Natrah termenung di tepi jendela. Tangannya menyentuh pipi yang terasa perit. Setitis air mata tumpah di pipinya. Terlalu cepat semua ini berlaku. Natrah belum bersedia menghadapi segalanya.
"Engkau memang anak tak guna! Jika bukan engkau, tidak mungkin Ashraf meninggal dunia."
"Pandai-pandai hendak ubah tradisi keluarga, sekarang tengoklah sendiri perkara yang sudah berlaku!"
"Mentang-mentanglah sudah jadi ustazah, dia rasa dirinya sempurna sangat agaknya. Dasar pembunuh!"
Satu demi satu penghinaan kembali berputar dalam ingatan Natrah. Dia bingung. Salahkah dia memperbetul perkara yang salah? Adakah salah dia menegakkan kebenaran? Demi Allah, dia hanya mahu menjaga ketetapan Ilahi. Dia tidak pernah berniat untuk menentang keluarganya apalagi hendak menunjuk kehebatannya sebagai ustazah. Dia tidak pernah pun berasa dirinya hebat kerana status ustazah yang dipegangnya.
Semuanya bermula ketika dia menemui Ummu Balqis semasa di universiti dahulu. Wanita itu menyuruhnya agar menanggalkan gelang tangan yang selama ini dipakai sentiasa. Ibu saudaranyalah yang menyuruhnya memakai gelang itu. Katanya sebagai pelindung. Ketika Ummu Balqis mendapat tahu bahawa gelang itu berfungsi sebagai pelindung, terus dia menyuruh Natrah menanggalkan gelang itu dan membuangnya terus. Kata Ummu Balqis, mempercayai perkara sebegitu merupakan kepercayaan khurafat yang membawa kepada syirik. Sewajarnya kita memohon pertolongan hanya daripada Allah, bukannya benda-benada karut sebegitu.
"Nanti keluarga saya pasti marah. Semua ahli keluarga kami sudah memakai gelang ini sejak turun temurun."
"Natrah, keluarga Natrah juga hamba Allah. Natrah tidak boleh mengutamakan mereka dalam hal-hal yang melawan perintah Allah. Natrah perlu berusaha memujuk mereka agar menghapuskan kepercayaan karut-marut itu. Kalau bukan Natrah yang sudah punya kesedaran dan kefahaman tentang agama, siapa lagi?"
Sehingga kini, nasihat Ummu Balqis masih berada dalam ingatannya. Dia sama sekali tidak akan lupa amanah Ummu Balqis itu biarpun Ummu Balqis kini sudah jauh dari pandangan. Wanita mulia itu kini berada di Australia untuk menyambung pengajiannya. Namun persaudaraan mereka tetap utuh. Ada sahaja peluang, pasti mereka akan berhubung baik di laman sembang maya ataupun dalam telefon.
Segalanya berubah semenjak peristiwa hitam yang baru sahaja melanda kehidupan Natrah. Kini, telefon bimbit Natrah dirampas dan talian internetnya pula sudah disekat. Semuanya kerana keluarga Natrah tidak mahu Natrah menghubungi Ummu Balqis lagi. Mereka amat benci akan Ummu Balqis, malah mungkin membenci Natrah jika Natrah terus berpaling tadah.
Natrah menangis lagi. Kenangan lalu berlayar di hadapan matanya seperti sebuah siaran kenangan silam.
"Abang, boleh tidak kalau Natrah hendak cakap sedikit dengan abang?"tanya Natrah perlahan. Abangnya, Ashraf, yang cuma bekerja sebagai mekanik di kedai motosikal itu memang antara ahli keluarganya yang paling senang menerima teguran. Dia berharap agar Ashraf mampu membantunya mengubah cara hidup keluarga mereka.
"Cakaplah,"
"Sampai bila abang hendak hidup dengan bergantung kepada tangkal? Adakah seumur hidup abang akan memakai gelang itu?"tanya Natrah sedikit mendesak. Ashraf pula terdiam memikirkan kata-kata Natrha.
"Abang tidak tahu. Cuma abang ingin tanya Natrah, benarkah memakai tangkal seperti ini boleh membawa kepada syirik?"tanya Ashraf. Rupa-rupanya Ashraf sudah lama memikirkan persoalan itu.
"Ya. Sebenarnya dengan memakai gelang itu sahaja sudah khurafat namanya. Abang, sebenarnya kalau boleh Natrah hendak ajak abang tanggalkan sahaja gelang itu. Tiada maknanya kita bergantung kepada benda tanpa nyawa seperti itu. Sepatutnya hanya Allah yang kita jadikan sandaran. Abang lihat sendiri betapa karutnya benda itu. Natrah sudah buang gelang itu hampir sebulan, tetapi Natrah baik-baik sahaja. Jika ada apa yang berlaku pun, kita patut setiasa berpegang kepada Allah. Yakinlah bahawa kecelakaan yang berlaku itu adalah daripada Allah, bukan daripada benda-benda karut begitu."
Tidak sangka benar, sebaik sahaja mendengar kata-kata Natrah, terus sahaja Ashraf membuang tangkal itu. Pada saat mula-mula Ashraf memakai tangkal itu, sememangnya dia selesa kerana berasa selamat. Namun, lama kelamaan Ashraf juga berasa kurang selesa untuk terus menaruh kepercayaan terhadap perkara khurafat sebegitu. Kata-kata Natrah benar-benar memberi kesedaran untuknya menanggalkan terus tangkal itu.
"Betul cakap Natrah. Tidak ada gunanya abang menyimpan benda seperti ini. Mujurlah Natrah nasihatkan abang selama abang masih ada. Natrah, malam ini temankan abang buat solat sunat taubat ya? Abang hendak sucikan diri abang daripada semua ini. Manalah tahu kalau-kalau nanti tiada lagi kesempatan untuk abang bertaubat,"ujar Ashraf dengan suara yang kedengaran sayu. Natrah berasa aneh dengan tingkah laku Ashraf tetapi dia hanya memendam sahaja perasaannya itu.
"Ya. Natrah bersyukur kerana abang sudi meninggalkan semua perkara karut itu,"jawab Natrah lembut.
Petang itu, apabila pulang ke rumah, teruk Natrah dan Ashraf dimarahi oleh ibu dan nenek mereka. Tidak lain dan tidak bukan, puncanya kerana ibu dan nenek mereka menyedari bahawa tangkal itu telah dibuang.
"Natrah, Ashraf! Kamu berdua hendak jadi anak sial ya? Pandai-pandai sahaja kamu tanggalkan tangkal itu. Cakap dengan nenek, di mana kamu tinggalkan tangkal itu!"jerkah nenek mereka, Mak Senah. Belum sempat Ashraf hendak berdalih, Natrah sudah terlebih dahulu menjawab dengan tegas.
"Kami tiada niat hendak jadi anak sial atau melawan mak mahupun nenek. Natrah sudah buang tangkal itu bulan lepas. Alhamdulillah Allah masih menjaga Natrah. Abang pun kini sudah sedar bahawa semua ini amalan khurafat, sebab itu abang juga buang tangkal itu. Nenek, cukup-cukuplah dengan semua benda khurafat itu. Bertaubatlah, nenek ..." belum habis Natrah berbicara, tangan Mak Senah sudah lebih dulu hinggap di pipinya. Dia tersungkur di tepi tangga. Mujurlah Ashraf sempat menahan tubuhnya daripada terus tercampak ke dinding.
"Nenek, janganlah buat Natrah begini! Natrah tidak salah. Dia bercakap perkara yang benar. Kita orang Islam, mak. Tidak sepatutnya kita berpegang pada amalan karut-marut begini. Cukuplah selama hayat kita ini, kita bergantung kepada benda-benda ini. Serahlah diri kepada Allah!"ujar Ashraf.
"Ashraf, diam!"bentak Puan Salmiah. Dia tidak boleh menerima kata-kata Ashraf dan Natrah. Sebenarnya apa yang merasuk minda Natrah? Adakah ...
"Ashraf, Natrah, masuk bilik kamu berdua! Mak tidak mahu lihat muka kamu! Keluarga mak tiada pengkhianat sebegini. Natrah, mak hantar kamu belajar tinggi-tinggi sampai ke Mesir bukan untuk melawan cakap keluarga begini!"jerkah Puan Salmiah. Ashraf hanya mampu membisu. Tangannya pantas membantu Natrah untuk bangun lalu membawanya ke tingkat atas. Kaki Natrah nampaknya sudah terseliuh.
"Maafkan Natrah. Tidak sepatutnya abang turut dimarahi. Natrah punca semua ini,"ujar Natrah dalam esak tangisnya. Kakinya terasa amat sakit setiap kali diurut oleh Ashraf. Maklumlah, tangan lelaki seperti Ashraf memang keras sentuhannya.
"Syh, jangan cakap begitu. Natrah tidak salah. Kita tidak salah. Kita hanya mahu menegakkan keislaman kita. Allah tahu niat kita,"ujar Ashraf.
"Nampaknya mungkin Natrah tidak dapat temankan abang bangun malam ini. Menyusahkan abang sahaja hendak papah Natrah untuk ambil wuduk,"tutur Natrah sedikit hampa.
"Tidak mengapa. Natrah rehatlah. Natrah masih ada masa lagi untuk solat tahajjud dan mempertingkatkan amal. Nanti abang sudah tidak sempat lagi,"ujar Ashraf sambil tersenyum. Dia meletakkan minyak angin di kaki Natrah sebelum keluar meninggalkan Natrah sendirian di biliknya.
*********************************
Dada Ashraf terasa amat perit. Dia sedang membaca tasyahud akhir dalam solat sunat taubatnya sambil menahan kesakitan. Biarpun sakit, dia tetap menggagahkan diri menghabiskan solatnya. Siapakah yang tahu seandainya tiada lagi kesempatan untuknya melakukan solat sunat taubat itu?
Habis sahaja memberi salam, dia sudah tidak berdaya untuk bernafas. Sedaya upaya dia cuba untuk menghulurkan tangan ke arah pintu untuk membuka pintu itu. Dia mahu memohon pertolongan Natrah di bilik sebelah tetapi dia sudah tidak mampu lagi untuk bergerak. Peluh dingin membasahi dahinya. Ya Allah ...
Bahagian tengah belakangnya terasa semakin sejuk di samping kesakitan dada yang dialaminya. Tiba-tiba dia ternampak sesuatu yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Air mata mengalir perlahan dari matanya. Perlahan dia membisikkan kalimah syahadah sementara dia masih mampu.
'Natrah, abang serahkan kepadamu untuk mengubah semua ini. Selamatkanlah keluarga kita, Natrah. Abang yakin pada Natrah ...'bisik hati Ashraf sebelum dia memejamkan matanya perlahan. Allah, tiba masanya kupulang menghadap-Mu ...
****************
Pagi itu, Natrah terjaga agak lewat. Mujurlah dia sedang uzur, jika tidak tentu dia terlepas solat Subuh. Dia menapak keluar dari biliknya. Hairan pula dia kerana motosikal abangnya masih dapat dilihat dari tingkap biliknya. Abangnya tidak pergi kerjakah hari ini?
Lantas dia mengetuk pintu bilik abangnya. Tiada respon dari dalam bilik itu. Natrah memulas tombol pintu itu. Tambah menghairankan apabila pintu itu tidak berkunci seperti selalu.
"Abang?"
Natrah terpana. Segera dia mendapatkan abangnya yang terbaring di lantai dalam keadaan seperti orang yang pengsan. Bibirnya sudah biru dan wajahnya sudah kelihatan seperti tidak lagi berdarah.
"Abang?"
Natrah menepuk-nepuk pipi lelaki itu. Tangannya mencapai pergelangan tangan yang sudah terkulai itu. Air mata yang bergenang kini mengalir menuruni pipinya.
"Mak!"
Jeritan Natrah memanggil semua ahli keluarga masuk ke bilik itu. Seketika kemudian, tubuh layu Ashraf diusung keluar dari bilik itu. Natrah terus bersimpuh di bilik itu. Dia terpaku tanpa reaksi lagi.
"Nanti abang sudah tidak sempat lagi."
Air mata Natrah mengalir. Tamat sudah riwayat seorang Ashraf. Abangnya pergi usai solat taubat, itu pasti kerana sejadahnya pun belum dilipat. Allah lebih menyayanginya. Matanya kini beralih kepada kertas dalam genggamannya, kertas yang sempat diambilnya senyap-senyap dari pergelangan tangan Ashraf tadi.
Natrah, abang harap Natrah mampu bawa keluarga pulang ke syurga. Maaf abang tidak dapat menemani Natrah dalam perjuangan ini lagi. Natrah, bertahanlah, sampai kita jumpa lagi di taman Firdausi ...
Natrah hanya mampu mengalirkan air mata. Segalanya sudah berlalu. Abangnya pergi tidak kembali, meninggalkan amanah itu terpikul di bahunya. Abang Ashraf, semoga rohmu dicucuri rahmat. Natrah sayang abang ...
*****************************
"Mak? Apa ini?"terkejut Natrah melihat cincin yang diletakkan di atas telapak tangannya. Bukankah itu cincin tanda yang diberikan keluarganya kepada Ustaz Zamri, tunangnya? Cincin itu pulang ke tangannya semula, apa ertinya?
"Zamri bukan tunang kamu lagi! Kamu berdua sudah putus tunang,"ujar Puan Salmiah tanpa belas kasihan. Bukan dia tidak kasih akan anaknya itu, tetapi dia tidak mahu Natrah terus terpengaruh oleh Ustaz Zamri.
"Mak, kenapa?"
"Dia yang tidak mahu kamu jadi isterinya. Dia sudah berkenan dengan anak dara lain,"sampuk Mak Senah. Dia nampak kelakuan Puan Salmiah yang teragak-agak hendak menjawab soalan Natrah itu.
"Begitu rupanya. Mak, sampaikan pada Abang Zamri, Natrah cinta akannya kerana Allah. Natrah doakan dia bahagia,"tutur Natrah perlahan dengan nada suara yang sebak. Dia berlalu masuk ke dalam biliknya. Puan Salmiah pula kelihatan amat serba salah. Dia tahu anaknya masih bersedih akan kematian Ashraf tempoh hari, dan kini dia pula bertindak memusnahkan impian anaknya itu. Natrah, maafkan mak ...
"Sudahlah, Sal. Jangan risau fasal budak itu. Nanti baiklah dia,"ujar Mak Senah sambil menarik lengan anaknya. Lebih lama dia di situ, lebih serba salah Puan Salmiah jadinya. Silap-silap nanti Puan Salmiah pula yang meninggalkan tradisi keluarga mereka.
"Mak, Sal kasihan akan Natrah. Baru sangat dia kehilangan Ashraf,"Puan Salmiah bersuara. Air matanya juga sudah mengalir. Dia tidak sanggup melihat Natrah terus bermuram durja.
"Sudahlah. Jangan dfikirkan sangat. Semua ini untuk kebaikan juga,"
***********************
"Mengucap, mak, mengucap."
Suara bacaan Yassin bergema di ruang tamu rumah itu. Mak Senah terbaring di tengah rumah. Matanya terbelalak memandang ke atas. Nafasnya sangat perlahan dan berbunyi pula. Natrah memandang sayu. Sudah empat hari Mak Senah berkeadaan begitu. Alangkah seksanya keadaan Mak Senah.
"Nek, mengucap, nek. Asyhaduallailahailallah,waasyhaduannamuhammadarrasulullah," ucap Natrah perlahan di telinga Mak Senah. Tiba-tiba Mak Senah menepis tangannya. Dia mengerang kesakitan.
Natrah bingung. Neneknya tidak mahu langsung mendengar sebarang ayat Al-Quran atau kalimah memuji Allah dan Rasulullah! Mengapa?
"Sal, sudah teruk sangat ibu engkau ini. Natrah, pergi rumah Ustaz Zamri! Panggil dia ke mari,"arah Mak Cik Hasnah. Dia tahu pasti ada yang tidak kena dengan Mak Senah. Jika tidak mustahil sukar sangat dia hendak melepaskan nyawa.
Natrah membesarkan matanya. Itulah permintaan yang amat berat untuk dilaksanakan olehnya. Suruhlah dia berbuat apa-apapun dia sanggup, tetapi untuk ke rumah bekas tunangnya itu, sungguh dia tidak sanggup. Dia masih kecewa kerana tindakan Ustaz Zamri memutuskan tali pertunangan mereka kerana kasih akan wanita lain. Selama ini, mereka saling percaya biarpun tidak pernah saling berhubungan kerana hendak menjaga keberkatan hubungan mereka. Tidak sangka dia akan dikhianati begitu.
"Jangan panggil dia!"tiba-tiba Puan Salmiah menghalang Mak Cik Hasnah dengan keras. Dia tidak boleh membiarkan Ustaz Zamri datang ke rumah itu. Malah, tidak mungkin dia membenarkan Natrah pula memanggil Ustaz Zamri di rumahnya, tidak sama sekali!
Natrah dan Mak Cik Hasnah saling berpandangan. Jarang sekali Puan Salmiah bersikap begitu. Sebenarnya apa yang berlaku?
"Sal, mak engkau sudah dalam keadaan begini pun engkau hendak bermusuh dengan Zamrikah? Sudahlah dengan dendam kesumat engkau itu! Fikirkan keadaan emak engkau!"jerkah Puan Latifah mengejutkan semua orang. Natrah pula membeliakkan matanya. Ibunya berdendam dengan Ustaz Zamri, kenapa?
"Mak, dendam apa ini? Sebenarnya apa yang terjadi? Mak, jawab mak. Mak cik, tolong beritahu Natrah, mak cik! Semua ini apa?"desak Natrah.
"Natrah, sudah! Jangan buang masa lagi. Pergi panggil Ustaz Zamri, sekarang!"arah Mak Cik Hasnah. Beberapa orang wanita sudah bersedia untuk menghalang seandainya Puan Salmiah ingin menahan tindakan Natrah.
Dalam serba salah, Natrah menggagahkan jua kakinya untuk terus melangkah keluar. Jeritan marah Puan Salmiah menggugat hatinya, tetapi dia tidak boleh menurut arahan ibunya untuk kali ini. Mak Senah perlu diselamatkan. Hanya Ustaz Zamri yang arif dalam hal-hal begini. Meskipun Natrah terluka, dia tetap perlu berhadapan dengan Ustaz Zamri.
"Assalamualaikum!"laung Natrah tanpa mempedulikan sesiapa lagi. Dia perlu berhadapan dengan Ustaz Zamri. Dia memerlukan pertolongan lelaki itu!
"Ustaz Zamri!"
Ustaz Zamri yang berada di dalam biliknya terpana. Adakah dia sudah tersalah dengar? Suara Natrahkah itu? Natrah tidak mungkin datang ke rumahnya. Hanya dia seorang yang berada di rumah. Berbual berdua-duaan pun Natrah sudah terlalu malu, inikan pula hendak datang ke rumahnya begitu.
"Ustaz Zamri!"
Laungan itu membuatkan Ustaz Zamri membuka tingkap biliknya dan memandang ke luar. Ya, itu Natrah!
"Natrah, kenapa datang ke sini?"
"Ustaz, saya tahu kita sudah tiada apa-apa hubungan. Saya tahu ustaz tentu tidak mahu lihat muka saya lagi, tetapi saya benar-benar minta pertolongan ustaz kali ini! Tolonglah, ikut saya ke rumah sekarang!"laung Natrah. Dia kini sudah melutut di hadapan pintu rumah itu. Dia benar-benar terdesak.
'Aku tidak mahu dia? Apakah maksud Natrah?
****************************
"Astaghfirullahalazim ..."ucap Ustaz Zamri ketika melihat keadaan Mak Senah. Dia benar-benar tidak tahan melihat azabnya keadaan Mak Senah saat itu. Tubuh Mak Senah seperti menggelupur. Matanya pula terbelalak dan hanya memandang ke atas seperti memandang sesuatu yang amat dahsyat.
Dia memerhatikan wajah Mak Senah yang ketakutan. Segera disapunya air yang telah dibacakan surah Yassin ke wajah Mak Senah. Mak Senah menggelupur kesakitan, entah kenapa. Dia akhirnya melaungkan azan, tetapi itu membuatkan Mak Senah semakin kuat menggelupur. Akhirnya Ustaz Zamri bertanya kepada Puan Salmiah dengan nada yang amat perlahan.
"Mak, Mak Senah ini ada membela apa-apakah?"ternyata Ustaz Zamri masih tidak dapat melupakan panggilan 'mak' yang digunakannya untuk Puan Salmiah suatu ketika dahulu. Malah, bayangan Natrah juga masih tidak dapat dilupakan olehnya. Puan Salmiah pula tidak menjawab sehinggalah Natrah sendiri yang menyampuk.
"Dia ada memakai tangkal. Ahli keluarga kami semuanya ada memakai tangkal seperti ini, tetapi arwah Abang Ashraf dan Natrah sudah tidak guna lagi benda khurafat ini. Arwah sempat buang benda ini dan bertaubat sebelum 'pulang'."
Natrah menunjukkan gelang milik arwah Ashraf kepada Ustaz Zamri. Ustaz Zamri kelihatan amat terkejut dan beristighfar panjang.
"Masya-Allah, haram hukumnya mengamalkan perkara seperti ini!"seru Ustaz Zamri. Dia segera menyuruh Natrah menunjukkannya tangkal milik Mak Senah kerana wanita tua itu tidak memakai gelang.
Natrah membelek-belek seluruh badan Mak Senah yang kini sudah dipegang oleh beberapa orang lelaki. Dia benar-benar tidak tahu di mana letaknya tangkal itu.
"Natrah hendak gelang atau subang? Kedua-duanya boleh jaga Natrah."
"Gelang!"
"Kalau begitu, subang nenek pakai ya. Natrah jangan buang tahu gelang itu. Itu janji kita."
Perbualan Natrah bersama neneknya semasa kecil dahulu muncul dalam ingatan Natrah. Segera dia menyelak anak tudung yang dipakai oleh Mak Senah. Semakin kuat Mak Senah menggelupur, namun kudrat para lelaki yang menahannya lebih kuat. Natrah yakin dia tidak salah. Dia sudah nampak subang Mak Senah yang tidak sama pasangannya. Salah satu subang itu sama warnanya dengan gelang miliknya dan arwah Ashraf.
"Ustaz, itu tangkalnya, subang yang berwarna merah."
Dengan lafaz basmallah, Ustaz Zamri terus mencabut subang itu biarpun mengalami kesukaran kerana Mak Senah amat kuat meronta. Syukurlah subang itu berjaya juga dicabut. Selepas itu, deruan nafas Mak Senah mula perlahan. Dia tidak lagi menggelupur seperti tadi. Natrah segera mengambil kesempatan itu untuk membisikkan kalimah syahadah di telinga Mak Senah. Mak Senah yang tidak berdaya itu menunjuk ke arah Ustaz Zamri sambil air matanya mengalir. Bibirnya terketar-ketar menyebut lafaz 'maaf' biarpun tidak kedengaran. Natrah kehairanan.
"Mak Senah, apapun kesalahan mak cik saya maafkan. Mak cik tidak berdosa langsung dengan saya."
Tangan Mak Senah mengusap perlahan pipi Natrah dan bibirnya menyebut lafaz yang sama.
"Allah ..."
Tubuh Mak Senah terkulai layu di pangkuan Natrah. Ternyata wanita tua itu tidak lagi bernyawa. Natrah mengalirkan air mata untuk kesekian kalinya. Mulanya Ashraf, Zamri menyusul, dan kini neneknya pula meninggalkan dirinya.
"Mak ..." ujar Puan Salmiah. Dia kini menangis teresak-esak atas pemergian bonda tercinta. Perginya itu tiada kembali.
"Natrah, bersabarlah."
Natrah berpaling. Ustaz Zamri rupanya yang menzahirkan kata-kata pujukan itu. Tidak perlu lagi ucapan itu kerana lelaki itu yang lebih dahulu meninggalkannya.
"Biarpun antara kita, saya sudah tiada makna bagi awak, saya masih sayang awak kerana Allah. Bersabarlah,"ucapan Ustaz Zamri mengejutkan Natrah. Bukankah lelaki itu yang mahu pergi meninggalkannya?
"Jangan cakap begitu. Kasihan bakal isteri ustaz,"tutur Natrah dalam sebak.
"Isteri? Maksud Natrah?"
"Sudahlah, Zamri, Natrah. Biarlah mak jelaskan semuanya,"suara Puan Salmiah mematikan bicara Ustaz Zamri dan Natrah. Mereka kini sama-sama memandang wanita itu.
***************************
Setahun sudah berlalu sejak peristiwa itu. Natrah kini telah bahagia bersama keluarga yang tersayang. Syukurlah jodohnya dengan Ustaz Zamri masih ada. Ternyata fitnah itu tidak akan selamanya menguasai keadaan.
Rupa-rupanya dahulu tiada sesiapa yang berpaling tadah. Ustaz Zamri tidak pernah langsung mencintai gadis lain. Natrah juga tidak pernah mempunyai kekasih lain. Semua yang berlaku adalah kerana fitnah yang dihamburkan oleh Mak Senah dan Puan Salmiah. Mereka bimbang Natrah akan terpengaruh oleh Ustaz Zamri hingga nanti mempengaruhi mereka sekeluarga untuk meninggalkan amalan memakai tangkal turun-temurun.
Namun sekelip mata segalanya berubah. Melihatkan peristiwa ngeri yang menimpa Mak Senah membuatkan seluruh ahli keluarga itu memutuskan untuk membuang sahaja tangkal khurafat itu. Alhamdulillah, Allah akhirnya memberikan hidayah buat mereka sekeluarga.
Kebenaran yang terbukti akhirnya membuatkan Puan Salmiah akhirnya menyatukan semula Ustaz Zamri dan Natrah. Kedua-dua mereka akhirnya selamat bersatu kerana Allah.
'Ya Allah, syukur kepada-Mu kerana mengurniakan segala nikmat ini. Tiada lain yang kusembah melainkan Engkau, hanya kepada-Mu aku berserah segala harapan!'
0 comments:
Post a Comment