Sebulan kemudian...
"Engkau hendak panadolkah?" soal Amirul. Sejak tadi, Darwina langsung tidak bangun dari perbaringan. Hari 'bendera merah' sudah diisytiharkan lagi. Sakit benar nampaknya Darwina sampai tidak bangkit memasak seperti selalu.
Darwina hanya mengangguk. Untuk ke dapur mengambil ubat sendiri, dia memang betul-betul tidak larat lagi. Sudahnya, dia membiarkan sahaja lelaki itu ke dapur mengambil ubat untuknya. Dia hanya menyimpan ubat itu di dapur kerana dia jarang mengalami sakit seteruk itu.
"Kalau tidak menyusahkan, tolong ambilkan aku air suam," pinta Darwina. Dia masih tahu mengirim diri. Tidak mungkin sesuka hati sahaja dia hendak mengarah bagaikan 'Lady Boss'.
"Tidak ada apa yang menyusahkan. Kalau hendak apa-apa lagi, cakap sahaja," ujar Amirul sebaik sahaja masuk ke kamar semula.
"Thanks." sepatah Darwina menjawab.Panadol yang dihulurkan itu ditelan sahaja.
"Welcome. Lagi satu, tidak perlulah kirim diri sangat. Aku ada tanggungjawab ke atas engkau. Apabila engkau sakit begini, minta tolong saja dengan aku,"
"Okey,"
"Er, Wynn. Boleh aku tanya sedikit?"
"Tanya sajalah. Engkau ada hak untuk bertanya," jawab Darwina lalu tersenyum.
"Engkau langsung tidak hubungi Syukri lagikah? Jangan buat Syukri macam apa yang Qistina buat pada aku. Aku lelaki, Wynn. Aku tahu bagaimana perasaan apabila orang yang kita sayang menyepi tanpa khabar," nasihat Amirul menyentap hati Darwina. Sudahnya Darwina hanya tunduk membisu.
"Aku nak tidur," akhirnya Darwina sekadar mengelak.
***************
"Engkau buat apa termenung di sini?" tanya Darwina lembut.
"Entahlah. Fikiran aku sangat tidak menentu. Macam-macam perkara bermain di minda aku,"
"Soal Qistina?" seperti biasa, telahan Darwina selalu tepat.
'Apa lagilah yang boleh buat engkau jadi begini kalau bukan Qis. Bukan sehari dua aku kenal engkau.' fikir Darwina. Dia sebenarnya berkecil hati namun tidak pula ditunjukkan.
"Sudah tiga bulan pun kita kahwin. Dia langsung tidak hubungi aku. Sejak pergi ke Australia, khabar tentang dia langsung tiada. Mungkin engkau anggap dia berkecil hati dengan komplot kita, tetapi dia sendiri yang setuju. Kalau engkau hendak tahu, sejak dia ke Australia, hanya sekali dia membalas e-mail aku untuk menyatakan persetujuan. Selain itu, aku langsung tidak pernah mendapat berita daripadanya. Aku cuba tanya ibunya nombor telefon barunya sekarang, sebab dia sudah tukar nombor telefon, tetapi ibunya tidak suka aku. Jangan haraplah dia hendak beritahu. Engkau bayangkanlah perasaan aku, apabila ibunya siap berpesan pada aku, kalau boleh jangan banyak berhubung dengan dia, takut pelajarannya terganggu. Kalau aku tidak hubungi anaknya langsung, aku pasti dia juga yang akan kata aku tidak serius dengan anaknya. Perangai ibu Qistina itu memang betul-betul memeningkan kepala aku," habis semua yang berlaku Amirul ceritakan pada Darwina. Tanpa disedari, Darwina sedang menahan bungkam di hati.
'Kalau kesetiaan itu untuk aku, mungkin engkau tidak akan merana begini.' fikir Darwina.
"Engkau memang betul-betul pencinta yang setia. Aku sendiri rasa perbuatan Darwina memang tidak patut. Sikap ibunya pun lagi satu masalah. Walaupun aku tidak kenal semua orang yang engkau ceritakan tadi, aku tidak suka perbuatan mereka. Atas rasional apa sekalipun,perbuatan mereka itu tetap menyakiti engkau. Engkau pula masih bertahan. Aku tidak sangka masih wujud lagi lelaki seperti engkau di dunia ini. Bukan semua lelaki sanggup bertahan dalam keadaan begini,"
"Wynn, apapun yang terjadi, cinta aku tetap untuk Qistina. Aku tidak mahu kehilangannya," luahan perasaan Amirul menikam sukma Darwina.
'Argh! Buat apa aku hendak kecewa atau cemburu? Cintanya milik Qistina!' jeritan batin Darwina terlalu kuat bergema dalam hati.
"Ya, aku faham. Bukan mudah untuk merelakan pemergian seseorang yang sangat kita cintai," mudah sahaja jawapan Darwina. Sebenarnya jawapan itu memaksudkan hatinya sendiri.
"Aku rindu Qistina,"
Darwina menepuk-nepuk bahu Amirul tanda memahami. Senyuman palsu dilemparkan khusus untuk suaminya. Dia sendiri sebenarnya sedih. Dia sedar, tiada guna mengharap cinta palsu yang tidak berbalas.
*****************
Lama Darwina termenung semasa makan tengahari. Tangannya asyik mengacau jus epal di dalam gelas menggunakan straw. Matanya memandang ke jalan raya tetapi fikirannya melayang. Melihat keadaan Darwina yang kurang baik, Ina mengambil pesanan untuknya. Apabila Ina ke tandas, Darwina masih mengelamun.
"Darwina, sudah habis engkau buat haji di Mekah?" soal Ina. Dia sudah pulang dari tandas, tetapi Darwina masih belum kembali ke alam nyata. Nampak sangat, fikiran Darwina sedang berserabut.
"Eh, apa engkau cakap tadi?" Darwina terpinga-pinga. Ina pula sekadar menggeleng. Dia sendiri kasihan melihat temannya bersikap begini.
"Engkau fikir soal apa? Amirul buat halkah? Teman wanitanya masih di Australia, bukan?"
"Sebab Qistina masih di Australialah aku jadi begini," Darwina melepaskan keluhan berat. Seksa sungguh rasanya menanggung beban di hati. Hakikatnya,beban itu dia yang cari.
"Wynn, this is not you. Tell me exactly what happened." terus Ina bersuara tegas. Tangannya sudah mengepal penumbuk.
'Amirul, engkau patut bersyukur kerana tiada di depan aku sekarang. Kalau tidak, silap-silap restoran ini menjadi saksi engkau kena penangan silat cucu Tok Salleh!' getus hati Ina. Dia tertanya-tanya, apa sebenarnya yang Amirul sudah lakukan.
"Nothing happened. I just cannot explain what am I feeling right now. He advised me not to keep myself away from Syukri. He asked me to contact that guy. But, the worst is, he misses Qis. He told me everything. Oh my God, he's suffering because of that girl! I can't help it but to feel jealous and hurt, when my own husband asks me to take care of another guy's love, and confess everything to me about his love for his girlfriend. It hurts me, Ina." hilang terus Bahasa Melayu dari bibir Darwina. Sedar tidak sedar, air mata sudah mengalir di pipinya.
"Syh, jangan menangis. Aku faham perasaan kau," pantas jemari Ina mengesat air mata yang mengalir di pipi Darwina. Dia tahu, Darwina betul-betul kecewa.
"Aku tidak boleh jatuh cinta padanya, Ina. Aku betul-betul tidak boleh! Aku sedar diri, tetapi kenapa perasaan aku meronta-ronta untuk memperoleh kasih sayangnya?" soal Darwina tanpa menghiraukan sesiapa di sekelilingnya.
"Sabar, Wynn, sabar. Ingat Allah," mati kutu Ina hendak memujuk apabila esakan Darwina makin menjadi-jadi. Dia akhirnya beralih tempat ke sebelah Darwina. Dipeluknya bahu wanita itu untuk memberi secebis kekuatan.
"Ina, kenalkan aku dengan mana-mana lelaki," Darwina bersuara nekad setelah tangisnya reda. Bulat mata Ina memandangnya.
"Engkau biar betul, Wynn!"
"Ya, aku serius. Aku hendak berkenalan dengan mana-mana lelaki melalui telefon bimbit. Aku tahu engkau akan cakap aku gila, tetapi aku sudah tidak tahan melihat suami aku merindui perempuan lain. Aku tidak tahan lagi sekiranya suami aku menasihati aku tentang Syukri. Aku hendak bertelefon dengan lelaki lain. Jika dia tanya, aku akan katakan lelaki itu Syukri. Engkau tidak akan faham, tetapi jiwa aku yang sedang terseksa. Aku hendak membalas perbuatannya, Ina. Aku tidak mahu menyeksa diri sendiri lagi," terus sahaja Darwina menyatakan tekadnya itu.
Akhirnya, dalam serba salah, Ina mengenalkan Darwina dengan sepupunya, Azmi. Dia sendiri rasa bersalah terhadap Amirul, namun apabila mengenangkan seksaan jiwa yang Darwina alami, dia menurut juga kehendak wanita itu.
'Ya Allah, engkau peliharalah sahabatku. Tolonglah. Pimpinlah dia dalam setiap tindakannya.' doa Ina dalam hati. Tanpa pengetahuan Darwina, secara senyap-senyap Ina hampir menghubungi Azmi untuk menjelaskan kedudukan sebenar, namun niat itu dibatalkan. Kalaulah nanti Amirul sudah menceraikan Darwina seperti janjinya, tiada salahnya kalau Azmi berkenan pada Darwina pula.
******************
Darwina sendiri serba salah, namun perasaan nekadnya mengatasi segalanya. Apabila mengenangkan statusnya sebagai isteri, dia betul-betul tidak sampai hati. Memang dia tidak mampu untuk menafikan, hatinya berbelah bagi antara dendam dan sayang. Dia masih kenal dosa dan pahala, tetapi kali ini rasionalnya betul-betul sudah hilang.
'Maafkan aku, Myrul.' air mata berlinangan di pipi Darwina. Pantas dia menyeka dengan jari sendiri.
'Argh! Wajar lagikah aku mohon maaf darinya? Dia sendiri yang mahu begini! Tiada maknanya lagi andai aku mencuba untuk menjadi isteri sempurna buat dirinya, sedangkan dia tak pernah ingin aku di sisinya.Myrul, kau betul-betul menyeksa aku.'
******************
'Ya Allah, dayuskah aku kerana menyuruh isteri menghubungi kekasih lain? Aku sendiri masih merindui wanita lain walaupun aku punya dia sebagai isteri. Aku hanya ingin dia bahagia. Aku tidak mahu dia setia pada aku. Aku tidak sanggup menyeksa bidadari sepertinya, sebab aku tahu aku akan meninggalkannya. Ampunkan aku!' fikir Amirul.
Dia dan Darwina langsung tidak bercakap sejak pagi tadi lagi. Entah mengapa, sedikit sebanyak hatinya rindu juga hendak berbual dengan Darwina. Ternyata, hatinya terusik dengan kehadiran wanita itu dalam hidupnya.
Qistina dan Darwina dua wanita yang berbeza. Kedua-duanya mengusik jiwa tiap kali nama mereka disebut. Tiada siapa yang mampu mentafsirkan gelojak hatinya. Saat mengingati Qistina, dia rasa berdosa menduakan cinta Qistina. Jika mengingati Darwina, dia rasa berdosa di atas tindakannya.
'Qistina, Darwina.. maafkan aku.' getus hatinya. Lamunannya hanya terhenti apabila suara Darwina memanggilnya ke meja makan. Wajah lembut Darwina direnung tanpa kata. Rasa bersalahnya makin menjadi-jadi.
Sepanjang waktu makan, masing-masing tidak bersuara. Kedua-duanya ralit melayan perasaan berdosa yang tersimpan. Sampai bila kisah ini akan terhijab, entahlah. Mereka saling tidak mengerti.
Malam itu, lena mereka diulit resah. Tidur mereka yang saling membelakangi menghalang mereka daripada melihat wajah masing-masing. Air mata mengalir deras di pipi Darwina, namun Amirul tidak mengerti. Sendu wajah Amirul menahan rasa, pasti Darwina tiada melihatnya. Segalanya kekal rahsia.
Dipendam sakit, diluah seksa. Tiada siapa yang akan mengerti hati mereka. Semuanya salah, semuanya dusta. Tiada yang benar lagi ketika semuanya suatu pembohongan. Tanpa mereka sedari, sesungguhnya pembohongan itulah yang menjadi bara. Pembohongan itulah hijab yang memisahkan hati mereka tanpa sedar. Kasih yang bermukim sekadar terpendam di balik dusta.
'Biarkanlah. Biarkanlah air mata menemaniku, untukku jalani sebuah kisah denganmu, kerna ini kisah kita.'
Jemput Follow :)
Komplot Kita (11)
Labels:
karya,
Komplot Kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment