Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-8

Burung berkicauan sudah tidak dapat didengar bunyinya lagi. Suara burung-burung itu sudah tenggelam dek kebisingan kelas 5 Sentosa yang diduduki oleh Nadia dan Suhaila. Suhaila mati kutu sendirian melihat Nadia yang sedang menyiapkan latihan Matematik Tambahan. Menyesal pula dia tidak membawa buku rujukannya kerana terlalu kalut pagi tadi. Silapnya juga, siapa suruh bangun lewat? Sekarang dia juga yang rugi.
            Hendak diajak bersembang, nanti bimbang mengganggu Nadia pula. Maklumlah, orang sedang fokus mengulangkaji pelajaran. Latihan Matematik Tambahan bukannya boleh dibuat sekadar dengan menutup sebelah mata dan berfikir ala kadar. Subjek itu antara subjek yang sukar dikuasai oleh para pelajar. Lantas, Suhaila hanya mampu diam dan memerhatikan sahabatnya yang amat tekun itu. Kepala Nadia sedikit pun tidak diangkat. Wah, fokus benar Nadia terhadap latihan tersebut! Bisik hati Suhaila.
            Sekali-sekala terdengar bisikan kecil Nadia menggumam formula tertentu. Suhaila yang kebosanan hanya mampu menggeleng kecil. Dia sudah tidak tentu arah. Perkara yang pasti, dia sudah mengambil pengajaran, bawalah satu buku rujukan ke sekolah walaupun tidak digunakan. Sekurang-kurangnya apabila ada waktu terluang begini, tidaklah dia kebingungan melihat Nadia yang sibuk ‘bertapa’ memahirkan diri dalam subjek Matematik Tambahan.
            Seketika terdiam, Suhaila teringat akan Iskandar. Rasanya lama sudah dia tidak mendengar khabar berita Iskandar. Langsung Nadia tidak menyebut nama Fariz mahupun Iskandar akhir-akhir ini. Lebih tepat lagi, perihal kelab catur sudah lama tidak mewarnai fokus perbualan Nadia dan Suhaila. Nadia juga dilihatnya sudah lama tidak bertegur sapa dengan Iskandar walaupun sekali. Apabila berselisih di koridor pun masing-masing berkelakuan bagai saling tidak mengenali sahaja.
            “Bergaduhkah mereka ini?”gumam Suhaila. Namun butir bicaranya yang sekadar tiga patah perkataan itu sempat ditangkap oleh pendengaran Nadia. Tangan Nadia yang tadinya lincah menarikan pena di atas kertas kajang terhenti seketika. Pen ditutup dan Nadia berpaling menghadap Suhaila.
            “Engkau cakap fasal siapa?”tanya Nadia tanpa berselindung. Mungkin juga dia tahu Suhaila sudah mula menghidu peristiwa pergaduhannya dengan Iskandar. Perlukah sebenarnya Suhaila tahu berkenaan hal itu? Tidakkah Nadia membuka aib sesiapa nanti?
            “Engkau dengan Iskandar,”jawab Suhaila selamba. Dia mahu mendapat kepastian daripada reaksi wajah Nadia. Dia tahu, Nadia bukannya jenis yang boleh menipu kerana wajahnya selalu bertindak bagaikan refleksi dari rahsia hatinya.
            “Engkau hendak kata kami bergaduhkah?”tanya Nadia lagi. Sedikit sebanyak dia mengharapkan agar Suhaila tidak dapat menghidu perselisihan antara dia dengan Iskandar. Nampak gayanya seperti harapannya tidak kesampaian. Jelas sekali bukan, Suhaila sudah dapat menebak isi hatinya?
            “Yalah. Sudah berapa lama engkau langsung tidak sebut nama dia? Jangankan nama dia, perihal kelab catur pun engkau tidak sebut langsung semenjak akhir-akhir ini!”pernyataan Suhaila kali ini pula seakan-akan mendesak Nadia menceritakan hal sebenar. Desakan lembut Suhaila ternyata berkesan. Sekejap sahaja Nadia sudah membuka mulut menceritakan segalanya. Bermula daripada tindakan Iskandar menyertai kelab bola sepak sehinggalah Nadia mengusirnya dari kelab catur, semuanya dikhabarkan kepada Suhaila. Ternyata Suhaila pendengar yang baik. Nadia berasa sedikit lega setelah meluahkan semuanya kepada Suhaila.
            Suhaila menghela nafasnya yang terasa berat. Tidak sangka pula perkara begini boleh berlaku. Walaupun begitu, secara peribadi, baginya Iskandar tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Mungkin juga Iskandar tidak sampai hati hendak menolak permintaan Cikgu Saiful. Lagi pula dia merupakan pelajar baru. Tidak eloklah sekiranya hendak pandai-pandai membuat keputusan sendiri dan membelakangkan kehendak guru. Cikgu Saiful guru tingkatan enam. Tentu susah jika Iskandar mencari masalah dengan guru itu.
            Nadia sendiri juga tidak boleh dipersalahkan. Memanglah secara kasar, Suhaila menganggap tindakan Nadia menghukum tanpa usul periksa itu suatu kesalahan, tetapi sesiapa pun mungkin bertindak seperti Nadia apabila berhadapan dengan situasi demikian. Tambahan pula, Nadia sedang tertekan dengan isu perebutan bas sekolah yang melibatkan kedua-dua kelab ini. Tentulah dia mudah terkesan dengan hal-hal demikian.
            Memilih jalan selamat, Suhaila sekadar menenangkan Nadia. Dia enggan mengulas dengan menjadi hakim untuk menentukan pihak yang benar dan salah. Cukuplah dia mengembalikan semuanya kepada hukum Allah. Segala yang ditakdirkan itu tetap akan berlaku walau betapa manusia cuba mengelak. Manusia mungkin menyalahkan diri sendiri ketika menjadi punca musibah kepada orang lain secara tidak sengaja, padahal sebenarnya sesuatu yang dikatakan tidak sengaja itu sebenarnya telah sengaja ditakdirkan. Perkara yang pasti, ada hikmah di sebalik setiap kejadian.
            Nadia diam tidak berkutik. Segala yang disampaikan oleh Suhaila meresap ke dalam sanubarinya. Perlahan dia beristighfar. Perasaan marahnya mula reda. Benarlah, segala yang berlaku di muka bumi ini ialah ketentuan-Nya. Nadia yakin, Allah tahu perkara yang terbaik untuknya.
**************************
            “Assalamualaikum,”
            Iskandar yang duduk di bangku kantin berpaling seketika mendengar suara yang memberi salam itu. Lafaz salam sempat dijawab sebelum dia terkedu. Suhaila dan seorang rakan yang tidak dikenali oleh Iskandar tercegat di belakangnya. Iskandar mengetap bibir. Rasanya dia dapat menduga perkara yang mahu disampaikan oleh Suhaila. Suhaila tidak akan datang menemuinya begini tanpa sebab yang kukuh.
            “Saya hendak tanya abang sesuatu, boleh?”soal Suhaila dengan nada suara yang terkawal. Dia tidak mahu melembutkan suara, bimbang disalahertikan oleh Iskandar. Dia memiliki harga diri dan perlu memeliharanya sebaik mungkin.
            “Er ... boleh,”menyedari Iskandar tiada jalan melepaskan diri, dia terpaksa bersetuju dengan permintaan Suhaila. Dia tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah. Dalam hati, dia berselawat. Doanya semoga perbualan dengan Suhaila dapat meleraikan kekusutan, bukannya menambahkan kekusutan seperti perbualannya dengan Fariz dan Nadia tempoh hari.
            Suhaila mengambil tempat di kerusi yang berhadapan dengan Iskandar, tetapi kedudukannya tetap dijaga agar tidak kelihatan seperti sedang bertemujanji pula. Rakannya, Balqis, mengambil tempat di sebelahnya.
            “Saya dengar cerita abang sudah tinggalkan kelab catur, benarkah?”tanpa sebarang mukadimah, terus sahaja Suhaila mengutarakan persoalan utama yang bermain di benaknya. Dia tidak mahu berlama-lama dengan Iskandar.
            “Ya.”
            Sepatah sahaja jawapan Iskandar. Selebihnya, dia menantikan soalan Suhaila. Dia tahu dia tidak perlu menunggu lama. Pasti Suhaila sudah menyediakan bermacam-macam soalan yang bakal diajukan bertubi-tubi kepadanya.
            “Kenapa?”soalan Suhaila juga sekadar sepatah perkataan. Namun nada suaranya sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia benar-benar inginkan jawapan yang jujur.
            “Awak mahu abang jawab apa?”Iskandar memulangkan soalan kepada Suhaila. Susah rasanya dia mahu menerangkan hal sebenar. Biarlah Suhaila yang mengajukan soalan untuk dijawab olehnya.
            “Abang keluar dari kelab catur dan berpindah ke kelab bola sepak atas permintaan Cikgu Saiful. Betulkan jika saya salah,”jawab Suhaila tegas.
            “Tiada yang perlu diperbetul. Cakap Suhaila benar. Abang keluar dari kelab catur atas permintaan Cikgu Saiful. Jika tiada lagi yang hendak dibicarakan, abang perlu masuk kelas sekarang.”
            Tanpa menunggu respons Suhaila, Iskandar terus meninggalkan meja tersebut. Suhaila dan Balqis pula berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu, Nadia tidak berbohong. Memang benar Iskandar keluar dari kelab catur atas permintaan Cikgu Saiful.
            Suhaila sedikit terkilan. Mengapakah Cikgu Saiful perlu mengambil keluar pemain handalan kelab catur? Perlukah cara sedemikian digunakan untuk memenangi persaingan? Pada hakikatnya, baik kelab catur mahupun kelab bola sepak, kedua-duanya mewakili SMK Felda Keriswangsa. Relevankah wujudnya hasad dengki sesama sendiri?
            Soalan itu, biarkan Allah menentukan jawapannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment