Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-1

“Setiap minggu pun begini. Latihan demi latihan, tetapi semuanya sekadar bermain sesuka hati. Baik kita tidak payah datang latihan jika begini gayanya,”rungut Fariz. Matanya memerhatikan satu demi satu buah catur di hadapan matanya.
Perjumpaan kelab catur boleh dikatakan perjumpaan kelab paling membosankan di SMK Felda Keriswangsa. Manakan tidak, semua pelajar yang terlibat hanya datang bermain membuta-tuli tanpa ada asas langsung. Entahkan betul entahkan salah pergerakan mereka, Allah sahajalah yang tahu.
Jika diikutkan hati, Fariz mahu keluar meninggalkan kelab itu. Bukan kerana dia tidak minat. Dia terlalu meminati permainan yang satu itu tetapi keadaan sekolahnya seakan membunuh minatnya. Prasarana tidak lengkap? Mungkin itu bukanlah jawapan yang tepat kepada sebab kebosanan itu.
“Hendak buat macam mana, sekolah kita ini bukannya ada jurulatih. Lainlah sekiranya kita bersekolah di bandar. Bolehlah hendak meminta mana-mana senior handalan untuk membantu. Sekarang engkau lihat sendiri, sudah hampir sepuluh tahun tidak pernah langsung sekolah ini mendapat sebarang pingat dalam kejohanan catur daerah. Itu baru peringkat daerah, negeri dan kebangsaan janganlah cerita!”jawab Hamzah.
Fariz diam, namun dia mengakui hakikat itu. Memang benar, setiap tahun wakil SMK Felda Keriswangsa hanya mampu melihat barisan pelajar sekolah lain yang naik ke pentas menerima kalungan pingat, ataupun sijil pemenang bagi yang mendapat tempat keempat hingga kesepuluh.
Cadangan Hamzah kedengaran sinis bagi Fariz. Masih adakah senior yang mampu membantu? Seingat Fariz, paling hebat pun dalam kalangan senior mereka adalah senior sepuluh tahun lalu. Itu pun sekadar akur di tempat kesembilan. Selepas tamat belajar, senior tersebut sudah berpindah ke bandar. Yalah, orang sudah maju, tidak betah lagi tinggal di ceruk felda.
“Bukan hampir sepuluh tahun, Hamzah. Sudah genap sepuluh tahun. Aku mengaku, sekolah kita ini memang dalam ceruk felda, tetapi tidak bermakna wakil dari sekolah pedalaman seperti kita tidak mampu untuk berjaya.”
Mendengar kata-kata Fariz, Hamzah mengiakan lalu menyambung, “Benar kata engkau. Segalanya terletak pada usaha,”
“Kau salah, Hamzah. Usaha perlu berstrategi. Jika mahu ikutkan usaha, sudah berapa tahun kita berusaha namun hasilnya tidak nampak juga?Semuanya kerana usaha yang tidak berstrategi. Kita seperti pemburu yang tidak pandai memasang jerat. Betapa gigih sekalipun dia memasang jerat, jika pemasangannya salah, haiwan tetap tidak terperangkap. Hal itulah yang berlaku dalam kalangan ahli kelab  catur sekolah kita,”ujar Fariz. Wajahnya kelihatan serius. Hamzah sekadar terangguk-angguk, mujurlah tidak tersengguk-sengguk.
“Oh, ya! Jadi, engkau sebagai pengerusi mungkin boleh beri saranan yang bermanfaat? Engkau lihatlah budak-budak kelab kita. Aku lihat mereka pun kasihan,”jawab Hamzah. Matanya dan mata Fariz memandang ke arah yang sama, memerhatikan keadaan bilik darjah yang dipinjam untuk latihan kelab itu.
Beberapa orang pelajar lelaki sekadar bermain dengan gaya budak darjah satu. Ada pula yang sudah menukarkan catur menjadi dam haji. Pelajar perempuan sudah bersembang dengan muka layu kebosanan. Sesetengahnya pula leka bermain dengan telefon bimbit tersebut. Fariz hendak marah, tetapi dia tidak boleh marah. Bukan salah mereka semua andai mereka kebosanan dek aktiviti kelab yang tidak pernah menarik perhatian, dan dia sebagai pengerusi berasa malu yang amat menggila.
“Saranan apa yang mampu aku berikan? Guru-guru kita sendiri pun tidak ada yang berkemahiran. Catur bukannya permainan yang boleh dipelajari dalam sehari. Kita sendiri pun terkapai-kapai kelemasan semasa kejohanan daerah. Tidak ada potensi langsung untuk kita melatih budak-budak junior. Aku bukan tidak mahu latih, cuma aku takut kita tersilap beri ajaran sesat. Lagi pula sesetengah pelajar di sini menyertai kelab kita sekadar paksa rela kerana hendak lari dari berpanas di tengah padang,”kata Fariz tegas. Nada sindiran di hujung ayatnya ibarat belati yang menusuk insan berhampiran mejanya, Nadia dan Suhaila.
“Engkau sindir kami ya?”tanya Nadia sambil bercekak pinggang.
“Aku tidak sebut nama sesiapa. Jika terasa, terima sahajalah. Lagipun memang benar engkau ada di sini sebab mahu menjaga kulit muka bukan? Datang latihan kelab bukannya berlatih catur, tetapi sibuk berlatih dengan telefon bimbit pula,”pedas ayat Fariz. Wajah Nadia pula semakin memerah menahan amarah.
“Hei, engkau jangan tunjuk lagak baguslah! Ingat aku mahu sangatkah masuk kelab ini?”sela Nadia sebelum keluar meninggalkan bilik tersebut. Semua ahli kelab pula sudah memerhatikan insiden itu. Ada yang gembira melihat perlakuan Nadia ditegur dan disindir.
“Fariz,”panggil Hamzah.
“Kenapalah engkau suka sangat cari fasal dengan dia?”tanya Hamzah kehairanan. Dalam kalangan pelajar lelaki, hanya Fariz yang selalu mempertikaikan diri Nadia. Itu tidak kena, ini tidak kena. Orang lain hanya membisu kerana kecantikan Nadia. Namun Fariz berbeza, seperti tidak nampak apa-apa pada wajah menawan milik Nadia.
Tiada jawapan.
Fariz dan Hamzah terus membisu, sambil menolak buah catur masing-masing mengikut giliran. Fikiran kedua-duanya seperti melayang entah ke mana.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment