gagal tunaikan amanah mak. Kakak tak dapat jaga Aisya sebaik-baiknya. Kakak gagal,”wanita berusia 30 tahun itu menyalahkan dirinya atas kekhilafannya dalam menjaga Aisya.
Jam loceng berbunyi. Hidayah terus bingkas ke dapur menyediakan makanan. Sampai di dapur, seolah-olah ternampak bayangan Aisya mencuci pinggan mangkuk. Hari ini, dia memasak bersendirian buat pertama kalinya dalam bulan ramadhan ini. Rasa bagai disiat-siat hatinya.
Dia memasak ala kadar sahaja. Sekadar cukup untuk mengisi perutnya. Namun, untuk abangnya, dia memasak sebaik mungkin. Kasihan lelaki itu. Sudah penat bekerja, biarlah dia menikmati juadah yang sesuai dengan seleranya. Untuk Aisya.. Argh! Hendak fikir apa lagi? Aisya pun sudah tak selera hendak makan air tangan Hidayah.
Sambil masak, sambil menangis. Tanpa sedar, Hidayah terhiris jari sendiri semasa menyiang ikan. Darah banyak mengalir, namun pedihnya tidak lagi terasa. Pedih di hati lebih membungkam. Jauh lebih menyakitkan. Air mata mengalir lagi. Bukan kerana sakit di tangan tetapi rindu di hati.
Hari itu, dia sampai ke bazar lewat sedikit. Dia menyalam abangnya, hormat. Cukuplah semalam Aisya seorang yang angkuh, tidak mahu menyalami tangan yang mencari rezeki untuknya selama ini. Dia tidak mahu meninggalkan Rifhan sendirian sama sekali. Susah senang biarlah mereka dua beradik. Jangan terpisah.
“Dayah masakkan abang ayam masak merah dengan sambal udang. Berbuka nanti kita makan, ya?”
“Untuk Dayah? Kenapa nampak sikit aje lauk? Takkan Dayah tak makan?” Bertalu-talu dia bertanya. Lauk yang sedikit menimbulkan tanda tanya.
“Ada dalam bekas tu, lauk telur masak kicap,”
“Takkan itu aje?” Rifhan sudah menduga bahawa Hidayah kurang bersemangat semenjak kehilangan Aisya.
“Yalah,nak apa lagi, Dayah makan seorang aje kan, bukannya nak makan banyak pun,” Hidayah tersenyum. Dia tahu Rifhan risau benar akan keadaannya. Sedaya upaya, dia akan cuba menghilangkan gusarnya, walaupun memang dia tidak bersemangat.
Rifhan terus meninggalkan tapak gerai tanpa berkata apa-apa. Terpinga-pinga Hidayah dibuatnya. Tugas menjaga gerai diambil alih oleh Hidayah. Risau pun ada melihat tingkah laku Rifhan.
“Sekejap lagi makan sekali lauk daging masak kicap ni. Makan sikit sangat nanti masuk angin, susah dik,” Rupa-rupanya dia keluar tadi membelikan makanan untuk Hidayah. Terharu rasanya melihat keprihatinan Rifhan.
Tidak lama selepas itu, azan Maghrib berkumandang. Mereka berbuka puasa di gerai. Selalunya, mereka makan bertiga, hari ini ditakdirkan mereka makan berdua. Perasaan sepi tak usahlah dikata.. hanya Allah lebih mengetahui.
“Dayah, malam ni nak tunggang motosikal seorang ke pergi tarawikh? Atau nak naik motosikal dengan abang? Bahaya pulak naik motor seorang malam-malam. Masa nak pergi tu tak kisah sangatlah awal malam. Masa nak balik tu, bahaya,” Pertanyaan Rifhan itu membuat Hidayah sayu. Tiada Aisya, tiadalah teman dia bertarawikh. Tiadalah teman dia memasak untuk sahur. Tiadalah teman dia memasak untuk berbuka.
“Dik,” Panggilan itu buat dia kembali ke dunia nyata.
“Em, tak apalah. Malam ni mungkin Dayah pergi seorang kot. InsyaALLAH Dayah tak apa-apa. Lagipun, sampai bila nak harapkan orang teman,”
“Tak apa ke? Abang risaulah. Dayah tu anak dara, bukan selamat sangat keluar seorang malam-malam. Dibuatnya jadi apa-apa, siapa nak tolong? Manusia sekarang ni bukan semuanya manusia, sesetengah tu lagi dahsyat dari binatang,” Rifhan tidak setuju.
“Alah, bang. Siapalah nak kacau adik abang yang dah nak jadi andartu ni. Nak kacau pun dah tak selera,”
“Dayah, jangan cakap macam tu. Tak baik. InsyaALLAH sampai jugak jodoh Dayah nanti,” Rifhan pantas mengingatkan. Dia tidak suka Hidayah bertanggapan negatif pada diri sendiri.
“Abang tak payahlah risau. Elya Nur Hidayah, adik abang ni dah tak berharap pun nak kahwin. Nak selesaikan dulu tanggungjawab Dayah pada keluarga. Amanah arwah mak pun tak tertunai, ada hati nak kahwin? Cukuplah bang, tak payahlah cakap pasal tu,”
“Sampai bila Dayah nak macam ni?”
“Sampai Dayah dah menunaikan semua tanggungjawab Dayah pada arwah mak, pada adik, pada abang, pada umat islam dan pada ALLAH. Selagi semua tu tak tercapai, belum masanya,”
“Tak apalah kalau adik berfikiran macam tu. Sekurang-kurangnya abang tahu abang ada seorang adik perempuan yang bakal menjadi haura’.InsyaALLAH,”
“Amin..”
Mereka pulang ke rumah. Seperti biasa, mereka pulang bersiap seadanya sebelum ke masjid. Sebelum ke masjid, mereka solat maghrib berjemaah.
Selepas solat, panjang doa yang dipanjatkan kepada ALLAH. Pelbagai isi hati yang bermukim, diluahkan kepada kekasih sejati. Seluruh jiwa diserahkan khusus untuk Pencipta jiwa tersebut. Sedar tidak sedar, air mata tumpah di pipi. Satu persatu. Seolah-olah cuba membasahkan hati yang semakin kontang kehilangan insan tersayang.
“Ya ALLAH, aku serahkan hidupku dan matiku hanya untuk Mu. Aku hambaMU, hakikat bernafas dalam jiwa hamba ini, wajib ke atasku menerima takdir yang engkau tetapkan. Kurniakanlah aku sekuat-kuat jiwa untuk menghadapi dugaanMU. Kau peliharalah adikku. Kurniakanlah dia keselamatan. Peliharalah kehormatannya. Izinkanlah dia hidup bahagia dengan jalannya. Janganlah engkau palingkan wajahnya dari pintu syurgaMU. Janganlah engkau palingkan dirinya dari taufiq dan hidayahmu. Wahai tuhan semesta alam, kekalkanlah dia tetap di jalanMU, dan jauhkanlah dirinya sejauh-jauhnya dari apa jua bentuk kesesatan,”
Hati bermonolog, ‘Adikku Aisya, janganlah kau lupa pada tikar sembahyang. Kiranya kau lupakan kami yang membesarkanmu sejak kecil, tidak mengapa, namun jangan kau lupa DIA yang menciptakanMU. Kami redha kau tinggalkan kami. Namun kami tetap menyayangi dan mendoakanmu,’
Hakikat kasih sayang, jika menyayangi,lepaskanlah ia terbang bebas. Kiranya ia kembali padamu, benarlah ia milikmu. Kiranya ia tidak kembali, terimalah hakikat, dia bukanlah untukmu. ALLAH tidak mentakdirkan dia bersama kamu. Namun apakah seorang saudara sedarah sedaging itu juga bukan milik mereka? Wallahualam…
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (2)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment