Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (15)

Hidayah termenung di tepi jendela kamar Aisya. Dia masih terbayang-bayang cemuhan orang kampung terhadapnya. Semenjak malam dia keluar bertarawikh membonceng motosikal Rifhan, ada sahaja yang tidak kena. Sekarang sudahpun 18 Syawal. Cemuhan itu tidak pernah surut. Malah, makin menjadi-jadi apabila orang kampung sudahpun tahu bahawa Aisya melarikan diri dari rumah.

Orang kampung bukan setakat mengutuk tindakan Aisya lari meninggalkan rumah, malah menuduh Rifhan dan Hidayah tidak tahu menjaga adik. Masing-masing menuduh mereka bersalah, padahal lupa bahawa mereka punya terlalu banyak tanggungjawab. Selama ini, Rifhan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Hidayah juga begitu.

"Adik perempuan seorang pun tak reti jaga,"
"Bapaknya dulu lari bawa betina, sekarang anak lari ikut jantan,"
"Entah-entah si anak tu lari sebab dah termengandung,"
"Adik liar ke bandar, kakak sumbang mahram kat kampung ni,"
"Daripada bapak sampai ke anak, semuanya perangai buruk,"
"Hai, kotor kampung ni rasanya ada keturunan buat zina,"

Itulah antara cemuhan yang diterima oleh Hidayah. Paling dia tidak dapat terima, adiknya difitnah mengandung. Padahal dia pasti adiknya tidak pernah berbuat zina, apatah lagi mengandung. Memanglah Aisya liar, tetapi tidaklah sampai berzina. Malah, beberapa hari sebelum Aisya ke Kuala Lumpur, Rifhan telah memaksanya ke klinik untuk membuat ujian kehamilan.

Mana tidaknya, tiba-tiba hendak lari ke Kuala Lumpur. Demi memastikan kesucian adiknya masih terpelihara, dia terus memaksa adiknya membuat pemeriksaan di klinik. Alhamdulillah, kesucian adiknya masih kekal terpelihara. Namun sangka orang masih menular juga apabila Aisya berhijrah ke bandar.

"Abang, itulah Dayah dah cakap.Dayah tak nak bonceng abang malam-malam macam tu. Sekarang, semua orang tahu Aisya tak ada, semua orang sibuk mengata abang dan Dayah. Habis satu keluarga dikutuk orang,"Hidayah meluahkan kekesalannya pada suatu hari tentang perkara yang menimpa keluarga mereka. Tidak disangka hal itu menimbulkan kemarahan Rifhan.

"Dayah pun dah nak ikut orang kampung? Nak tuduh abang ni tak ada tanggungjawab? Tuduhlah! Suka hatilah Dayah nak cakap apa pasal abang. Abang tak kisah,"

"Abang..."kata-katanya dipintas Rifhan.

"Apa? Dayah nak salahkan abang sebab paksa Dayah naik motor dengan abang malam tu? Ya! Memang abang paksa Dayah malam tu. Jadi? Dayah nak salahkan abang, tak nak percayakan abang lagi?" Bertubi-tubi soalan Rifhan mengasak Hidayah. Jelas, Rifhan sedang diamuk kemarahan.

"Abang..."sekali lagi cakapnya dipintas.

"Sudahlah, Dayah..."kali ini, Hidayah enggan berdiam diri.

"Abang boleh tak jangan asyik potong cakap Dayah!? Beri Dayah peluang dulu nak suarakan apa yang Dayah nak cakap dengan abang!"Rifhan terdiam. Belum pernah adiknya menengking sebegitu.

"Dayah tak pernah pun cakap Dayah nak salahkan abang ke apa. Abang yang asyik fikir macam tu! Ya, Dayah tak nafikan, memang separuh dari perkara yang berlaku ni puncanya abang. Kalau abang biarkan Dayah pergi masjid sendiri, tak adanya jadi sampai macam ni. Abang ingat tak!?"

"Abang tak terfikir ke macam mana orang anggap tentang Dayah? Abang sedar tak apa yang berlaku selama ni!? Abang tahu Dayah ni macam mana kan!" Pertama kali Hidayah memberontak.

"Selama ni, Dayah korbankan hidup Dayah sendiri. Dayah sanggup tak kahwin, asalkan Aisya dengan abang okey. Padahal Dayah ada perasaan! Dayah bukan batu, bang. Dayah manusia! Terlalu banyak Dayah korban untuk keluarga ni, tapi apa yang Dayah dapat!? Satu kampung hina Dayah!" Hidayah diam selepas melepaskan segalanya. Rifhan merenungnya tajam.

"Dayah tau tak kenapa abang buat macam tu? Sebab abang risaukan adik abang. Pasal kahwin, dah berapa lama abang asyik bangkitkan soal kahwin pada Dayah. Apa yang Dayah jawab?" Hidayah membisu.

"Dayah sendiri yang tak nak kahwin!" Rifhan menyatakan semuanya.

"Sekarang Dayah beritahu abang, siapa lelaki yang Dayah cinta. Biar abang uruskan. Dayah kahwinlah. Abang tak mahu sekat kehidupan Dayah,"itulah keputusan terbaik yang mampu dilakukan.

"Tak mungkin Dayah beritahu abang,"

"Habis tu, macam mana abang nak tolong!?"

"Abang tak perlu tolong. Hakikatnya abang tak boleh tolong apa-apa. Dayah tak nak buat benda haram,"

"Dayah! Abang tetap nak tahu,"

"Perkara haram, bang!"

"Haram atau halal, abang tetap nak tahu. Itu saja,"

"Dayah cintakan abang." Lafaz itu mengakhiri perbualan. Hidayah terus lari ke bilik. Rifhan terduduk di lantai.

"Astaghfirullahalazim....."

***************************

Sejak itu, Rifhan mengambil keputusan tinggal berasingan. Hidayah turut bersetuju. Itulah yang terbaik bagi mereka berdua. Meskipun Hidayah mencintai Rifhan, dia perlu merelakan. Dia sedar, haram baginya mencintai abang kandung sendiri.

"Abang, Dayah minta maaf. Dayah tak pernah berniat untuk porak-perandakan keluarga ini. Dayah sendiri tak tahu macam mana Dayah boleh jatuh cinta pada abang.Dayah tahu Dayah berdosa sebab jatuh cinta pada abang kandung Dayah sendiri,"

"Tak apa. Abang tak marahkan Dayah. Cuma abang harap lepas ni, Dayah jaga diri baik-baik. Belajarlah untuk lupakan abang. Cintailah lelaki yang boleh mengahwini Dayah. Dengan abang, abang tak mampu bahagiakan Dayah,"

Mereka bersalaman sebelum Rifhan menunggang motosikal ke rumah sewanya. Hidayah tersenyum di muka pintu. Tawar. Sebaik sahaja dia menutup pintu rumahnya,dia terduduk di lantai. Air matanya tumpah bagaikan hujan. Itulah kali pertama dia jatuh cinta. Sudah lama perasaan itu bermukim. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia memilih jalan dosa sebegini.

Sesungguhnya, Hidayah kini bersendirian. Tiada sesiapa lagi di sisinya untuk meluahkan apa yang terbuku. Dalam longlai, dia melangkah ke biliknya. Tubuhnya direbahkan ke katil,menangis teresak-esak. Wajahnya ditekup dengan bantal. Seluruh jiwanya hancur. Memang benar, dia berdosa. Sama sekali dia tidak akan menafikan dosa itu.

'Ampunkan aku, Ya Allah. Ampunkanlah aku kerana jatuh cinta padanya.'

**********************

Di rumah baru, Rifhan kerisauan. Memang benar, pilihannya ini semata-mata kerana mahu mengelakkan maksiat. Masalahnya, dia tidak tahu apakah Hidayah selamat andai ditinggalkan seorang diri. Selama ini, dialah yang menjaga Hidayah.  Sekarang, siapa yang akan menjaga adik perempuannya itu? Rifhan tidak mengerti lagi apa yang terjadi.

Pena ditarik dari poketnya. Sehelai kertas diambil dari lacinya. Rasa hati diluah semahu-mahunya.

'Kenapa perlu ada cinta?
Kenapa cinta tak mengenal sesiapa?
Paling ingin kutanya..
Kenapa perlu kau cinta padaku?

Bukan salahmu kira kau jatuh cinta..
Kau tak pernah mengarahkan hatimu untuk jatuh cinta..
Tapi kenapa mesti,
Cintamu jatuh ke hatiku..'

Sejak dulu lagi, Rifhan punya bakat menulis. Selalunya, Hidayah suka benar memuji karyanya. Hidayahlah orang yang paling kerap memuji hasil nukilannya.

Kadangkala, Rifhan pun tertanya-tanya. Siapakah Hidayah di hatinya? Adakalanya, hati lelakinya turut goyah saat berhadapan dengan Hidayah. Rifhan sukar menafikan, cinta Hidayah terhadapnya berbalas. Apapun, dia tetap akan menafikan. Hidupnya perlu bermujahadah melawan nafsu. Tidak mungkin sama sekali untuknya mengikut jejak langkah syaitan.

".... Janganlah kamu ikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu," (Surah Al-Baqarah:168)

Hidayah...maafkan abang kiranya hati ini turut gagal mengawal cinta... sungguh.. abang juga hanyut dalam cinta terlarang ini...

***************************

"Assalamualaikum,Kak Dayah," Fatimah memberi salam. Hidayah datang membuka pintu rumah. Fatimah dipersilakan masuk. Sebaik sahaja pintu ditutup, terus tubuh Fatimah dipeluk seerat-eratnya. Untuk kesekian kalinya, air matanya tumpah di bahu Fatimah.

"Sabar, kak. Imah faham perasaan kak. Ingat Allah," Fatimah cuba menenangkan Hidayah. Dia sudah tahu lebih awal tentang hal itu. Hakikatnya, dia sendiri kasihan melihat keadaan Hidayah. Wanita itu terpenjara dalam lubuk cinta yang terlarang. Fatimah sedar, itu bukan salah Hidayah.

Selama ini, Hidayah tidak pernah kenal erti cinta. Dia terlalu menumpukan perhatian untuk keluarga sampai tiada masa untuk melayani kehendak nalurinya sendiri sebagai wanita. Hanya Rifhan lelaki yang disayanginya sejak dulu. Hanya Rifhan yang menyayanginya sejak dulu. Sebab itulah, Hidayah mudah tersentuh lalu mencintai Rifhan.

'Cinta itu sebenarnya tidak pernah salah. Cuma ia terjatuh pada tempat yang salah. Kufahami duka hatimu, sahabatku.'

*************************

"Sesungguhnya... tewas menghadapi.. malah ku akui.. sepi menghantui..." lagu Teringin nyanyian Shima diputarkan di radio. Mengalir air mata Hidayah mendengarnya. Ya, dia mengakui. Kesepian itu sedang merobek jiwanya. Hancur berderai cintanya, menjadi butiran titisan manik jernih jatuh dari pelupuk matanya. Itulah air mata.

Apabila cinta menjadi bara, luluh hati, cair menitis ke wajah. Lahirlah air mata, penghuni hati yang setia menemani setiap hati yang kecewa. Cinta itu selalu menderita, walaupun betapa manisnya. Cinta terlarang itu selalu muncul tatkala hidup dirundung sunyi. Hati yang gersang ingin dibasahi cinta, namun sayangnya air mata yang membasahi.

Cinta tak semestinya bersatu. Jika ia bukan milikmu, relakanlah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment