Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-9

Sulit rasanya menahan perasaan sendiri. Perasaan bersalah amat menyeksakan. Diri yang merasainya tersepit antara dua kehendak, tanpa pasti pilihan yang benar. Kehendak hati yang ingin memohon maaf dan meleraikan permasalahan yang timbul, dan kehendak ego yang enggan menunduk di hadapan yang lain.
Iskandar sedang mengalami semua itu. Dia berhadapan dengan situasi yang menjerat dirinya sendiri. Egonya sedang membunuh dirinya. Tindakannya tempoh hari yang sekadar berlandaskan ego kini menimbulkan masalah yang belum bertemu dengan solusi yang tepat.
Bukannya dia tidak ingat, dia belum menyatakan persetujuan kepada Cikgu Saiful pada hari Cikgu Saiful menyuarakan pelawaannya untuk memasukkan Iskandar ke dalam kelab catur. Sejujurnya, dia sekadar meminta tempoh berfikir sekadar untuk mengelak daripada membuatkan Cikgu Saiful tersinggung sekiranya dia menolak mentah-mentah pelawaan tersebut.
Segalanya berubah apabila Nadia terdengar perbualan tersebut separuh jalan lalu terus melabelnya pembelot tanpa mempertimbangkan sebarang penjelasan daripadanya. Malah, keikhlasannya bermain catur turut dipersoalkan. Kata-kata Nadia baginya terlalu mencabar keegoannya, dan hasilnya dia telah meninggalkan kelab catur tanpa banyak berfikir lagi. Rentetan itulah kini dia mendapat kesusahan.
Kaki kanan Iskandar yang terlindung di sebalik seluar panjangnya direnung lama. Kecederaan kekal di kakinya itu menghalangnya untuk melibatkan diri dalam sukan secara aktif. Itulah sebenarnya titik permulaan dia berada di kelab catur. Teringat Iskandar akan masa lalunya.
Iskandar tunduk menekur tanah. Pandangannya terasa kosong. Dia kini berada sekali lagi di atas bukit tempat dia bertemu dengan Nadia ketika gadis itu nyaris-nyaris kemalangan. Sejak mula dia berada di Felda Keriswangsa, bukit itulah tempat yang paling disukainya. Asal sahaja mendapat peluang ketika cuti hujung minggu dan pelajar dibenarkan keluar dari asrama,pasti dia akan ke situ. Dia hanya pulang ke rumahnya ketika hujung bulan ketika seisi rumah dapat berhimpun. Maklumlah, keluarga usahawan sering terperangkap dalam kesibukan dunia.
Mujurlah ayahnya, Datuk Tengku Hussein tidak pernah mengabaikan urusan akhirat. Meskipun jauh di luar negara, anak-anak tetap diperingatkan supaya tidak lupa solat dan membaca Al-Quran. Jika berkesempatan pulang awal ke rumah, tidak pernah Datuk Tengku Hussein tertinggal dari mengimamkan solat berjemaah biarpun kepenatan. Bagi beliau, solat itu kerehatan. Berkat keseimbangan usaha dalam kehidupan beliau itulah, perniagaan beliau berkembang maju, malah perkembangan akhlak Islamiah beliau sekeluarga terus menjadi contoh kepada masyarakat. Pastinya hal ini membuka mata semua pihak bahawa usahawan Muslim juga mampu berjaya tanpa melupakan syariat.
Sayangnya Iskandar belum dapat menghayati makna tarbiah dalam kehidupannya. Sehingga berusia lapan belas tahun pun, dirinya masih gagal mengawal kemarahan diri walau dia tahu marah itu sifat dan hasutan syaitan. Dia belum dapat memahami jalan kehidupan seorang Muslim sepenuhnya. Mungkin juga faktor persekitaran hidupnya di bandar turut mempengaruhi haluan hidupnya.
Iskandar masih ingat, bapanya itulah jua yang memberikan sokongan dan dorongan untuk dia menceburi bidang catur. Semuanya berlaku enam tahun lalu. Mata Iskandar terpejam seketika. Bayangan masa lalu itu melintasi ruang memorinya.
****************
“Tidak!”jerit Iskandar seolah-olah histeria. Kakinya yang masih berbalut setelah menjalani pembedahan itu ditumbuknya sendiri. Sakitnya hanya Allah yang tahu, tetapi emosi telah mengawal tindakannya hingga hilang perasaan sakit itu. Air matanya merembes keluar tanpa henti. Iskandar terus meronta-ronta dan meracau di atas katil wad yang dihuninya.
Datin Khalisah memeluk anak lelaki tunggalnya itu. Dia tidak menangis bukan kerana tidak berperasaan, tetapi air matanya seakan-akan sudah kering. Dia sudah lebih dahulu menangis semasa anaknya terkulai tidak sedarkan diri semasa kemalangan minggu lepas. Selama seminggu anaknya tidak sedarkan diri, setiap malam dia mendoakan keselamatan anaknya sambil menangis. Ketika doktor memberitahunya tentang keadaan kaki Iskandar, dia juga menangis. Kini, air matanya bagai sudah tidak mampu keluar lagi meskipun hatinya bagai disiat-siat melihat keadaan Iskandar.
“Sabar, Is, sabar. Mak faham perasaan Is. Is, bersyukurlah kerana Allah masih sayang akan Is. Dia mahu Is teruskan hidup. Jangan putus asa. Is masih boleh menggunakan kaki Is, bukannya lumpuh. Bersyukurlah,”pujuk Datin Khalisah lagi. Tangan kanannya mengusap kepala Iskandar.
“Benar kata mak kamu, Is. Kaki kamu hanya lemah, tetapi kamu masih boleh berjalan dan melakukan aktiviti seharian. Cuma kamu tidak boleh bersukan,”pujuk Datuk Tengku Hussein pula. Nada suaranya masih terkandung ketegasan seorang bapa, tetapi bukan bermakna dia tidak menyayangi Iskandar.
“ ‘Cuma’ ayah kata? Saya sudah tidak boleh bersukan untuk selamanya! Saya mengalami kecederaan kekal! Tidakkah ayah sedar bahawa kehidupan saya sudah hancur?”bentak Iskandar. Tekanan yang dihadapinya benar-benar mengganggu kewarasan akal fikirannya.
“Iskandar, tidak elok membentak begitu dengan ayah. Is tidak sayang ayah?”sela Datin Khalisah lembut tetapi tegas. Dia tidak suka Iskandar bertindak begitu.
“Maafkan Is, ayah. Is hendak tidur. Tolonglah, mak, ayah, tinggalkan Is sendirian dulu. Bukan Is tidak mahu bersama mak dan ayah. Is perlukan masa untuk bertenang dan menerima hakikat. Is tidur dulu,”ujar Iskandar selepas terdiam seketika dengan air mata yang masih mengalir. Kemudian, dia berbaring membelakangkan ibunya dan terus memejamkan mata.
Datuk Tengku Hussein dan Datin Khalisah berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian, mereka keluar meninggalkan wad itu. Mungkin benar, Iskandar perlukan masa untuk menerima hakikat. Iskandar atlet larian pecut yang bakal menyertai kejohanan MSSM buat kali pertama minggu hadapan. Namun impian Iskandar telah hancur berkecai.
******************
“Iskandar, mari ikut ayah sebentar.”
Iskandar menurut langkah Datuk Tengku Hussein. Mulanya dia sukar hendak berjalan betul. Mujurlah Datuk Tengku Hussein memimpin langkahnya satu persatu. Sungguh Iskandar merasakan dirinya seperti tidak berguna lagi. Hendak berjalan pun ayah yang pimpinkan.
Datuk Tengku Hussein membawanya ke bilik bacaan perlahan-lahan. Mereka tidak berbicara sepanjang perjalanan pendek itu. Biarpun perjalan itu sangat pendek, tetap mengambil masa yang agak lama kerana keadaan kaki Iskandar. Namun Datuk Tengku Hussein tidak kisah. Beliau sanggup melakukan apa-apa sahaja selagi terdaya untuk mengembalikan anaknya yang dahulu, asalkan tidak melanggar syariat.
Sudah sebulan lamanya Iskandar berubah drastik. Iskandar bukan lagi dirinya yang dahulu. Dia bagaikan tidak mampu menerima hakikat bahawa impiannya berkecai sekelip mata. Dahulu Iskandar seorang yang nakal dan ceria, kini tidak lagi. Saban hari dia menghabiskan waktu termenung sambil memegang pingat emas yang diperolehnya semasa kejohanan olahraga peringkat negeri. Tidurnya pun masih memegang pingat itu. Ya, itulah pingat yang terakhir yang diperoleh Iskandar dalam olahraga.
“Ayah, kenapa bawa saya ke sini?”tanya Iskandar memecah ruang kebisuan antara mereka. Ayahnya hanya tersenyum seraya mendudukkan Iskandar di atas kerusi. Dia kemudiannya duduk di kerusi yang berhadapan dengan Iskandar. Matanya mengisyaratkan Iskandar agar melihat ke atas meja di antara mereka.
“Catur?”tanya Iskandar kehairanan. Dia berasa amat hairan. Mengapakah ayahnya mengajaknya ke situ dan menyuruhnya melihat papan catur? Buah-buah catur juga sudah tersusun elok di atas papan catur itu.
“Kamu tidak perlukan kaki yang lasak untuk bermain catur,”sebaris sahaja kata-kata Datuk Tengku Hussein namun tetap berjaya menyentak hati Iskandar. Iskandar tertunduk bisu. Hatinya masih terguris oleh masa lalunya.
“Iskandar, keadaan kaki kamu bukan pengakhiran hidup kamu. Ayah mahu kamu sedar. Kehidupan kamu bukan setakat di atas padang dan trek olahraga semata-mata. Ada harapan lain. Ketika tertutupnya satu pintu kebahagiaan, Allah telah membuka pintu kebahagiaan yang lain. Manusia selalu lupa hakikat itu,”ujar Datuk Tengku Hussein lagi. Iskandar tetap juga membisu. Dia tidak tahu mahu membalas kata-kata itu. Kata-kata ayahnya benar belaka.
“Mungkin harapan kamu juga sebenarnya ada di papan catur,”sambung Datuk Tengku Hussein sambil tersenyum. Iskandar mengangkat muka.
“Ayah berjanji akan menyokong saya?”
“Sentiasa.”
Wajah Iskandar bertukar ceria. Di wajah itu terpancarnya segunung harapan. Detik itulah permulaan penglibatan Iskandar dalam bidang catur.
******************
“Is, jangan gentar! Insya-Allah ada peluang untuk menang,”suara Tengku Natasya mengetuk gegendang telinga. Ketika itu Iskandar baru sahaja melihat senarai perlawanan untuk pusingan akhir pertandingan catur peringkat negeri. Sedikit sebanyak Iskandar gentar juga kerana terpaksa berhadapan dengan pemain yang sudah mewakili negeri dua tahun berturut-turut. Tambahan pula, berdasarkan pungutan mata yang diperoleh setakat ini, pusingan ini akan menentukan salah seorang pemain yang akan ke peringkat kebangsaan.
Iskandar boleh sahaja mengambil keputusan untuk seri dengan pemain tersebut melalui rundingan, tetapi kedua-duanya tidak dapat mewakili negeri kerana pungutan mata pemain yang menang dari meja lain akan mengatasi mereka. Jika menang, Iskandar yang mewakili negeri dan jika kalah, tentulah tidak. Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan pemain handalan pada pusingan akhir.
“Insya-Allah. Doakanlah yang terbaik untuk Is,”ucap Iskandar dalam senyuman sebelum beredar ke meja nombor dua. Dia cuba bertenang.
“Iskandar!”seru Tengku Natasya. Iskandar berpaling seketika dan mengangkat kening tanda menyoal.
“Jangan lupa bahawa lawan Is juga manusia. Dia juga boleh buat silap. Is jangan takut. Kami semua yakin Is boleh lakukannya,”ujar Tengku Natasya lembut. Senyumannya kelihatan seperti mahu meyakinkan Iskandar bahawa Iskandar boleh memenangi perlawanan tersebut.
Iskandar senyum dan terus menuju ke meja tersebut. Seketika kemudian, arahan arbiter di atas pentas menyuruh memulakan permainan bergema. Iskandar berjabat tangan dengan lawannya, menekan jam selaku pemain buah catur hitam, dan memerhatikan gerakan pertama pihak lawan selaku pemain buah catur putih. Sebagai pemain hitam, dia perlu lebih banyak bertahan dan menyerang sebaik sahaja terdapat kelompangan pada pertahanan pihak lawan. Namun ada juga pemain yang bersikap agresif dengan memulakan serangan biarpun bermain buah catur hitam.
Dewan sunyi tanpa bicara. Kesemua pemain sedang berhadapan dengan pertempuran minda. Sepuluh minit berlalu, sudah mula ada pemain yang selesai permainan. Ada juga yang sudah awal-awal memilih untuk seri dengan pihak lawan. Namun Iskandar masih belum menamatkan permainannya juga. Waktu terus bergulir sehingga sepuluh minit terakhir.
Sekilas Iskandar ternampak Tengku Natasya yang memerhatikannya dari luar dewan. Pasti gadis itu sudah menamatkan permainan. Wajahnya yang ceria menunjukkan bahawa dia menang, dan tentu sekali gadis itu akan berjaya ke peringkat kebangsaan. Ya, dia perlu menang untuk ke peringkat kebangsaan bersama Tengku Natasya!
*****************
“Ataukah mungkin hatimu membeku …”nada dering telefon bimbit Iskandar mematikan kenangan yang diulang tayang dalam mindanya. Rupanya ibu yang menelefon. Pasti dia mahu bertanyakan khabar. Lantas dia menjawab panggilan ibu tercinta.
Dalam hati Iskandar bertutur sendiri. Ternyata memori dalam perlawanan catur tidak pernah padam. Dia masih rindu akan masa itu.
Iskandar tersenyum pahit. Bibirnya diketap perlahan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment