Hidayah cuba memulakan hidup baru dengan menepis bayangan Rifhan. Namun makin dicuba, makin gawat jadinya. Adakalanya, waktu malam dia bimbang untuk tidur. Bimbang rumahnya dimasuki anasir jahat. Sudah lebih tiga puluh tahun tinggal bersama keluarga, sekarang tinggal sendiri. Tambahan pula, orang kampung sudah gah bercerita tentang Rifhan berpindah ke rumah lain.
Segala macam tohmahan dilemparkan kepadanya. Pelbagai spekulasi dicanang keliling kampung. Ada juga yang dapat menebak perkara sebenar. Apa yang pasti, walau siapapun dapat menduga kenyataan sebenar, baik dia mahupun Rifhan sama sekali tidak akan mengakui.
"Entah-entah Dayah tu dah ditebuk dek An tu. Kalau tak kenapa tiba-tiba nak pindah pulak," Hidayah terdengar bicara Mak Senah semasa dia membeli sayur. Kalau ikut hati, mahu sahaja dimaki Mak Senah kerana memfitnah Rifhan. Kalaulah bukan kerana hormatkan orang tua, entah apa jadinya pada Mak Senah.
"Ha'ah. Jangan lagi empat bulan, ada perut yang kembung sudahlah," bertambah sakit hati Hidayah dengan cemuhan itu. Dia lantas membayar duit sayur dan terus menunggang motosikal pulang ke rumah. Sampai di rumah, habis segala pintu yang dilaluinya dihempas. Air mata tumpah lagi.
Perutnya dipegang. Mana mungkin berisi janin kalau tidak pernah langsung disetubuhi lelaki. Selama ini, dia sentiasa menjaga hijabnya dengan lelaki. Kenapa begitu mudah kesuciannya dipertikaikan? Hanya kerana dia tinggal berdua dengan abangnya lalu lelaki itu berpindah. Hanya kerana belum sampai jodohnya pada usia 30-an.
'Kalaulah Aisya ada di sini, mungkin tak separah ini keadaan keluarga kami. Aisya, kenapa sampai hati buat kami begini? Apa dosa kami? Kakak memang bukannya orang berada, tapi kakak sanggup beri nyawa kakak sekalipun kalau itu yang Aisya nak. Cuma kak harapkan kepulangan Aisya.'
Bisikan iman dan syaitan silih berganti menyelubungi hati. Kekuatan yang tersisa cuba juga digali, mengharapkan ketenangan datang menjengah.
'Kalau Aisya ada atau tak ada pun, takdir tetap takdir. Kau tak boleh asyik duduk menyalahkan takdir. Kau kena banyak berikhtiar, berdoa dan bertawakkal. Apa-apa sekalipun, dugaan itu ada pahalanya. Cuma kau perlu kuat untuk merebutnya. Kalau kau macam ni, bukan pahala yang kau dapat, tapi dosa sebab menyalahkan takdir.'
'Argh ! Kau apa tahu? Takdir tak habis-habis nak seksa aku. Syariat membebankan aku, tahu tak? Selama ni, aku sentiasa percaya apa yang berlaku ni ada hikmahnya. Tapi kau lihat sendiri apa yang terjadi? Kerana syariat, aku kehilangan cinta. Aku patuh pada syariat yang melarang sumbang mahram, tapi apa yang berlaku? Kenapa tuhan tak bantu aku? Kenapa tak hilangkan perasaan ini?'
'Hidayah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha mengubahnya. Duduk bersimpuh menyalahkan apa yang sudah berlaku tak dapat menegakkan kebenaran. Hakikatnya perasaan kau salah! Kenapa mesti kau salahkan takdir atas sesuatu kesalahan yang kau lakukan?'
'Nak aku cuba macam mana lagi!? Aku dah tak larat nak cuba! Aku jatuh cinta bukannya aku yang suka. Aku jatuh cinta pada abang aku bukannya aku sengaja. Kau faham tak!? Aku ni perempuan biasa, ada naluri untuk disayangi. Kau tak boleh samakan aku dengan malaikat yang tak tahu jatuh cinta!'
'Memang cinta kau tu terjadi secara tak sengaja. Tapi pernahkah kau terfikir, kenapa kau merana macam ni? Sebab kau melebihkan cinta manusia daripada mencintai Tuhan! Kenapa kau tak boleh lupakan cinta palsu ini? Sebab kau tak sanggup berkorban demi kemahuan Dia yang satu!'
'Cintakan Dia? Kau ingat Dia boleh peluk aku setiap malam? Kau ingat Dia boleh berbisik meluahkan kata cinta setiap malam?'
'Kau jangan buta, Hidayah! Kalau Dia tak cintakan kau, kau tau mana kesudahan kau? Neraka Jahannam kau tau tak! Memang Dia tak mendakap kau setiap malam, tapi Dia pelihara kau setiap malam dari ancaman. Memang Dia tak membisikkan ayat cinta, tapi Dia membenarkan kau menghirup udara nyaman setiap malam, udara yang menghembuskan ketenangan. Memang Dia tak bisikkan pada kau, tapi kalam-Nya dalam Al-Quran sudah lama menyatakan! Kenapa kau tak hayati kata cinta-Nya?'
Nafsu terdiam. Tinggal iman berbicara, memujuk hati Hidayah.
'Bukalah hatimu, Hidayah. Jangan mudah terpedaya dengan syaitan dan nafsu. Kau perlu kuat memegang prinsip, kau diciptakan sebagai khalifah, tahukah kau itu bukan tanggungjawab yang ringan? Kau tak patut. semudah itu nak mengalah setelah berpuluh tahun kau bertahan. Allah sayang kau, sebab tu dia uji kau. Dia biar kau kecewa pada cinta, sebab Dia nak tarbiah kau agar setia pada-Nya.'
Hidayah tidak tahu hendak berkata apa. Monolog hatinya meresahkan, tapi menenangkan. Entah yang mana yang menguasai. Saat itu, dia tahu, apa yang dia perlukan ialah ketenangan. Lantas dia menuju ke bilik sembahyang.
Sesudah solat, dia menuju ke rumah Fatimah. Sampai di halaman rumah, Fatin memandangnya tajam. Dia tunduk seketika mencari kekuatan. Sebentar kemudian, dia bersuara.
"Assalamualaikum, er.." cakap Hidayah terus dipintas.
"Waalaikummusalam. Kau buat apa kat sini? Nak ajak kawan aku buat maksiat pulak ke?" Perasaan Hidayah tidak dihiraukan. Fatin hanya mahu Hidayah tahu, perempuan sepertinya tidak dialu-alukan langsung di rumah itu.
"Kak tak ada niat nak buat maksiat..."sekali lagi, tiada peluang diberi.
"Eh, tak ada niat? Habis tu apa yang ada niat? Menggoda abang sendiri tak ada niat? Eii, tolonglah! Orang kalau dah berak tengah jalan, tak adanya dia nak mengaku tau! Sedarlah diri tu sikit, kalau dah buat zina tu, tak ada gunanya kalau tudung sampai ke kaki sekalipun. Kalau kau dah buat maksiat, jangan nak bawa sekali maksiat kau tu datang rumah ni! Dah dah, balik! Aku tak nak tengok muka kau kat sini,"
Hidayah melangkah pergi, longlai langkahnya. Dia tidak menyangka, seburuk itu layanan yang diperoleh daripada Fatin. Gadis itu muda sembilan tahun daripadanya. Sungguh 'indah' budi bahasanya. Selangkah cuma, dia berpaling ke arah Fatin.
"Fatin, kak tak kisah kalau Fatin nak buat apa sekalipun, nak tuduh kak ni apa sekalipun. Kak dah lali dengan fitnah orang. Penat dah telinga kak ni. Cuma satu yang kak nak cakap, walau apapun yang orang cakap, kak tetap sayang Fatimah,dunia dan akhirat. Apa Fatin nak cakap, cakaplah. Terpulanglah. Kak balik dulu, assalamualaikum,"
**********
Dari jauh, Fatimah nampak Hidayah berlalu dari rumahnya dengan wajah sugul. Kalau bukan sebab dia membawa ais dan khuatir cair, tentu dia memujuk. Dia segera melangkah ke rumahnya untuk menyimpan ais.
Fatin pula sudah awal-awal nampak kelibat Fatimah. Cepat-cepat dia menitiskan ubat ke matanya, biar mengalir air matanya. Dia perlu segera menguruskan diri agar tidak disedari oleh Fatimah. Dia tahu, Fatimah pasti marah sekiranya tahu dia sudah menghalau Hidayah.
"Assalamualaikum. Fatin, tadi Kak Dayah ada datang sini ke?"
Fatin tidak menjawab. Tunduk, mengalirkan air mata. Wajahnya dipaksa agar kelihatan seperti seorang yang sedang bersedih. Demi memperhebat dramanya, dia bingkas dan mahu berlalu. Kononnya menyembunyikan sesuatu daripada Fatimah.
Fatimah lantas memegang lengannya. Dia membalikkan badan Fatin menghadap tubuhnya. Dia dapat merasakan bahawa Fatin sedang menyorokkan sesuatu daripadanya. Ternyata, dia melihat wajah Fatin basah dengan 'air mata'.
"Fatin menangis ya? Kenapa ni, Fatin?"
Fatin terus membenamkan wajahnya di bahu Fatimah. Kononnya sangat sedih. Walhal mahu mengeringkan wajah. Dia tidak mampu mengalirkan air mata palsu lagi. Sungguh hebat lakonannya.
"Kak Dayah.."
"Kenapa dengan Kak Dayah? Fatin, apa dah jadi ni?"
Fatimah mengajak Fatin masuk ke dalam rumah. Dia duduk bersama Fatin di sofa. Teh o ais yang dibungkus dari kedai dituang ke dalam gelas yang memang tersusun di meja kopi. Minuman disua kepada Fatin.
"Sebenarnya, tadi Kak Dayah datang sini. Dia tanya, Imah ada tak. Fatin cakaplah Imah tak ada. Lepas tu, dia marah-marah. Dia kata Fatin tak nak bagi Imah jumpa dia. Fatin ajaklah dia masuk rumah sementara tunggu Imah, Fatin kesian tengok dia berdiri di luar. Tahu-tahu, dia maki Fatin. Dia cakap dia tak kan masuk rumah ni. Dia cakap kita ni ada bela hantu dalam rumah. Sebabnya, Imah ni berpakaian labuh, berstokin, beraurat lengan semua. Dia kata orang pakai alim ni banyak simpan hantu dalam rumah. Fatin tak suka dia cakap Imah macam tu, sebab tu Fatin bela Imah. Fatin cakap Imah baik, tak percaya benda khurafat. Dia marah Fatin balik. Dia kata Imah ni memang bela jin. Dia tengok pun tahu. Tapi Fatin tak percaya. Imah tak buat kan semua tu? Imah tak buat kan kerja haram macam tu? Fatin sayang Imah, Fatin percaya Imah. Fatin tak sangka dia sanggup nak fitnah Imah macam tu, padahal Imah yang selama ni buat baik dengan dia, sampai malam-malam buta sanggup temankan dia,"
Fatimah terpana. Benarkah Hidayah yang dipercayainya selama ini sanggup melakukan perkara sedemikian?
*********************
Sejak petang, Fatimah asyik termenung di biliknya. Fikirannya buntu. Kenapa Hidayah sanggup menuduhnya begitu? Apakah dosanya pada Hidayah? Selama ini, Hidayah kelihatan sangat baik dengannya. Setiap kali berjumpa, Hidayah sentiasa mengucapkan perkataan yang baik-baik sahaja. Hendak memaki jauh sekali.
"Kenapa tautan hati kami tak dapat membuat matanya percayakan aku?"
Setitis air mata tumpah di pipinya. Dia kesal dengan apa yang berlaku. Sampai hati Hidayah menuduhnya begitu. Semata-mata kerana pakaiannya. Matanya tertancap pada pakaian yang telah diseterikanya untuk esok. Jubah longgar berwarna biru lembut, dengan tudung labuh biru air yang sedondon. Aurat lengan dan stokin berwarna biru muda sudah tersedia.
Dek kerana warna tudung yang cerah seringkali memperlihatkan tengkuk, dia memakai tudung Syria yang kecil sebelum mengenakan tudung labuh. Rakan serumah selalu memandangnya pelik setiap kali dia berpakaian begitu. Memang jarang orang mengenakan tudung dua lapis. Hakikatnya semua itu adalah demi menjaga aurat.
Fatimah membuka almarinya. Matanya terpandang pada sehelai tudung labuh yang disertai kain purdah. Tudung itu dibelinya minggu lepas bersama Hidayah. Hidayah yang memberi cadangan agar dia memakai tudung tersebut.
"Imah tak nak beli tudung ni? Siap dengan kain purdah lagi. Harga pun murah. Kalau Imah pakai, tentu cantik. Manis aje dipandang," Hidayah menghalakan telunjuknya kepada sehelai tudung labuh berserta kain purdah berwarna ungu cair. Memang cantik pada mata Fatimah. Warnanya mendamaikan, disulam pula dengan bunga kecil. Tidaklah menarik perhatian lelaki kalau dipakai sekalipun nampak cantik. Biasalah, jarang lelaki mahu tertarik kalau melihat wanita berpurdah atau bertudung labuh. Lazimnya berani dipandang tapi susah mahu mengganggu.
"Ha'ah. Cantik sangat. Imah pun berkenan. Kak tak nak beli yang warna biru cair tu? Cantik, kena dengan kulit kak. Ada kain purdah juga,"Fatimah tidak ketinggalan mengusulkan untuk Hidayah. Dia memang teringin mahu mengajak Hidayah bertudung labuh dan berpurdah.
"Tak apalah. Buat orang pandang pelik saja pada kak. Kalau kak ni memang dari dulu bertudung labuh, tak apalah. Kak pakai tudung sederhana saja kan. Nanti apa pula kata orang. Dahlah satu kampung tengah riuh mengutuk kak,"
"Alah, kak mulakanlah dengan pakai tudung labuh dulu. Sebenarnya, kalau kak nak tau, tudung kak ni pun sebenarnya besar. Bawal 51' kan? Selalu orang pakai yang 45' saja. Orang tengok pun memang orang kata kak pakai tudung labuh juga. Kalau kak tukar tudung ni pun, orang tak hairan. Lagipun, apa nak dipedulikan dengan cakap orang. Yang nak kena tutup auratnya kita. Bukan mereka. Nanti bila kak dah bersedia, baru pakai purdah,"
Akhirnya, selepas dipujuk, Hidayah memilih tudung tersebut. Fatimah dengan murah hati membelikan Hidayah dua helai tudung labuh berserta kain purdah. Tidak cukup dengan itu, stokin turut dibelinya. Tujuannya untuk mendidik Hidayah agar menutup kaki. Tidak sempurna aurat seorang wanita walaupun bertudung labuh, jika kaki masih terdedah.
Hidayah terpana saat plastik berisi hadiah itu diserahkan kepadanya. Berkali-kali dia menolak, namun Fatimah tetap mahu menghadiahkan kepadanya. Niatnya cuma satu, mahu Hidayah menutup aurat dengan sempurna.
"Tak apa, kak. Imah memang ikhlas nak beli untuk kak,"
"Imah, kak tak naklah menyusahkan Imah. Imah dah banyak susah kerana kak,"
"Tak apa, kak. Macam nilah, kalau kak nak hargai hadiah ni, satu je Imah nak kak buat,"
"Apa?"
"Kak pakailah pakaian ini. Imah teringin nak tengok kak pakai. Itu aje Imah nak,"
Lama Hidayah terdiam, akhirnya dia tersenyum dan mengangguk. Fatimah tersenyum mesra. Dia benar-benar bersyukur.
"Tapi kak pakai bukan sebab nak hargai Imah,"Hidayah tersenyum simpul.
"Habis tu?"
"Kakak nak menutup aurat kerana Allah," terus tubuh Hidayah dipeluk Fatimah. Kalimah syukur dipanjatkan tidak henti-henti. Sesungguhnya, perkataan tulus itu lebih berharga dari segala-galanya.
'Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah lantaran keranamu, maka itu lebih baik bagimu daripada segala apa yang disinari oleh mentari,' hadis itu sentiasa mekar di hati Fatimah.
Azan berkumandang. Fatimah terjaga dari lamunan dengan mata yang basah. Dia bingkas menunaikan solat. Hanya kepada Allah dicurahkan segalanya.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (17)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment