Rifhan memandang siling rumahnya. Terbayang-bayang peristiwa tempoh hari. Wajah Hidayah yang terluka menari-nari di ruang mata. Tiada kata mampu menjelaskan apa-apa. Kesedihan merenggut tangkai hati saat cinta berlalu pergi. Setiap nafas yang dihela bagai tersekat, berat untuk dilepaskan.
Masih terasa sakit yang mencengkam tubuh sejak dia dibelasah. Seluruh badannya dipenuhi lebam dan luka. Bayangkanlah bagaimana sakit tubuhnya dikerjakan sepuluh orang lelaki dewasa. Mereka semua memang ada ilmu silat. Lagilah terasa bahang sakitnya.
Kalau ikutkan, memang Rifhan mampu melawan. Dia sendiri cukup handal dalam ilmu persilatan. Cuma sikap hormatnya pada orang kampung yang lebih tua menghalangnya berbuat begitu. Kalau dia membuka jurus silat, khuatir ada yang cedera. Rasanya tidak molek baginya untuk memukul orang yang lebih tua.
Itulah Rifhan. Sikap bertimbang rasa tetap sebati dalam diri walau nyawa jadi taruhan. Mujurlah selepas dia lembik dibelasah, dua orang rakannya lalu di situ dan memapahnya pulang ke rumah. Mulanya mereka hendak menghantarnya ke rumah Hidayah kerana lebih dekat dan selamat, namun niat mereka dihalang. Rifhan mahu ke rumahnya sendiri.
'Sakitnya badan aku, sakit lagi hati aku. Sakit hati aku, sakit lagi hati Hidayah.' getus hati Rifhan. Penyesalannya masih tidak berkesudahan. Tindakannya menghalau Hidayah memang keterlaluan. Namun, tujuannya tiada siapa yang akan faham.Hidayah sendiri pun tidak faham.
'Abang cuma tak mahu Hidayah turut menerima tohmahan dan cacian. Abang dah cukup merana atas semua yang berlaku ni. Abang tak mahu Hidayah juga menerima nasib seperti abang. Abang sedar Hidayah merana, tapi abang tak mampu nak buat apa-apa. Kita terjerat dengan fitnah manusia. Kita jadi mangsa angkara syaitan dan nafsu.'
Memang benar, itu tujuannya. Dia tidak pernah mahu menyakiti hati Hidayah dengan sengaja, tetapi ini namanya terpaksa. Kalau dia tidak memilih jalan begitu, siapa yang akan membersihkan mereka dari tuduhan fitnah? Soal cinta, kalau mereka masih serumah, dia tetap bimbang.
Rifhan gusar hendak tinggal sebumbung dengan Hidayah berdua begitu. Sejak dulu, hatinya sudah lama bergolak dengan kata cinta untuk Hidayah. Luahan perasaan Hidayah walaupun bagai batu yang menghempas kepalanya tetapi masih juga menggetarkan naluri. Pesoalannya, andai dia terus di situ, selama manakah naluri lelakinya dapat bertahan melawan nafsu batinnya?
Haram tetap haram. Itu memang kata iman. Masalahnya ada suara lain. Syaitan kata lepaskan saja nafsu yang bersarang. Nafsu kata lampiaskan saja pada wanita yang dicintai. Wajah dan tubuh Hidayah pula bagaikan magnet yang menarik dirinya. Mampukah dia bertahan dengan sebaris kata iman? Sebab itulah, dia memilih untuk berlalu pergi. Tak sanggup lagi menyeksa diri dan adiknya.
"Aduh.." sakit tidak terperi apabila hendak bangun dari perbaringan menuju ke bilik air. Rasa mahu tercabut sendi tulang belakang Rifhan. Apapun, solat tetap perlu ditunaikan walaupun sakit. Mujurlah ada rukhsah solat ketika sakit. Setelah wuduk diambil, dia duduk di kerusi menyembah Allah. Hanya solat dalam keadaan duduk yang termampu olehnya. Walaupun sakit menjalar, pengabdian diri pada Allah tetap perlu diutamakan.
Air mata tumpah dalam khusyuk solatnya. Dia diserbu rasa takut mengenangkan hari pembalasan. Hari ini dia diuji dengan kesakitan yang mendera atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan. Hari esok entah siapa yang tahu. Hari ini dia berdiri di atas muka bumi yang fana, mendera jiwa dengan cinta pada insan yang pastinya akan pergi. Terasa bodoh tatkala diri merindui insan yang sekadar pinjaman, bahkan amanah untuk dia jaga sebelum kembali menghadap Tuhannya. Adakah Allah redha akan pilihannya berbuat begitu atau mungkin Allah sedang memurkai dirinya?
'Astaghfirullahalazim. Aku cinta pada makhluk-Mu. Aku menderita kerana makhluk-Mu. Aku ingin bersama makhluk-Mu selamanya di muka bumi yang fana ini. Mana perginya hasratku untuk bertemu Engkau? Adakah aku ini sedang memalingkan wajah dari-Mu? Ya Allah, tutupkanlah hatiku dari mencintai dunia semata-mata. Pagarlah diriku dengan zuhud dan taat seorang hamba. Aku tidak ingin jauh dari cinta-Mu. Sesungguhnya saat ini terasa berat diriku, tambah diberatkan dengan beban dosa yang menimbun. Allahuakbar. Allah pemilik sekalian alam, ampunkanlah aku. Jangan kau hidupkan aku lagi kiranya hari esok cumalah menimbunkan dosa untukku pikul sedangkan aku tidak berdaya. Izinkanlah aku bernafas lagi esok hari kiranya nafas yang kuhela hanya untuk-Mu semata-mata. Ya Allah, bantulah diriku, gagahkan jiwaku, perkasakan imanku. Ya Allah, peliharalah seluruh kaum keluargaku dari azab neraka-Mu. Cucurilah rahmat ke atas arwah ibuku. Sejahterakanlah insan yang melahirkanku itu dengan rahmat dan maghfirah-Mu. Sesungguhnya, tiada kudrat selain kudrat-Mu, tiada iradat selain iradat-Mu.' Tangis mengiringi doa. Hilang ego dan malu saat berhadapan dengan Allah Azza Wajalla.
Sesungguhnya, salah satu golongan yang matanya tidak akan disentuh oleh api neraka ialah mata-mata yang menangis kerana takut akan Allah.
******************
Malam itu menyaksikan Rifhan dalam gundah gulana sujud memohon maghfirah dan pertolongan Allah. Sayup-sayup suara paraunya memecah keheningan malam.
"Ya Allah, aku mohon Engkau permudahkanlah lorong kehidupanku. Sesungguhnya aku tiada berlindung selain di bawah kekuasaan-Mu. Ya Allah, aku rayu pertolongan-Mu. Aku tidak berdaya menempuh semua ini sendirian andai tiada bantuan-Mu. Aku perlukan Engkau, Ya Allah. Aku tidak mampu melawan hasutan nafsu dan syaitan tanpa-Mu. Imanku menderita. Aku hanya ingin hidup dengan cinta-Mu, tetapi kenapa mesti ada lagi cinta lain yang bersarang di jiwa ini? Kenapakah cinta yang hadir mesti cinta yang haram? Kenapakah yang terjadi ini cinta terlarang? Ya Allah, aku tidak mampu mentafsirkan setiap kalam takdir-Mu. Maha Suci Allah yang mentakdirkan segala sesuatu yang terjadi di muka bumi ini. Hanya Engkaulah yang mengetahui rahsia di sebalik segala dugaan, dan hanya kepada Engkaulah aku mohon segala pertolongan. Ya Allah, sisihkanlah aku dari sekalian manusia andai itulah kehendak-Mu, tetapi aku mohon janganlah Engkau sisihkan aku dari cinta agung-Mu. Aku lebih rela mati daripada hidup tanpa cinta-Mu. Aku insan yang lemah dan selalu terjatuh. Hanya rahmat-Mu yang mampu membangkitkan aku dari setiap kejatuhanku dan hanya rahmat-Mu yang mampu menjagakan aku dari setiap lena dan kealpaanku. Ya Allah, hidupkanlah aku ini sebagai hamba-Mu yang diredhai, bukan dimurkai. Aku mohon, Ya Allah."
Tangisan lelaki seringkali dianggap sebagai kelemahan. Sayangnya, ramai yang lupa bahawa dalam diri setiap insan itu ada diciptakan air mata bersamanya. Sesungguhnya, air mata keinsafan itu ialah sebaik-baik tangisan. Tangisan keinsafan itulah tanda pengabdian diri sebagai hamba Allah. Jika tangisan keinsafan itu menyebabkan diri dianggap lemah, biarkanlah. Memang Rifhan sedar, dirinya hamba Allah. Adakah hamba itu kuat? Hamba tidak kuat! Kenapa manusia dinamakan hamba Allah? Manusia dinamakan hamba Allah, kerana manusia sangat lemah! Salahkah hamba Allah yang lemah, baik lelaki mahupun perempuan, menangis sebagai hamba Allah kerana mengharapkan keredhaan-Nya?
Lantaran itu, sekalipun semasa zaman remaja Rifhan sering diketawakan, bahkan sampai dewasa masih diketawakan kerana sikapnya yang sering menangis tatkala mendengar ceramah agama, dia tidak peduli. Apalah yang dipedulikan dengan gelak ketawa manusia. Biarlah mereka menuduhnya berjiwa lembut dan mudah menangis, dia tetap tidak akan meninggalkan kebiasaan itu. Biarlah malaikat di sebelah kanannya sahaja yang mencatit pahala tangisan itu. Dia sudah tidak kuasa melayan cakap orang.
Biarpun takdir menentukan Rifhan ditimpa segala macam bentuk ujian, malah ditusuk dengan duri fitnah, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalannya. Dia sudah lama meredhai segalanya. Walaupun dia hina di mata manusia, dia tetap mengharapkan keredhaan Penciptanya. Biarpun terpaksa menempuh derita, dia sanggup menghadapinya. Tidak mengapa sekiranya dirinya dihina, namun janganlah dia dihina pula nun di padang Mahsyar nanti.
Dia tidak meminta agar ujiannya diringankan, bahkan sering berdoa agar imannya diteguhkan untuk menghadapi segala bentuk dugaan. Dia sedar siapa dirinya. Hakikat yang sentiasa disedari dan dan dijadikan pegangannya ialah generasi terdahulu pernah melalui perkara yang lebih dahsyat, namun tetap tegar menghadapi kerana keimanan yang teguh.
Saidatina Aisyah sendiri pernah ditimpa fitnah dalam peristiwa Haditsul Ifki, walhal dia isteri Rasulullah yang bergelar Ummul Mukminin. Wanita semulia itu telah ditimpa fitnah yang sungguh dahsyat iaitu mengkhianati cinta Rasulullah dengan sahabat bernama Shafwan Bin Mu'aththal, padahal pada waktu itu dia masih muda remaja. Berkat ketabahan dan kepasrahannya terhadap kekuasaan Allah, akhirnya Allah telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah melalui surah An-Nur ayat 11-19 yang membersihkan Saidatina Aisyah daripada tuduhan fitnah tersebut.
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah sebahagian dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka akan beroleh seksa yang besar.
"Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman-lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka dan berkata "Ini adalah tuduhan dusta yang nyata".
"Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi untuk membuktikan tuduhan itu. Oleh itu, mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi Allah S.W.T (hukum-Nya) adalah orang-orang yang berdusta.
"Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah S.W.T dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.
"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, padahal ia pada hukum Allah S.W.T. adalah perkara yang besar dosanya.
"Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah, dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah).
"Ini adalah satu dosa yang mencengankan." "Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
"Dan Allah S.W.T, menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya) kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
"Sesungguhnya orang-orang yang suka melemparkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."
Rifhan terkenangkan Hidayah saat membaca ayat 23 hingga 24 dalam surah An-Nur yang bermaksud,
"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi ke atas diri mereka sendiri, berkenaan segala yang mereka lakukan."
Air mata lelakinya tumpah lagi. Ternyata Al-Quran itu kalam Allah yang kaya dengan mukjizat. Setiap ayatnya seolah-olah mengikuti skrip kehidupan manusia, kaya dengan petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya, beruntunglah bagi mereka yang sentiasa hidup berpandukan Al-Quran dan hadis.
"Rasulullah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Abu Hurairah r.a)
Bahkan Nabi Yusuf sendiri pernah difitnah cuba menodai Siti Zulaikha, isteri al-Aziz, apalah hak Rifhan untuk menolak dugaan. Insan-insan mulia generasi terdahulu pun telah diuji dengan fitnah, apatah lagi dirinya. Lantaran itu, dia tetap redha dengan segala ketentuan Allah untuk dirinya. Dia tetap yakin, Allah menguji bersesuaian dengan kemampuannya. Akhirnya, Rifhan terlelap di sejadahnya dengan tenang. Segaris senyuman terlihat di bibirnya.
Percayalah, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang memohon pertolongannya terkapai-kapai sendiri melainkan diberikan rahmat dan ganjaran pahala-Nya.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (21)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment