"Wynn, temankan aku keluar makan?" ajakan Amirul dipandang sepi oleh Darwina. Hendak katakan merajuk, pelik sangatlah kerana mereka memang tidak bergaduh. Namun Amirul tidak pula berasa pelik. Akhir-akhir ini, begitulah sikap Darwina. Tidak sudah-sudah lagi Darwina menjauhkan diri daripadanya.
Telefon bimbit yang dulu tidak berapa dipedulikan, kita tergantung kemas di dada.
"Malaslah,"
"Kalau malas hendak keluar, kenapa tidak masak?" soal Amirul. Entah mengapa, sedikit geram bertunas di hati apabila sikap Darwina yang acuh tidak acuh itu mula menguji kesabaran.
"Siapakah pula gerangan orang yang beritahu engkau aku malas hendak keluar? Aku malas hendak masak dan keluar. Engkau pandai masak bukan? Aku sudah makan sebelum pulang tadi," sinis nada Darwina menjawab. Matanya langsung tidak memandang Amirul.
'Ya, aku memang isteri biadab. Memang itupun yang engkau mahu selama ini, bukan? Engkau mahu aku berkasih sayang dengan orang lain. Engkau sudah syaratkan agar kita tidak saling jatuh cinta, bukan? Sekarang, baru engkau tahu!' fikir Darwina. Rasa bersalah ada menjengah, namun dia sudah malas hendak menghiraukan perasaan itu.
"Seriously, I'm tired. Really tired.Kalau aku ajak engkau keluar pun, aku minta engkau tolong memandu. Engkau pun tahu aku patah balik ke pejabat selepas hantar engkau tadi. Kalau aku tidak letih, pandailah aku masak sendiri. Bukan aku suka sangat hendak menyusahkan engkau," dua ayat terakhir itu ditekankan. Nadanya keras tetapi masih gagal menyembunyikan kehampaan yang tersirat.
Terusik hati Darwina mendengarnya. Matanya sudah mula mengerling sedikit memandang Amirul, namun dia tidak menyangka akan melihat wajah yang diselaputi redup kehampaan. Rasa bersalah mula terdetik, namun ditahan semampunya.
'Aku tidak akan tewas lagi pada sifat tanggungjawabnya! Cukuplah!' detik hati Darwina. Ya, dia memang benar-benar rasa berdosa, namun entah apa yang merasuknya, dia sendiri tidak tahu.
"Wynn, engkau berhubung dengan Syukri lagi ya?" tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibir Amirul. Dia pun tidak mengerti kenapa perlu soalan itu ditanyakan lagi.
'Kalau beginilah sikapnya, apa lagi yang mungkin menjadi punca? Syukri! Ya, hanya Syukri.' getus hati Amirul. Tiba-tibanya hatinya sungguh sebal. Langsung dia tidak mampu untuk terus berdiri di situ. Dia perlu berlalu sebelum tangannya ringan hendak merampas telefon bimbit di tangan Darwina. Apa yang pasti, dia perlu berlalu kalau dia tidak mahu mengasari Darwina. Apapun yang mahu Darwina jawab, tidak penting lagi untuknya.
"Okey, aku keluar dulu. Maaf kalau aku banyak menyusahkan engkau selama ini. Take care." Amirul pun berlalu tanpa sebarang kata. Sebelum sempat Darwina mengejar apalagi menghalang, kedengaran deruman enjin kereta. Darwina keluar terus ke pintu, setidak-tidaknya untuk memanggil Amirul, bahkan kalau tidak sempat biarlah dia yang mengunci pagar untuknya, namun suara itu menghalangnya.
"Engkau masuklah. Tudung pun engkau tidak pakai. Jangan tambahkan lagi dosa yang engkau sedang buat," tegas sungguh nada suara itu. Mungkin lebih baik dikatakan suara itu sebenarnya keras, bukan lagi tegas yang biasa. Darwina membisu. Tidak berdaya langsung dirinya untuk menjawab. Dia tahu, itu salahnya.
"Aku bersalahkah?" soal Darwina. Tentulah tiada siapa yang menjawab. Dia hanya bersendirian di rumah itu.
*****************
Jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas.Amirul masih belum pulang. Telefonnya dimatikan. Jelas, dia memang tidak mahu diganggu sesiapa. Sudah sejam dia berehat di dalam kereta, cuba menenangkan hati sendiri. Keluhan yang berat dilepaskan entah untuk keberapa kalinya, dia sendiri tidak pasti.
'Aku yang suruh dia hubungi Syukri. Apabila dia melakukannya, kenapa aku kata dia berdosa? Bukankah aku yang menyuruh dia berbuat begitu? Salah diakah? Sepatutnya aku bergembira melihat dia bahagia. Bukankah ini yang aku mahu? Bodohnya aku!' hati Amirul terus menjerit.
Mungkin dia sebenarnya terlalu biasa dengan kehadiran Darwina di sisinya. Mungkin juga dia tertekan apabila Darwina mula mengabaikan dirinya. Mungkin juga... argh! Terlalu banyak kemungkinan yang ada di dunia ini. Namun, cuma satu kemungkinan yang tidak akan diterima olehnya sampai bila-bila.
"Darwina, aku cinta engkaukah?" terpacul soalan itu buat dirinya sendiri. Pantas dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Aku hanya tercabar dengan sikapnya. Aku hanya tertekan. Aku ego melampau, seolah-olah dia milik aku. Dia hanya pinjaman, bukan hak milik. Aku hanya silap," tanpa sesiapa pun yang mendengar, dia meyakinkan hati sendiri.
'Aku tidak mampu lagi berada dekat dengannya.' sebuah keputusan dicapai. Lantas dia memandu keretanya semula.
********************
'Ya Allah, kenapa dia belum pulang lagi? Sudah jam dua belas malam. Tidak pernah langsung dia buat perangai balik lewat malam.' doa Darwina dalam kerisauan. Jelas kini, Amirul benar-benar marah akannya.
"Aku tidak suka pulang lewat kecuali kalau ada hal yang aku tidak suka di rumah. Angin malam kadang-kadang buat aku lelah. Dalam poket aku sentiasa ada inhaler kalau keluar sampai lewat malam," cerita Amirul suatu masa dahulu membuatkan hati Darwina diterpa resah yang menggila. Kakinya melangkah masuk ke kamar tidur, namun matanya pantas menangkap sesuatu di atas meja milik Amirul.
'Ya Allah, dia tidak bawa inhaler! Tolonglah ya tuhanku, peliharalah dia!' doa Darwina. Air matanya mengalir tanpa mampu diseka. Segala macam kemungkinan yang tidak baik mula menjengah.
"Semua ini salah aku. Memang dia keluar kerana aku. Dia tidak mahu pandang aku. Akulah hal yang tidak disukainya itu," bisik Darwina. Dia melabuhkan punggung di birai katil, namun tidak ada niat langsung untuk tidur. Matanya liar mengintai ke luar jendela, menanti kepulangan Amirul. Lima belas minit berlalu, pandangannya sekadar hampa. Namun matanya pantas celik apabila nampak kereta milik insan yang ditunggu-tunggu sudah pulang.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia terus ke pintu menyambut Amirul. Seribu kemaafan ingin dipohon. Namun akal warasnya tiba-tiba menghalang.
'Dia masih marah akan aku. Sudah cukup baik dia mahu juga pulang. Kalau dia langsung enggan pulang lagi parah. Mungkin melihat wajahku menyambutnya pulang sekarang hanya akan buat dia semakin marah. Nanti lain pula jadinya. Silap-silap dia keluar semula tanpa inhaler.'
********************
Darwina hanya pura-pura tidur. Telinganya pula kini bagai telinga musang, asyik mencuri dengar dan begitu peka dengan setiap bunyi di sekeliling. Hanya satu bunyi yang ditunggu. Bunyi itu pun kedengaran.
Krukk... kedengaran bunyi Amirul membuka pintu biliknya. Sangkanya tentulah Amirul mahu mandi dan terus tidur, namun semuanya meleset. Langkah kaki Amirul kedengaran sungguh berat membuatkan Darwina memberanikan diri membuka sedikit matanya, mengerling ke arah lelaki itu. Dalam kesamaran cahaya lampu tidur, dia mampu menangkap kepucatan wajah Amirul. Objek pertama yang dicapai oleh Amirul, cuma satu, inhaler. Lantas ditekupkan objek itu ke hidung dan mulutnya.
Bagai mahu tercabut jantung Darwina melihat Amirul berkeadaan begitu. Kalau boleh, dia ingin sangat untuk bangkit membantu, namun dia tahu, kehadirannya di sisi saat itu hanya akan memburukkan keadaan. Air mata sudah mengalir tanpa henti di pipinya.
*****************
Amirul mengerling sekilas ke arah Darwina. Dia yakin dia tidak salah nampak. Darwina belum tidur. Hatinya makin sebal saat itu hinggakan untuk tidur di sebelah Darwina dirasakan bagai beban berat yang menghempap kepalanya.
'Sampai hati engkau tidak mahu datang ke sini. Sampai hati engkau lihat sahaja aku terdesak memerlukan bantuan pernafasan dan engkau hanya membiarkan. Sampai hati engkau tidak membantu aku waktu aku bagai putus nafas. Ataukah memang kematian aku yang membahagiakan engkau?' hati Amirul memberontak. Dia kecewa saat itu.
Otaknya sudah tidak mampu berfikir panjang. Lantas dia melangkah ke bilik air. Pintu bilik air ditutup dan dia dapat melihat sendiri figura wajahnya di cermin bilik air. Pucatnya sudah berkurangan setelah masalah pernafasannya lega. Namun, apa yang nyata, pipinya sudah dibasahi setitik air mata lelaki. Laju sahaja tangannya mengesat air mata itu.
'Aku tidak patut menangis. Itukan haknya untuk meninggalkan aku? Aku bukan cintanya.' Amirul memujuk diri, namun nyata dia tidak berdaya. Tangannya menyeka setitik lagi air mata yang tumpah dari tubir matanya. Sudahnya, dia membasuh muka di sinki lalu mengambil keputusan untuk mandi. Sejuk? Biarlah! Biar sejuk hatinya, biar sejuk tubuhnya. Kalau lelah, inhaler ada. Kalau teruk, biar Allah tentukan hidup matinya.
Usai mandi, terus dia keluar dan menukar pakaian. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai toto baru yang masih di dalam beg berserta bantalnya di atas katil lalu keluar dari bilik. Mujurlah dalam marah, inhaler sempat juga diambil. Pintu bilik ditutup dan dia menuju ke kamar tetamu.
**********************
Darwina mencelikkan matanya. Air mata terus mengalir tanpa henti di pipinya. Sedikitpun dia tidak mampu menghentikan mutiara jernih yang terus menitis. Dia tidak menyangka bahawa Amirul akan masuk ke bilik air dan membahayakan diri sendiri. Bayangkanlah dalam keadaan cuaca malam itu yang sungguh sejuk selepas hujan senja tadi, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang baru lelah, boleh pula dia mandi!
Tidak cukup dengan itu, lelaki itu sanggup memilih tidur berasingan dalam keadaan tubuhnya tidak sihat. Kalau apa-apa yang buruk berlaku ke atas Amirul, dialah yang akan menyesal seumur hidup. Dialah yang patut dipersalahkan!
'Kalau dia sakit, siapa yang akan bantu dia nanti? Kalau dia perlukan apa-apa, siapa ada di sisinya? Sepatutnya aku yang jaga dia!' terus-terusan Darwina menyalahkan diri sendiri. Menyedari dia tidak mampu berbuat apa-apa, segera dia bingkas menunaikan solat sunat hajat memohon agar Allah memelihara Amirul.
Usai solat, kakinya terus melangkah ke kamar tetamu. Tangannya cuba memusing tombol pintu dengan harapan pintu itu tidak berkunci. Nyata, dia silap. Akhirnya, dalam longlai dia menuju ke kamar tidurnya. Air mata mengalir lagi.
*********************
Seminggu berlalu pantas namun lambat sungguh rasanya bagi Darwina. Rasa berdosa terus menghantuinya semenjak malam itu, dan hingga kini dia dan Amirul langsung tidak bertegur sapa. Ternyata rindu mula berputik di hatinya. Dia rindu akan senyuman lelaki itu. Dia rindu akan suara parau yang menegurnya dengan gurauan saban hari. Dia rindu akan cerita-cerita lelaki itu.
Telefon bimbit di sisi Darwina berbunyi. Nama Azmi tertera sebagai penghantar SMS. Langsung Darwina tidak hiraukan lagi. Dia serik. Disebabkan keasyikannya melayan Azmi itulah, tanggungjawabnya sebagai isteri terabai. Hakikatnya, dia bukan jatuh cinta pada Azmi. Dia hanya melayan Azmi sekadar untuk menunjukkan pada Amirul bahawa dia dan Syukri sedang bercinta. Ya, Azmi sekadar memegang lakonan sebagai Syukri. Bukankah Amirul menegurnya dahulu kerana tidak menghubungi Syukri?
"Kalau tidak salah aku, Syukri nama kekasih engkau. Sekarang sudah tukar jadi Azmi pulakah? Tidak sampai empat bulan pun, sudah tiga pasangan engkau dapat ya? Hebat sungguh engkau, tahniah aku ucapkan!" terkejut sungguh Darwina mendengar suara sinis Amirul. Pertama kali dia mendengar lelaki itu bertutur dengan nada sinis. Tentu dia nampak nama penghantar SMS itu.
"Aku..." belum habis Darwina menjelaskan, suara Amirul sudah memotong.
"Tidak perlu engkau jelaskan apa-apa. Balaslah SMS itu, sampai esok pagi pun tidak mengapa. Suami engkau ini hendak pergi lawat tapak projek. Harap-harap selamatlah ya suami engkau ini," terus sahaja Amirul melangkah. Tidak sampai empat langkah, dia berpaling.
"Aku tidak kisahlah mazhab mana yang engkau pakai, tetapi aku hanya hendak engkau fikir sendiri, apa hukumnya seorang isteri melayan lelaki lain sampai mengabaikan makan pakai suami sendiri. Sebesar mana dosanya. Assalamualaikum,"
Darwina terus mengejar Amirul namun tidak sempat. Lelaki itu sudah berlalu.
*********************
"Assalamualaikum," Darwina menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
"Apa?"
0 comments:
Post a Comment