Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (11)

Faizah dan Zulfakar menanti penuh sabar di luar wad kecemasan. Gadis yang ditemui tadi masih bertarung demi nyawanya sendiri. Zulfakar dan Faizah sentiasa membawa Yassin bersama ke mana saja mereka pergi. Sementara menunggu, mereka membaca Yassin bersama, mendoakan keselamatan gadis itu.

Usai membaca surah Yassin, gadis itu masih belum selesai rawatan. Faizah mengungkapkan kerisauan di hatinya kepada Zulfakar.  Entah mengapa, dia betul-betul risau akan gadis yang ditemui sekadar di jalanan itu. Dia jatuh sayang pada gadis itu, padahal dia sendiri tidak suka melihat gadis yang berpakaian tidak menutup aurat.

"Abang, Zah naik risaulah. Dah berapa jam dia masuk wad kecemasan, tak selesai lagi rawatan. Kesian Zah tengok dia tadi, bang,"

"Abang pun risau, tapi apa kita boleh buat. Setakat berdoa saja yang kita mampu. Bukannya kita yang ada kuasa nak sembuhkan budak tu. Allah yang tentukan semuanya. Kita doa sajalah ya, mudah-mudahan selamat nyawa budak tu,"

Zulfakar termenung seketika. Apabila memandang gadis itu, tiba-tiba bayangan wajah arwah isterinya menjelma di mindanya. Kesal bertandang. Andainya dahulu dia tidak menggadaikan nyawa isterinya demi cinta yang palsu semata-mata, tentulah dia dapat melihat anak-anaknya tumbuh dewasa di depan matanya sendiri. Tentu anaknya sekarang lebih kurang sebaya gadis itu.

Malangnya, saat cinta dunia mengisi hati, mata hati buta menilai. Bukannya dia tidak tahu arwah isterinya hamil, malahan dia tahu kesihatan arwah memang kurang baik kerana hamil tua. Namun semasa isterinya dalam keadaan lemah itulah dia mengambil kesempatan. Isterinya tidak mampu pun menghalang dirinya. Cuma pujukan lembut yang cuba mencairkan hatinya untuk tidak meninggalkan keluarga. Sayangnya, semua itu tidak terkesan langsung di hatinya.

Masih berbekas di hatinya, pada malam dia pulang mengemas barang, wanita itu masih belum sembuh dari demam panas. Teguh dalam lemah, isterinya bangkit dari perbaringan menyambutnya pulang dengan senyuman. Malam itu dia tidak membalas senyuman itu, sebaliknya terus meluru masuk ke bilik. Isterinya setia menurut langkahnya ke bilik namun kaget, melihat dia mengeluarkan semua barang-barangnya dan menyimpan di dalam beg.

Tangisan wanita itu tidak terbendung. Tangannya diraih dan disalam, memohon seribu keampunan atas dosa yang sebenarnya tiada. Pujuk dan rayu seorang isteri tidak dihiraukan sama sekali. Akhirnya dalam esak tangis,dia duduk di birai katil, merelakan pemergian suami tercinta. Dia ikut sama melipat baju suaminya dan menyimpan, tanda pasrah merelakan semuanya. Baju dilipat bersulam air mata yang mengalir di pipi, namun tidak sedikitpun menyentuh hati suami yang gilakan wanita lain.

Tidak mungkin dilupakan, saat wanita itu dengan rela mengangkat salah satu daripada dua beg pakaiannya, meletakkannya ke dalam kereta. Dia memilih beg yang paling berat, padahal dirinya tak berdaya. Anak perempuan Zulfakar pula sampai melutut di kaki merayu bapanya agar tidak pergi. Anak lelakinya pun tidak putus-putus memujuk, namun hatinya tetap sama.

Selepas itu, dia langsung tidak mengambil tahu soal isterinya. Yang dia tahu, cerai taklik sudah terlafaz. Sebaik sahaja bayinya lahir, sudah jatuh talak ke atas wanita itu. Tidak terfikirpun olehnya hendak menjenguk isterinya kalau sudah selamat melahirkan. Langsung tidak terlintas untuk melihat wajah bayinya nanti, apatah lagi keinginan untuk azan atau iqamatkan bayi itu.

Memang dari mula, dia tidak berhajat lagi pun untuk menimang cahaya mata ketiga. Semasa dia mengetahui isterinya hamil lagi, dia sudahpun berkenalan dengan kekasih barunya. Sebab itulah dia kurang peduli pada bayi yang bakal lahir waktu itu. Baginya, kalau bayi itu gugur sekalipun tidak mengapa. Tidaklah nanti dia perlu bersusah payah semasa isterinya dalam pantang.

Mungkin kerana kekejaman itulah, dia terpaksa menanggung kifarah yang sungguh berat. Kekasihnya yang telah dikahwini dengan mahar yang sungguh tinggi, sudahnya mahu lari mengahwini lelaki yang lebih seusia dengan wanita muda sepertinya. Namun, pernikahan itu tidak sempat berlangsung kerana kemalangan yang mengorbankannya. Zulfakar pula hilang ingatan.

Setelah ingatannya pulih, dia pulang ke kampung mencari isterinya. Namun, pandangan keji orang kampung mengiringi setiap langkahnya. Setiap kali bertanya, cemuhan dilemparkan. Dia sedar, semua itu salahnya. Akhirnya, sebuah perkhabaran duka diterimanya. Isterinya telah lama kembali ke rahmatullah semasa melahirkan anak bongsunya itu. Soal anak-anaknya ? Semua orang hanya buat tidak endah padanya.Dia pulang ke bandar tanpa mengetahui nasib mereka.

"Abang, apa yang abang menungkan ni? Jom pergi wad Kenanga 2. Budak tu dah selesai rawatan dah," suara Faizah memanggilnya ke dunia nyata. Sesungguhnya, kenangan silam yang bertamu itu sukar dipadamkan lagi. Dosa itu sentiasa menghantui setiap langkahnya. Untuk melupakannya ? Mustahil.

Zulfakar dan Faizah mengatur langkah ke wad tersebut. Gadis tersebut masih belum sedar, tidak dapatlah mereka hendak bertanya namanya. Faizah dan Zulfakar walaubagaimanapun tetap bersyukur kerana gadis itu selamat, malah nampaknya wajah itu sudah kurang pucatnya.

"Syukurlah, selamat juga dia. Allah masih beri dia peluang untuk bertaubat," ujar Zulfakar.

"Alhamdulillah,bang. Zah pun harap dia sembuh cepat. Kalau dia tak ada waris, ambil jadi anak angkat pun Zah sanggup,"Faizah terus menyuarakan hasrat hatinya untuk memelihara gadis itu.

"Ish, Zah ni. Fikir jauh sangat. Kita hantarlah dia balik ke pangkuan keluarga dia,"

"Yalah. Kalau dia ada waris memanglah kita hantar dia balik rumah dia, tapi kalau dia ni cuma duduk merempat dengan kawan-kawan tak tentu hala, baik Zah ambil jadi anak angkat. Abang ni pun, takkanlah Zah nak culik anak orang pulak,"

"Kalau Zah nak ambil jadi anak angkat, ambillah. Abang pun kesian tengok dia. Nampak macam  dah tak tentu arah tuju. Mana tahu kalau Zah boleh bimbing dia macam anak sendiri. Didik dia bertudung, tutup aurat, ibadat,"tinggi pula cita-cita Zulfakar dalam melihat gadis itu sebagai mad'u.

"InsyaAllah, Zah rasa dalam soal bertudung ni tak ada masalah sangat nak didik dia. Tengok pipi dia, ada lagi sunburn bekas pakai tudung. Bekas keronsang kat leher tu pun ada lagi. Baru sangat yang dia belajar buka tudung ni,"

"Pandai Zah perhatikan dia. Abang sendiri tak perasan. Yalah, nak tengok lebih-lebih nanti Zah pula yang cepuk abang dengan senduk,"seloroh Zulfakar.

"Tahu tak apa,"Zulfakar dan Faizah terus ketawa.

Suara bising mereka mengganggu nyenyak gadis itu. Tubuhnya bergerak seketika. Kepalanya pun bergerak-gerak.

"Kak... kak," halus suara gadis itu. Zulfakar terus memanggil doktor yang bertugas.

Tidak sampai lima minit, doktor yang bertugas tiba.

"Encik boleh tunggu di luar dulu sementara saya nak periksa pesakit ni. Kalau tak ada sebarang masalah, insyaAllah, dia dah nak sedar ni rasanya," Doktor Amirul Mukminin meminta Zulfakar menunggu di luar sementara dia menjalankan pemeriksaan kerana dia sedia maklum, pesakit tersebut bukannya mahram Zulfakar.

Sebenarnya, itulah kali pertama Amirul Mukminin bertugas di wad wanita. Dia hanyalah seorang doktor houseman. Baru dua bulan sahaja dia posting di hospital itu. Hakikatnya, gadis itu merupakan wanita pertama yang dirawatnya. Sebelum ini, dia bertugas di wad lelaki semata-mata. Selalunya, apabila bertugas di jabatan kecemasan pun, dia sering memilih pesakit lelaki kerana adanya lebih dari seorang doktor dalam wad kecemasan.

Kalau ikutkan, dia salah seorang doktor houseman yang paling syadid dalam menjaga muamalatnya dengan wanita. Kalau bukan darurat, dia tidak suka sama sekali bergaul dengan wanita ajnabi. Apabila berinteraksi pula, dia memilih untuk berinteraksi pada kadar minimum. Selagi mampu, dia berusaha juga untuk menjaga batas pergaulannya dengan wanita.

Sebaik sahaja terpandang wajah mulus itu, dia terpana. Gadis inilah yang ditemuinya semalam di hadapan butik kakaknya. Dia benar-benar terkejut. Menurut rekod pesakit, pesakit itu dimasukkan ke hospital petang tadi, dipercayai mangsa ragut. Nama pula tidak diketahui. Semua butir pengenalan diri tidak diisi kerana semuanya sudah diragut.

'Aku pasti. Dia Aisya Humaira.' Ruangan nama pada butiran pesakit ingin diisi, namun tangannya terhenti. Dia tidak tahu nama penuhnya. Nama bapanya pun tidak diketahui. Waris lagikan tidak.

Selepas sedikit rawatan dijalankan, gadis itu kembali sedar. Mulanya dia hairan, bagaimana dia boleh terlantar di sebuah katil asing yang entah di mana.Pakaiannya pula pakaian hospital. Dia memandang wajah doktor yang merawatnya. Dia juga terkejut.

"Er, doktor. Maafkan saya, saya pernah jumpa doktor ke?"

Amirul Mukminin hanya tersenyum kecil dan kemudiannya lekas-lekas menundukkan pandangannya. Dia tidak menjawab, sebaliknya terus berlalu. Dia sudah serik. Baru-baru ini, kali pertama dia melihat Aisya, dia sudah gagal menjaga muamalatnya. Kalau dia terus di wad itu atau mengakui bahawa dialah lelaki yang berkenalan dengan Aisya di hadapan butik itu, silap-silap habis muamalatnya rosak.

'Aku memang Amirul Mukminin, lelaki yang berkenalan dengan dia itu. Maaf, aku perlu mengelak dulu. Astaghfirullah. Kenapalah aku tak boleh nak jaga pergaulan ni? Maksiat sangatkah hati aku sekarang? Sampai tak boleh nak jadi thiqoh.Itulah, hari itu pandai sangat kotorkan mata tengok aurat perempuan asing. Gatal nak berkenalan pula. Allah tahu, memang kulit perbuatan aku tu nak dakwah dia, tapi hati aku ada juga terselit hati nak berkenalan dengan dia. Astaghfirullahalazim,'

Aisya tertanya-tanya. Hatinya kuat berkata, dia kenal doktor muda tersebut. Dia yakin, doktor itu Amir, lelaki yang dikenalinya semasa di butik tempoh hari. Serius, dia tidak lupa! Wajah itulah yang mencuri perhatiannya semalam. Wajah itulah yang telah menempelaknya dengan sungguh halus namun tetap menikam.

Dia tidak mungkin tersalah orang. Bukannya ramai sangat lelaki yang berperwatakan seperti Amir di Kuala Lumpur ini. Kalau mat rempit yang ditemui, mungkin dia tersalah orang. Mana tidaknya, mat rempit memang banyak di Kuala Lumpur, bersepah di jalanan.

‘Kalau dia memang Amir, buat apa nak lari daripada aku? Bukannya aku nak bunuh dia pun. Kot ya pun rasa bersalah perli aku, takkanlah sampai tak berani macam tu sekali. Waro’ sangat agaknya. Semalam okey  aje pun?’

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment