Fatin mengurung diri di biliknya. Dia enggan diganggu. Fikirannya melayang mengingati setiap satu peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Dakapan kenangan silam itu sangat kuat, sukar untuk dilepaskan. Setakat ini, tiada siapa yang tahu punca sebenar kebenciannya terhadap Hidayah.
Diari di dalam lacinya dicapai. Memang benar, dia suka memendam perasaan. Selama ini, hanya diari usang itu yang memahaminya, yang benar-benar mengenali siapa dirinya.
'Aku tak kisah apa sekalipun tanggapan Syafiqah pada aku. Aku tak pernah kisah dan tak pernah peduli, walaupun dia akan anggap aku ini seorang yang sangat-sangat ego. Aku tak kisah, sebab aku tahu aku bukannya perempuan macam tu. Dia tak tahu apa yang berlaku. Dia tak tahu apa-apa dan aku pun tak mahu dia tahu semua ni.
Peristiwa ini lambat laun tentu dia akan tahu juga. Aku tak mungkin boleh sembunyi. Keyakinan aku pada rahsia ini dah mula goyah. Aku tahu, dia bukannya bodoh. Lama-lama dia akan buka cerita pada semua orang. Waktu tu, aku pasti dah tak akan ada lagi orang yang percaya aku. Siapa yang nak dengar masalah dan keluhan seorang pendusta macam aku?'
Diari ditutup. Dia mungkin boleh menulis keluhan, tetapi rahsia yang terdalam biar kemas tersemat cuma di hati. Tidak mungkin ditulis hal itu. Seandainya dia hilang segala rahsianya kerana ada yang membuka diari itu, janganlah sampai rahsia itu terbongkar.
Fatin mengakui dalam diam. Memang dia jatuh cinta pada Rifhan. Sejujurnya, dia langsung tak ada rasa benci pada Hidayah pada awalnya, bahkan menyanjung tinggi ketabahan Hidayah sekeluarga. Namun, segalanya bertukar punah apabila dia mendengar khabar angin, Hidayah dan Rifhan saling mencintai. Hancur luluh hatinya mendengar khabar itu.
Sebuah cinta yang sememangnya tak mampu diterima akal fikiran. Bayangkanlah, pertalian darah yang terlalu dekat itu tidak menghalalkan cinta terlarang itu. Apa yang paling dikesalkan, kenapa Rifhan tak memilih seorang gadis yang mencintainya, tak melihat seorang gadis yang halal untuk dinikahi? Cinta terlarang juga yang jadi pilihannya, kenapa? Hingga kini, dia tidak mampu merungkai persoalan itu.
Anugerah cinta, cuma Allah yang mengurniakannya. Sampai sekarang, dia langsung tidak mengerti apa yang berlaku. Cinta yang dianugerahkan itu pelik. Tidak mengenal siapakah insan yang dicintai, padahal syariat telah awal menjelaskan sebaiknya.
Dia tidak membenci Hidayah. Hanya naluri kecemburuannya gagal dikawal. Apabila dikenangkan semula, Hidayah tak pernah berlaku salah terhadapnya. Dulu, dia sayang akan Hidayah. Baginya, kalaulah Rifhan miliknya, memang wanita itu bakal iparnya. Memang wajar dia menyayangi wanita itu, supaya mudah mencapai persefahaman dengan Rifhan.
Sayang seribu kali sayang, semua itu sekadar mimpi. Tidak mungkin akan jadi kenyataan. Rifhan dan Hidayah saling cinta. Apapun yang dilakukan, semua itu tetap perlu difikirkan. Apakah wajar baginya memusnahkan impian orang yang dicintainya?
Fatin sebenarnya pasrah apabila cinta itu bukan miliknya, tetapi, entahlah. Perasaan benci makin menular. Syaitan yang merajai hatinya semasa menghalau dan memfitnah Hidayah tempoh hari. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang menguasai tindakannya, bahkan tidak tahu kenapa dia jadi begitu. P;erasaan benci itu kalau boleh ingin dipadamkan, tapi perasaan cemburu itu terlalu kuat.
Sebenarnya, dia kecewa apabila Rifhan yang disangka baik selama ini menerima tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik sendiri. Secangkir harapan yang dirobek itu cukup menyakitkan, tambah pula benci akan maksiat yang dilakukan oleh lelaki itu. Dia benci apabila lelaki yang dicintainya sanggup melakukan maksiat sampai ke tahap seteruk itu. Bayangkanlah, seorang lelaki yang tampak soleh rupanya sampai hati melakukan maksiat dengan adik sendiri.
Malah, wanita yang selama ini dihormati rupanya tegar menyerahkan maruah diri kepada abang kandung sendiri. Apakah pakaian menutup aurat itu masih lagi bererti sekiranya pemakainya bergelumang dosa dan maksiat? Thiqohkah dua beradik itu atau semuanya topeng belaka?
Walaupun tindakannya kejam, sebenarnya dalam hati Fatin tetap mendoakan kebahagiaan buat Rifhan dan Hidayah. Dia sedar, sedalam manapun cintanya, tak semestinya cinta itu miliknya. Dia rela melepaskan lelaki yang dicintainya itu, kerana dia tahu lelaki itu tidak akan pernah menjadi miliknya. Dalam pada itu, dia masih berperang dengan impiannya sendiri. Impian itulah jua yang meracuni hatinya sehingga berlaku kejam.
Soal dia menghalau Hidayah, niatnya cuma mahu merenggangkan Fatimah dan Hidayah. Antara benci dengan sayang, dua-dua wujud untuk Hidayah, sedangkan dia sayang akan Fatimah sepenuhnya. Dia takut seandainya Fatimah pula yang akan menghampiri maksiat. Tujuannya adalah untuk menjaga sahabat yang benar-benar dia kasihi sepenuhnya.
"Kalaulah kau boleh faham, Fiqah...."
*********************
Fatimah masih nyenyak tidur. Tubuhnya benar-benar sudah keletihan. Sudah beberapa hari dia demam, semenjak menerima perkhabaran buruk tentang kata-kata Hidayah berkenaan dirinya. Kepercayaannya pada Hidayah memang cukup kuat. Sukar baginya hendak menerima perkhabaran itu.
Sudah dua hari Fatimah tidak pergi ke taska, tempat dia bekerja sambilan. Demam yang dialami buat dia rasa sungguh tidak bermaya. Kadangkala dia hairan, kenapa demamnya kali ini sampai lesu begitu sekali? Bukannya dia tidak pernah demam. Selama ini pun selalu demam juga, tapi tak adalah teruk sangat.
Syafiqah melangkah masuk ke bilik Fatimah. Punggungnya dilabuhkan di birai katil lalu tangannya menjamah dahi Fatimah. Panas. Kasihan Syafiqah melihatnya. Wajah putih bersih itu kelihatan pucat.
'Aku tahu punca kau begini, Imah. Kalau aku nak terus terang, aku sendiri tak boleh sebab aku perlu jaga kedua-dua hati kawan aku. Kalau aku nak sembunyikan, macam mana pula kau? Aku tak tahu mana satu yang perlu aku pilih. Aku bukan malaikat. Aku bukan nabi. Aku cuma manusia. Manusia bodoh yang tak tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali berdepan dengan masalah. Imah, selalunya kau yang beri pendapat pada aku. Kalau kau beri nasihat selalunya memang betul pun. Kadang-kadang aku tak ikut, kemudian mesti aku yang menyesal. Kalau aku ikut, selalunya baik jadinya. Sekarang? Kau takkan dapat bantu apa yang aku alami sekarang, sebab kau tak boleh tahu. Soal Fatin, kalau kau tahu, mungkin Fatin merajuk nanti. Habis tu macam mana?'
Melihat wajah Fatimah memang selalu membuat orang-orang disekelilingnya tenang. Wajahnya yang mulus dipancari cahaya keimanan tidak jemu dipandang. Itulah Fatimah, gadis pingitan kampung yang tidak pernah cuba menagih perhatian mana-mana lelaki. Apa yang dia inginkan cuma keredhaan Ilahi. Prinsip yang dipegangnya, Allah segala-galanya. Syafiqah segera terkenangkan peristiwa beberapa bulan yang lepas, ketika dia nyaris-nyaris ditangkap kerana berdua-duaan dengan bekas teman lelakinya Nazim.
"Imah, nasib baik kau datang cepat. Pengawal tu asyik usha aku semacam aje. Aku rasa dia nak telefon pihak kolej. Kau datang, boleh aku kata kami berdua sebab tunggu kau tak sampai lagi. Kalau kau tak datang, tak tahulah apa nasib aku,"
"Lailahailallah,Pika, Pika. Yang Pika cari pasal duduk berdua-duaan dengan Nazim tu kenapa? Kan dah mengundang fitnah.Tak perlu nak ucap terima kasih pada Imah, tetapi bersyukur dan mohon ampun pada Allah. Pika buat dosa dengan Dia, bukan dengan Imah," Syafiqah mencebik. Kata-kata Fatimah menandakan dia akan membuka sesi ceramah agama tidak berbayar.
"Dahlah tu, Imah. Kau kalau cakap dengan aku, tak sudah-sudah dengan ceramah kau. Daripada kau buang masa sibuk ceramah aku, baik kau jadi penceramah bebas di surau-surau. Ada juga faedahnya untuk masyarakat. Kau dakwah aku sangat pun, aku tak pasti berapa peratus kemungkinan aku akan ikut saranan dakwah kau," akhirnya Syafiqah berterus terang juga tentang ketidakselesaannya. Fatimah menyambut kata-kata itu dengan senyuman tenang.
"Pika, tu kan tanggungjawab Imah sebagai kawan Pika.." hanya itu jawapan diberi. Syafiqah sendiri dapat merasakan bahawa kata-katanya agak melampau, namun tidak pula dia bersuara mohon kemaafan. Fatimah tetap senyum seperti tiada apa yang berlaku. Cuma tutur katanya makin kurang kedengaran.
***********************
Sekarang, apabila keadaan menjadi begini sukar, barulah Syafiqah tahu betapa pentingnya 'penceramah bebas' itu di hatinya. Betapa berharganya pedoman yang selalu diungkapkan dari seulas bibir itu. Entah mengapa, dia rasa benar-benar perlu akan kehadiran Fatimah di sisinya. Memang tiada orang yang mampu menggantikan tempat Fatimah. Lemah lembut dan santunnya sukar ditandingi.
Syafiqah teringat akan Hidayah. Dia sedar, faktor usia dan status Hidayah tidak pernah menghalang keakraban dua sahabat itu. Adakalanya, Fatin pun cemburu apabila Fatimah sangat akrab dengan Hidayah. Memang benar, Fatimah mempunyai peribadi yang sangat mulia. Sanggup menerima setiap kekurangan dan kelebihan orang lain.
'Adakah Hidayah benar-benar jahat sampai mampu memperdayakan mata Fatimah yang melihat dengan mata hati?' Tiada siapa yang mampu merungkaikan persoalan itu.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (20)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment