"Mak cik dan pakcik ni siapa?" Aisya bertanya. Memang jelas, suami isteri yang menemaninya itu tentulah insan mulia yang menyelamatkannya. Niatnya cuma mahu mengetahui gerangan insan berhati mulia tersebut.
"Adik panggil aje mak cik Ummi. Nama mak cik Faizah. Kami jumpa adik terbaring di tepi jalan semalam, itu yang kami hantar ke sini. Adik dah okey ke?" Faizah pantas menyesuaikan diri dengan Aisya. Dia mahu mewujudkan kemesraan dengan gadis itu.
"Dengan pak cik, kalau nak panggil abi pun boleh. Kalau selesa nak panggil ayah, suka hatilah. Pak cik ni Zulfakar," sikap mereka membuatkan Aisya lekas mesra. Walaupun dia sedikit kekok dengan panggilan yang disarankan tidak ubah seperti orang arab, namun dia tetap tersenyum.
"Em, dah okey dah sikit, ummi," dalam kekok, panggilan itu dibahasakan juga.
"Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dia yang beri kesembuhan buat hamba-Nya.Sakit itu ujian-Nya, sihat pun ujian-Nya juga sebenarnya. Adik ni kena ragut ke? Tinggal di mana?" Faizah pantas bertanya. Hatinya memang sudah sayang pada anak dara itu.
"Err, ya, adik diragut,"cuma itu yang dijawab. Kaku dan bisu seketika.
"Oh ya, lupa pakcik nak tanya. Nama adik siapa? Tadi masa masuk emergency,nama pun tak diisi sebab tak diketahui,"Zulfakar mendahulukan usul periksa. Mahu juga dia tahu siapa gadis itu.
"Nama adik.."Aisya terdiam seketika.
'Kalau aku beritahu nama betul dan siapa aku, mesti mereka hantar aku balik ke rumah sewa. Kalau hantar ke sana, ish, menyusahkan mereka. Kalau tak ke sana, silap haribulan hantar aku balik kampung terus. Baik aku tipu, boleh jugak aku tumpang free sebelum dapat kerja. Kalau dah stabil nanti, aku terus teranglah.' begitu mudah Aisya ingin mengambil jalan pintas.
"Nama adik siapa? Ingat tak?"Faizah risau sekiranya gadis tersebut hilang ingatan gara-gara hentakan di kepalanya sewaktu jatuh di tepi jalan. Mungkin juga ingatannya hilang sementara disebabkan trauma atau kejutan yang dialami.
"Err.. Nama adik Sofea," Aisya pantas mereka nama palsu untuk dirinya sendiri. Pada awalnya, dia ingin berpura-pura hilang ingatan, namun apa yang dirisaukannya, sekiranya suami isteri itu mengambil keputusan membuat laporan polis, malah mungkin mengiklankan di akhbar untuk mengenalpasti latar belakang dirinya. Tentu gawat jadinya.
'Ah, pedulikan! Yang penting aku dah usaha nak lepaskan diri. Pandai-pandailah nanti aku uruskan.'
"Ibu bapa adik tinggal di mana? Alamat ingat tak?"soalan Zulfakar menyentak hati Aisya. Ibu bapa tinggal di mana? Tinggal di alam barzakh. Alamat ingat tak? Tanah perkuburan. Aisya terdiam seketika. Wajahnya tetap cuba dimaniskan, tidak mahu rahsia kehidupannya dihidu oleh mereka.
"Err, ibu bapa Sofea dah lama meninggal dunia. Sofea banyak tumpang kawan-kawan aje,"
Faizah tersenyum lebar. Nampaknya hasrat itu semakin nyata. Dia berpaling ke arah suaminya. Mereka berdua sama-sama tersenyum.
"Sofea nak tak kalau tinggal bersama kami? Duduk rumah kami. Makan minum semua kami tanggung. Kami nak ambil Sofea jadi anak angkat," Faizah pantas menyatakan hasrat.
Aisya berpura-pura berfikir, padahal hati melonjak-lonjak. Tawaran yang diberi lebih dari apa yang diharapkan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Wajahnya dikawal sehabis mungkin supaya tidak terlalu menunjukkan kegembiraan yang dirasai. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia terus melompat kegirangan, mengatakan, 'kecil tapak tangan, gurun sahara boleh saya tadahkan, mak cik!'.
"Err, tak menyusahkan ummi ke? Dahlah Sofea ni tak kerja,"
"Ish, ummi tak kisahlah, Sofea. Ummi bukan nak duit Sofea, nak suruh kerja sana sini," Faizah memberi jaminan. Hatinya pantas terpaut apabila Sofea menyatakan kebimbangan itu. Baginya, Sofea mempunyai ketulusan hati yang wajar dipuji.
"Kalau Sofea bosan nanti, rasa nak kerja, boleh aje datang kerja di kedai abi. Kedai buku," seronok benar Aisya apabila tawaran kerja turut datang menadah di hadapannya.
"Terima kasih banyak-banyak, ummi, abi. Sofea hargai sangat pertolongan ni. Kalau umi dan abi tak ada, entah apalah nak jadi pada Sofea. Entah ke mana pula tempat Sofea sekarang,"Aisya meluahkan penghargaan buat insan yang menyelamatkannya. Bicaranya itu tulus dari sekeping hati yang ikhlas. Meski terselit penipuan, namun dia sedar penghargaan itu bukan lakonan.
Aisya tidak perlu ditahan di wad terlalu lama. Kecederaannya tidaklah terlalu kritikal. Tiada juga kesan psikologi yang ketara seperti trauma atau fobia. Faizah dan Zulfakar tanpa banyak soal membawa Aisya yang dikenali mereka sebagai 'Sofea' pulang ke rumah terlebih dahulu. Pada hemat mereka, ada baiknya Sofea berehat dahulu di rumah. Pakaian boleh dipinjam dahulu, tidak perlu difikirkan sangat.
"Sofea, Sofea duduk rumah ummi kena pakai tudung tau, walaupun dalam rumah," Faizah pantas membuat ketetapan. Bukan tujuan memaksa, nanti pasti akan dipujuknya dengan hikmah.
"Eh, dalam rumah pun kena pakai tudung jugak?"Sofea bingung.
"Umi dan abi memang anggap Sofea bukan orang luar. Kami sayang Sofea macam anak sendiri, tetapi batasan syariat tetap ada.Kita kena patuh, aurat Sofea tetap perlu ditutup depan abi. Sebab itu dalam rumah pun Sofea perlu bertudung," panjang lebar Zulfakaar menjelaskan.Dalam hati, dia memuji tindakan isterinya yang bijak memulakan langkah pertama untuk mentarbiah Sofea.
Sofea membisu. Akhirnya, dia mengangguk perlahan.
'Tak sangka, di KL ni pun aku ditemukan dengan ramai ustaz dan ustazah. Masing-masing kalut nak jagakan aurat aku. Fikir balik, bunyinya macam aku tak reti nak jaga sendiri. Tapi memang betul pun, aku sendiri tak jaga aurat, padanlah Allah suruh orang lain tutupkan aurat aku.'
*******************
"Aisya ni mana ? Sampai ke malam macam ni pun tak balik-balik. Merayau ke mana?" Syira meluahkan kegusarannya apabila Aisya masih belum pulang walaupun jam sudah menginjak ke angka sembilan malam.
"Takkan pergi cari kerja sampai malam-malam buta. Ada lagi ke tempat yang nak buat temuduga waktu macam ni?"Hamizah yang selesa dipanggil Mizah juga hairan. Yalah, kalau difikirkan secara logik, siapa yang mahu buat temuduga sampai pukul sembilan malam? Yang lebih pelik, adakah muda-mudi yang akan menghadiri temuduga pada waktu malam? Isy, sungguh tidak logik!
"Mizah, Syira, aku rasa kau orang buang masa aje tunggu dia. Dia ada kunci kan, tahulah dia nak buka pintu sendiri nanti.Kita masuk tidur pun ada faedah daripada melongo di sini," Siti sudah mula geram dan bersikap lepas tangan. Selalunya dia bukanlah orang begitu, tetapi kalau difikirkan, siapa yang tidak naik darah kalau rakan serumah buat perangai begitu? Sudahlah menumpang!
"Kau ni, Siti. Ikut suka kau aje nak tidur dulu. Kita tak tahu dia kat mana masalahnya. Dah lewat macam ni pun tak balik-balik. Kalau kita semua ni anak KL tak apalah. Memang pukul 12 baru reti nak balik rumah. Kita ni anak kampung. Aisya tu lagilah, baru berapa hari sampai KL. Entahkan sesat entahkan sampai," Syira meluahkan kegusarannya.
"Bukan aku tak nak peduli. Masalahnya, tengok sendirilah perangai dia. Ikut suka dia aje pukul berapa nak balik. Tak pasal-pasal kita jadi kuli nak menunggu sampai dia balik. Dia pula jadi tuan, padahal dia menumpang percuma aje. Duit sewa kita yang bayar. Sepatutnya, pandai-pandailah kirim diri," leteran Siti ada benarnya.
"Aku tak kisah kalau dia nak tumpang kita. Dia saudara sekampung kita. Cuma permintaan aku, janganlah buat masalah untuk kita semua. Macam sekarang ini, ada ke patut dia buat macam ni? Ini kalau kakak dan abang dia tahu, lembik dia dikerjakan. Sebab dia duduk dengan kita, dia naik kepala. Kita ni takkan nak bertegas sampai paksa dia macam diktator. Silap sedikit rotan,"
Siti memang kelihatan tegas dan suka berleter. Hakikatnya dia bukannya perempuan yang berperangai buruk. Leterannya bukan kerana cerewet. Semuanya kerana sikap ambil berat. Bukannya dia benci akan Aisya. Dia hanya geram dengan sikap liar Aisya.
"Apa-apapun, kita kena ingat, Aisya tu amanah untuk kita. Bukan boleh senang-senang nak lepas tangan. Anak orang, bukan anak kucing,"Mizah cuba bersikap rasional. Dia sedar, Aisya memang menguji kesabaran, tetapi amanah tetap perlu dijaga.
"Hmm, lagipun, kalau tak kerana Aisya nak ikut kita, aku tak tahulah mana kita nak tinggal sekarang.Entah menumpang rumah siapa pulak jadinya,"Syira masih ingat, hutangnya pada kehadiran Aisya.
"Hmm, risau, risau juga. Ingatlah esok ada test. Jangan risaukan budak tu sangat sampai tak ingat nak study. Masa depan kita kena jaga juga," Siti mengingatkan. Dia kurang senang sekiranya mereka terlalu memikirkan Aisya hingga mengabaikan pelajaran.
"Tengok ni !" Mizah dan Syira mengangkat nota-nota ringkas mereka dengan wajah ceria. Mereka memang sudah berpakat mahu menelaah di ruang tamu sahaja malam itu. Sengaja tidak dikhabarkan kepada Siti kerana mahu melihat reaksi Siti jika mereka tidak mahu ulangkaji. Siti pula tidak fokus, sedang fokus pada masalah peribadinya.
"Aik, Siti?Takkan marahkan kami kot?" Syira menduga apabila Siti tidak memberi sebarang respon terhadap gimik yang mereka lakukan.
"Err, kau orang study dululah ya. Aku ada problem ni. Tandas panggil aku," Siti terus berlalu ke tandas. Belum dua langkah dia menapak, Mizah dan Syira sudah terguling-guling ketawakannya. Siti bercekak pinggang dan mencebik.
"Kau orang ni kan.." namun kata-kata itu tidak mampu dihabiskan. Bom di dalam perutnya sudah benar-benar mahu meletup! Dia terus bergegas ke tandas.
Meletus lagi ketawa tiga sahabat. Memang benar, Siti cuma risau akan mereka sebenarnya. Jelas bukan?
************
Malam itu, Mizah, Syira dan Siti menelaah di ruang tamu sementara menunggu kepulangan Aisya. Jam 12 malam, akhirnya mereka bertiga terlelap di sofa. Aisya masih belum pulang. Telefon bimbitnya sudah jenuh didail, namun langsung tiada jawapan. Lima kali didail, sudahnya telefon bimbit dimatikan. Mereka sudah sangat risau, namun belum mampu membuat laporan polis. Aisya hilang baru beberapa jam. Jiran mengkhabarkan bahawa Aisya keluar rumah lebih kurang pukul 5.30 petang. Dengan lain kata, petang esok baru mereka boleh membuat laporan polis.
Sementara itu, Aisya pula sedang resah dalam perjalanan menuju ke rumah Faizah dan Zulfakar. Fikirannya melayang ke rumah sewanya. Tidak mengapakah tindakannya meninggalkan rumah tanpa memberitahu Kak Mizah, Kak Syira dan Kak Siti? Entah-entah mereka fikir Aisya diculik. Kalau mereka buat laporan polis, tentu gawat jadinya.
Aisya juga bimbang membayangkan kehidupan barunya di rumah keluarga angkat. Faizah dan Zulfakar nampak gayanya dari golongan beragama. Dia bimbang sekiranya mereka tidak boleh menerima sikapnya. Dia bukan gadis waro'. Silap haribulan mereka akan benci padanya.
'Kenapa ya, aku jadi begini? Jengkel pada orang baik-baik seperti Amir, pak cik dan mak cik? Lupakah aku bahawa keluargaku sendiri juga begitu. Kak Dayah, wanita paling mulia pernah aku temui. Abang Rifhan, dialah lelaki yang paling thiqoh. Hakikatnya, aku lari dari rumah. Aku lari dari keluargaku. Aku tidak selesa hidup dalam batas agama. Penat rasanya. Sebenarnya itu yang terbaik. Tapi aku lelah. Jauh di sudut hati, datang ke Kuala Lumpur membuat aku rindu pada hidup berakhlak yang diamalkan abang dan kakakku. Sayang, aku jauh dari semua itu.'
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (16)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment