Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (14)

Bulan demi bulan berlalu, SPM menjelang tiba. Annisa duduk sedewan dengan Hamdan. Fiza, Fahmi dan Imran ditempatkan di dewan lain. Ketika menyusun meja, Annisa benar-benar berjuang melawan perasaannya sendiri. Hatinya dikawal sehabis daya. Hanya kepada ALLAH dia memohon segala kekuatan.

Hamdan pula sekadar memandang benci kepada Annisa. Mujurlah hubungannya dengan Fiza berjaya diselamatkan. Kalau tidak, tidak mustahil Annisa berada di ICU dan tidak dapat mengambil peperiksaan SPM. Baginya Annisa merupakan makhluk perosak. Perosak cintanya dan Fiza.

Sepanjang peperiksaan SPM berlangsung, adakalanya Hamdan cuba memerhatikan tingkah laku Annisa. Memang benar, gadis itu sangat menjaga muamalatnya dengan lelaki. Walaupun dia duduk di sebelah lelaki kerana tempat duduk disusun menurut angka giliran, namun dia tidak menegur lelaki itu langsung. Dia lebih suka diam di tempatnya atau merantau jauh ke tempat rakannya, Safirah di belakang. 

Jalannya tunduk ibarat padi yang berisi. Pandangan matanya tidak pernah meliar ke sana sini. Tutur katanya sopan dan terjaga. Setiap perlakuannya dibatasi syariat. Tubuhnya terjaga dengan batasan aurat seorang wanita. Sungguh, sifatnya itu muslimah sejati.

Hamdan teringat saat dia memaki hamun Annisa, gadis itu cuma tunduk dan berdiam diri. Kedudukannya juga dijaga agar tidak terlalu hampir dengan mereka. Memang benar, Annisa terlalu menjaga batas pergaulan dengan lelaki. Malu sentiasa memagar dirinya.

Kadangkala Hamdan terfikir, adakah dia bodoh kerana menolak mentah-mentah cinta Annisa? Bukan calang-calang orang yang layak memiliki cinta gadis itu. Apa yang terlintas di benaknya, adakah Annisa benar-benar telah memaki hamun dan memberi amaran kepada Fiza? Perlakuan itu sangat kontra dengan kelakuan Annisa yang diperhatikannya.

'Ah, biasalah tu! Dah nama pun hipokrit.' Persoalan di benaknya dijawab mudah.

Apabila keputusan SPM diumumkan, Annisa muncul sebagai pelajar terbaik SPM dengan keputusan 11a+ 1a. Memang gadis itu cemerlang sejak dahulu lagi. Kali ini adalah buktinya. Hamdan, Fiza, Fahmi dan Imran terlopong mendengar perkhabaran itu dari pelajar lain. 

Hamdan pula berasa sungguh terpukul apabila teman wanitanya, Fiza hanya mampu mencapai 2a dalam daripada sepuluh subjek yang diambil. Bayangkanlah, Annisa mengambil dua subjek tambahan iaitu Bahasa Arab dan Tasawwur Islam. Namun kedua-dua subjek itu berjaya dikuasai hingga mendapat A+.  Hamdan sendiri mendapat 6a daripada sepuluh subjek, namun keputusan itu sudah sangat memberangsangkan sebenarnya. 

Akhirnya, Annisa diterima masuk ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Hamdan memasuki UTM. Fiza pula hanya mampu memasuki kolej swasta kerana keputusannya yang kurang memberangsangkan. 

Sampai ke peringkat pengajian tinggi itulah, kata-kata Hamdan mengenai batang hidungnya semula. Fiza semakin berani berpakaian seksi. Auratnya langsung tidak dijaga. Tudung sudah lama dilupakan. Berkali-kali Hamdan menasihatinya agar bertudung, namun jawapannya tetap sama. 'Fiza tak nak jadi hipokrit,okey?'

Hamdan dikejutkan dengan berita dari kampung. Ibunya telah meminang seorang gadis yang sekampung dengannya dan merancang agar dia bernikah selepas tamat belajar. Mendengar perkhabaran itu, luluh jantungnya. Berulang kali dia merayu agar ibunya tidak memilih wanita lain sebagai calon isteri kerana dia sudah punya pilihan. Ibunya menyuruh dia membawa pulang calon isteri itu ke rumah bertemu keluarga, namun Fiza enggan. Katanya belum bersedia.

Akhirnya, Hamdan tegar menanyakan ibunya, siapakah gerangan wanita pilihan ibunya. Ibunya menunjukkan foto dan nama wanita itu.Hamdan benar-benar terkejut. Annisa Maqsurah Binti Umar Mukhlis. Foto membuktikan, wanita itu benar-benar Annisa yang pernah mencintainya dulu. Walaupun hatinya sedikit terusik melihat wajah ayu Annisa dalam tabir auratnya, kini sudah berpurdah, namun dinafikan sekeras-kerasnya. Berkali-kali dia menegaskan, dia tidak mahu menikahi Annisa.

Hati ibu dikecewakan saat dia memutuskan pertunangan dengan Hamdan. Annisa juga terperanjat apabila sebenarnya ibu bapanya berniat memerdekakan cintanya pada Hamdan, namun telah ditolak sekerasnya. Apakan daya dirinya seorang wanita, mustahil dia akan memaksa Hamdan mencintainya. Dalam kecewa, dia pasrah. Dalam pasrah, dia berserah. Hanya Allah penentu segalanya. Meski terseksa, hatinya tetap redha.

Sebulan kemudian, seorang seniornya di Mesir bernama Qardhawi merisiknya melalui pensyarah yang sangat dihormatinya, Professor Rukhayyah. Sebenarnya, Professor Rukhayyah yang mencalonkan namanya kepada Qardhawi kerana menurut rancangan beliau sudah tiba masanya Qardhawi memikirkan soal jodoh. Qardhawi merupakan penggerak utama Persatuan Dakwah di universiti tersebut. Namanya memang gah di universiti sebagai mujahid dari Malaysia. Qardhawi enggan mengadakan majlis taaruf sekalipun, kerana malu menguasai. Menurut Professor Rukhayyah, Qardhawi hanya pasrah pada agama Annisa.

Annisa sungguh terharu dengan kesediaan seorang mujahid menerima dirinya seadanya. Sejak mula-mula menerima risikan itu lagi, hatinya cenderung untuk menerima, namun dia mahu istikharah dahulu. Ternyata, petunjuk baik menyertainya. Namun, dia tetap meminta agar Professor Rukhayyah menyuruh Qardhawi menghubungi ibu bapanya terlebih dahulu. Annisa terperanjat. Rupa-rupanya semua itu telahpun dilaksanakan lebih awal, sebelum risikan itu sampai ke telinganya lagi. Ibu bapanyalah yang menyuruh Qardhawi mendapatkan persetujuan Annisa.

Dengan restu daripada kedua-dua belah keluarga, tiada sebab bagi Annisa menolaknya. Ternyata Annisa memilih menerima cinta suci Qardhawi. Walaubagaimanapun, mereka tetap menjaga sepenuhnya batas pergaulan. Tiada istilah dating,chatting,wishing, malah apa-apapun yang menghampiri maksiat. Sampaikan kalau orang tidak mengetahui majlis pertunangan itu, tentulah siapa pun tidak menyangka bahawa mereka adalah pasangan tunang.

Qardhawi melahirkan rasa bangga dengan kesanggupan Annisa menjaga prinsip batas pergaulannya kepada Professor Rukhayyah. Pensyarah itu tersenyum dan menjawab,

"Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Surah al-Nur:26)

Di Malaysia, Hamdan telah dikejutkan dengan berita buruk. Fiza telah ditangkap khalwat di kampusnya dengan teman lelakinya. Barulah dia tahu bahawa selama ini Fiza bermain kayu tiga. Akhirnya, Fiza bernikah dengan teman lelakinya dan Hamdan terpuruk sendiri. Dia mahu mencari Annisa semula, namun apakan daya, wanita itu sedang mekar di jambangan orang.

Mengamuk besar bapanya apabila mendengar cerita itu. Hampir-hampir dia dihalau dari rumah kerana hal itu. Mujurlah hati ibunya lembut dan memujuk bapanya. Akhirnya, suami lemah dengan pujukan isteri. Hamdan tidak dihalau namun kemarahan mereka tetap ada. Lama masa berlalu, barulah mereka benar-benar memaafkan Hamdan. Mereka kesal Hamdan tidak dijodohkan dengan Annisa. Wanita itu sungguh mulia pekertinya. Hakikatnya, mereka yakin, pasti lelaki yang menambat hati Annisa itu sangat hebat, dan pastinya tidak akan seperti Hamdan.

Selepas tamat pengajian, Annisa pulang ke Malaysia. Majlis pernikahannya dengan Qardhawi diadakan secara sederhana. Tidak ada pun majlis persandingan kerana terang lagi bersuluh, hukumnya haram. Majlis pernikahan diadakan di masjid pekan itu. Mulanya, Hamdan berniat menghalang pernikahan itu dan meluru ke masjid tersebut, namun apabila sampai,

"Aku terima nikahnya Annisa Maqsurah Binti Umar Mukhlis dengan mas kahwin RM80 tunai," lafaz itu menyatukan Qardhawi Munawwir dan Annisa Maqsurah.

Hamdan terpaksa akur pada takdir. Dia terpaksa juga masuk menyalami Qardhawi. Ternyata, dia kagum akan peribadi Qardhawi yang kini bergelar suami Annisa. Waktu itu, dia sedar betapa sakitnya jiwa saat cinta tidak berbalas.Dia cuba menghampiri Annisa lalu berbisik. Sepintas cuma, kerana Annisa tidak mahu merapati lelaki melainkan suami dan mahramnya.

"Annisa, maafkan saya. Saya sayang awak. Katakanlah awak juga cinta akan saya,"kata-kata itu menyebabkan Annisa merenung tajam ke arahnya dengan wajah marah.

"Maafkan ana juga. Cinta seorang isteri hanya untuk suaminya," Annisa berlalu. Beberapa langkah, Annisa menoleh ke belakang.

"Kalau enta datang untuk meraikan pernikahan ini, ana persilakan saja enta datang ke kenduri. Sekiranya enta datang dengan niat enggan merelakan pernikahan ini, maaf, enta boleh pulang sekarang. Ana tidak mahu majlis ini hilang keberkatan kerana ada hati yang mendoakan keburukan. Ana mohon maaf sekali lagi, terimalah hakikat. Sejak azali, nama ana tidak pernah tercatat sebagai kekasih enta, begitu juga nama enta tiada untuk ana. Nama ana telah ditetapkan sebagai zaujah Qardhawi Munawwir. Ana minta diri dulu," dengan lafaz itu, Annisa berlalu pergi.

Hamdan tidak sanggup menghadiri pernikahan itu. Lantas dia berlalu untuk pulang. Beberapa hari kemudian, dia ke pantai untuk menenangkan diri, namun ternampak pula sepasang kekasih halal memadu asmara. Ya, itulah Qardhawi dan Annisa. Mereka ibarat kekasih yang sedang bercanda. Bezanya ikatan itu dihalalkan. Menitis air mata Hamdan. Ternyata sudah, hanya lelaki soleh yang layak memiliki wanita solehah seperti Annisa. Dia tidak layak. Akhirnya, Hamdan ke surau mensucikan dirinya dengan taubat.

Hamdan kembali ke dunia nyata. Harga hidayah itu sungguh mahal. Namun itu lebih baik daripada hidup tanpa petunjuk Ilahi. Setiap satu perbuatan pasti setimpal jua pembalasannya. Cinta Annisa yang pernah terseksa, akhirnya kini menyeksa dirinya pula. Apapun, dia redha. Sekurang-kurangnya, Annisa kini bahagia, malah dirinya tetap dimaafkan. Khabarnya kini Annisa sudahpun mempunyai seorang anak lelaki. Dhiauddin Khairulllah nama diberi. Hamdan pula?Masih sendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment