Saat ini, saya teringat akan kata-kata guru Kimia saya, Cikgu Tan Ley Chan. Sebenarnya dia hanya mahu menerangkan definisi proses eksperimen dalam Kimia secara umum namun penerangannya amat spesifik dan ketika dia menyatakan analogi hidup sebagai bandingan, saya tiba-tiba tertarik pula.
Life is about solving problems.
Saya tidak tahu kata orang lain, tetapi secara peribadi saya menyetujui kata-kata ini. Masalah akan datang bertalu-talu dalam hidup manusia dan tentu sahaja diri saya sendiri. Kenyataannya, kadangkala manusia bukan diuji dengan kesusahan sebaliknya dengan kesenangan. Hebat cara Allah menguji kita. Tidak ada lembaga peperiksaan yang boleh mengadakan sukatan pelajaran sehebat suratan Allah dalam hidup kita. Justeru, rasanya tidak keterlaluan kalau saya kata begini pula.
Untuk apa kita takut akan ujian peperiksaan yang manusia buat dan jawapannya pun sudah kita kaji padahal ujian Allah yang tidak terduga bentuknya itu kita tidak takut dan bersedia, sedangkan ujian manusia ini kita sudahpun bersedia sekadar termampu?
Hakikat kehidupan ini penuh variasi. Namun yang pasti betapa hebatpun ujian yang dikenakan, tiba masanya akan terhenti sendirinya kerana panggilan azali. Sebelum sampai waktu itu, teruslah bertahan dengan ujian yang tidak jemu menjengah dalam hidup kita walaupun kita terlupa bahawa dia sedang bersama kita. Ya, dalam kesenangan dan kegembiraan itu juga adanya ujian.
Perasaan kita yang selalu teruji kalau kita tidak diuji dengan kesusahan lahiriah. Ada pula yang memang kedua-duanya teruji. Semuanya Allah tentukan berdasarkan kemampuan hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui kerana memang dia yang menciptakan kita.
Ketika bicara tentang cinta, saya ingin sekali menyebut satu persoalan. Abadikah cinta itu sekiranya waktu yang tidak sepatutnya dicalarkan dengannya, malah sampai mencalarkan amanah yang digalas pula selaku khalifah Allah? Bagi saya, itulah ujian yang selalu menimpa jiwa remaja.
Lazimnya, perkara ini tidak dianggap ujian kerana ia menyenangkan. Beritahulah saya, siapa yang benci dicintai? Namun, kealpaan itu tatkala kita menikmati sahaja manis cinta remaja itulah sebenarnya ujian yang Allah berikan. Astaghfirullah. Betapa kita sering terlena dan tidak menyedari hakikat ini.
Allah uji cinta kita. Allah uji, apakah kita cinta akan Dia, atau kita cinta akan hamba-Nya lebih dari-Nya. Kita boleh cakap kita cinta Allah, tetapi hebatkah kita mempertahankan cinta itu di atas atau cinta manusia juga yang kita agungkan?
Dunia ibarat penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir.
Ya. Jelas kebenaran itu. Penjara bagi orang beriman kerana terpaksa memenjarakan keinginan sendiri. Remaja tentu rasa terpenjara apabila segala hukum mula disingkap. Berikutan hal itulah, manusia seringkali alpa dan melanggar hukum Allah. Tidak wajar bagi kita mempertikaikan sebenarnya hukum Allah.
Perasaan remaja sering sahaja teruji dengan cinta sang adam. Lalu muhasabahlah. Apakah sebenarnya kita memerintah nafsu atau nafsu memerintah jiwa kita?
Dalam makna abadi. Bukan sekadar sesuatu yang zahirnya berkekalan selamanya itu maka sudah boleh dikatakan abadi. Sebenarnya abadi itu amat dalam. Biarpun zahirnya tampak seperti luput hakikatnya masih abadi dalam batinnya, maka itulah keabadian yang sejati, kerana kita semua manusia yang pasti akan pergi. Manusia pasti akan mati dan jasadnya akan luput begitu sahaja. Namun, namanya masih abadi di ingatan. Jiwa kita masih mempunyai pertalian dengannya maka itulah dia keabadian dirinya yang masih ada dalam hati kita.
Insan yang kita sayangi pergi tetapi dia masih dalam ingatan biarpun tidak lagi kembali. Namun lama kelamaan perlahan kita sudah mula dapat melupakannya. Kita tidak akan mampu sama sekali untuk menafikan hakikat itu. Maka buat masa ini sedarilah hanya Allah yang abadi. Dia tidak mati dan Dia tidak pergi. Dia teman sejati dan Dia kekasih. Segalanya hakikat.
Jemput Follow :)
Bicara Makna Abadi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment