“Kakak banyak menangis, ya? Mata nampak bengkak, muka pun suram,” Fatimah menjawab persoalan Hidayah.
Hidayah terdiam. Wajah mulus Fatimah dipandangnya. Kalau ikutkan hati, mahu saja dicurahkan segala isi hatinya kepada gadis di hadapannya itu. Nada suara Fatimah yang lembut dan tulus seolah-olah membuatkan dia rasa sungguh selamat. Dia mahu menangis di bahu Fatimah, namun ditahan sedaya upaya.
“Kalau kak ada masalah, ceritalah pada Imah. Insya-ALLAH Imah cuba bantu sedaya upaya. Kalau Imah tak mampu membantu selesaikan masalah pun, Imah cuba bantu kuatkan semangat kak. Imah tahu, banyak dugaan yang kak lalui,”Ketulusan bicara Fatimah buat Hidayah hilang bicara. Matanya berkaca-kaca.
Mereka masuk ke dalam saf dan menunaikan solat isya’ berjemaah kemudian rehat sebentar sementara menunggu jemaah yang hendak datang bertarawikh. Masa yang terluang itu digunakan untuk membaca al-quran oleh Fatimah dan Hidayah. Mereka bertadarus bersama.
Dari sudut masjid, Syafiqah, Husna dan Fatin sedang berbual-bual kosong. Syafiqah terkejut melihat Fatimah sedang bertadarus al-quran bersama Hidayah. Timbul pula rasa cemburu.Dia tidak suka Fatimah rapat dengan Hidayah.
“Husna, Fatin, tengoklah tu. Fatimah bukan main baik lagi dengan anak dara tua tu. Dahlah baru tadi mengurat abang sendiri, ni nak hasut kawan baik kita pulak. Isy, entah apa-apalah andartu tu!” Umpat Syafiqah. Lupa dosa, lupa pahala. Sanggup memakan daging saudara sendiri.
“Bahayalah Fatimah tu, senang sangat nak rapat dengan orang. Kalau orang normal, tak apalah. Ini sampai dengan andartu pun dia nak rapat. Dah tak ada kawan sangat ke?”Husna turut menyokong. Jijik sangat anak dara tua di matanya. Status itu seolah-olah mengasingkan Hidayah daripada masyarakat normal.
“Fatimah tu dahlah cantik orangnya. Anak dara pingitan. Umur muda lagi tetapi dah ramai yang merisik. Berkawan dengan Dayah tu nanti silap haribulan ikut membujang sampai tua macam dia juga,”Fatin pun sama sahaja pandangannya, tetap memperlekehkan golongan seperti Hidayah. Baginya, Hidayah hanya akan membawa pengaruh tidak baik untuk Fatimah.
Jemaah sudah ramai. Imam pun mengarahkan semua makmum masuk ke dalam saf untuk solat tarawikh. Malam itu, Fatimah dan Hidayah sama-sama menunaikan solat tarawikh sebanyak dua puluh satu rakaat. Penat menunggu, akhirnya Syafiqah, Husna dan Fatin pulang dahulu.
“Biarlah dia nak buat baik sangat dengan si Dayah tu,” Ujar Fatin sambil mendengus. Dia meluat dengan sikap Fatimah yang seolah-olah mengenepikan mereka bertiga semata-mata kerana Hidayah. Masya-ALLAH. Fikiran jahat juga yang singgah di benak. Bukankah lebih elok sekiranya dia berfikiran positif? Ibadat pun sudah dipersoalkan, sedangkan ibadat itu khusus untuk mentaati ALLAH, bukannya untuk mengambil hati manusia.
Usai solat tarawikh, Fatimah dan Hidayah berbual sambil melipat telekung. Fatimah cuba hendak menyelami isi hati dan masalah yang dihadapi Hidayah.
“Kenapa dengan kak sebenarnya? Ada masalah dengan Aisya ya?” Fatimah pantas menduga. Apa yang dia lihat, Hidayah dan Rifhan nampak sangat akrab. Kalau bukan Rifhan, tentu Aisya. Lagipun, akhir-akhir ini memang Aisya kelihatan semakin liar.
Air mata Hidayah terus mengalir mendengarkan nama Aisya disebut. Bayangan adik bongsunya yang bertubuh genit itu bertamu di minda. Rasa kehilangan itu benar-benar mencengkam.
“Aisya dah tinggalkan kak. Kak rindu sangat akan Aisya. Kak nak jumpa adik kak,” dalam esak tangis, kesedihannya dihamburkan jua kepada Fatimah.
“Tinggalkan kak? Dia pergi mana?” Fatimah benar-benar terperanjat.
“Kuala Lumpur. Dia ikut kawan-kawannya yang sudah hendak ke universiti. Dia tak mahu lagi hidup susah di kampung. Dia tak suka tinggal dengan kak. Kak tak pandai nak jaga dia. Kak cuma buat hidup dia susah saja,
“Semua ni salah kak. Kak tak dapat bagi dia hidup senang macam remaja lain. Kak tak dapat nak buat dia gembira. Kak gagal nak tunaikan tanggungjawab kak. Kak bersalah dengan arwah mak,” Panjang rintihan Hidayah.
Dari luar masjid, Rifhan nampak semua itu. Dia sudah habis solat tarawikh 21 rakaat, namun melihatkan keadaan emosi adiknya yang kurang stabil, dia rasa lebih baik biarkan Hidayah bersama Fatimah dahulu. Mungkin itu boleh membantu meredakan keresahan yang dialami Hidayah.
‘Kasihan adikku. Dia tidak patut dibiarkan bersendirian. Sudah fitrah manusia memerlukan kasih sayang. Hidayah tetap seorang perempuan. Walau seteguh manapun kekuatannya, dia masih seorang wanita. Jiwanya rapuh dalam teguh,’ Bisik hati Rifhan.
Sementara itu, Fatimah masih menemani Hidayah. Dia sendiri terasa mahu menangis apabila mengenangkan penderitaan yang dialami oleh Hidayah. Dia memuhasabah dirinya. Kalaulah dia yang ditakdirkan menjalani liku-liku kehidupan yang sungguh pahit seperti Hidayah, rasanya sudah lama dia mengalah. Namun, bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
“Kak, Imah cemburu dengan kak,"
“Kenapa? Kak tak ada apa-apa pun untuk dicemburukan,”
“Sebab kak sangat dikasihi ALLAH. Kekasih pilihan-Nya yang sentiasa diingatinya. DIA mahu memberikan kakak pahala sabar yang tak ternilai harganya. DIA mahu melatih kakak menjadi seorang yang tabah, seteguh Sumaiyyah, syahidah pertama di muka bumi ini. Bukan semua orang boleh terpilih menerima semua ini. Banyak hamba-Nya yang lalai, dibiarkan leka,tetapi kakak tidak. Kakak diberikan ujian untuk sentiasa mengingati-Nya.Berapa ramai yang telah mengalah dan berpaling dari jalan-Nya, tetapi kakak tetap tabah,”Panjang bicara Fatimah seolah-olah titisan embun yang dingin.
Hidayah berasa sangat terharu. Bicara yang penuh hikmah itu membuatkannya rasa sangat berharga. Bicara itu mengingatkan dia kepada kekasihnya yang satu. ALLAH.
“Bagaimana cara kakak nak melepasi ujian yang kakak terima ini, sedangkan kakak sendiri pun tidak mampu lagi menghadapinya?”
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Janji ALLAH dalam surah Al-Baqarah, ayat 286. Kakak mampu. Yakinlah,”
“Kakak mungkin mampu, tetapi dengan daya yang tersisa setelah itu, untuk teruskan hidup pun belum tentu kakak mampu,”
Fatimah mengusap lembut air mata di pipi Hidayah. Dia benar-benar kasihan akan Hidayah. Dia tahu, Hidayah bukannya seorang yang lupa atau jahil agama, cuma apabila terlalu tertekan, dia hilang kekuatan untuk seketika. Yang pasti, dia perlu dibantu untuk mencari jalan keluar. Bukannya dibiarkan terhuyung-hayang sendirian.
Setelah hampir dua puluh minit mereka berbual, Fatimah dan Hidayah pun hendak pulang ke rumah masing-masing. Barulah Fatimah tersedar, mereka pulang agak lewat. Sudah 10.45 malam. Rakan-rakannya semua sudah pulang. Di bahagian perempuan, cuma tinggal mereka berdua.
Sesampai di luar serambi masjid, kebetulan Rifhan pun baru selesai beribadah. Dia baru sahaja hendak menjenguk adiknya apabila dia nampak mereka berdua keluar dari serambi masjid. Hidayah nampak lebih tenang, mungkin lega setelah isi hatinya dicurahkan.
“Imah balik dengan siapa? Takkan nak berjalan kaki balik seorang diri?”Risau pula Hidayah. Dia mungkin tidak mengapa kerana dia cuma membonceng motosikal abangnya. Fatimah pula bagaimana?
Fatimah pantas merangka idea. Dia tidak mahu Hidayah dituduh lagi sekiranya menunggang motosikal bersama Rifhan. Tambahan pula, mereka balik lewat. Kalau ada yang melihat, tentu heboh sekampung menyangka yang bukan-bukan.
“Boleh tak kalau kak teman Imah? Imah memang pulang jalan kaki. Takkan nak biarkan Abang Rifhan berjalan kaki pula. Itu motosikal dia. Kalau kita berjalan, biar Abang Rifhan menunggang, boleh tak? Kalau tak keberatanlah bagi kak,”
“Boleh. Apa salahnya. Kejap, kak beritahu abang,” Hidayah mendapatkan abangnya. Fatimah memerhatikan setiap langkah Hidayah. Dia hanya memerhatikan keakraban dua beradik itu serta tingkah laku dan adab sopan mereka.
‘Dugaan itu benar-benar mendidik pekerti manusia. Akrab sungguh hubungan mereka. Peribadi mereka juga tampak suci dan bersih. Sungguh, ALLAH mahu mengetahui. Hamba-Nya yang lemah seperti aku ini cuma mampu menilai sahaja hikmahnya, jika mahu berfikir’ Bisik hati Fatimah.
Persetujuan Rifhan dieperoleh. Mereka memulakan perjalanan pulang ke rumah. Masing-masing bersyukur dalam hati dengan pelbagai rentaknya. Rifhan bersyukur adiknya dapat meluahkan isi hati. Hidayah bersyukur dapat mencari sinar dalam hatinya. Fatimah bersyukur dapat membantu wanita yang teraniaya. Itulah kejadian yang ditentukan oleh-Nya. Semuanya punya hikmah yang tersendiri.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (4)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment