“SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN FELDA KERISWANGSA?”jeritan itu memenuhi ruang kamar. Mujurlah tiada sesiapa di dalam bilik itu. Namun nafas pemilik suara itu tidak sempat dihela apabila suara ibunya pula yang meningkah.
“Kamu terjerit-jerit kenapa? Sudah tidak malu akan jiran-jiran ya!”
“Mak lihatlah sendiri. Banyak-banyak sekolah, kenapa saya dihantar ke sekolah kampung ini pula?”suara lelaki itu benar-benar kedengaran tertekan. Ibunya menghampiri skrin komputer seraya membaca sekali lalu tulisan yang terpapar.
“Sekolah di feldalah kamu jawabnya. Siapa suruh dahulu kamu tidak belajar betul-betul semasa SPM?”suara ibu lelaki itu tidak kedengaran seperti mahu membantu.
“Saya anak Datuk Hussein, pemilik syarikat gergasi H&C Holdings, sekarang hendak dihantar ke kawasan penoreh getah? Mak tidak terfikir hendak membantu anak mak inikah?”tanya lelaki itu kehairanan.
“Bagus juga begini. Sekurang-kurangnya, tidaklah ayah kamu malu apabila berita kamu menyambung tingkatan enam kerana keputusan SPM yang cukup makan sahaja itu tersebar. Cuba kamu fikirkan nama baik ayah. Di sana tiada sesiapa kenal Datuk Hussein,”jawab ibu lelaki itu tanpa sedikit pun belas kasihan. Dia kemudiannya keluar dari bilik itu dan menutup pintu itu.
“Semua ini memang gila!”jerit lelaki itu sendirian.
Di sebalik pintu, ibu lelaki itu sedang berdiri sambil memejam matanya. Percakapannya tadi sekadar alasan. Hakikat sebenar, dia mempunyai alasan tersendiri di sebalik segala perancangannya itu.
‘Maafkan ibu.’
Wanita itu terus melangkah menuruni tangga rumah banglo itu. Dia kemudiannya masuk ke dalam biliknya sendiri. Dia tidak mahu mendengar segala rayuan anak lelakinya itu. Pasti hatinya cair. Dia seorang ibu. Dia tahu kelemahan dirinya.
Dia dapat mendengar bunyi barang-barang dibaling dari tingkat atas. Pasti anak bujangnya sedang mengamuk. Jika diikutkan hati, dia pun tidak sanggup melepaskan anak bujangnya itu jauh ke asrama pedalaman. Namun dia terpaksa akur dengan perancangan Datuk Hussein.
“Mak,”ketukan bertalu-talu di pintu menyedarkan wanita itu. Dia membuka pintu. Nyata anak bujangnya berada di situ dengan wajah yang kusut.
“Ini semua rancangan ayahkah?”tanya lelaki itu penuh tegas.
Lama ibunya berdiam diri sebelum menjawab,
“Ya, tetapi jangan salah sangka. Ayah kamu membiarkan kamu ke sana bukan sebab hendak menjaga nama dan kepentingannya. Suatu hari nanti kamu akan faham.”
“Mak,”panggilan lelaki itu tidak bersahut. Bunyi pancuran air pula yang menjadi jawapan untuknya. Dia pula tersandar di daun pintu yang sudah tertutup.
0 comments:
Post a Comment