Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (12)

Pulang dari kerja, Amirul Mukminin merebahkan diri di sofa rumahnya. Hamdan yang baru selesai membancuh Horlicks memandang pelik. Jarang sangat sahabatnya berperangai begitu. Selama ini, dia kalau pulang dari kerja, mesti mandi,baca al-Quran sehelai dua, kemudian baru tidur menghapus penat. Bermasalahkah dia ? Hamdan tertanya-tanya.

"Assalamualaikum ya akhi. Letih sungguh enta ya, sampai tak sempat dah nak bagi salam masa masuk rumah tadi. Ana ingatkan halimunan mana masuk tak bagi salam,"Hamdan cuba meraih perhatian Amirul. Gagal, selorohnya dibalas senyuman hambar.

"Kenapa dengan enta ? Ada masalah? Selalu enta kalau balik mandi, baca al-Quran dulu baru baring-baring,"pertanyaan Hamdan membuatkan jiwa lelaki Amir diamuk resah. Benar, dia telah terlanggar rutin hariannya, padahal tubuhnya masih berdaya. Cuma jiwanya saja yang kurang sihat. Itu bukan alasan. Sepatutnya jiwa perlu dirawat dengan ibadah. Astaghfirullahalazim.

"Nantilah ana cerita pada enta,ya. Ana nak pergi selesaikan rutin ana dulu. Syukran sangat-sangat tolong ingatkan ana. Ana betul-betul terlupa,"dengan bicara itu, Amir berlalu meninggalkan Hamdan.Hamdan cuma tersenyum. Adakah sahabatku sedang dilamun cinta buat kali pertama? Getus hatinya.

Tidak ada solat sunat setelah solat asar hinggalah sebelum maghrib. Kalaulah bukan begitu, tentu Amir mahu bersolat sunat taubat. Amir mahu mensucikan dirinya. Sungguh, jiwa lelakinya jadi lemah apabila berdepan dengan rasa yang entah apa namanya. Seumur hidup, dia tidak pernah merasai gerak hati sebegini. Apa yang pasti, perasaan itu tidak boleh dilayan. Lihatlah sekarang, sampai mengakibatkan jiwanya futur.

Akhirnya, demi mencari ketenangan, dia meneruskan bacaan al-Qurannya hingga sejuzuk. Tenang sedikit perasaannya. Namun, rasa berdosa masih menyelubungi relung hatinya. Amir rasa dirinya sungguh lemah dan hampir terbabas dari lorong cinta Ilahi. Entah mengapa, bayangan Aisya Humaira menghantui benaknya. Punah ketenangan, hancur kekhusyukan. Benarlah sebuah hadis Rasulullah:

'Aku tidak meninggalkan selepasku suatu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita.'

Ya. Amir berasa dirinya sedang terpedaya. Aisya bukan isterinya untuk dirindu-rindu. Tiada sebarang pertalian yang menghalalkan perasaan itu. Seluruh jiwanya tergugat gara-gara munculnya Aisya Humaira dalam kehidupannya.

Kalaulah ini cinta, dia tewas! Sungguh, prinsipnya cuma memilih isteri dari kalangan wanita solehah. Tiadalah cinta melainkan berniat dibuat zaujah. Habis, apa yang dia sedang mimpikan sekarang? Gadis yang kerap muncul dalam angannya itu tampak seksi tanpa menghiraukan auratnya pada pandangan ajnabi, menghulurkan salam tanpa mempedulikan batasan dengan bukan mahram, bertutur dengan gaya tiada santun seorang wanita solehah. Apakah semua ini !?

Sejak dahulu lagi, hatinya tekad berazam mahukan zaujah yang solehah.Sebelum bernikah, tidak akan sekali-kali cintanya terarah kepada mana-mana wanita. Sekarang apa sudah jadi? Dia bersikap bagaikan seorang lelaki yang tidak belajar agama. Dia pula yang sibuk merindui wanita. Istighfar. Istighfar. Istighfar. Rasa berdosa kepada-Nya.

*****************************

Di luar kamar, Hamdan sesekali mengintai perlakuan Amir. Dia dapat melihat garis-garis keresahan di wajah sahabatnya itu. Hamdan sedar, dia perlu membantu, bukan cuma memandang. Itulah sebodoh-bodoh perbuatan baginya, andai cuma melihat tetapi tidak cuba menolong sama sekali.

Hamdan melabuhkan punggungnya di sofa tempat Amir berbaring tadi. Dia terkenangkan peristiwa sedih dalam kehidupannya. Semuanya kerana cinta. Wajah ayu Annisa menyapa minda, wajah jelita Fiza mengusik benaknya.

Apabila diimbas kembali lipatan sejarah itu, Hamdan selalu merasakan bahawa dirinyalah manusia terbodoh di dunia. Buta matanya menilai ketulusan cinta dua wanita. Seharusnya sejati jadi pilihan,namun nafsu sentiasa iri hati melihat iman mendahului. Lantas nafsu buat angkara, iman tewas tertindas.

************

"Kau kenal tak Annisa? Budak perempuan kelas Sains Tulen 1? Alah, minah yang jilbab sampai ke lutut tu," Imran bertanya pada Hamdan,lantaran suatu perkhabaran menjengah telinganya.

"Annisa? Tak kenallah pula. Tapi rasanya pernahlah tengok seorang budak kelas tu yang pakai tudung labuh,"Hamdan memang kurang mengenali pelajar perempuan aliran sains tulen kerana ditempatkan di blok yang berbeza. Tambahan pula, waktu rehat mereka pun tidak sama.

"Ada orang cerita kat aku, minah tu syok dekat engkau. Nak pecah perut aku ketawa mendengarnya. Hai, kawan aku nak jadi laki ustazah!"meletus gelak ketawa Imran. Dia berasa sangat lucu apabila rakannya yang hanya biasa-biasa sahaja agamanya boleh diminati oleh seorang gadis yang alim.

"What? Kau biar benar. Budak tu macam tak layan lelaki aje,"Hamdan resah dengan perkhabaran itu. Minta-minta janganlah sampai ke telinga gadis pujaannya, Fiza yang juga beraliran Sains Tulen.

"Memanglah dia tak layan lelaki.Sebab tulah bila dia jatuh cinta, heboh satu blok ST. Tanya tuan punya badan, kau taulah perempuan macam mana kan. Tambah pulak ustazah macam tu. Nak ke dia mengaku? Faham-faham ajelah,"

"Kiranya dia tak mengaku pada sesiapa kan ?"Hamdan bertanya penuh harapan.

"Em,tidak. Aku kerat jari kalau dia berani mengaku. Khabar angin mengatakan, kalau boleh memang dia nak lawan perasaan pada kau. Takut maksiaaat,"Imran berkata dengan nada perli.

"Huh, bunyi macam aku pun hendakkan dia. Sorry, tak ingin aku."Hamdan jadi meluat mendengar ayat itu. Takut maksiat? Macamlah Hamdan sudah jadi teman lelaki Annisa.

"Hahaha.."bagai mahu pecah perut Imran ketawa.

"Anyway, aku risaulah. Macam mana kalau Fiza tahu?" Hamdan begitu risau akan kehadiran Annisa. Takut perkara itu dihidu oleh Fiza.

"Aik? Kenapa dengan Fiza ? Kau couple dengan dia ke?"

"Belum couple, tapi tengah tackle. Tiap-tiap kami mesej tau. Tak mesej, call. Kira tengah rapatlah,tunggu masa aje nak couple,"

"Wow, hebatlah kau. Fiza tu cun gila. Eh, kau jampi ilmu pengasih apa hah? Macam tu punya awek pun boleh tunduk dengan kau,"Imran kagum bercampur cemburu.

Fiza merupakan salah seorang pelajar Sains Tulen yang paling diminati. Rupanya memang sungguh cantik. Baru-baru ini, semasa bulan kesenian,dia telah dinobatkan Ratu Kebaya di sekolahnya. Kebaya nyonya yang dipakainya mengikut bentuk badan,malah berbelah pula di kaki, tidak termasuk lengan yang jarang hingga menampakkan kulit yang putih gebu. Namun semua itu tidaklah dikira sebagai kriteria pengadilan, kerana pelajar cina dan india turut menyertainya.

Bertambah-tambahlah populariti Fiza. Semakin ramai lelaki yang galak mengusiknya. Tambahan pula Fiza ramah orangnya. Siapa yang tidak tergiur melihat liuk lentok gerak tubuhnya di pentas dahulu? Wajah yang cantik, kulit yang putih bersih tanpa ditumbuhi sebiji jerawat pun, mata yang galak menggoda, hidung yang mancung, senyumannya pula dihiasi lesung pipit. Ah! Menggugat iman insan bernama lelaki.

Siapa sangka, Ratu Kebaya itu kini dimiliki oleh Hamdan?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment