Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Islam Tidak Merendahkan Umat!

Hati saya tiba-tiba terpanggil untuk membicarakan soal ini. Entahlah, mungkin hasil daripada perbualan dengan seorang teman. Soal keyakinan diri dan keperluan merendah diri seringkali dicampur aduk. Mungkin saya bukanlah orang yang tepat bagi membicarakan soal ini, tetapi sedaya yang termampu, tiada salahnya kita mencuba bukan?

Sahabat saya itu bercerita kepada saya tentang hasratnya ingin berhijrah, alhamdulillah. Cuma saya rasa saya bukanlah orang yang tepat untuk menjawab persoalannya, maka saya cuba membantunya dengan mengesyorkannya kepada rakan saya yang lebih arif dalam soal yang ditanyakannya kepada saya.

Dia pula menyatakan perasaan segannya kepada saya. Bukan apa, katanya dia segan kerana berasa rendah diri apabila bercakap secara berhadapan dengan sahabat saya itu. Dia memilih untuk menghubungi sahabat saya itu di alam maya sahaja. Saya gembira kerana dia tetap mencari inisiatif untuk bertanya di sebalik rasa segannya itu. Saya sempat menasihatinya tentang soal kerendahan yang tidak sewajarnya. Namun apabila difikirkan, saya rasa nasihat pendek saya itu mungkin masih belum mencukupi. Bukanlah dia tidak faham, cuma saya sahaja yang rasa tidak puas hati mengenangkan jawapan yang saya beri untuknya.

Tawadduk. Islam memang menyuruh kita agar sentiasa bersikap merendah diri, tetapi merendah diri yang digalakkan ini bukanlah bererti Islam merendahkan umatnya. Merendah diri tidak bermakna kita perlu hilang keyakinan diri dan sentiasa meletakkan diri di bawah.

Konsep tawadduk bererti merendah diri tetapi tidaklah sampai ke tahap meletakkan diri dalam kehinaan. Kita merendah diri dalam kehidupan sebenarnya adalah untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam penyakit hati seperti ujub, riyak dan takbur. Kita juga bersikap merendah diri kerana tidak mahu timbulnya permusuhan sesama insan. Kita tidak mahu orang lain berdengki atau menaruh sakit hati sekiranya kita tidak merendah diri.

Allah menyuruh kita sentiasa merendah diri agar kita tidak lupa kepada-Nya. Sekiranya konsep tawadduk diabaikan, kita akan menjadi manusia bongkak yang lupa asal usul kita padahal setiap satu nikmat yang kita banggakan itu sebenarnya tidak lebih daripada sekadar pinjaman Allah yang pasti akan dikembalikan kepada-Nya. Sehebat apapun kita, akhir nanti dimakan cacing tanah juga. Secantik apapun busana kita, nanti di padang Mahsyar bangkit tanpa berpakaian juga.

Biarpun tawadduk ialah suatu kemestian, kita tetap perlu mengawal sikap tawadduk kita. Tawadduk bukan bererti kita merasakan diri kitalah manusia yang paling hina dalam dunia ini malah sampai menyisihkan diri daripada masyarakat. Itu bukan tawadduk yang sebenar. Tawadduk yang sebenar ialah merendah diri tetapi sewajarnya sahaja, bukanlah sehingga menghina diri sendiri. Tawadduk juga tidak bermakna kita perlu merendah diri sehinggakan nampak sahaja ulama, terus menyorok di sebalik langsir. Nampak sahaja pelajar cemerlang, lari menyorok dalam tandas. Bukan begitu maksud tawadduk.

Tawadduk perlu diiringi rasa izzah (kebanggaan terhadap Islam). Kita merendah diri apabila menuntut ilmu kerana mahu mempelajari sesuatu daripada guru kita dan juga kita merasakan bahawa rakan-rakan jauh lebih pandai, tetapi kerana rasa izzah, kita masih boleh menonjolkan diri di dalam kelas untuk bertanya kepada guru kita dengan mengenepikan perasaan segan yang menghalang.

Di sini kita perlu membezakan rendah diri daripada syaitan dan daripada iman. Rendah diri daripada iman akan sentiasa mengawal tindakan kita ke arah kebaikan bukan kehinaan, tetapi sekiranya daripada syaitan, perasaan itu akan selalu menghalang niat baik kita. Contohnya, rendah diri sehingga bersembunyi dalam selimut dan tidak mahu ke sekolah dengan alasan kita terlalu bodoh berbanding sahabat lain. Itu apa namanya? Tawadduk atau malas sebenarnya? Tawadduk bersangkut paut dengan malu. Kedua-duanya perlu dibezakan antara kebaikan dan keburukan. Jika dalam situasi tadi, sah-sahlah rendah diri tahap melampau itu datang daripada syaitan yang sebenarnya memang tidak mahu kita menuntut ilmu di sekolah!

Justeru, sebagai umat Islam, perasaan rendah diri iaitu tawadduk perlulah dijadikan pagar yang mengawal tindakan kita tetapi bukanlah dengan cara menghina diri sendiri. Perasaan izzah perlu juga ada agar umat Islam tidak menjadi pasif dan sama sekali tidak bertindak kerana meletakkan diri pada tahap kerendahan yang melampau. Tawadduk ialah kerendahan hati, bukan kehinaan.

Renung, fikir dan amalkanlah. ^_^

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment