Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Showing posts with label Komplot Kita. Show all posts
Showing posts with label Komplot Kita. Show all posts

Komplot Kita , Insya-Allah Ada

Saya buat entri ini setelah semak kembali ruangan 'stats' dan juga 'traffic views' saya di blog ini. Saya ada juga semak rekod di 'google search'. Baru saya sedar rupanya ada pembaca Komplot Kita yang cuba cari entri terbaru di Google, yang membawa kepada link blog saya. Dan saya tahu semua yang mencari hampa sebab saya tidak letak siri baru di blog.

Mulanya saya letakkan siri Komplot Kita di blog, kemudian saya bawa ke laman web. Jadi apabila sudah dimuatnaik ke sana, saya tidak kemaskini yang di sini. Lagipun saya lihat pembaca di laman web pun tidaklah ramai sangat. Jadi waktu itu saya anggap tidak mengapa.

Sampailah saya letak 'traffic views' dan semak 'stats' barulah sedar ada orang cari entri itu.-.-

Asif.Maaf.Sorry.

Lagipun, Komplot Kita genre cinta orang dewasa, mulanya saya sedikit segan kalau diketahui orang saya yang tulis. Terutamanya kawan-kawan. :)

Untuk memudahkan pembaca yang cari entri, selepas ini saya akan letakkan semua  pautan entri Komplot Kita di blog ini, atau copy dan paste terus ke sebuah blog khas untuk Komplot Kita. Hmm... yang mana ya ? Perlukan pandangan. -.-

Nampaknya saya akan letak poll :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (12)

"Wynn, temankan aku keluar makan?" ajakan Amirul dipandang sepi oleh Darwina. Hendak katakan merajuk, pelik sangatlah kerana mereka memang tidak bergaduh. Namun Amirul tidak pula berasa pelik. Akhir-akhir ini, begitulah sikap Darwina. Tidak sudah-sudah lagi Darwina menjauhkan diri daripadanya.
Telefon bimbit yang dulu tidak berapa dipedulikan, kita tergantung kemas di dada.

"Malaslah,"

"Kalau malas hendak keluar, kenapa tidak masak?" soal Amirul. Entah mengapa, sedikit geram bertunas di hati apabila sikap Darwina yang acuh tidak acuh itu mula menguji kesabaran.

"Siapakah pula gerangan orang yang beritahu engkau aku malas hendak keluar? Aku malas hendak masak dan keluar. Engkau pandai masak bukan? Aku sudah makan sebelum pulang tadi," sinis nada Darwina menjawab. Matanya langsung tidak memandang Amirul.

'Ya, aku memang isteri biadab. Memang itupun yang engkau mahu selama ini, bukan? Engkau mahu aku berkasih sayang dengan orang lain. Engkau sudah syaratkan agar kita tidak saling jatuh cinta, bukan? Sekarang, baru engkau tahu!' fikir Darwina. Rasa bersalah ada menjengah, namun dia sudah malas hendak menghiraukan perasaan itu.

"Seriously, I'm tired. Really tired.Kalau aku ajak engkau keluar pun, aku minta engkau tolong memandu. Engkau pun tahu aku patah balik ke pejabat selepas hantar engkau tadi. Kalau aku tidak letih, pandailah aku masak sendiri. Bukan aku suka sangat hendak menyusahkan engkau," dua ayat terakhir itu ditekankan. Nadanya keras tetapi masih gagal menyembunyikan kehampaan yang tersirat.

Terusik hati Darwina mendengarnya. Matanya sudah mula mengerling sedikit memandang Amirul, namun dia tidak menyangka akan melihat wajah yang diselaputi redup kehampaan. Rasa bersalah mula terdetik, namun ditahan semampunya.

'Aku tidak akan tewas lagi pada sifat tanggungjawabnya! Cukuplah!' detik hati Darwina. Ya, dia memang benar-benar rasa berdosa, namun entah apa yang merasuknya, dia sendiri tidak tahu.

"Wynn, engkau berhubung dengan Syukri lagi ya?" tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibir Amirul. Dia pun tidak mengerti kenapa perlu soalan itu ditanyakan lagi.

'Kalau beginilah sikapnya, apa lagi yang mungkin menjadi punca? Syukri! Ya, hanya Syukri.' getus hati Amirul. Tiba-tibanya hatinya sungguh sebal. Langsung dia tidak mampu untuk terus berdiri di situ. Dia perlu berlalu sebelum tangannya ringan hendak merampas telefon bimbit di tangan Darwina. Apa yang pasti, dia perlu berlalu kalau dia tidak mahu mengasari Darwina. Apapun yang mahu Darwina jawab, tidak penting lagi untuknya.

"Okey, aku keluar dulu. Maaf kalau aku banyak menyusahkan engkau selama ini. Take care." Amirul pun berlalu tanpa sebarang kata. Sebelum sempat Darwina mengejar apalagi menghalang, kedengaran deruman enjin kereta. Darwina keluar terus ke pintu, setidak-tidaknya untuk memanggil Amirul, bahkan kalau tidak sempat biarlah dia yang mengunci pagar untuknya, namun suara itu menghalangnya.

"Engkau masuklah. Tudung pun engkau tidak pakai. Jangan tambahkan lagi dosa yang engkau sedang buat," tegas sungguh nada suara itu. Mungkin lebih baik dikatakan suara itu sebenarnya keras, bukan lagi tegas yang biasa. Darwina membisu. Tidak berdaya langsung dirinya untuk menjawab. Dia tahu, itu salahnya.

"Aku bersalahkah?" soal Darwina. Tentulah tiada siapa yang menjawab. Dia hanya bersendirian di rumah itu.

*****************

Jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas.Amirul masih belum pulang. Telefonnya dimatikan. Jelas, dia memang tidak mahu diganggu sesiapa. Sudah sejam dia berehat di dalam kereta, cuba menenangkan hati sendiri. Keluhan yang berat dilepaskan entah untuk keberapa kalinya, dia sendiri tidak pasti.

'Aku yang suruh dia hubungi Syukri. Apabila dia melakukannya, kenapa aku kata dia berdosa? Bukankah aku yang menyuruh dia berbuat begitu? Salah diakah? Sepatutnya aku bergembira melihat dia bahagia. Bukankah ini yang aku mahu? Bodohnya aku!' hati Amirul terus menjerit.

Mungkin dia sebenarnya terlalu biasa dengan kehadiran Darwina di sisinya. Mungkin juga dia tertekan apabila Darwina mula mengabaikan dirinya. Mungkin juga... argh! Terlalu banyak kemungkinan yang ada di dunia ini. Namun, cuma satu kemungkinan yang tidak akan diterima olehnya sampai bila-bila.

"Darwina, aku cinta engkaukah?" terpacul soalan itu buat dirinya sendiri. Pantas dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Aku hanya tercabar dengan sikapnya. Aku hanya tertekan. Aku ego melampau, seolah-olah dia milik aku. Dia hanya pinjaman, bukan hak milik. Aku hanya silap," tanpa sesiapa pun yang mendengar, dia meyakinkan hati sendiri.

'Aku tidak mampu lagi berada dekat dengannya.' sebuah keputusan dicapai. Lantas dia memandu keretanya semula.

********************

'Ya Allah, kenapa dia belum pulang lagi? Sudah jam dua belas malam. Tidak pernah langsung dia buat perangai balik lewat malam.' doa Darwina dalam kerisauan. Jelas kini, Amirul benar-benar marah akannya.

"Aku tidak suka pulang lewat kecuali kalau ada hal yang aku tidak suka di rumah. Angin malam kadang-kadang buat aku lelah. Dalam poket aku sentiasa ada inhaler kalau keluar sampai lewat malam," cerita Amirul suatu masa dahulu membuatkan hati Darwina diterpa resah yang menggila. Kakinya melangkah masuk ke kamar tidur, namun matanya pantas menangkap sesuatu di atas meja milik Amirul.

'Ya Allah, dia tidak bawa inhaler! Tolonglah ya tuhanku, peliharalah dia!' doa Darwina. Air matanya mengalir tanpa mampu diseka. Segala macam kemungkinan yang tidak baik mula menjengah.

"Semua ini salah aku. Memang dia keluar kerana aku. Dia tidak mahu pandang aku. Akulah hal yang tidak disukainya itu," bisik Darwina. Dia melabuhkan punggung di birai katil, namun tidak ada niat langsung untuk tidur. Matanya liar mengintai ke luar jendela, menanti kepulangan Amirul. Lima belas minit berlalu, pandangannya sekadar hampa. Namun matanya pantas celik apabila nampak kereta milik insan yang ditunggu-tunggu sudah pulang.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia terus ke pintu menyambut Amirul. Seribu kemaafan ingin dipohon. Namun akal warasnya tiba-tiba menghalang.

'Dia masih marah akan aku. Sudah cukup baik dia mahu juga pulang. Kalau dia langsung enggan pulang lagi parah. Mungkin melihat wajahku menyambutnya pulang sekarang hanya akan buat dia semakin marah. Nanti lain pula jadinya. Silap-silap dia keluar semula tanpa inhaler.'

********************

Darwina hanya pura-pura tidur. Telinganya pula kini bagai telinga musang, asyik mencuri dengar dan begitu peka dengan setiap bunyi di sekeliling. Hanya satu bunyi yang ditunggu. Bunyi itu pun kedengaran.

Krukk... kedengaran bunyi Amirul membuka pintu biliknya. Sangkanya tentulah Amirul mahu mandi dan terus tidur, namun semuanya meleset. Langkah kaki Amirul kedengaran sungguh berat membuatkan Darwina memberanikan diri membuka sedikit matanya, mengerling ke arah lelaki itu. Dalam kesamaran cahaya lampu tidur, dia mampu menangkap kepucatan wajah Amirul. Objek pertama yang dicapai oleh Amirul, cuma satu, inhaler. Lantas ditekupkan objek itu ke hidung dan mulutnya.

Bagai mahu tercabut jantung Darwina melihat Amirul berkeadaan begitu. Kalau boleh, dia ingin sangat untuk bangkit membantu, namun dia tahu, kehadirannya di sisi saat itu hanya akan memburukkan keadaan. Air mata sudah mengalir tanpa henti di pipinya.

*****************

Amirul mengerling sekilas ke arah Darwina. Dia yakin dia tidak salah nampak. Darwina belum tidur. Hatinya makin sebal saat itu hinggakan untuk tidur di sebelah Darwina dirasakan bagai beban berat yang menghempap kepalanya.

'Sampai hati engkau tidak mahu datang ke sini. Sampai hati engkau lihat sahaja aku terdesak memerlukan bantuan pernafasan dan engkau hanya membiarkan. Sampai hati engkau tidak membantu aku waktu aku bagai putus nafas. Ataukah memang kematian aku yang membahagiakan engkau?' hati Amirul memberontak. Dia kecewa saat itu.

Otaknya sudah tidak mampu berfikir panjang. Lantas dia melangkah ke bilik air. Pintu bilik air ditutup dan dia dapat melihat sendiri figura wajahnya di cermin bilik air. Pucatnya sudah berkurangan setelah masalah pernafasannya lega. Namun, apa yang nyata, pipinya sudah dibasahi setitik air mata lelaki. Laju sahaja tangannya mengesat air mata itu.

'Aku tidak patut menangis. Itukan haknya untuk meninggalkan aku? Aku bukan cintanya.' Amirul memujuk diri, namun nyata dia tidak berdaya. Tangannya menyeka setitik lagi air mata yang tumpah dari tubir matanya. Sudahnya, dia membasuh muka di sinki lalu mengambil keputusan untuk mandi. Sejuk? Biarlah! Biar sejuk hatinya, biar sejuk tubuhnya. Kalau lelah, inhaler ada. Kalau teruk, biar Allah tentukan hidup matinya.

Usai mandi, terus dia keluar dan menukar pakaian. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai toto baru yang masih di dalam beg berserta bantalnya di atas katil lalu keluar dari bilik. Mujurlah dalam marah, inhaler sempat juga diambil. Pintu bilik ditutup dan dia menuju ke kamar tetamu.

**********************

Darwina mencelikkan matanya. Air mata terus mengalir tanpa henti di pipinya. Sedikitpun dia tidak mampu menghentikan mutiara jernih yang terus menitis. Dia tidak menyangka bahawa Amirul akan masuk ke bilik air dan membahayakan diri sendiri. Bayangkanlah dalam keadaan cuaca malam itu yang sungguh sejuk selepas hujan senja tadi, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang baru lelah, boleh pula dia mandi!

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu sanggup memilih tidur berasingan dalam keadaan tubuhnya tidak sihat. Kalau apa-apa yang buruk berlaku ke atas Amirul, dialah yang akan menyesal seumur hidup. Dialah yang patut dipersalahkan!

'Kalau dia sakit, siapa yang akan bantu dia nanti? Kalau dia perlukan apa-apa, siapa ada di sisinya? Sepatutnya aku yang jaga dia!' terus-terusan Darwina menyalahkan diri sendiri. Menyedari dia tidak mampu berbuat apa-apa, segera dia bingkas menunaikan solat sunat hajat memohon agar Allah memelihara Amirul.

Usai solat, kakinya terus melangkah ke kamar tetamu. Tangannya cuba memusing tombol pintu dengan harapan pintu itu tidak berkunci. Nyata, dia silap. Akhirnya, dalam longlai dia menuju ke kamar tidurnya. Air mata mengalir lagi.

*********************

Seminggu berlalu pantas namun lambat sungguh rasanya bagi Darwina. Rasa berdosa terus menghantuinya semenjak malam itu, dan hingga kini dia dan Amirul langsung tidak bertegur sapa. Ternyata rindu mula berputik di hatinya. Dia rindu akan senyuman lelaki itu. Dia rindu akan suara parau yang menegurnya dengan gurauan saban hari. Dia rindu akan cerita-cerita lelaki itu.

Telefon bimbit di sisi Darwina berbunyi. Nama Azmi tertera sebagai penghantar SMS. Langsung Darwina tidak hiraukan lagi. Dia serik. Disebabkan keasyikannya melayan Azmi itulah, tanggungjawabnya sebagai isteri terabai. Hakikatnya, dia bukan jatuh cinta pada Azmi. Dia hanya melayan Azmi sekadar untuk menunjukkan pada Amirul bahawa dia dan Syukri sedang bercinta. Ya, Azmi sekadar memegang lakonan sebagai Syukri. Bukankah Amirul menegurnya dahulu kerana tidak menghubungi Syukri?

"Kalau tidak salah aku, Syukri nama kekasih engkau. Sekarang sudah tukar jadi Azmi pulakah? Tidak sampai empat bulan pun, sudah tiga pasangan engkau dapat ya? Hebat sungguh engkau, tahniah aku ucapkan!" terkejut sungguh Darwina mendengar suara sinis Amirul. Pertama kali dia mendengar lelaki itu bertutur dengan nada sinis. Tentu dia nampak nama penghantar SMS itu.

"Aku..." belum habis Darwina menjelaskan, suara Amirul sudah memotong.

"Tidak perlu engkau jelaskan apa-apa. Balaslah SMS itu, sampai esok pagi pun tidak mengapa. Suami engkau ini hendak pergi lawat tapak projek. Harap-harap selamatlah ya suami engkau ini," terus sahaja Amirul melangkah. Tidak sampai empat langkah, dia berpaling.

"Aku tidak kisahlah mazhab mana yang engkau pakai, tetapi aku hanya hendak engkau fikir sendiri, apa hukumnya seorang isteri melayan lelaki lain sampai mengabaikan makan pakai suami sendiri. Sebesar mana dosanya. Assalamualaikum,"

Darwina terus mengejar Amirul namun tidak sempat. Lelaki itu sudah berlalu.

*********************

"Assalamualaikum," Darwina menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Apa?"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (11)

Sebulan kemudian...

"Engkau hendak panadolkah?" soal Amirul. Sejak tadi, Darwina langsung tidak bangun dari perbaringan. Hari 'bendera merah' sudah diisytiharkan lagi. Sakit benar nampaknya Darwina sampai tidak bangkit memasak seperti selalu.

Darwina hanya mengangguk. Untuk ke dapur mengambil ubat sendiri, dia memang betul-betul tidak larat lagi. Sudahnya, dia membiarkan sahaja lelaki itu ke dapur mengambil ubat untuknya. Dia hanya menyimpan ubat itu di dapur kerana dia jarang mengalami sakit seteruk itu.

"Kalau tidak menyusahkan, tolong ambilkan aku air suam," pinta Darwina. Dia masih tahu mengirim diri. Tidak mungkin sesuka hati sahaja dia hendak mengarah bagaikan 'Lady Boss'.

"Tidak ada apa yang menyusahkan. Kalau hendak apa-apa lagi, cakap sahaja," ujar Amirul sebaik sahaja masuk ke kamar semula.

"Thanks." sepatah Darwina menjawab.Panadol yang dihulurkan itu ditelan sahaja.

"Welcome. Lagi satu, tidak perlulah kirim diri sangat. Aku ada tanggungjawab ke atas engkau. Apabila engkau sakit begini, minta tolong saja dengan aku,"

"Okey,"

"Er, Wynn. Boleh aku tanya sedikit?"

"Tanya sajalah. Engkau ada hak untuk bertanya," jawab Darwina lalu tersenyum.

"Engkau langsung tidak hubungi Syukri lagikah? Jangan buat Syukri macam apa yang Qistina buat pada aku. Aku lelaki, Wynn. Aku tahu bagaimana perasaan apabila orang yang kita sayang menyepi tanpa khabar," nasihat Amirul menyentap hati Darwina. Sudahnya Darwina hanya tunduk membisu.

"Aku nak tidur," akhirnya Darwina sekadar mengelak.

***************

"Engkau buat apa termenung di sini?" tanya Darwina lembut.

"Entahlah. Fikiran aku sangat tidak menentu. Macam-macam perkara bermain di minda aku,"

"Soal Qistina?" seperti biasa, telahan Darwina selalu tepat.

'Apa lagilah yang boleh buat engkau jadi begini kalau bukan Qis. Bukan sehari dua aku kenal engkau.' fikir Darwina. Dia sebenarnya berkecil hati namun tidak pula ditunjukkan.

"Sudah tiga bulan pun kita kahwin. Dia langsung tidak hubungi aku. Sejak pergi ke Australia, khabar tentang dia langsung tiada. Mungkin engkau anggap dia berkecil hati dengan komplot kita, tetapi dia sendiri yang setuju. Kalau engkau hendak tahu, sejak dia ke Australia, hanya sekali dia membalas e-mail aku untuk menyatakan persetujuan. Selain itu, aku langsung tidak pernah mendapat berita daripadanya. Aku cuba tanya ibunya nombor telefon barunya sekarang, sebab dia sudah tukar nombor telefon, tetapi ibunya tidak suka aku. Jangan haraplah dia hendak beritahu. Engkau bayangkanlah perasaan aku, apabila ibunya siap berpesan pada aku, kalau boleh jangan banyak berhubung dengan dia, takut pelajarannya terganggu. Kalau aku tidak hubungi anaknya langsung, aku pasti dia juga yang akan kata aku tidak serius dengan anaknya. Perangai ibu Qistina itu memang betul-betul memeningkan kepala aku," habis semua yang berlaku Amirul ceritakan pada Darwina. Tanpa disedari, Darwina sedang menahan bungkam di hati.

'Kalau kesetiaan itu untuk aku, mungkin engkau tidak akan merana begini.' fikir Darwina.

"Engkau memang betul-betul pencinta yang setia. Aku sendiri rasa perbuatan Darwina memang tidak patut. Sikap ibunya pun lagi satu masalah. Walaupun aku tidak kenal semua orang yang engkau ceritakan tadi, aku tidak suka perbuatan mereka. Atas rasional apa sekalipun,perbuatan mereka itu tetap menyakiti engkau. Engkau pula masih bertahan. Aku tidak sangka masih wujud lagi lelaki seperti engkau di dunia ini. Bukan semua lelaki sanggup bertahan dalam keadaan begini,"

"Wynn, apapun yang terjadi, cinta aku tetap untuk Qistina. Aku tidak mahu kehilangannya," luahan perasaan Amirul menikam sukma Darwina.

'Argh! Buat apa aku hendak kecewa atau cemburu? Cintanya milik Qistina!' jeritan batin Darwina terlalu kuat bergema dalam hati.

"Ya, aku faham. Bukan mudah untuk merelakan pemergian seseorang yang sangat kita cintai," mudah sahaja jawapan Darwina. Sebenarnya jawapan itu memaksudkan hatinya sendiri.

"Aku rindu Qistina,"

Darwina menepuk-nepuk bahu Amirul tanda memahami. Senyuman palsu dilemparkan khusus untuk suaminya. Dia sendiri sebenarnya sedih. Dia sedar, tiada guna mengharap cinta palsu yang tidak berbalas.

*****************

Lama Darwina termenung semasa makan tengahari. Tangannya asyik mengacau jus epal di dalam gelas menggunakan straw. Matanya memandang ke jalan raya tetapi fikirannya melayang. Melihat keadaan Darwina yang kurang baik, Ina mengambil pesanan untuknya. Apabila Ina ke tandas, Darwina masih mengelamun.

"Darwina, sudah habis engkau buat haji di Mekah?" soal Ina. Dia sudah pulang dari tandas, tetapi Darwina masih belum kembali ke alam nyata. Nampak sangat, fikiran Darwina sedang berserabut.

"Eh, apa engkau cakap tadi?" Darwina terpinga-pinga. Ina pula sekadar menggeleng. Dia sendiri kasihan melihat temannya bersikap begini.

"Engkau fikir soal apa? Amirul buat halkah? Teman wanitanya masih di Australia, bukan?"

"Sebab Qistina masih di Australialah aku jadi begini," Darwina melepaskan keluhan berat. Seksa sungguh rasanya menanggung beban di hati. Hakikatnya,beban itu dia yang cari.

"Wynn, this is not you. Tell me exactly what happened." terus Ina bersuara tegas. Tangannya sudah mengepal penumbuk.

'Amirul, engkau patut bersyukur kerana tiada di depan aku sekarang. Kalau tidak, silap-silap restoran ini menjadi saksi engkau kena penangan silat cucu Tok Salleh!' getus hati Ina. Dia tertanya-tanya, apa sebenarnya yang Amirul sudah lakukan.

"Nothing happened. I just cannot explain what am I feeling right now. He advised me not to keep myself away from Syukri. He asked me to contact that guy. But, the worst is, he misses Qis. He told me everything. Oh my God, he's suffering because of that girl! I can't help it but to feel jealous and hurt, when my own husband asks me to take care of another guy's love, and confess everything to me about his love for his girlfriend. It hurts me, Ina." hilang terus Bahasa Melayu dari bibir Darwina. Sedar tidak sedar, air mata sudah mengalir di pipinya.

"Syh, jangan menangis. Aku faham perasaan kau," pantas jemari Ina mengesat air mata yang mengalir di pipi Darwina. Dia tahu, Darwina betul-betul kecewa.

"Aku tidak boleh jatuh cinta padanya, Ina. Aku betul-betul tidak boleh! Aku sedar diri, tetapi kenapa perasaan aku meronta-ronta untuk memperoleh kasih sayangnya?" soal Darwina tanpa menghiraukan sesiapa di sekelilingnya.

"Sabar, Wynn, sabar. Ingat Allah," mati kutu Ina hendak memujuk apabila esakan Darwina makin menjadi-jadi. Dia akhirnya beralih tempat ke sebelah Darwina. Dipeluknya bahu wanita itu untuk memberi secebis kekuatan.

"Ina, kenalkan aku dengan mana-mana lelaki," Darwina bersuara nekad setelah tangisnya reda. Bulat mata Ina memandangnya.

"Engkau biar betul, Wynn!"

"Ya, aku serius. Aku hendak berkenalan dengan mana-mana lelaki melalui telefon bimbit. Aku tahu engkau akan cakap aku gila, tetapi aku sudah tidak tahan melihat suami aku merindui perempuan lain. Aku tidak tahan lagi sekiranya suami aku menasihati aku tentang Syukri. Aku hendak bertelefon dengan lelaki lain. Jika dia tanya, aku akan katakan lelaki itu Syukri. Engkau tidak akan faham, tetapi jiwa aku yang sedang terseksa. Aku hendak membalas perbuatannya, Ina. Aku tidak mahu menyeksa diri sendiri lagi," terus sahaja Darwina menyatakan tekadnya itu.

Akhirnya, dalam serba salah, Ina mengenalkan Darwina dengan sepupunya, Azmi. Dia sendiri rasa bersalah terhadap Amirul, namun apabila mengenangkan seksaan jiwa yang Darwina alami, dia menurut juga kehendak wanita itu.

'Ya Allah, engkau peliharalah sahabatku. Tolonglah. Pimpinlah dia dalam setiap tindakannya.' doa Ina dalam hati. Tanpa pengetahuan Darwina, secara senyap-senyap Ina hampir menghubungi Azmi untuk menjelaskan kedudukan sebenar, namun niat itu dibatalkan. Kalaulah nanti Amirul sudah menceraikan Darwina seperti janjinya, tiada salahnya kalau Azmi berkenan pada Darwina pula.

******************

Darwina sendiri serba salah, namun perasaan nekadnya mengatasi segalanya. Apabila mengenangkan statusnya sebagai isteri, dia betul-betul tidak sampai hati. Memang dia tidak mampu untuk menafikan, hatinya berbelah bagi antara dendam dan sayang. Dia masih kenal dosa dan pahala, tetapi kali ini rasionalnya betul-betul sudah hilang.

'Maafkan aku, Myrul.' air mata berlinangan di pipi Darwina. Pantas dia menyeka dengan jari sendiri.

'Argh! Wajar lagikah aku mohon maaf darinya? Dia sendiri yang mahu begini! Tiada maknanya lagi andai aku mencuba untuk menjadi isteri sempurna buat dirinya, sedangkan dia tak pernah ingin aku di sisinya.Myrul, kau betul-betul menyeksa aku.'

******************

'Ya Allah, dayuskah aku kerana menyuruh isteri menghubungi kekasih lain? Aku sendiri masih merindui wanita lain walaupun aku punya dia sebagai isteri. Aku hanya ingin dia bahagia. Aku tidak mahu dia setia pada aku. Aku tidak sanggup menyeksa bidadari sepertinya, sebab aku tahu aku akan meninggalkannya. Ampunkan aku!' fikir Amirul.

Dia dan Darwina langsung tidak bercakap sejak pagi tadi lagi. Entah mengapa, sedikit sebanyak hatinya rindu juga hendak berbual dengan Darwina. Ternyata, hatinya terusik dengan kehadiran wanita itu dalam hidupnya.

Qistina dan Darwina dua wanita yang berbeza. Kedua-duanya mengusik jiwa tiap kali nama mereka disebut. Tiada siapa yang mampu mentafsirkan gelojak hatinya. Saat mengingati Qistina, dia rasa berdosa menduakan cinta Qistina. Jika mengingati Darwina, dia rasa berdosa di atas tindakannya.

'Qistina, Darwina.. maafkan aku.' getus hatinya. Lamunannya hanya terhenti apabila suara Darwina memanggilnya ke meja makan. Wajah lembut Darwina direnung tanpa kata. Rasa bersalahnya makin menjadi-jadi.

Sepanjang waktu makan, masing-masing tidak bersuara. Kedua-duanya ralit melayan perasaan berdosa yang tersimpan. Sampai bila kisah ini akan terhijab, entahlah. Mereka saling tidak mengerti.

Malam itu, lena mereka diulit resah. Tidur mereka yang saling membelakangi menghalang mereka daripada melihat wajah masing-masing. Air mata mengalir deras di pipi Darwina, namun Amirul tidak mengerti. Sendu wajah Amirul menahan rasa, pasti Darwina tiada melihatnya. Segalanya kekal rahsia.

Dipendam sakit, diluah seksa. Tiada siapa yang akan mengerti hati mereka. Semuanya salah, semuanya dusta. Tiada yang benar lagi ketika semuanya suatu pembohongan. Tanpa mereka sedari, sesungguhnya pembohongan itulah yang menjadi bara. Pembohongan itulah hijab yang memisahkan hati mereka tanpa sedar. Kasih yang bermukim sekadar terpendam di balik dusta.

'Biarkanlah. Biarkanlah air mata menemaniku, untukku jalani sebuah kisah denganmu, kerna ini kisah kita.'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (10)

"Engkau okey?" soal Amirul. Setelah Ruzial melepaskan diri bersama teman lelakinya tadi, Amirul enggan mengejar lagi. Kalau ikutkan memang dia boleh mengejar, tetapi hatinya kasihan melihat reaksi Darwina tentang kata-kata Ruziah.


"Aku okey," Darwina sekadar menyedapkan hati Amirul sahaja. Hakikatnya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya hati mendengar kata-kata Ruziah. Segala yang didengarnya tadi umpama satu tamparan hebat yang singgah di pipinya.


"Maafkan aku atas kelakuan Ruziah tadi. Aku tidak sangka dia sanggup cakap begitu pada kau tadi,"


"Tidak mengapa. Bukannya engkau yang cakap begitu. Tidak perlulah engkau minta maaf,"


"Engkau pun satu hal juga. Kenapa paut lengan aku tadi? Kalau engkau tidak halang, aku rasa sudah lebam muka Ruziah aku kerjakan. Perangainya melampau," geram pula Amirul apabila mengingatkan tindakan Darwina tadi.


"Kalau engkau pukul dia, belum tentu dia dengar cakap engkau. Silap hari bulan engkau dengan dia jadi perang dunia ketiga pula!" tegur Darwina dengan nada berseloroh, sekadar untuk menjaga hati Amirul.


Larian mereka tidak dihabiskan. Sebaliknya, tikar dibentang dan mereka berkelah di situ. Kedua-duanya asyik bergurau senda hingga masing-masing terlupa hal tadi. Amirul yang tadinya sangat marah sudah hilang api kemarahannya. Ternyata, setiap kali bersama Darwina, wanita itu memang punya terapi ajaib untuk menenangkannya.


*******************


"Myrul, engkau tak pergi kerjakah hari ini?" soal Darwina. Dia sudah bersiap dengan pakaian kerja. Sangkanya tentulah Amirul bersiap lebih awal dan menunggunya di sofa seperti biasa, namun sebaliknya berlaku apabila lelaki itu lena di sofa dengan pakaian kerja yang sudah berkedut jadinya. Tiada siapa yang menjawab pertanyaan Darwina.


'Isy, aku pun terlebih bijak! Kalau sudah lena tentulah tidak jawab.' Darwina menuju ke arah Amirul. Dia berura-ura untuk mengejutkan lelaki itu, namun melihatkan wajahnya yang sedikit pucat, Darwina membiarkan sahaja Amirul terus lena di sofa. Dia melabuhkan punggung di sisi Amirul.


Tangannya menjamah dahi lelaki itu. Dek perasaan risau, malu dan segan entah dicampak ke mana. Memang benar jangkaannya, panas betul dahi Amirul. Dia menuju ke dapur untuk mengambil panadol lalu kembali ke sofa.


'Kenapalah aku 'bijak' sangat hari ini? Dia lena, macam mana hendak makan ubat?' fikir Darwina. Segalanya serba tidak kena. Dia malu dan tidak sampai hati hendak mengejutkan Amirul.Tiba-tiba, dia kakinya tersadung di meja kopi dan terus rebah di atas Amirul yang sedang lena!


'Ya Allah! Malunya aku. Minta-minta janganlah dia terjaga. Sudahlah dia demam, kena hempap pula.'


"Mmm..Err..." lelaki itu terjaga tetapi masih mamai. Seketika kemudian, barulah matanya dapat menangkap susuk tubuh Darwina yang masih berada di atas badannya. Terbeliak terus matanya!


"Ya Allah, Myrul! Engkau dah terjaga?" merah padam muka Darwina. Malu sungguh dia!


"Mana tak terjaga kalau ada perempuan cantik tidur atas badan aku," usik Amirul. Bertambah merah wajah Darwina.


"Isy, jangan hendak menggatal! Aku bukan sengaja hendak landing atas badan engkau. Kaki aku tersadung meja kopi tadi," pantas Darwina menjelaskan. Di mindanya sudah terbayang perkara yang bukan-bukan.


"Aku tidak cakap apa-apa pun. Otak engkaulah agaknya yang menerawang," seloroh Amirul. Entah ke mana hilangnya sakit kepala yang dialami sejak subuh tadi.


"I'm sorry. Aku tidak sengaja. Engkau tidak pergi kerjakah?" soal Darwina lembut. Dia malas hendak berkasar dengan orang sakit.


"Alhamdulillah, dah baik rupanya perangai isteri aku!" makin merah muka Darwina mendengar kata-kata itu.


'Isteri? Yakah isteri? Eh, memanglah! Akad nikah sah,tahu?' getus hati Darwina. Semuanya sudah jadi serba tidak kena.

"Engkau belum pergi kerja lagikah? Maaflah hari ini aku tak dapat hantar engkau. Ambillah kunci kereta atas rak, aku simpan semalam. Petang nanti aku ambil engkau di pejabat," soal Amirul. Kepalanya masih berat. Bahaya juga kalau memandu dalam keadaan begitu.

"Engkau tak larat ya?" Amirul sekadar mengangguk.

"Tak apalah, aku tidak jadi pergi kerja hari ini. Lagipun, sudah lewat. Aku temankan kau sajalah," sejurus selepas menuturkan kata-kata itu, Darwina menyuruh Amirul makan panadol dan tidur di bilik.

"Waktu makan tengahari nanti aku kejutkan engkau," selepas itu, Darwina menyalin pakaian kerjanya lalu duduk di katil. Dia mengambil novel yang dihadiahkan oleh Amirul beberapa hari lepas, lalu dibacanya untuk menghabiskan masa. Kalau dia hendak memasak sajian tengahari, masih terlalu awal.

************************

Waktu makan tengahari, Darwina membawa masuk sepinggan makanan dan seteko air untuk Amirul. Dia tidak mengejutkan lelaki itu terlebih dahulu. Kalau dia mengejutkan Amirul, tentu lelaki itu berkeras hendak pergi makan di meja makan. Dia mahu lelaki itu berehat secukupnya. Kalau dia sendiri yang demam pun, memang Amirul akan melakukan hal yang sama.

"Myrul, bangun makan," Darwina mengejutkan Amirul sekadar dengan memanggilnya, tetapi tiada respon.

'Lena sungguh mamat ini tidur. Sah-sah penangan panadol yang aku bagi tadi.' fikir Darwina. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia menggoncang sedikit bahu Amirul.

"Er.. Oh, Wynn. Maaflah, tidak sedar langsung tadi,"

"Tidak mengapalah. Aku faham. Engkau kan tidak sihat," lembut suara Darwina menampar cuping telinga Amirul. Tersentuh hati lelakinya dengan kelembutan seorang isteri. Malu pun ada tetapi dia senang begitu.

"Lauk engkau mana? Tidak mahu makankah?" soal Amirul.

"Tidak mengapa. Engkau makanlah dulu," hakikat sebenar, Darwina memang tidak berselera hendak makan apabila tiba hari 'bendera merah'. Selalunya, sepanjang hari dia hanya makan makanan ringan kalau uzur begitu.

"Engkau makanlah sekali. Seganlah aku makan seorang," pelawa Amirul sambil mengerutkan dahinya. Dia kurang senang apabila Darwina asyik membantunya hingga diri sendiri diabaikan.

"Er, aku tidak mahu makan makanan berat hari ini," teragak-agak Darwina menjawab.

"Sudah hampir waktu zuhur, pergilah ambil wuduk. Aku boleh makan sendiri," tegur Amirul, namun Darwina tidak menyahut. Wajahnya kemerah-merahan.

"Oh! I got it. Sorry." pantas Amirul mengangkat tangan seperti gaya orang yang diacu pistol. Dia tahu, Darwina pasti naik angin apabila isu sensitif seperti itu dibicarakan. Darwina hanya mencebik sahaja. Wajahnya merah padam.

"Sudahlah tu, pergi ambil wuduk!" pantas Darwina mencari alasan.

"Engkau nak habiskan nasi aku ya?" sela Amirul. Memang benar, nasi dalam pinggannya masih berbaki separuh. Lauk pun masih banyak. Darwina terdiam, dia tahu dia tersalah cakap. Malu menguasai dirinya lagi.

Amirul sekadar tersenyum. Dia terharu sebenarnya dengan layanan Darwina. Perempuan itu melayaninya dengan lembut walaupun lawaknya berbisa. Wajah ayu Darwina direnung mesra.

"Kenapa tenung aku?" hairan Darwina melihatnya.

"Thanks." Amirul tersenyum mesra, nampak tampan di mata Darwina. Darwina sekadar melarikan pandangan. Malu bermukim di dadanya.

*********************

Selepas makan tengahari, Darwina mengajak Amirul ke klinik. Mulanya, Amirul enggan namun setelah puas dipujuk, barulah dia bersetuju. Darwina terus bersiap dan masuk ke tempat pemandu.

"Engkau memandukah?" soal Amirul.

"Orang sakit kena duduk diam-diam di sebelah. Jangan cakap banyak," memang bunyinya seperti seorang komander, tetapi itulah satu-satunya cara untuk memujuk Amirul tanpa banyak soal. Darwina tahu dari cara Amirul memerhatikannya, lelaki itu dihujani rasa bersalah.

"Aku memang menyusahkan engkau," terus Amirul bersuara selepas Darwina mengunci pagar lalu masuk ke dalam kereta.

"Kalau engkau tunaikan tanggungjawab sebagai suami, tidak ada salahnya kalau aku tunaikan tanggungjawab aku sebagai isteri," mudah jawapan Darwina. Dia terus memandu sambil mendengar radio.

Pulang dari klinik, Amirul merenung MC yang diperolehnya. Dia mendapat cuti sakit selama tiga hari. Susah juga kalau begitu.

"Wynn, esok aku hantar engkau ke pejabat macam biasa ya,"

"Tidak perlu. Aku ambil cuti tiga hari untuk teman engkau. Aku sudah beritahu setiausaha aku," selamba Darwina menjawab. Dia memang tidak akan bekerja selagi Amirul belum sembuh. Akhirnya, lelaki itu diam sahaja. Dia tahu tiada guna bertekak dengan Darwina.

"Kenapalah engkau baik sangat, Wynn?" gumam Amirul.

"Apa engkau cakap tadi?" soal Darwina. Dia gagal menangkap bait kata yang diucapkan Amirul.

"Er, tiada apa-apa. Aku mengantuk sebenarnya," Amirul mencipta alasan.

Selepas itu, Amirul terlelap hingga mereka tiba di rumah. Tidak diduga, mimpinya ditemani wajah Darwina. Apabila terjaga, dia meraup muka. Khuatir mula menjelma, bimbang cintanya pada Qistina semakin goyah.

'Maafkan aku, Qis.' fikir Amirul. Hatinya sarat berdoa, semoga semua ini hanyalah bisikan hati yang akan pergi bagai angin lalu. Jiwanya makin tidak keruan. Segalanya tampak salah di matanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (9)

"Myrul, I'm sorry for my harsh words." Amirul segera berpaling apabila mendengar suara Darwina di belakangnya. Dia memang berura-ura mahu duduk berbincang dengan Darwina untuk berdamai sekiranya mereka bersengketa, namun tidak diduga wanita itu lebih dulu memulakannya. Dia hanya membiarkan sahaja apabila Darwina mengambil tempat duduk di sebelahnya dengan selamba.

"It's okay.Aku tak kisah pun. Maafkan aku sebab tidak rasional tadi. Apabila muhasabah, barulah aku sedar sebab hati aku kurang tenang dan cepat marah hari ini. Secara langsung mahupun tidak langsung, engkau yang jadi mangsa," sebenarnya Amirul sekadar berlagak tenang. Dia memang terasa benar dengan jawapan Darwina petang tadi, namun dia malas hendak memanjangkan sengketa. Lagipun, hal itu memang berpunca daripadanya.

"Boleh kongsi dengan aku sebabnya?"

"Aku belum solat lagi sewaktu aku sampai di rumah tadi. Mungkin itu balasan Allah untuk aku sebab melengah-lengahkan solat. Macam manalah Allah hendak pelihara aku kalau aku tidak pelihara waktu untuk menyembah-Nya," Amirul berkata jujur. Darwina pula berfikir sendiri setelah mendengar kata-kata itu.

'Sejauh itu dia berfikir di atas setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan. Aku pula sesuka hati sahaja hendak solat awal atau lewat, asalkan belum habis waktu solat. Myrul, I need to learn a lot from you.'

"Wynn, kadang-kadang aku lihat engkau lebih rasional kalau ada masalah. Nampaknya, engkau perlu jadi tutor psikologi aku dalam soal mengawal nafsu amarah!" permintaan Amirul membuatkan Darwina tergelak kuat.

"Aku rasa aku lebih cepat marah berbanding engkau. Apapun, kalau engkau hendak suruh aku jadi tutor psikologi engkau, maknanya engkau kena bayar gaji untuk akulah!" Darwina mengusik nakal. Sebenarnya, dia tidak berhajat langsung untuk meminta ganjaran dari Amirul. Dia menganggap itulah bayaran atas wang yang diberikan lelaki itu untuknya.

"Aku tidak kata pun aku memerlukan tutor psikologi yang bergaji. Maknanya FOC ya. Harap maklum," bijak pula Amirul memulangkan paku buah keras. Darwina ketawa lagi.

"Aku bergurau sahajalah. Engkau sudah beri aku gaji lebih awal. Oh, ya! Aku rasa engkau gagal mengawal perasaan marah engkau apabila terlalu memikirkan masalah tertentu. Apa kata engkau cari seorang kawan untuk dibuat teman berbicara. Kalau engkau ada masalah, engkau boleh terus sahaja cerita pada dia sebelum engkau naik angin. Kalau tidak boleh sangat, bermunajatlah setiap kali engkau ada masalah. Mintalah bantuan Allah dalam setiap urusan. Teori psikologi pun memang mengiyakan hipotesis bahawa apabila manusia berkongsi beban dalam fikiran, emosinya boleh disurutkan dan semakin stabil," panjang lebar bicara Darwina. Terlopong Amirul mendengar jawapan yang cukup matang itu.

"Cara engkau bercakap macam pensyarah bidang Psikologi,"

"Aku dulu pelajar pengkhususan tambahan bidang Psikologi," Darwina mengaku. Dia tahu, Amirul tidak pernah tahu tentang latar belakang pengajiannya secara teliti.

"Wow, seronoklah engkau! Dulu aku pun berminat juga hendak belajar bidang itu, tetapi keluarga aku semuanya ambil pengkhususan tambahan bidang Al-Quran dan Sunnah. Jadi, ibu aku minta aku ambil jurusan itu sebagai pengkhususan tambahan. Dia tidak pernah memaksa, tetapi aku sendiri tidak sampai hati hendak mengecewakan hajatnya. Lagipun, seronok juga dapat mendalami agama,"

"Maknanya, kalau engkau tidak dapat kerja di syarikat seperti sekarang, boleh jadi engkau merupakan ustaz di sekolah berdekatanlah ya," Darwina mengusik nakal. Hakikatnya, dia kagum mendengar bicara Amirul.

'Seluruh keluarga ambil pengkhususan Al-Quran dan Sunnah? Macam manalah ibu dia boleh berkenan hendak bermenantukan aku.' Fikir  Darwina. Dia teringat akan latar belakang keluarganya. Ibunya memang seorang ustazah, tetapi dia tidak pernah dipaksa dalam memilih kerjaya dan pengkhususan bidang pengajian.

Sampai sekarang, dia tidak pernah langsung melihat dua orang kakak Amirul. Semasa mereka berkahwin dahulu, Kak Zahra masih belajar di Mesir dan tidak dapat pulang kerana imtihan sudah terlalu hampir. Kak Hafsyah pula berada di Jordan dan tidak dapat pulang kerana masih dalam pantang.

"Betul juga cakap engkau. Seronok tahu jadi pendidik, dapat banyak peluang berdakwah. Pahala boleh datang dari setiap percakapan kita dengan anak murid," jujur Amirul meluahkan. Darwina mengangguk lalu tersenyum.

"Engkau mesti suka benar melayan budak-budak,"

"Memang aku suka budak-budak. Sebab itu, kalau boleh aku memang teringin sangat hendak mempunyai ramai anak. Biar ramai yang dapat mendoakan aku apabila aku sudah tiada. Anak merupakan saham akhirat,"

Darwina menahan malu apabila Amirul membangkitkan soal anak. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia lari masuk ke dalam bilik. Namun, dia lekas tersedar. Tentulah Amirul ingin menimang ramai cahaya mata bersama Qistina, bukan dirinya. Secebis hampa mula bermukim di dada.

"Thanks, Wynn. Aku sudah mula lega selepas berbual dengan engkau. Engkau memang teman berbual yang cukup baik. Seronok bersembang dengan engkau," lelaki itu kini sudah boleh tersenyum lebar.

"Kalau begitu, aku boleh jadi kawan engkau untuk bercerita. I'm all ears." pantas Darwina menyatakan kesanggupannya. Dia memang tidak kisah untuk membantu Amirul.

Lelaki itu tersenyum senang. Memang begitulah sikap Darwina yang dikenalinya. Wanita itu tidak pernah keberatan untuk membantu dalam segala urusan, hatta semasa memberikan bantuan sebagai rakan komplot untuk menjadi isteri sementara pun dia akhirnya sanggup.

'Mungkinkah ada lagi perempuan di dunia ini yang sanggup mengerti aku sepertimana engkau memahami aku, Wynn?' getus hati Amirul. Pantas dia menepis bisikan itu.

'Ya, Qistina. Dia pasti mampu membahagiakan aku. Bukankah kami telah berjanji?'

********************

Hujung minggu itu, mereka keluar ke taman berdua untuk berjoging. Sedikit bekalan dan tikar turut dibawa bersama untuk berkelah di sana. Sampai di sana, mereka terus memulakan larian. Sepanjang larian, mereka tidak habis-habis bergurau senda sambil menjamu mata menikmati keindahan ciptaan Allah. Pandangan Darwina tertancap pada sepasang kekasih yang sedang asyik memadu asmara.

"Myrul, cuba engkau lihat pasangan kekasih yang duduk di bangku kayu itu. Bukan main mesra lagi, langsung tidak ingat dosa. Kita yang sudah kahwin pun tidak berani buat begitu," terus sahaja Darwina mengungkap perasaan tidak suka terhadap tingkah laku pasangan muda itu.

"Aku dan Qistina pun bercinta juga, tetapi aku tidak pernah pula hendak sentuh dia. Kalau keluar pun, tidaklah duduk rapat sangat begitu," luahan tulus Amirul menyebabkan Darwina terdiam. Dia bungkam sendiri.

"Eh, itu adik susuan akulah, Wynn!" Darwina segera berpaling apabila mendengar kata-kata Amirul.

'Masya-Allah! Betullah, itu Ruziah, adik Myrul. Dia ada sekali masa akad nikah kami dulu.' fikir Darwina. Dia sendiri terkejut melihat gadis itu sedang bercanda dengan teman lelakinya dengan gaya yang langsung tidak menghiraukan batasan agama. Hatinya beristighfar panjang. Dia dapat melihat sendiri garis-garis kemarahan di wajah Amirul. Tampak jelas ketegasan seorang abang.

"Aku hendak ke sana, Wynn!" Amirul terus menuju ke arah adik perempuannya itu. Ruziah bukanlah adik kandung Amirul, cuma saudara susuan sahaja kerana ibu Ruziah dulu gagal menyusukan Ruziah kerana koma setelah terlibat dalam kemalangan. Namun, rasa tanggungjawab Amirul tetap ada untuk Ruziah, mungkin kerana dia memang tiada adik.

"Ruziah!" seru Amirul dengan lantang. Pasangan muda itu lantas berpaling ke arahnya. Wajah Ruziah bertukar pucat.

"Engkau buat apa di sini? Sudah tidak ingat dosa lagikah?" terus sahaja soalan itu ditujukan tanpa belas kasihan. Bagi Amirul, tiada istilah toleransi dalam soal maksiat. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menampar teman lelaki Ruziah yang menjelingnya tajam. Tangan lelaki itu masih menggenggam erat tangan Ruziah, kononnya hendak memberi kekuatan, padahal menambah dosa semata-mata.

"Zie duduk-duduk dengan teman lelaki pun salahkah? Kecohlah abang ni!" pantas Ruziah menjawab.

"Duduk rapat-rapat begini, engkau tanya aku salah atau tidak? Berpegangan sana sini engkau tanya aku salah atau tidak? Engkau jangan bercakap macam orang tiada agama!" Amirul terus menjerkah. Dia sudah hilang sabar mendengar jawapan Ruziah.

"Pegang tangan sahaja, bukannya Zie buat maksiat! Abang yang sibuk sangat. Abang kandung Zie sendiri pun tidak kisah Zie keluar dengan Rizal. Dia ada dengan Zie tahu masa Rizal datang ambil Zie di rumah dengan motosikal tadi? Abang aje yang sibuk hendak betulkan Zie, macamlah abang bagus sangat!" Ruziah memandang sinis.

"Engkau jangan kurang ajar, Zie!" Tangan Amirul sudah melayang ke pipi Ruziah, namun lengannya sempat dipaut oleh Darwina di sisi lalu belakangnya diusap menyuruhnya bersabar. 

"Zie, janganlah cakap kasar sangat dengan abang Myrul. Dia nasihatkan Zie benda yang betul, bukannya dia ajar Zie buat benda tidak baik. Apa yang Zie memang tidak elok pun. Orang Islam tidak patut berdua-duaan dan bermesra begini. Zie dengan Rizal belum bernikah lagi," Darwina bersuara mengingatkan Ruziah. Dia tidak mahu suaminya bersuara. Kalau Amirul yang bersuara, silap-silap patah tulang Ruziah dikerjakan.

"Huh, sebelum Kak Wina nasihatkan Zie, Zie rasa lebih baik kalau Kak Wina tarbiyyah dulu suami Kak Wina! Kak Wina ingat dia baik sangatkah? Kak Wina pun bukannya perempuan pertama dalam hidup Abang Myrul. Macamlah Zie tidak kenal Qistina. Entah-entah, dia kahwin dengan Kak Wina pun sebab hendak isi tempat kosong saja. Kalau Kak Qis sudah balik Malaysia nanti, mungkin dia ceraikan Kak Wina begitu sahaja. Bukannya Zie tidak tahu, sampai lepas nikah pun Abang Myrul tidak setia pada Kak Wina, masih ingatkan Kak Qis lagi. Baju yang Abang Myrul pakai ini pun hadiah hari jadi daripada Kak Qis. Macamlah Zie tidak ingat," Ruziah memerli sinis. Darwina dan Amirul terpaku.

Melihatkan reaksi Amirul dan Darwina, Ruziah jadi hairan sendiri. Kesempatan itu lantas diambil oleh Rizal untuk mengajak Ruziah melepaskan diri. Mereka terus beredar dari situ. Darwina pula tunduk membisu. Antara malu dengan terkilan, semuanya berebut-rebut mahu bertapak di hatinya.

Amirul pula sudah terdiam sejak tadi. Dia malu benar dengan kata-kata Ruziah. Darwina di sebelah dikerling seketika. Lengan Amirul masih dalam pautan Darwina. Amirul sekadar membiarkan sahaja kerana dia pun tahu Darwina sedang lemah semangat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (8)

Darwina pulang awal dari pejabat dengan menaiki teksi setelah habis mesyuarat. Awal-awal dia sudah memaklumkan kepulangannya kepada Amirul. Seperti yang dijangka, lelaki itu kurang senang dengan ideanya balik sendiri menaiki teksi. Setelah penat meyakinkan bahawa dia sudah biasa begitu, barulah lelaki itu memberi keizinan untuk dia pulang sendiri.


"Dah balik awal macam ni, mati kutu pula aku. Bosan, tak tahu nak buat apa. Inilah padahnya kalau dah terlalu biasa duduk berteman. Pergi ke mana pun semua berteman, lama-lama tertinggal seorang dah tak tahu nak buat apa," gerutu Darwina.


Sudah berkali-kali dia menukar siaran televisyen, namun tiada satu pun rancangan yang menarik perhatiannya. Sinetron, drama, dan filem sudah terlalu membosankan baginya. Rasa sunyi pun ada menjengah, sampai dia jadi penasaran. Sekuat hati dia berdoa, semoga Allah menutup pintu hatinya daripada cinta dan rindu terhadap Amirul.


Melihat jarum jam sudah bergerak ke angka empat setengah, suis televisyen segera dipadamkan. Darwina segera menuju ke dapur untuk memasak ala kadar. Dia tahu, Amirul tentu sudah makan tengahari, jadi untuk apa dia memasak makanan berat lagi?




*********************


Sepanjang perjalanan pulang, Amirul langsung tidak mampu fokus pada pemanduannya. Sudahnya, dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Wajahnya diraup berkali-kali. Fikiran yang tidak menentu cuba distabilkan sebaik mungkin.


"Qis, mana awak semasa saya perlu awak? Janji kita, saya akan pegang sampai mati, Qis, sampai mati. Janganlah gugat pendirian saya begini, saya pun manusia punya perasaan. Jangan buat saya jadi manusia yang mungkir janji!"


Tiada siapa yang mendengar pemberontakan jiwa lelaki itu. Dialah lelaki yang kini mula tenggelam akal warasnya. Dia buntu, perlakuan Qistina begitu menyentap hatinya. Tiada siapa yang akan memahaminya.


Jam dikerling. 5.15 waktu yang tertera. Setelah berusaha mengumpul kudrat tubuh dan jiwa, dia menyambung pemanduan. Seperti biasa, apabila mengenangkan Darwina, dia selalu tidak sampai hati menurut emosi yang menggila.


********************


Mendengar bunyi deruman enjin di luar pagar, Darwina bergegas ke hadapan untuk membuka kunci pagar dan rumah. Memang dia tahu Amirul mempunyai kunci, tetapi dia sengaja mahu memudahkan kerja suaminya. Sebelum keluar ke halaman rumah, tudung masih sempat dicapai dan disarung ala kadar. Biarlah tidak menjadi bentuknya, asalkan dapat menutup auratnya seketika.


'Lain macam saja muka dia,okey atau tidak?' getus hati Darwina apabila melihat wajah Amirul kelihatan kusut dan bermasalah. Melihatkan wajah tegang itu, dia sengaja mengunci pintu perlahan-lahan. Kalau boleh, dia mahu emosi Amirul reda dahulu. Takut juga dia seandainya lelaki itu naik berang jika dia menyibuk.


Suasana sepi. Tiada siapa yang mahu memulakan perbualan. Masing-masing membiarkan keadaan begitu berlarutan. Darwina hanya memerhati tingkah laku Amirul yang agak ganjil. Tanpa menghiraukan sesiapa, lelaki itu lantas menghenyakkan badan di sofa ruang tamu. Tali leher sekadar dilonggarkan, tidak pula ditanggalkan. Pakaian kerja pun tidak disalin, sekadar dibuka butang atas pada kemeja itu. Wajahnya menampakkan fikiran yang sungguh serabut.


"Assalamualaikum," akhirnya, lambat-lambat Darwina bersuara. Tidak betah rasanya dia menghadapi keadaan yang serba aneh begitu.


"Waalaikumussalam," jawapan itu terlalu ringkas, sekadar menjawab salam. Darwina bertambah bingung.Dia sendiri tidak tahu apa yang bersarang di minda lelaki itu.


Antara sedar atau tidak, dia sendiri tidak pasti. Tubuhnya bagai bergerak sendiri untuk duduk di sebelah Amirul. Entah ke mana agaknya dicampakkan rasa malu yang bersarang.

"Ada masalahkah?"Soalan itu dijawab dengan gelengan saja. Darwina tahu dia berbohong.

"You're not a good liar." Memang selalu pun Darwina berbahasa begitu dengan Amirul baik sebelum mahupun selepas nikah.

"Yeah, I'm not! So what?" Jerkahan itu mengejutkan Darwina. Itulah kali pertama seumur hidup Amirul bersikap kasar terhadapnya. Selama ini, lelaki itu sentiasa bersikap tenang, bahkan umpama seorang yang tidak kenal erti amarah. Sekarang, Darwina tidak tahu lagi siapa lelaki di hadapannya.

"Aku memang bukan penipu handalan. Aku memang tak tahu bagaimana nak bersandiwara macam kau semua orang perempuan! Aku tak pandai semua tu. Aku buat banyak kesilapan dan aku tak akan pernah nafi kesalahan aku. Kau takkan faham, Wynn! Better you shut up!" Amirul betul-betul memberontak.

Hakikatnya dia tidaklah prejudis terhadap perempuan. Kata-kata melampau itu semuanya datang dari nafsu amarah, bukan lagi akal waras. Dia sendiri bagaikan tidak sedar apa yang diucapkan. Kerinduan terhadap Qistina benar-benar menyeksa.

Darwina pula sudah terpaku di tempatnya seraya diam seribu bahasa. Dia benar-benar terkejut. Entah mengapa, kata-kata itu tidak lagi membuatnya ingin membelasah Amirul seperti yang pernah diugutnya setiap kali bergaduh sebelum nikah dahulu. Kali ini, kata-kata itu membuatkan dirinya ingin menangis.

Akhirnya, lidah perempuan itu kelu sendiri. Kakinya terus melangkah pergi dari ruang tamu. Dia ingin bersendirian melayan perasaan. Sakit sungguh hatinya.

'Ya Allah, apa yang aku buat tadi?' Amirul mula berfikir dengan rasional setelah pemergian Darwina mengejutkannya.

"Wynn, Wynn! Buka pintu ni," Darwina mengurung diri di biliknya tanpa menghiraukan panggilan Amirul. Dia tidak berminat melayan amarah lelaki itu. Lebih baik dia mandi daripada membuang masa memikirkan semua itu. Mana tidaknya, lelaki itu bukan jenis yang boleh diganggu sangat ketika sedang marah.

"Wynn, I'm so sorry about it." Sudahnya, Amirul menyampaikan pesan dari luar pintu. Dia tahu, pasti Darwina dapat mendengar pesanan itu. Sejurus kemudian, kedengaran bunyi seseorang mandi dari bilik itu.

'Aku bukannya teruk sangat. Sejak bila aku jadi sensitif? You should have known me better, Myrul.' Fikir Darwina. Dia bagai mahu ketawa dengan reaksi gelabah lelaki itu, pada masa yang sama menyimpan sisa-sisa kemarahan. Entah kenapa, hatinya sedikit terusik, tetapi ditepisnya perasaan itu dan menyedapkan hati sendiri.

Semasa makan malam, Amirul memerhatikan sahaja tingkah laku Darwina dengan wajah gelisah. Sedikit pun dia tidak berani berkutik, sedar akan kesilapannya tadi. Setelah habis makan, barulah dia memberanikan diri menegur Darwina.

"Wynn, aku minta maaf. I lost my temper just now. I didn't meant it."

Darwina hanya memandang kosong ke arahnya. Sekilas dia merenung tajam, lantas menjawab dengan ayat yang berbisa.

"Either you mean it or not, it doesn't matter to me. It's none of my business. We're just friends, and will forever be friends, okay?"

Ayat itu menjadi penutup bicara mereka, meninggalkan Amirul dengan rasa yang sebal, sementara Darwina bagai mahu menarik balik setiap patah ucapannya. Entah mengapa, Darwina tidak mengerti.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (7)

Selesai sahaja kerja, Amirul memerhati jam dinding. Darwina hanya akan pulang pukul lima petang. Masih ada setengah jam. Dia memilih untuk berehat dahulu. Untuk kesekian kalinya, minda lelaki itu melayang. Perbualan dengan Rusydi masih bermain di minda, bagai pita rakaman yang dimainkan berulang kali. Puas dia berusaha menepis, bayangan Qistina pula menjelma.


Telefon bimbitnya dicapai lalu ditekan-tekan. Ya, hanya satu nombor telefon yang dicarinya. Qistina.


"Nombor yang anda dail telah ditamatkan. Terima kasih," operator talian pula yang menjawab panggilan Amirul.


'Betullah, Qis memang dah tak guna nombor telefon ni. Masa hendak ke Australia lagi dia sudah tukar. Tapi, kenapa sampai sekarang masih tak beritahu aku nombor telefon baru? Kalau online di Yahoo!Messenger atau Facebook pun dia tak pernah online. Mungkin masa tak sama, tetapi salahkah kalau dia tinggalkan pesan dalam inbox aku?' Fikir Amirul.


Qistina perlu ke Jordan untuk menjalankan kajian bersesuaian dengan bidang Fizik yang diambilnya. Dia terus membuat keputusan itu tanpa berbincang langsung dengan Amirul. Hanya seminggu sebelum dia berlepas dari lapangan terbang KLIA, barulah dia dengan selamba memaklumkan pemergiannya ke sana.


"Saya tak nak lukakan hati awak. Kalaulah saya cakap yang saya hendak pergi ke Jordan sejak awal, mesti awak tak berapa senang. Ini cita-cita saya, minat saya. Saya memang betul-betul hendak ke sana. Kalau saya beritahu awal, saya takut jadi keladak dalam hubungan kita," itulah jawapan Qistina apabila disoal oleh Amirul.


"Arisa Qistina, selama ini, kalau saya buat keputusan, pernahkah saya membelakangkan awak? Pernahkah saya buat sesuatu tanpa meminta pandangan awak, tanpa menghiraukan perasaan awak? Saya turutkan semua permintaan awak dan tak pernah belakangkan awak! But why?"


Hati lelakinya rasa sungguh tercabar. Tidak sangka kekasih hatinya bersikap begitu.


"Memang awak tidak membelakangkan saya, kerana saya tidak akan halang kalau awak betul-betul hajatkan sesuatu dalam hidup awak. Saya pula tidak pasti akan pendirian awak. Selama ini, kalau saya hajatkan sesuatu, sesetengahnya awak akan tolak dengan bermacam-macam hujah panjang awak tu. Saya tak tahu kalau awak akan halang saya lagi kali ini,"


"Kenapa awak tak percayakan saya?"


"Saya percaya awak, tetapi saya takut. Saya bimbang. Saya harap sangat awak faham kedudukan saya.  Saya takut kalau-kalau awak ajak saya nikah dulu sebelum saya tamat belajar,"


"Kalau saya memang nak bernikah sebelum awak tamat belajar?"


"Keluarga saya tak akan izinkan. Awak nak tahu, mereka dah cukup marah semasa dapat tahu saya bercinta sebelum tamat pengajian. Kalau datang pula hal awak nak ajak kahwin sebelum saya tamat belajar, huh. Saya tak tahu apa nasib saya,"


Amirul hanya mampu diam. Sepatah pun dia tidak menjawab. Raut kekecewaannya terlihat jelas pada wajahnya. Namun, perlahan dia mula mengerti. Dia harus banyak mengalah dalam perhubungan ini kerana kedudukan Qistina yang masih belum tamat belajar. Dia perlu bersabar, dan terus bersabar. Sampai bila, dia sendiri pun tidak tahu.


'Dari gaya keluarga Qistina, nampak macam mereka kurang senang dengan kehadiran aku semasa di KLIA.'


Masih terngiang-ngiang suara Datin Qamariah merengus semasa Amirul menyalam hormat Dato' Herman semasa baru tiba di lapangan terbang itu. Mata wanita separuh abad itu bagai menyiat-nyiat tubuhnya dengan pandangan yang tajam berbisa. Apabila dia tidak bersalam dengan Datin Qamariah, kata-kata pedas menghiris telinganya.


"Hai, tidak tahukah hendak hormat calon emak mertua? Qis, kalau macam ni, nampak gayanya mama tak merasalah nak dapat layanan menantu," tajam sungguh sindiran itu.


"Maaf, datin. Saya tidak berniat nak hiris hati datin, tapi..." belum sempat ayat itu dihabiskan, suara Datin Qamariah lebih dulu memintas.


"Tak payahlah cakap apa-apa, er.. siapa nama kamu tadi, Amirul? Kalau tidak mahu salam dengan saya pun tidak apa,"


Nada hambar Datin Qamariah memberitahu Amirul bahawa wanita itu berkecil hati. Amirul jadi bingung. Mungkin silapnya juga yang enggan menghulurkan salam, tetapi adakah ibu Qistina tidak pernah belajar hukum bersalam dengan lelaki yang bukan mahram? Lupakah Datin Qamariah, dia belum bernikah dengan anak perempuannya?
'Rumit juga hal macam ni. Orang berumur ni kalau kecil hati, susah juga. Memang betullah, sosial orang ternama ni lain. Agama tak berapa dipedulikan. Astaghfirullah, apa aku buat ni? Fikir bukan-bukan pula tentang bakal emak mertua. Entah-entah aku saja yang fikir bukan-bukan. Manalah tahu, dia baik orangnya. Soal hukum, mungkin dia terlupa.'


Sudah hampir sebulan sejak peristiwa itu berlaku. Qistina tidak pernah cuba menghubungi Amirul langsung. Apabila Amirul bertanya pada Datin Qamariah, wanita itu acuh tidak acuh sahaja. Dia hanya mengatakan Qistina belum ada telefon rumah. Sempat lagi dia berpesan, kalau boleh janganlah terlalu banyak berhubung dengan Qistina, takut pelajarannya terganggu.


"Kalau aku hubungi Qistina, dilarang dek emaknya. Kalau aku tak hubungi langsung, nanti emaknya juga yang marah, nanti dikatanya aku ni tak sayang anak dia. Aduh! Serba-serba tak kena," Amirul bertutur sendiri.


Sebenarnya, beberapa hari lepas dia ada bersembang dengan kakak Darwina, Diyana. Perempuan itu memang baik dengannya malah memahami tujuan pernikahan itu. Entah apalah yang merasuk Diyana sehingga dia tidak kisah pun apabila dimaklumkan bahawa adiknya akan dinikahi dengan cara sebegitu.


"Kakak tak tahu nak komen apa, tetapi rumahtangga memang perlukan restu keluarga. Kakak dah kahwin, alhamdulillah bahagia sebab dua-dua pihak restu, taklah jadi macam kawan-kawan kakak, ada yang merana sebab tak ikut cakap mak ayah. Sebelah pihak tak restu pun jadilah, memang akan ada masalah. Selalunya, kalau orang dah tak suka, bila ada masalah sikit, banyaklah batu apinya," memang benar, daripada gaya Diyana berbicara, memang Amirul tidak meragui kejujuran bicara itu. Pernah sekali dia bertandang ke rumah Diyana, hatinya gembira bahkan cemburu dengan kebahagiaan kakak iparnya itu.

Sampai sekarang, sejak melihat kebahagiaan keluarga Diyana, Amirul tidak pernah jemu meminta pendapat Diyana dan suaminya, Hazriq. Namun, Diyana yang lebih banyak berkongsi kerana tuntutan kerja Hazriq menyukarkan mereka untuk bertemu. Lagipun, Hazriq nampak kurang senang dengan Amirul sejak mengetahui bahawa adik iparnya sekadar menjadi sandaran saja bagi Amirul.

Waktu Hazriq mendapat tahu hal sebenar pernikahan itu, nyaris-nyaris patah riuk Amirul hendak dikerjakan. Mujurlah Diyana yang lebih penyabar dapat menenangkan suaminya. Melihatkan keadaan itu, dia bertambah kagum. Dia kagum akan sikap penyayang Hazriq yang begitu mengambil berat dan menganggap Darwina seperti adik sendiri. Kagum bertandang lagi ketika dia menyaksikan sendiri kelembutan dan kebijaksanaan Diyana dalam meredakan kemarahan suami. Sesuatu yang sangat diimpikan sebagai ciri seorang wanita idaman.

"Sebenarnya, kakak Diyana kamu lebih kasar daripada Wina. Kalau masa belum kahwin dulu, memang Wynn yang kena tenangkan Diyana kalau Diyana marah. Wynn handal betul kalau bab pujuk-memujuk. Itu menurut kata ibu bapa Diyana," itu kata Hazriq semasa mereka berbual dahulu.

Amirul sangat suka akan kelembutan dan sifat keibuan yang ada pada Diyana. Memang dia sangat mengharapkan agar teman hidupnya sebaik Diyana. Apabila dikenangkan semula, Allah memberikannya peluang untuk menjadi suami Darwina. Menurut kata orang, dalam kalangan tiga beradik Diyana, Darwina dan Dzafirah, memang Darwina yang paling menjadi dan baik pula akhlaknya.

Bersama Darwina, dia akui memang benar kata orang. Walaupun hanya isteri sementara, layanan Darwina terhadapnya sungguh baik. Sebab itulah juga, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas budi wanita itu. Seboleh mungkin, dia akan cuba mengajarkan ilmu agama untuk pegangan hidup Darwina. Latar belakangnya dari sekolah agama rakyat dan berkelulusan dari UIA agak memberikannya kelebihan dalam ilmu agama, maka wajib baginya menurunkan kepada Darwina.

Sekilas Amirul memandang jam tangannya. Sepuluh minit lagi pukul lima. Dia terus menuju ke kereta lalu memandu ke pejabat Darwina. Dia tidak mahu membuat Darwina tertunggu-tunggu. Perempuan itu bukan boleh diduga. Silap-silap nanti satu SMS akan masuk ke dalam inbox Amirul memaklumkan bahawa dia pulang sendiri dengan menaiki teksi kerana enggan menyusahkan sesiapa.

Sampai di pejabat Darwina, perempuan itu sudah siap menunggu. Dia terus masuk ke dalam kereta dengan didahului lafaz salam. Sejuk hati mendengarnya. Masuk ke kereta, Amirul terus memandu tanpa membetulkan apa-apa. Dia malu kalau-kalau Darwina mahu bersalam dengannya lagi.

'Parah betul penyakit segan aku ni!' Lalu Amirul terus memandu pulang ke rumah dengan wajah yang terasa panas kemerahan. Pandangan dihalakan tepat ke jalan raya, sepatah kata pun tidak diucapkannya lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (6)

Sampai di pejabat pagi tadi, Amirul tidak terus turun dari kereta. Dia duduk merenung tangannya sendiri. Entah mengapa, tindakan Darwina menyalam dan mengucup tangannya tadi membuatnya diserbu perasaan aneh.

"Qis, maafkan saya. Saya telah menyerahkan diri saya untuk disentuh oleh wanita lain, sedangkan dahulu saya telah berjanji tidak akan menyentuh wanita lain selain awak. Saya tidak pernah menyentuh perempuan yang bukan mahram termasuklah awak, malah saya bertekad, awaklah yang akan jadi wanita itu. Wanita yang halal untuk saya sentuh," tutur Amirul seorang diri tanpa ada siapa yang mendengar.

Pada hakikatnya, perlukah rasa bersalah itu hadir? Darwina halal untuknya. Janji itu bukanlah segala-galanya lagi. Tidak bermakna lagi ketika akad sudah terlafaz.

"Qis, janganlah begini. Awak tahu saya tak suka," larang Amirul ketika Qistina cuba meraih tangannya. Sebenarnya bukan mudah untuk dia berbuat begitu. Yalah, siapa tidak tergoda kalau tangannya diraih wanita cantik, malah berpangkat kekasihnya pula?

"Alah, awak ni! Pegang tangan sikit pun tak boleh. Cuba tengok keliling awak, tengok pasangan lain. Ada ke yang canggung macam kita ni? Awak buat saya ni macam kayu aje tau!"

"Qis, itu orang lain. Apa awak ingat tak berdosa ke buat kerja begitu? Awak sabarlah dulu, lepas kahwin nanti awak nak buat apa pun buatlah, saya tak kisah. Suka lagi ada," usikan itu tidak berbalas usikan, sebaliknya kata-kata bantahan.

"Awak ni memanglah. Kalau awak dah risau sangat tentang dosa, awak kahwin sajalah dengan ustazah! Penatlah cakap dengan awak ni. Tak pernah nak faham perasaan saya,"  Bentak Qistina.

"Kalau saya nak kahwin dengan ustazah, awak nak kahwin dengan siapa?" Qistina diam mendengarnya.

"Qistina, saya sayang awak. Kalau awak cakap awak nak suruh saya kahwin dengan ustazah, baiklah. Kalau itu yang buat awak bahagia,"

"Itulah! Awak memang tak sayang saya kan? Senang-senang aje nak nikah dengan orang lain,"

"Tapi.." ayat itu sengaja digantung.

"Tapi apa?"

"Saya akan pastikan ustazah dalam hidup saya ialah awak," kata-kata manis itu menyebabkan wajah Qistina merona merah. Hilang segala marah dan rajuknya tadi.

Kisah itu telah berlalu. Kini, janji itu telah dimungkiri saat Amirul menikahi Darwina. Walaupun sekadar komplot, dia tetap rasa sedikit bersalah. Di hadapan Darwina dan Qistina, dia cuba berlagak tenang dan menganggap dirinya tidak bersalah. Dalam hati, Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaannya.

Hampir lima belas minit lamanya dia berkeadaan begitu, tingkap keretanya diketuk tiga kali. Apabila menoleh ke kanan, teman baiknya, Fazli sedang tersengih memandangnya.

"Hai, dah tak reti nak turun kereta ke?" Mereka sama-sama ketawa.Amirul menurunkan sedikit cermin keretanya.

"Kalau nak suruh aku turun, ke tepilah sedikit. Nanti tak pasal-pasal kau yang jadi lempeng kalau aku buka pintu,"

"Alasan tak diterima, Mr. Amirul. Dah berapa lama aku perhati dari jauh, kau tak turun-turun. Sekarang nak berdalih pula,"

Amirul tersengih sahaja. Dia malas hendak memanjangkan cerita. Nanti, pasti dikorek pula alasan dia berkeadaan begitu. Apa yang pasti, dia tidak mahu menghebohkan kisah rumah tangganya. Perkara itu ditegah dalam Islam.

Sewaktu makan tengah hari, dia memilih untuk pergi ke restoran bersama Rusydi. Lelaki itu memang sahabat baiknya. Sengaja dia memilih restoran yang tidak terlalu dekat dengan pejabat kerana tidak mahu bertembung dengan rakan-rakan pejabat. Dia mahu bersembang tentang hal peribadi.

"Eh, itu Darwina kan?" Tegur Rusydi apabila melihat kelibat Darwina keluar dari restoran itu bersama rakan sepejabatnya.

Amirul tidak menyahut. Dia hanya memandang kosong ke arah Darwina. Memang dia sudah nampak sejak tadi. Pandangannya langsung tidak dialihkan. Langkahnya pun terhenti.

"Myrul, aku cakap dengan kau ni. Tu Darwina, kan?"

"Ya,"

"Asyik sungguh kau perhatikan dia ya. Tak apa, dapat pahala kalau kau pandang dia,"

"Ha'ah. Ada juga faedah daripada asyik pandang kau," 

"Yalah tu. Ajak aku lunch jauh ni, mesti nak sembang hal peribadi. Setiap kali, akulah yang jadi kaunselor tak bergaji kau. Itupun kau tak kenang. Lelaki oh lelaki,"

"You talk as if you are a lady." Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa Rusydi.

Amirul ingin terus mengambil tempat di meja makan, namun ditahan oleh Rusydi.

"Tak mahu ajak Wina duduk sekali? She's your wife, right."

"Er, tak perlulah kot. Dia dah nak balik pejabat dah tu," Amirul mencipta alasan. Dia malas hendak mengajak Darwina, atau lebih tepat lagi, dia malu sebenarnya.

"Nak ajak isteri makan pun segan? Di rumah, takkan kau makan berasingan?" Rusydi kehairanan melihat tingkah laku sahabatnya.

"Di rumah memanglah makan bersama. Tak ada kerja nak makan berasingan,"

"Habis tu?"

"Aku sengaja malas nak ganggu dia waktu kerja,"
Rusydi mengangkat bahu. Tidak relevan sungguh alasan Amirul pada pandangannya. Akhirnya, dia mengalah sahaja dan mengambil tempat di meja makan. Mereka memesan makanan sebelum meneruskan perbualan.

"Aku tak tahu apa yang aku buat sekarang ni, Di. Aku rasa fikiran aku melayang-layang sekarang. Depan Wynn, aku buat-buat tenang. Aku tak nak dia tahu apa yang aku fikirkan,"
"Tapi belakang dia, kau yang gelabah sebenarnya, kan? Sampai nak tegur dia pun tak berani," pantas Rusydi meningkah.

"Mm, aku memang tak mahu hubungan kami jadi rapat. Kau sendiri pun tahu sebabnya,"

"Aku faham. Kau terikat dengan janji,"

"Baguslah kalau kau faham. Jangan cuba nak rapatkan hubungan kami lagi," terus sahaja Amirul menegaskan pendiriannya.

Dia tidak mahu sama sekali memungkiri janji terhadap Qistina. Wanita itu pemilik cintanya setelah Allah dan Rasul. Qistina pilihannya. Hanya dia.

"Kau memang tak mahu beri peluang pada pernikahan ni?"

"Tidak. Muktamad. Jangan tanya apa-apa lagi," ketegasan Amirul menutup mulut Rusydi. Dia sudah tidak mampu menghalang. Amirul benar-benar sudah nekad.

"Aku tahu cara aku kejam, Di. Aku seolah-olah mempermainkan dan memperalatkan Wynn,"

"Kalau kau rasa begitu, kenapa kau masih melakukannya?"

"Dia sudah bersetuju tentang soal itu sebelum kami bernikah lagi. Dia pun sudah ada pilihan,"

"Hati perempuan ni lembut. Tak mustahil dia akan sayang kau. Apa sekalipun, kau tetap perlu ingat bahawa dia isteri kau, amanah untuk engkau. Kalaulah nanti dia jatuh cinta dan Qistina pulang, kau tak boleh sewenang-wenangnya menyuruh Wina mengalah. Itu kejam namanya,"

"Sebab aku tak mahu dia jatuh cintalah aku nak menjarakkan hubungan kami. Pada masa yang sama aku tak mahu abaikan tanggungjawab aku,"

Lama mereka terdiam apabila makanan yang dipesan tiba. Masing-masing melayani selera dahulu sebelum Rusydi bersuara semula.

"Mungkin kau tak sedar sesuatu. Sikap tanggungjawab yang ada pada diri kau tu pun mungkin menyebabkan dia jatuh cinta,"
"Habis tu? Takkanlah kau nak suruh aku abaikan terus tanggungjawab aku. Nafkah dia, kebajikan dia, takkan kau nak suruh aku lupa semua tu! Wajib tahu tak?"

Rusydi mengangkat bahu. Dia malas hendak menjawab soalan itu. Memang benar, Amirul tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya sesuka hati.

"Kau buat aku makin buntu," ujar Amirul. Dahinya berlapis. Dia sendiri pening dengan kata-kata Rusydi. Semuanya jadi serba tidak kena sekarang.

Akhirnya, mereka menamatkan perbualan tentang Darwina. Mereka berbual-bual kosong tentang topik yang lebih ringan. Masing-masing malas hendak memberatkan kepala dengan isu rumahtangga. Sebentar lagi, apabila masuk ke pejabat, bertambah berat pula kepala dengan kerja yang bertimbun.

Habis waktu makan, mereka pulang ke pejabat. Lawak bodoh masih lagi menghiasi perbualan mereka. Ketegasan pendirian Amirul akhirnya gagal ubah, namun hatinya berbolak-balik, antara janji dan tanggungjawab. Hanya kepada Allah dia mengadukan segalanya setelah gagal memperoleh ketenangan daripada perbualan bersama Rusydi.

"Termenung lagi! Kalau dah rindu tu telefon sajalah," tegur Rusydi.

"Bukan termenung, berdoa,"
"Baguslah. Aku pun nak berdoa juga ni, semoga Allah lembutkan hati kawan aku yang bernama Amirul ni. Janganlah dia buat kerja gila dan zalim ke atas isterinya tu. Bukakanlah mata dia untuk menilai dengan iman di dadanya," sindiran Rusydi terasa sungguh tajam.

"Kau fikir aku gila ya nak berlaku zalim ke atas Wynn?"

"Aku lebih harap agar kau buka mata kau dan bersyukur,"

"Maksud kau?"
"Darwina perempuan yang baik,"
Amirul diam lagi. Dia tidak menafikan kebaikan Darwina. Perempuan itu memang sangat baik. Dia punya ciri-ciri isteri solehah. Walaupun ilmu agamanya tidaklah sehebat mana, tetapi dia mudah dibimbing berbanding sesetengah wanita yang tidak suka diajar ilmu tarbiyyah.

'Memang betul, Di. Dia memang perempuan yang baik. Sejujurnya, Wynn lebih mudah dididik berbanding Qis.'

"Aku harap kau faham. Sebaik apapun Darwina, aku akan setia pada Qis. Apa yang aku mampu buat untuk hargai dia, cumalah mendidiknya menjadi wanita solehah. Semoga dengan cara itu, apabila aku sudah lepaskan dia nanti, dia mampu terbang bebas untuk mendapatkan pasangan yang sekufu. Sekurang-kurangnya, biar nanti dia menemui cinta sejati bersama lelaki yang soleh, bukan lelaki yang kejam seperti aku," Amirul menjelaskan rasional tindakannya.

Sebenarnya, tindakan itu tidaklah rasional sangat. Rusydi hanya mampu membantah dalam diam apabila Amirul enggan mendengar apa-apa lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (5)

"Wynn, jom turun. It's already lunch hour, my dear," seru Ina.


"Jom," Darwina menurut sahaja.


"Hai, Wynn. Tak nak lunch dengan husband ke?"Tegur Julia, salah seorang staf pejabat ketika terserempak di lobi.


"Tak. Kalau lunch dengan husband, nanti I masuk office lambat, you all kena ganti tempat I pula," jawapan Darwina sekadar suatu alasan. Pejabat Amirul sebenarnya dekat sahaja dengan pejabatnya. Kalau mereka makan bersama, masih sempat untuknya kembali ke pejabat.


"May I repeat Julia's question?" Tegur Ina apabila mendapati Darwina agak senyap selepas terserempak dengan Julia tadi.


'Mungkin dia tidak selesa dengan soalan Julia.' Fikir Ina.


"Yes, you may but not now. Pesan makanan dulu. Aku dah lapar macam nak telan orang," seloroh Darwina. Memang benar, perutnya sudah mula berkeroncong.


Setelah memesan makanan, Ina terus merenung tajam ke arah Darwina. Dia mahu memastikan Darwina tidak mengelak lagi dari soalannya.


"Kau ni, pandang aku macam nak telan! Myrul pun tak pandang aku sampai macam tu tau," Darwina kurang selesa dengan gelagat Ina.


"Back to the topic and no more excuses, please."


"Okay, Miss Ina. Aku memang malas nak makan dengan dia pun sebenarnya," jawab Darwina, berterus terang. Dia memang jarang berselindung dari sahabatnya itu.


"Kenapa?"


"Entahlah. Aku malas nak makan duit dia agaknya,"


"Takkan sebab tu aje?"Ina kehairanan. Jawapan Darwina kedengaran sungguh tidak logik!


"Ya. Aku malas nak terima duit dia, sebab kau sendiri pun tahu status perkahwinan kami,"


"Itu tak bermaksud kau tak ada hak langsung dalam rumahtangga,"


"Memang aku ada hak, tetapi aku tak sampai hati nak tuntut,"


"Kenapa?" Ina tercengang lagi. Pelik sungguh!


"Sebab dia sekadar suami pada nama. Dia tak perlu bersikap terlalu bertanggungjawab macam suami mithali ke atas isteri yang dinikahinya sekadar atas dasar komplot," jawapan Darwina membuatkan Ina merenung anak matanya, mencari jawapan yang pasti.


"Wynn, dia tak tunaikan tanggungjawab zahir pun pada kaukah?"


"Ish, tak adalah! Dia baik, Ina. Dia terlalu baik," Darwina menjawab jujur. Ketika Ina merenung seluruh wajah bahkan sampai ke anak mata, memang tiada penipuan yang terselindung.


"Makan pakai kau?"


"Dia tanggung, macam suami-suami lain juga. Perbezaannya cuma kami membahasakan diri 'kau,aku' dan kami tak menjalinkan hubungan,"


"Syukur alhamdulillah kalau dia tak berlaku kejam pada kau, Wynn. Aku risau juga bila kau cakap nak kahwin dengan dia secara komplot begitu,"Ina menghela nafas lega. Ketika Darwina mengatakan enggan menerima wang Amirul, dia fikir lelaki itu sedang menganiaya sahabatnya.


"Aku pun bersyukur sangat pada Allah sebab beri aku kesempatan untuk punya suami sebaik dia," terkesima Ina dibuatnya. Dia sungguh tidak menyangka Darwina akan berkata begitu.


"So, how's your new life with him?"


"Alhamdulillah. Dia suami yang baik. In fact, dia lelaki yang terlalu baik. Kadangkala, aku sendiri rasa macam aku tak layak jadi isteri dia. Susah nak cakap. Selama ini, aku fikir lelaki soleh hanya ada dalam angan-angan aku, tidak ada yang hampir dengan aku. Bersama dengannya, aku sedar itu bukan sekadar angan-angan tetapi realiti. Ada masanya, aku rasa rugi apabila teringat bahawa kami hanya sementara. Dia lelaki yang baik, Ina," jelas Darwina sambil tersenyum. Dia memang tidak menipu.


"Don't tell me you're falling in love with him."


"I hope not. Aku kagum dan rasa bertuah sebab ada seorang pembimbing dalam hidup aku, terutamanya dalam soal agama. Banyak perkara yang aku belajar dari dia,"


"Untungnya kau bersuamikan dia. Walaupun sementara, aku yakin dia istimewa. Aku nampak sendiri, ada perubahan pada diri kau," Ina berterus terang. Memang Darwina sudah berubah sedikit sebanyak ke arah positif. Tadi, dia sendiri terperanjat apabila Darwina ke surau bersolat dhuha. Sebelum keluar makan, Darwina mengajaknya solat zuhur berjemaah.


"Aku banyak ikut teladan dia. Apa yang kau nampak hari ini, semuanya didikan dia sejak malam pertama pernikahan kami,"


"Meremang bulu roma aku, Wynn, waktu kau sebut malam pertama,"Darwina segera mencubit tangan Ina sebelum sempat dia mengelak.


"Kau jangan mengarut. Kami tak ada sampai ke situ, ya!"


"Okey, aku faham. Muka kau merahlah, Wynn. Jatuh hati ke?"


"Mana ada," pantas Darwina menafikan. Dia tidak boleh jatuh cinta pada Amirul!


"Okey, kalau begitu kata kau, aku percaya sajalah. Anyway, if you're falling in love with him, you still have time."


"What do you mean?"


"Pikatlah dia. Mana tahu kalau-kalau dia jatuh cinta,"


"Kau gilakah?"


"I'm serious, my dear. Use your power as a charming wife."


"Aku tak akan buat macam tu,"


"Why not?"


"Aku tak jatuh cinta pada dia, buat apa nak pikat dia. Even if I do,I won't do that. Aku bukannya perempuan yang suka rampas kekasih orang,"


"Terpulang pada kaulah, Wynn. Satu perkara yang pasti, dari segi hukum, kau tetap lebih berhak ke atas Myrul. Kau isteri dia, sedangkan Qis tak ada sebarang ikatan pun dengan dia,"


"Jangan hasut aku, Ina. Cinta Myrul untuk Qistina. Kenapa aku nak jadi penghalang?"


"Tak ada salahnya pun, Wynn. Bukannya kau rampas hak milik orang,"


"Yes, I will be if I try to get him."


"Ada bukti?"
"Percintaan dan janji mereka. Komplot kami,"


"Janji dan cinta itu bukan bermakna hak milik, Wynn. Selagi tak ada akad yang terlafaz, selagi itu mereka bukannya saling memiliki dalam erti kata yang sebenar-benarnya," Ina pantas berfalsafah.


"Kau jangan buat aku mungkir janji, Ina. Kami dah janji akan bercerai. Buang masa aku pikat dia. Buat apa hendak cari masalah?"


"Aku cuma beri cadangan. Manalah tahu kalau-kalau kau tak sanggup lepaskan dia nanti,"

"I have to."

"Tak semestinya,"

"Semestinya,"

"Kenapa?"

"Cinta dia hanya untuk Qistina,"

"Sebab tulah aku cakap, pikat dia elok-elok kalau kau sayang dia,"

"I won't."

"Why?"

"Kau pun tahu hukum mengkhianati janji,kan?"

"Kau pun tahu, cerai ialah perkara halal yang paling dibenci Allah,kan? Tambahan pula kalau rumahtangga yang tak ada perbalahan macam rumahtangga kau dan Myrul,"

"Sekarang mungkin belum, Ina. Esok lusa siapa yang tahu,"

"Aku rasa kalau dia sebaik apa yang kau cakap, dia akan rasional kalau ada masalah. Tak mungkin dia nak bertindak dengan cara yang terlalu ikutkan emosi,"

"Aku tak nafikan,"

"Kalau macam tu, tak ada salahnya kau mencuba, kan?"
"Aku tak akan mencuba,"

"Kenapa tak nak cuba mempertahankan sebuah baitulmuslim?"

"Ina, aku harap kau faham. Baitulmuslim idaman aku, bahkan idaman semua insan di muka bumi ini, ialah baitulmuslim yang penuh cinta dan kasih sayang. Semestinya semua itu bukan diperoleh dengan cara merampas cinta orang lain," dengan kata-kata itu, Darwina beredar untuk membayar harga makanan. Ina segera menghabiskan minuman lalu menurut Darwina.

"Banyaknya duit kau hujung-hujung bulan ni,"

"Myrul beri pagi tadi,"

"Untuk apa?"

"Nafkah katanya.Aku nak menolak pun tak sampai hati bila dia kata begitu,"

"Kan aku dah cakap, lelaki soleh tak akan abaikan tanggungjawabnya sebagai suami,"

Darwina mengangkat bahu, malas hendak menjawab.Apabila keluar dari restoran, barulah dia menjawab mudah.

"Sebab dia lelaki solehlah, aku tak mahu buat semua yang kau cadangkan. Allah ciptakan manusia dengan pasangan yang sekufu. Aku bukan wanita solehah, tak layak untuk berdampingan dengan lelaki sebaiknya,"

"Kau pastikah Qistina wanita solehah itu?"

Darwina sudah tidak mahu menjawab lagi. Sudahnya, mereka membisu hingga tiba di pejabat.

'Kau tak akan faham, Ina.'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS