Maaf atas kelewatan untuk membuat satu post lagi yang dijanjikan dalam post sebelum ini. Ana terlalu sibuk baru-baru ini lantaran perjuangan di medan peperiksaan menghimpit ana. Apabila difikirkan rasa macam teruk pun ada. Nampak seolah-olah ana sedang futur (merosot amalan) pula. Rasulullah jauh lebih sibuk berbanding ana, tapi semua itu tak pernah menghalang baginda berdakwah. Astaghfirullahalazim...
Ana tak mahu bertangguh lagi. Janji ana untuk menyimpulkan post yang lalu mesti ana tunaikan walaupun ana sendiri saja yang baca. Tak mengapa, asalkan ana dapat menyampaikan ilmu dan dakwah walaupun mungkin takat seorang. Mungkin ana masih cetek ilmu, belum layak nak menyampaikan. Namun rasa seakan tanggungjawab pula untuk ana tunaikan.
Dalam post "Manisnya Cinta", ana telah menerangkan sedikit sebanyak berdasarkan hadis, ayat al-Quran, dan berdasarkan pemerhatian ana sendiri melalui pengalaman. Ana telah membuat analogi dan analisis. Cuma bagi ana post itu belum lengkap dan padat.
Apa yang ana cuba sampaikan dalam post-post ana ini ialah mengenai erti cinta dan kemanisan cinta. Apabila saya menulis 'erti cinta', janganlah pula kita melihatnya dengan kaca mata nafsu.Jangan pula kita samakan dengan cinta yang dibanggakan di sebelah barat sana. Lihatlah dengan kaca mata iman.
Cinta itu universal. Cinta pada Allah, cinta pada rasul,cinta pada nabi,cinta pada keluarga,cinta pada sahabat, bahkan cinta pada kekasih. Terlalu banyak sebenarnya perasaan cinta yang wujud dalam diri kita.Ingatlah,cinta bukanlah sekadar berpegangan tangan dengan ajnabi yang tidak halal sama sekali. Bukan sekadar hanyut dengan buaian asmara sampai terlepas ibadat. Cinta bukan sekadar saling menyayangi hingga membuang ibu bapa dan sanak saudara.
Tahukah antum bahawa mencintai seseorang sebenarnya berpahala ? Ya ! Apabila kita mencintai sahabat kita dengan sepenuh jiwa, mencintainya kerana Allah, insyaAllah berpahala. Bukankah dalam post sebelum ini ada ana nyatakan sebuah hadis? Hadis itu menyatakan bahawa salah satu golongan yang bakal dinaungi Arasy ialah dua orang yang saling mencintai kerana Allah Taala.
Sebaliknya berlaku apabila kita mencintai insan yang tidak halal bagi kita. Apakah kita boleh mendapat naungan itu dengan mencintai seseorang yang tidak halal,bersama dirinya,kemudian mendakwa bahawa saling nencintai kerana Allah.Itu propaganda jenis apa? Kita nak pahala tapi campurkan dengan dosa. In fact, kita tak tahu pun apa yang kita buat tu dinilai sebagai dosa atau pahala. Kita tak tahu 'pahala' tu dihitung ataupun diberi nama dosa semata-mata.
Percaya atau tidak, masih ada lagi golongan yang berpegang pada cinta Allah semata-mata. Itulah cinta sejati yang sebaik-baik cinta. Mereka ini tidak berasa kekosongan apabila tidak berpunya. Cukuplah cinta Ilahi menjaga mereka. Memang mereka ini tidak berpeluang merasai ayat-ayat cinta dari teman lelaki seperti kebanyakan insan lain, pada hakikatnya mereka yang enggan menerima peluang kerana tekun menjaga syariat, tapi mereka tak kesunyian. Allah mengurniakan teman pula bagi mereka, teman yang sama seperjuangan.
Apabila tiba masanya pula, mereka ditemukan dengan cinta yang halal. Dihadiahkan sebuah cinta yang penuh barakah. Dek kerana sebelum ini belum pernah lagi merasai lazatnya maksiat, segala yang dicurahkan itu tak terasa jemu. Halaqah cinta yang nantinya akan mendekatkan lagi diri dengan Allah. Tidakkah itu namanya sebuah kehidupan yang indah?
Percayalah, setiap satu yang digariskan dalam Islam itu semuanya ada kebaikan,dan kalau dituruti itu membuahkan keindahan yang tak terjangkau dek akal fikiran. Walaupun akarnya pahit tapi buahnya manis. Tentu indahnya kalaulah diri kita ini semuanya menjadi permata yang suci dan terjaga. Kalaulah diri kita ini insan-insan yang tidak pernah langsung terpalit secebis pun dosa maksiat. Sayangnya, bukan semua sanggup menghadapinya, menerimanya.
Ana sendiri tidak menyalahkan sesiapa andainya post ini dikecam atau dikutuk keras oleh insan yang mengenali diri ini. Sejujurnya, sebelum sesiapa mengecam ana, ana mengakui terlebih dahulu, ana sendiri pernah terlibat dalam hal sebegini. Ana sendiri pernah terjebak dalam cinta palsu begini. Namun, berkat bimbingan beberapa insan penting dalam hidup ana, pembacaan ana, dan pastinya petunjuk Allah yang menggerakkan hati ana untuk meninggalkan jalan itu. Lantas ada yang berpesan, tanggungjawab bagi kita untuk menyeru. Atas dasar itu, ana ingin sekali cuba menyambung legasi dakwah mereka. Sebab ana masih ingat, sabarnya mereka menyeru ana penuh hikmah. Sampai bila pun ana tak akan lupa sama sekali.
Doakanlah agar ana istiqamah dan berjaya dalam segala lapangan hidup ana, dunia dan akhirat.
P/S: mulai post ini, insyaAllah gantidiri ana yang akan digunakan.. ^_^
Jemput Follow :)
Subhanallah.. Luasnya Erti Cinta !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment