Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (19)

Pandangan Fatin tertancap pada susuk tubuh yang amat dikenalinya. Hidayah. Dia pantas merencana idea. Fatimah ada di rumah sekarang. Jika dibiarkan, tentu Hidayah mahu berjumpa Fatimah. Tambah pula, sudah beberapa hari Fatimah demam, mungkin terkesan dengan hal Hidayah.
 "Pikah, Pikah. Sini kejap," Syafiqah mengangkat kening. Dia tidak selesa apabila keasyikannya membaca novel terganggu. Novel kegemarannya itu sudah berulang kali dibacanya namun tidak pernah jemu. Novel Kau Sayangku terbitan Alaf 21 itu selalu buat dirinya terawang-awang.
 "Ish, kau ni, Pika. Sinilah! Lekas,"hilang sabar Fatin dibuatnya dengan telatah Syafiqah. Fatin meluru ke sofa lantas menarik lengan Syafiqah. Hampir terjerit Syafiqah apabila ditarik dengan begitu kasar.
 "Kau ni nak panggil aku ke nak patah riukkan tangan aku? Agak-agaklah nak tarik orang pun,"
 "Eh, jangan nak marah-marah aku pula! Kau yang tak reti-reti nak datang. Dah berapa lama aku panggil kau, macam cakap dengan tunggul aje tahu tak?"

"Dah, dah. Sekarang, yang engkau panggil aku ni apasal? Kacau daun betullah," Syafiqah akhirnya mengalah. Memang tiada guna dia bertekak dengan Fatin yang agresif sejak dulu. 'Harap aje anak dara, kasar macam atlit bina badan.' getus hatinya.

"Tu, Dayah andartu tu datang!"

"La, dia datang pun jadi soal ke? Apa kau hilang akal ke nak menghendap dia? Selalu kau menghendap abang dia petang-petang kat kedai makan tak cukup lagi? Hai, macam-macam kerenah budak ni," pinggang Syafiqah dicubit kuat. Syafiqah hampir terjerit, tetapi cepat-cepat Fatin menekup mulutnya, bimbang Fatimah terjaga dari tidurnya.
"Umph, umph.." Syafiqah meronta-ronta. Beberapa saat barulah tangan Fatin lepas dari mulutnya. Baru lega Syafiqah hendak bernafas.

"Ish, kau ni! Pembunuh bersiri. Berapa juta ringgit orang upah kau suruh bunuh aku hah?" Siapa tidak geram kalau nafasnya disekat begitu?

"Siapa suruh mulut tu capul sangat, baru padan dengan muka engkau,"

"Eh, tak betul cakap aku? Memang kau ada hati dengan Abang An tu kan? Tiap-tiap hari kalau kau tak lalu kedai makan dia tu, tak sah. Boleh masuk dah dalam rutin harian kau, kan?" Merah padam muka Fatin. Pertama, dia malu kerana perasaannya diketahui. Kedua, dia malu kerana rahsianya terbongkar, mencintai abang perempuan yang paling dibenci olehnya dunia dan akhirat.
 "Eii, tolong sikit! Tak kuasa aku. Apakah dah pupus makhluk bernama lelaki muda sampai kau nak kata aku suka pada An. Tolonglah. Kalau dah adik dia aku benci, satu keturunan tu aku benci tau! Jangan haraplah nak dengar aku kata aku suka dia," nampak sangat Fatin sekadar mempertahankan ego. Muka sudah merah padam, mulut masih lancang nak berhujah?

"Dahlah tu, cik adik sayang. Macamlah aku baru kenal kau hari ni. Kalau dah suka cakap ajelah. Itu pun susah. Konon berani sangat,"teruk Fatin dipekena. Tidak pula dia menjawab. Antara mengaku atau menafikan, dua-dua terasa berat.

Sesusuk tubuh itu makin menghampiri, tetapi sekadar lalu dan tidak singgah di rumah Fatimah. Melihat rupa wanita itu, Syafiqah ketawa besar. Itu bukan Hidayah, tetapi Ustazah Filzah yang mengajar kafa di sekolah berdekatan!

Fatin terus terduduk di kerusi yang memang berada di sebelahnya. Antara pucat dan merah padam, dia sendiri tidak tahu bagaimanakah rupanya saat ini. Hanya kerana seorang wanita yang langsung tiada kaitan dengan Hidayah, habis semua rahsianya terbongkar. Alangkah malunya dia saat ini!

Syafiqah menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah lama sedar Fatin ada hati pada Rifhan, cuma dia malas hendak menyibuk soal peribadi Fatin. Tidak sangka pula telahannya selama ini benar belaka. Hairannya, selama ini Fatin seorang yang memilih.

Kalau ikutkan sejarah, Fatin sudah boleh dianggap ratu cinta di kampung itu. Sudah berapa kali dia bertukar-tukar teman lelaki. Semua teman lelakinya kaya-raya. Kacak dan berkarisma. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan Fatin seorang yang sungguh bercitarasa tinggi, malah berpotensi besar untuk menjadi perempuan pisau cukur. Sungguh pelik pada hemat Syafiqah, seorang perempuan seperti Fatin tiba-tiba sahaja jatuh cinta pada seorang lelaki yang sederhana. Syafiqah tersenyum sendiri. 'Adakah ini cinta atau memang seruan jodoh?' Getus hati Syafiqah.


*********************


"Ayang, kenapa sampai hati nak tinggalkan abang? Apa salah abang? Tak cukupkah apa yang abang bagi pada ayang selama ini?" Faizal hampir gila semenjak Fatin menyatakan hasrat hendak memutuskan perhubungan mereka. Baru dua bulan mereka bersama, tetapi terlalu banyak yang telah dicurahkannya untuk gadis bermata galak itu.

Meskipun Fatin hanyalah seorang gadis kampung yang normalnya sering dilabelkan 'tidak layak' untuk dirinya, dia tidak pernah peduli. Walaupun perbuatannya berulang alik ke kampung Fatin setiap minggu semata-mata hendak bertemu dengan kekasihnya itu seolah-olah mencemarkan darjat, dia tidak pernah kisah.

Adakalanya, cinta Faizal terhadap Fatin lebih sesuai digelar sebagai obsesi. Segalanya sanggup dilakukan demi gadis itu, hatta perkara-perkara yang boleh mengancam diri sendiri. Entah berapa kali agaknya dia menanggung risiko apabila bergaduh dengan ibu bapanya gara-gara hubungan itu tidak direstui. Ayahnya sudah jelas diketahui sifat panas baran dan suka mengugut. Dengan kuasanya sebagai ahli korporat yang cukup terkenal, macam-macam perkara boleh dilakukan.

"Awak tolonglah faham. Berapa kali saya nak cakap dengan awak? Saya rasa tak boleh nak teruskan hubungan kita. Apa awak ingat kita boleh nikah dengan harapkan cinta buta macam ni? Apa awak ingat mak ayah awak sanggup nak terima menantu kampung macam saya? Sudahlah. Buang masa saja awak buat semua ni. Tak ada guna awak pujuk saya sebab saya memang dah bulat hati tak nak teruskan," apa lagi yang mampu dikatakan Faizal apabila talian diputuskan. Berpuluh kali nombor telefon didail, balik-balik peti mel suara yang menjawab.

Sejujurnya, Fatin pergi kerana memilih Rifhan. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakannya saat itu. Antara terharu dengan usaha Faizal yang tidak pernah kenal erti jemu dalam meraih cintanya, dan detak hatinya yang semakin hari semakin lemas merindui Rifhan. Kadangkala, tindakannya itu terasa bodoh sekali. Wajarkah kalau difikirkan tindakannya itu? Sanggup memilih seseorang yang tidak pernah sekalipun membalas cinta itu, padahal ada di sisi yang rela menyerahkan segalanya untuknya.

Benar kata orang, cinta memang tak dapat dipaksa. Ibarat burung, boleh terbang ke mana sahaja yang disukai. Hanya apabila bertemu dengan insan yang dipilih Allah, perjalanan itu akan berhenti untuk melabuhkan cinta pada yang selayaknya. Sudah kahwin lagikan bercerai, inikan pula belum ada ikatan. Separah apapun, sakitnya tetap perlu diterima. Pasrahkanlah harapan pada Yang Maha Esa. Hanyalah Dia penentu segalanya.


**************


"Kau takkan faham apa yang aku rasa sekarang. Aku rasa ada baiknya kalau kau jangan masuk campur dan jangan cuba nak menduga hati aku. Semua ini sekadar suatu kebodohan. Kalau kau tak tahu apa lagi baik kau senyap saja," kata-kata itu mendahului langkah Fatin ke bilik tidur. Sekali lagi, Syafiqah menggelengkan kepalanya.

'Sampai bila kau nak hidup dalam ego macam ni? Kau sendiri pun bukannya tak tahu gerak hati kau. Semata-mata kau bencikan Hidayah, kau nak nafikan perasaan kau pada Rifhan. Kau diamkan semuanya. Kau buat semua ni semata-mata kerana tak mahu ada pertalian dengan perempuan yang kau benci. Cuba kau tanya diri kau, adakah hidup kau perlu terhalang semata-mata kerana kebencian kau pada perempuan tu?'

Sayangnya, nasihat seorang sahabat itu tidak terluah. Bukan enggan meluahkan, tetapi Fatin tak akan rela mendengarnya sama sekali. Bukan dia tidak ada perasaan simpati, namun pertolongan itu tak akan diterima. Fatin lebih rela hidup begitu. Menahan perasaan semata-mata kerana ego yang melangit.

'Kalau dia terus begini, siapa yang mampu faham perasaannya?'
Memang benar kata orang, menghadapi seorang yang ego lebih susah daripada menjaga sekandang haiwan ternakan. Syafiqah jadi pening dengan kelakuan Fatin. Kalau mampu, dia ingin sekali melembutkan hati Fatin untuk berhenti menafikan perasaan semata-mata kerana ego. Teringat pula pesan Fatimah, 'kaedah melembutkan hati yang paling mujarab ialah al-Quran sebab itulah sebenarnya makanan rohaniah, jauh lebih hebat nilainya daripada makanan fizikal.'
 Ah,masalah! Syafiqah bukannya ustazah yang pandai al-Quran. Setakat menghafaz surah pendek mampulah sebab memang termasuk dalam silibus pelajaran sekolah rendah dan menengah. Tafsirannya sumpah dia tidak tahu. Fadhilat dan kafiatnya lagilah tidak tahu. Hendak tanya Fatimah?
 'Ish, tak boleh! Fatimah tak boleh tahu semua itu. Ini hal peribadi Fatin. Dia dah cukup tersinggung masa aku bongkar rahsia dia tadi. Kalau Fatimah pula tahu, lagi menambahkan masalah.

Tiba-tiba Syafiqah menyesal. Bukankah baik kalau dari dulu dia cuba mendalami kalam Allah dan mukjizat yang dikurniakan-Nya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment